Selamat datang kepada semua pengunjung blog CUTE OVEN, SMALL KITCHEN. Diharap dengan kunjungan anda dapatlah kita berkongsi ilmu disamping menambah kenalan. Terima kasih atas kesudian bertandang ke sini.

Untuk makluman, di dalam blog ini sukatan cawan adalah menggunakan cawan metrik manakala sukatan sudu pula 98% adalah menggunakan sudu metrik.
Bagi yang sering bertanya apakah 'Tbsp' dan 'tsp'; 'Tbsp' = tablespoon & 'tsp' = teaspoon.

Recent Posts

Tuesday, 20 December 2011

KEK COKLAT KUKUS LIZA


Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Kek coklat kukus lagi. Satu lagi resepi kek coklat yang ada dalam simpanan Naz. Resepi ini juga datangnya daripada fotopages kak Hanieliza. Seperti biasa, kalau kek coklat yang dikukus ni memang hasilnya lembut, gebu dan moist jer. Jadi pada penggemar kek coklat, bolehlah menambah satu lagi koleksi resepi kek coklat anda.

Deco simple jer..
Deco tu Naz guna krim mentega dan di bahagian tengah yang bewarna hitam tu adalah coklat ganache. Saja gatal tangan nak mendeco untuk lepas gian..hehehe... Hasilnya tak lah seberapa pun. Cuma teringin sangat nak bermain dengan krim mentega tu. Kebetulan masa nak buat ni, hubby tersayang ada di rumah. Jadi bolehlah dia tolong melayan si kecil Hani tu. Kalau tidak, tak kuasa Naz nak bermain krim mentega tu lama-lama di dapur dengan Hani yang akan sentiasa menarik-narik kain batikku..hehehe..

Bahagian dalam kek yang moist..

Lepaan krim mentega yang bewarna merah jambu. Tak perfect lagi..
Masih belum begitu licin hasilnya..
Seperti biasa, resepi ini Naz tulis semula dan diubah suai sedikit penyampaiannya untuk pemahaman Naz sendiri di kemudian hari.

KEK COKLAT KUKUS LIZA
SUMBER RESEPI : Kak Hanieliza

Bahan-bahan A :
  • 220 gm tepung gandum
  • 1 tsp serbuk penaik
  • 1/2 tsp soda bikarbonat
  • 50 gm serbuk koko
  • 180 gm gula perang
Bahan-bahan B :
  • 2 biji telur
  • 1 tsp esen vanila
Bahan-bahan C :
  • 200 ml susu cair
  • 200 ml minyak jagung
  • 200 ml air panas
Cara-cara :
  1. Gaulkan semua bahan-bahan A di dalam mangkuk supaya rata.
  2. Pukul bahan-bahan B di dalam mangkuk berasingan hingga kembang. Masukkan ke dalam mangkuk bahan-bahan A tadi. Kacau rata.
  3. Masukkan pula bahan-bahan C. Kacau rata dengan spatula atau ballon whisk.
  4. Panaskan kukusan hingga mendidih. Lapikkan kertas baking di dalam loyang.
  5. Masukkan adunan ke dalam loyang dan kukus 1 jam.
  6. Bila telah masak, buka tudung kukusan berhati-hati agar air wap tidak menitik ke atas kek.
  7. Hiaskan dengan krim coklat atau krim mentega.

 NOTA NAZ :
  • Seperti biasa, apabila mengukus kek, Naz lebih suka menutup loyang kek dengan aluminium foil untuk mengelakkan titisan wap jatuh di permukaan kek.
  • Aluminium foil tu, sapukan sedikit minyak masak atau majerin di permukaan yang akan bersentuhan kek agar kek tidak melekat nanti sekiranya naik dan menyentuh aluminium foil.
Untuk resepi krim mentega (butter cream) yang Naz guna, boleh rujuk di SINI.

Bahagian tengah kek yang dituangkan coklat ganache..
Untuk resepi coklat ganache pula, Naz tuliskan di bawah.

COKLAT GANACHE
SUMBER RESEPI : Buku Panduan Asas Menghias Kek tulisan Amaruszati Noor Rahim

Bahan-bahan :

  • 300 gm krim putar (whipping cream)
  • 600 gm coklat masakan - dicincang
  • 1/2 cawan sirap glukos/ madu
  • 2 sudu kecil mentega
Cara-cara :
  1. Panaskan krim putar sehingga hampir mendidih. Curahkan ke dalam mangkuk berisi coklat masakan. Biarkan sebentar. Kacau hingga sebati.
  2. Masukkan sirap glukos atau madu. 
  3. Akhir sekali masukkan mentega. Kacau sebati.
Naz tak ikut cara di atas. Naz buat seperti di bawah :
  1. Panaskan krim putar di atas api dapur. Bila hampir mendidih, masukkan coklat masakan. Kacau hingga coklat cair sepenuhnya. Tutup api.
  2. Masukkan sirap glukos atau madu dan gaul rata.
  3. Masukkan mentega dan gaul hingga mentega cair dan sebati. 
SELAMAT MENCUBA!

Monday, 19 December 2011

TART TELUR KANTONIS (CANTONESE EGG TART)


Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Buat tart telur ni dalam minggu lepas tapi tak sempat-sempat nak dimasukkan entrynya di sini. Malumlah musim cuti-cuti sekolah ni, lappy kena kongsi-kongsi dengan anak-anak. Sebabnya waktu minggu persekolahan, ummi dia orang tak bagi main game, waktu cuti sekolah ni lah dia orang nak pulun habis-habisan main game. Jadi sebab ni ndang-undang ummi yang buat, jadi ummi kenalah mengalah waktu cuti sekolah ni...hehehe...

Ok, resepi Tart Telur Kantonis ni Naz ambil dari SINI. Cuma cara membakarnya, Naz tak ikut 100% seperti di dalam resepi sebab macam complicated pula bila dibaca (malas sebenarnya bila banyak step tu..hehehe..).  Jadi pada yang ingin melihat resepi dan cara asal penyediaan tart telur ni, boleh klik pada link yang Naz sertakan di atas tu atau link yang ditulis dalam resepi di bawah.


Naz bakar tart ni dua sessi dengan 2 cara yang berbeza sebab nak lihat perbezaan hasilnya. Sessi pertama, Naz bakar tart curst bersama dengan fillingnya hingga masak (seperti di dalam resepi asal). Kali ke 2 pula, Naz bakar separuh masak tart curst dahulu tanpa filling, kemudian baru diisi fillingnya dan bakar lagi hingga masak sepenuhnya. Memang ada perbezaan hasil tart telur ini terutamanya pada crust atau shellnya.


Tart shell yang dibakar terus bersama fillingnya, bahagian dalam crust yang bersentuhan dengan fillingnya tidak berapa rangup dan sedikit lembab. Manakala tart shell yang dibakar dahulu sebelum dibakar bersama fillingnya lebih rangup dan lebih kering di bahagian dalamnya (yang bersentuhan dengan filling). Naz dan anak-anak lebih suka cara pembakaran yang ke dua ni sebab shell nya tu lebih rangup. Terpulang pada kehendak tekak masing-masing yer. 


TART TELUR KANTONIS
RESEPI ASAL DARI : Christine's Recipes

Bahan-bahan curst :
  • 225 gm tepung gandum (Naz guna 250 gm sebab adunan terlalu lembab dan melekit)
  • 125 gm butter
  • 55 gm gula icing
  • 1 biji telur, dipukul sikit
  • Secubit serbuk vanilli atau 1/2 tsp asen vanilla
Bahan-bahan kastad/ filling :
  • 3 biji telur
  • 110 gula kastor
  • 225 gm air panas
  • 85 gm susu cair
  • 1/2 tsp asen vanilla
Cara-cara (penyediaan crust) :
  1. Pukul butter dan gula hingga gebu.
  2. Masukkan telur dan pukul pada kelajuan perlahan. Tambahkan vanilla dan kacau rata.
  3. Masukkan tepung sedikit demi sedikit sambil menguli hingga membentuk doh yang lembut.
  4. Ambil sedikit doh dan tekan ke dalam acuan tart hingga kemas. Buang lebihan doh di tepi-tepi acuan tart dengan pisau.
Cara-cara (penyediaan kastad/ filling) :
  1. Larutkan gula di dalam air panas.
  2. Pukul telur bersama susu cair dengan ballon whisk. Masukkan larutan gula di atas tadi dan gaul sebati.
  3. Tapis adunan ke dalam jug kecil.

Cara-cara Naz membakar Tart Telur Kantonis :
Cara Pertama :
  1. Tuang larutan kastad/ filling ke dalam tart shell yang belum dibakar.
  2. Bakar di dalam oven pada suhu 180-200 C selama 25 - 30 minit atau hingga kastad masak.

Cara Ke Dua :
  1. Cucuk dasar tart shell yang belum dibakar dengan garfu. Bakar separuh masak di dalam oven yang telah dipanaskan pada suhu 180-200 C selama 10 minit.
  2. Keluarkan tart shell dari oven.
  3. Tuangkan larutan kastad/ filling ke dalam tart shell dan bakar semula selama 20-25 minit pada suhu 180-200 C atau sehingga kastad masak.
 SELAMAT MENCUBA!

Saturday, 17 December 2011

KEK COKLAT MOCCA KUKUS

 

Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Salam di pagi hari untuk semua yang sudi berkunjung ke blog ini.. Harap yang berkunjung sihat sejahtera hendaknya.
Kek coklat mocca kukus yang memang sedap. Resepi dari Kak Hanieliza yang memang terkenal sebagai pakar dalam pelbagai menu masakan yang kini telah bergelar Chef. 

Resepi ini telah lama Naz simpan dan telah mencubanya dahulu sewaktu baru mula berjinak-jinak melayari web masakan di internet. Waktu tu suka sangat buka laman fotopages kak Hanieliza untuk melihat hasil tangan beliau di dapur. Bolehlah dijadikan salah satu koleksi resepi kek coklat bagi penggemar kek coklat. Memang sedap dengan campuran rasa coklat dan nescafe di dalamnya. Keknya pun gebu, lembut dan lembab je. Naz simpan dan kongsikan di sini pula resepi ini ye kak Liza. Cara penyampaian resepi ini telah diolah sedikit untuk kefahaman Naz sendiri. Terima kasih dan minta halal ye kak Liza!



KEK COKLAT MOCCA KUKUS
SUMBER RESEPI : Kak Hanieliza

Bahan-bahan A :
  • 1 ketul butter (250 gm)
  • 1 cawan serbuk koko
  • 1 cawan brown sugar/ gula kastor
  • 1 cawan susu cair
  • 1 Tbsp serbuk nescafe
  • 1/2 cawan susu pekat manis
Bahan-bahan B :
  • 3 biji telur
  • 1 tsp esen vanilla
Bahan-bahan C :
  • 1 1/4 cawan tepung gandum
  • 1 tsp baking powder
  • 1/2 tsp soda bikarbonat
Cara-cara :
  1. Campurkan semua bahan A ke dalam periuk dan kacau atas api sederhana hingga semua bahan sebati (tiada ketulan). Tutup api dan biarkan suam.
  2. Pukul bahan-bahan B hingga kembang. Masukkan ke dalam adunan A di no 1 tadi. Kacau rata dengan spatula atau ballon whisk.
  3. Masukkan bahan C yang telah diayak sedikit demi sedikit sambil digalu hingga sebati.
  4. Panaskan kukusan.
  5. Lapik loyang dengan kertas minyak dan tuang adunan ke dalam loyang.
  6. Kukus kek selama 1 jam atau sehingga masak dengan api sederhana. Sekiranya quantiti adunan dikurangkan dan menggunakan loyang yang lebih kecil, kurangkan waktu mengukus (Naz buat 1/2 adunan saja dan kukus 30 minit).
NOTA NAZ :
  • Semasa mengukus, pastikan air tidak menitis di atas kek supaya permukaan kek kekal cantik.
  • Cara Naz mengelakkan air kukusan merosakkan kek : Balut loyang kek dengan kertas aluminium yang disapu sedikit majerin atau minyak pada permukaan dalamnya. Tujuan menyapu minyak masak atau majerin tu, supaya sekiranya kek naik dan menyentuh aluminium pada permukaan loyang, kek tak akan melekat dan boleh mengelakkan kecacatan pada rupa kek.
Inilah rupa loyang kek yang dibalut dengan aluminium foil.


Untuk topping yang dicurah ke atas kek, resepi biasa Naz buat :

COKLAT GANACHE
Bahan-bahan :
  • 200 gm coklat masakan
  • 150 gm krim putar (whipping cream)
  • 1 Tbsp marjerin/ butter
Cara-cara :
  1. Panaskan krim putar secara double boiler atas api sederhana. Bila hampir mendidih, tutup api.
  2. Masukkan coklat masakan yang telah dipotong-potong kecil. Kacau hingga cair sepenuhnya.
  3. Masukkan majerin dan gaul sebati. Siap! Boleh digunakan.
SELAMAT MENCUBA!

Thursday, 15 December 2011

PAJERI NENAS MUDAH


Assallamualaikum dan salam sejahtera semua.

Harap semua pengunjung sihat walafiat hendaknya. Gulai pajeri nenas ni memang kegemaran Naz sejak dari dulu. Apa-apa lauk yang letak nenas memang jadi kegemaran. Biasanya kebanyakan gulai pajeri nenas menggunakan kerisik sebagai salah satu bahannya. Jadi untuk gulai pajeri nenas mudah ini, tiada penggunaan kerisik di dalam resepi. Saja nak cuba tanpa kerisik. Tambah pula dengan kerisik yang jarang-jarang ada simpanannya di rumah. Dari segi rasa, tak ada perbezaan nyata pun kalau ditambah kerisik atau tidak. But as for me, Naz lagi suka yang tiada kerisik ni. Ikut selera masing-masinglah yer.

Kuahnya pun Naz tak buat pekat sangat seperti kebanyakan gulai pajeri nenas ni. Yang sedang-sedang aja. Naz gunakan gula merah sebagai penambah perisa. Bila guna gula merah ni, warna gulai pun lebih gelap.

PAJERI NENAS MUDAH

Bahan-bahan :
  • 1/2 biji nenas ~ dipotong kecil
  • 4 ulas bawang merah
  • 3 ulas bawang putih
  • 1/2 inci halia
  • 1 sudu besar udang kering ~ dicuci dan direndam seketika, toskan
  • 1 batang kulit kayu manis
  • 4 sudu besar rempah kari ikan
  • 1/2 cawan santan pekat
  • Air secukupnya
  • Gula merah
  • Garam
  • Minyak jagung untuk menumis
Cara-cara :
  1. Tumbuk bawang merah, bawang putih, halia dan juga udang kering bersama.
  2. Panaskan minyak dan tumis bahan tumbuk bersama kulit kayu manis hingga garing.
  3. Masukkan serbuk kari ikan dan kacau-kacau sambil memasukkan sedikit air. Biar hingga masak elok.
  4. Masukkan nenas dan sedikit air(lebih kurang 1 - 11/2 cawan). Masukkan garam dan gula merah. Kacau rata. 
  5. Bila mengelegak, masukkan santan pekat. Kacau dan rasakan gulai ikut selera masing-masing. Bila nenas sedikit layu, tutup api dapur. Hidangkan.
SELAMAT MENCUBA!

Tuesday, 13 December 2011

KUEH TEOW GORENG



Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Menu yang simple saja hari ini. Teringat sewaktu kecil, memang Naz tak pernah makan kueh teow. Bukan saja tak pernah makan tapi tak kenal pun rupa kueh teow. Ini kerana bonda Naz memang tidak pernah menyediakan hidangan yang menggunakan kueh teow. Untuk mengenalinya melalui kedai-kedai makan di luar lagi lah tidak sebab memang parent Naz jarang sangat makan di luar. Rasanya Naz mula mengenali kueh teow ni semasa duduk di asrama kerana menyambung pelajaran selepas peringkat sekolah.

Rasanya kebanyakan orang pun tau cara menyediakan kueh teow goreng ni. Resepi ini agak ringkas. Tiada penggunaan kerang di dalamnya kerana anakanda Haris memang suka dengan isi ayam saja di dalam menu ini manakala Husna pula suka sekiranya ada fish ball dan fish cake. Yang suka kerang cuma ummi dan ayahnya saja. Kalau ada kerang memang lagi sedap tapi bila anak-anak makan, dikuis-kuisnya ke tepi pinggan. Jadi khas untuk rujukan anakanda-anakandaku di kemudian hari, di sini ummi tuliskan resepi kueh teow goreng yang kalian gemari.

KUEH TEOW GORENG

Bahan-bahan :
  • 1 bungkus Kueh Teow (400 gm)
  • 4 ulas bawang merah ~ tumbuk
  • 4 ulas bawang putih ~ tumbuk
  • 4 sudu besar cili boh/ cili kering mesin (boleh adjust sendiri)
  • 1/2 cawan isi ayam ~ yang telah dipotong kecil
  • 6 biji bebola ikan ~ dihiris
  • 1-2 batang fish cake ~ dihiris
  • 3 sudu besar sos tiram
  • 4 sudu besar kicap manis
  • 4 sudu besar kicap masin
  • 2 sudu besar sos cili
  • 1/4 cawan air
  • 200 gm taugeh ~ dibuang ekornya, dibasuh dan ditoskan
  • Minyak jagung/ minyak masak untuk menumis
  • Cili merah atau lada jeruk ~ untuk hiasan dan penambah perisa
  • Asam limau ~ sekiranya suka
Cara-cara :
  1. Panaskan minyak di dalam kuali. Tumis bahan tumbuk hingga naik bau. Masukkan cili boh dan tumis hingga masak.
  2. Masukkan isi ayam. Gaul sekata. Biar seketika.
  3. Masukkan sos tiram, kicap manis, kicap masin dan juga sos cili. Masukkan 1/4 cawan air. Gaul sekata.
  4. Masukkan bebola ikan dan juga fish cake. Gaul rata. 
  5. Masukkan kueh teow dan gaul sebati. Rasakan masakan anda. Adjust ikut citarasa dengan menambah kicap, sos cili atau garam.
  6. Akhir sekali masukkan taugeh dan gaul rata. Jangan lama sangat nanti taugeh lembik. Tutup api.
  7. Hidangkan dengan hirisan cili merah atau cili jeruk dan juga daun bawang. Perahkan asam limau sekiranya suka.
SELAMAT MENCUBA!

Sunday, 11 December 2011

BISKUT COKLAT CHIP (Mawar Merah)


Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Alhamdulillah masih lagi diberikan kesempatan olehNya untuk meneruskan lagi catatan di dalam blog ini khas buat anak-anakku di kemudian hari nanti. Bersyukur juga masih diberi peluang untuk berkongsi ilmu yang sedikit ini dengan pengunjung yang sudi bertandang ke sini.

Satu lagi koleksi biskut coklat chip yang dicuba dan disimpan resepinya ke dalam blog ini. Memang sedap bagi penggemar biskut coklat chip. Setelah mencubanya, boleh dikatakan resepi biskut ni boleh menjadi pencabar atau saingan kepada biskut coklat chips ala-ala famous amos dulu yang pernah dicuba.

Two tumbs up!! Memang tidak mengecewakan. Resepi yang sedap ni dikongsi oleh kak Mawar Merah ~ "sumber ilhamku". Terima kasih ye kak. Kak Mawar Merah ni syorkan agar Naz cuba dulu separuh adunan untuk 'test market' katanya. Tapi Naz buat terus satu adunan. Nasib baik buat satu adunan terus. Semasa menaip ni pun, biskut ni dah tinggal 1/4 saja lagi dalam balang tu. Betul-betul mendapat sambutan dari anak-anak. Teksture biskut yang ringan dan rangup betul-betul menambat hati. Lebih-lebih lagi cuti sekolah ni, cepat je makanan di dapur tu langsai.

Naz kongsikan di sini pula resepi ini ye kak Mawar. Naz olah sedikit cara penulisan resepi agar lebih mudah Naz sendiri fahami di kemudian hari. Terima kasih kak Mawar Merah.



BISKUT COKLAT CHIP (Mawar Merah)

Bahan-bahan :
  • 2 cawan tepung gandum*
  • 3/4 sudu teh baking soda* (*ayak bersama)
  • 1 cawan butter (225 gm butter)
  • 1 1/4 cawan gula perang (Naz guna 1 cawan jer)
  • 1/2 sudu teh garam
  • 2 sudu teh asen vanilla
  • 2 cawan coklat chip (Naz cuma guna 1/2 cawan jer)
  • 2 biji telur


Cara-cara :
  1. Pukul gula dan butter hingga lembut. Campurkan telur dan asen vanilla dan pukul hingga sebati.
  2. Perlahankan speed dan masukkan bahan ayak sedikit demi sedikit beserta coklat chip.
  3. Sudukan 1 sudu teh adunan ke atas loyang yang dilapik dengan baking paper. Letakkan jarak-jarak sebab adunan akan mengembang semasa proses pembakaran.
  4. Bakar selama 15 minit pada suhu 175 C bergantung kepada oven masing-masing.

SELAMAT MENCUBA!  

Thursday, 8 December 2011

KEK GULA HANGUS/ KEK SARANG LEBAH/ KEK SPAN


Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Kek sarang lebah atau kek gula hangus atau ada juga yang memanggilnya kek span ni memang telah terkenal dari dulu lagi. Naz pernah mencuba beberapa jenis resepi kek gula hangus sebelum terjumpa resepi Kak Halimah ni dulu di blog Koleksi Resepi Diana yang kini blog beliau nampaknya telah di'private'kan. Setelah mencuba buat pertama kalinya dahulu resepi kak Halimah ni, terus jatuh hati. Masa tu blog ni pun belum wujud lagi.

Jadi untuk kesekian kalinya, resepi ini digunakan sekali lagi untuk hasilnya yang memang terjamin kesedapannya. Sukatan bahan-bahannya pun senang disediakan.

Bahangian permukaan kek

KEK GULA HANGUS
OLEH : Naz COSK @ovenkecil.blogspot.com
SUMBER RESEPI : Kak Halimah via blog Koleksi Resepi Diana


Bahan untuk gula hangus :

  • 1 cawan gula
  • 1 cawan air panas
  • 2 sudu besar mentega
Cara :
  1. Gula digoreng dengan api sederhana besar.
  2. Bila gula dah agak cair, masukkan air panas (bab ni kena hati-hati sikit tau! Nanti dia meletop-letop).
  3. Masak hingga gula betul-betul larut.
  4. Kemudian masukkan mentega dan kacau hingga ia cair. Tutup api dan ketepikan.
Bahan untuk kek :
  • 4 biji telur
  • 1 cawan susu pekat manis
  • 1 cawan tepung gandum
  • 2 sudu kecil soda bikarbonat
  • 1 sudu kecil asen vanilla
Cara-cara :
  1. Pukul telur hingga kembang (warna telur menjadi pucat).
  2. Masukkan susu pekat manis dan pukul rata. Mulai step ni, boleh curah adunan ke dalam blender je kalau nak.
  3. Masukkan tepung dan soda bikarbonat yang diayak terdahulu sedikit demi sedikit.
  4. Tuangkan asen vanilla.
  5. Akhir sekali, masukkan gula hangus tadi. Perap adunan ini selama 3 hingga 4 jam (bertutup) untuk mendapatkan sarang yang cantik.
  6. Selepas 3 - 4 jam, warna bancuhan kek akak berubah. Tuangkan adunan ke dalam loyang yang sesuai dan kacau agar tepung tak mendap.(Naz kacau adunan sebelum menuang ke dalam loyang).
  7. Bakar selama 1 jam pada suhu 160 C dengan api bawah sahaja. Kemudian balance terakhir 11 minit tu pula api atas dan bawah. 
NOTA :
~ Kek ni dah banyak kali Naz buat. Dari pengalaman membakarnya, selalunya masa membakar memang lebih daripada 1 jam(menggunakan oven Naz le). Bila cukup masa 1 jam, cuba goyangkan sedikit loyang. Sekiranya adunan kek kelihatan masih tidak masak iaitu masih bergoyang, tambah lagi waktu pembakaran. 
~ Boleh juga diuji dengan mencucukkan lidi ke dalam kek. Sekiranya lidi keluar bersih, maknanya kek telah masak. Sekiranya tidak, tambah lagi waktu pembakaran.
~ Naz juga pernah cuba mengukus kek ini. Hasilnya ia lebih lembab tapi rasanya memang berbeza dari yang dibakar. Nak tau apa perbezaannya, kenalah cuba.

Permukaan bawah kek

SELAMAT MENCUBA! 

Wednesday, 7 December 2011

FLUFFY PANCAKE (PANKEK GEBU)

 

Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Bertemu kembali setelah sekian lama menyepi. Blog pun dah bersawang. Cuti sekolah ni banyak pula urusan melebihi dari hari persekolahan.

Pankek gebu ni diperolehi resepinya dari laman web allrecipes.com. Resepi yang amat mudah dan hasil yang sungguh memuaskan. Memang gebu dan lembut pankek ni. Ukuran bahan-bahannya pula boleh diperolehi dalam sukatan berat metrik ataupun sukatan cawan dan sudu metrik. Sungguh memudahkan kerja.

Pada tekak Naz, kemanisan pankek ni sedang elok saja kalau dimakan bersama sebarang manisan seperti madu, susu pekat manis atau pun sebarang jem. Sekiranya ingin dimakan begitu sahaja, mungkin perlu ditambah sedikit lagi sukatan gulanya agar lebih sedap. Apa-apa pun 'sedap' adalah satu perkara subjektif. Jadi ikutlah tekak masing-masing ye. 


FLUFFY PANCAKE (PANKEK GEBU)
SUMBER RESEPI : allrecipes.com 

Ingredients :
  • 3/4 cup milk (180 ml)
  • 2 Tbsp white vinegar (30 ml)
  • 1 cup all-purpose-flour (125 gm)
  • 2 Tbsp white sugar (25 gm)
  • 1 tsp baking powder (5 gm)
  • 1/2 tsp baking soda (2 gm)
  • 1/2 tsp salt (3 gm) 
  • 1 egg
  • 2 Tbsp butter-melted (30 gm)
  • 1 tsp vanilla asen - Naz tambah sendiri (baru update 8/12/11, lupa nak tulis)
  • Cooking spray - Naz omit yang ni sebab guna non stick pan
Directions :
  1. Combine milk with vinegar in a medium bowl and set aside for 5 minutes to "sour".
  2. Combine flour, sugar, baking powder, baking soda and salt in a large mixing bowl. Whisk egg and butter into "soured" milk. Pour the flour mixture into the wet ingredients and whisk until lumps are gone.
  3. Heat a large skillet over medium heat, and coat with cooking spray. Pour 1/4 cupfuls of batter onto the skillet, and cook until bubbles appear on the surface. Flip with a spatula, and cook until browned on the other side.


SELAMAT MENCUBA!

Sunday, 20 November 2011

SERI MUKA GULA MELAKA


Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Salah satu juadah yang sesuai untuk minum pagi atau pun minum petang. Kuih ni mesti ramai yang tahu membuatnya. Naz buat satu loyang segi empat dengan ukuran 7" X 7". 

Anakanda Husna suka makan terutama lapisan pulut tu, manakala anakanda Hani pula suka makan lapisan gula Melaka tu. Jadi bila suapkan Hani, bahagian pulut yang tak berapa dia nak makan tu, Husna yang akan tolong habiskan. 

As for me, tak boleh makan kuih ni sebab tak boleh berhenti..hehehe.. Lepas sepotong, sepotong lagi yang masuk ke mulut. Cakap jer tak boleh makan tapi dah berketul-ketul yang hadam di dalam perut. Setiap kali suapkan Hani, sepotong kuih tu, Hani makan 1/4 bahagian jer. Yang lagi 3/4 bahagian sepotong kuih tu masuk perut ummi dia..huhuhu...
  

SERI MUKA GULA MELAKA

Bahan-bahan Lapisan Bawah :
  • 1 cawan beras pulut
  • 1 1/4 cawan santan cair
  • 1/2 tsp garam
Cara-cara :
  1. Basuh beras pulut dan toskan.
  2. Masukkan beras pulut ke dalam loyang bersama dengan santan cair dan juga garam.
  3. Kukus sehingga masak.
  4. Setelah masak, sapu sedikit minyak pada loyang segi empat 7 X 7 inci dan lapikkan dengan sehelai plastik.
  5. Masukkan pulut tadi ke dalam loyang dan tekan-tekan biar padat dan rata.

Bahan-bahan Lapisan Atas :
  • 200 gm gula Melaka (putong kecil-kecil)
  • 1/2 cawan air
  • 1 cawan santan pekat
  • 2 biji telur
  • 1 Tbsp tepung jagung
  • 1/4 cawan tepung gandum
  • 1/2 tsp garam
Cara-cara :
  1. Masak gula Melaka bersama 1/2 cawan air hingga gula larut.
  2. Di dalam sebuah mangkuk, campurkan semua bahan-bahan lain dan kemudian tapis masuk larutan gula Melaka tadi. Kacau sebati hingga tiada ketulan. (kalau ada ketulan, boleh ditapis).
  3. Masakkan adunan di atas api hingga naik wap.
  4. Tuang adunan ke atas lapisan pulut di dalam loyang tadi dan kukus selama 10 minit - 15 minit atau sehingga masak.
  5. Sejukkan kuih dan potong dengan pisau plastik untuk dihidangkan.
SELAMAT MENCUBA!

Friday, 18 November 2011

KUIH RENGAS / KUIH KACANG HIJAU / KUIH KASTURI


Assallamualaikum dan salam sejahtera.
Kuih Rengas atau pun Kuih Kacang Hijau ni dibuat untuk sarapan dan juga minum petang. Kuih ni boleh dibuat sekali banyak dan lepas digoreng sikit jer, sejukkan dan simpan dalam peti sejuk beku (freezer). Jadi bila nak makan, cuma keluarkan dari peti sejuk beku dan biar seketika dalam suhu bilik kemudian bolehlah digoreng hingga masak sepenuhnya.
Suka betul anakanda Husna makan kuih ni lebih-lebih lagi di bahagian kulitnya yang rangup-rangup tu.


KUIH RENGAS atau KUIH KACANG HIJAU atau KUIH KASTURI
Bahan-bahan :
  • 1 cawan kacang hijau
  • Air yang cukup untuk merebus
  • 1/2 - 3/4 cawan gula perang lembut atau gula pasir biasa (adjust ikut kemanisan yang dikehendaki)
  • 5 sudu besar kelapa parut muda 
  • 1/2 sudu teh garam
  • 3-4 sudu besar tepung gandum
Cara-cara :
  1. Basuh dan rendam kacang hijau selama 1 hingga 3 jam.
  2. Kemudian masukkan ke dalam periuk (seelokknya dalam periuk non-stick) dengan air yang mencukupi dan rebus hingga empuk. Kalau masih keras, tambah sedikit lagi air dan terus merebus hingga kacang lembut.
  3. Bila air hampir kering,masukkan gula, kelapa parut muda, tepung gandum dan garam. Kacau sentiasa hingga sebati dan kering. Tutup api dapur dan sejukkan.
  4. Setelah sejuk, ambil sedikit adunan dan bulat-bulatkan. Kemudian leperkan.
  5. Panaskan minyak masak di dalam kuali.
  6. Celup adunan kacang hijau tadi ke dalam batter dan goreng hingga garing. Kalau nak simpan dalam peti sejuk beku, goreng sekejap je. Jangan sampai garing. Kemudian sejukkan dan simpan ke dalam peti sejuk beku.
Bahan-bahan  Batter (untuk menggoreng) :
  • 1 cawan tepung beras
  • 1 sudu besar tepung gandum
  • 1 sudu besar tepung jagung
  • 1/2 sudu kecil serbuk kunyit
  • Garam
  • Air yang cukup
Cara-cara :
  1. Campurkan semua bahan di atas di dalam mangkuk sambil masukkan air sedikit demi sedikit untuk mendapatkan batter yang dikehendaki. 
SELAMAT MENCUBA!

Wednesday, 16 November 2011

CHEESE TART


Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Tart keju dengan pelbagai filling/inti ni, Naz buat masa hari raya haji yang lalu. Bagi sikit pada jiran sebelah rumah dan selebihnya dibawa balik ke kampung. Budak-budak memang suka tart ni.

Yang ini dengan filling blueberry dan strawberry.

Yang ini pula dengan filling peanut butter.


Kali ini tart dibuat menggunakan resepi pastry dari Alex Goh yang memang dah lama ada dalam simpanan. Untuk filling kejunya masih menggunakan resepi dari kak Azita Zain. Memang sedap gabungan keduanya.

Tart tanpa sebarang filling sebab Haris request nak yang plain cheese tart sedikit.

CHEESE TART
(a) PASTRY/ TART SHELL/ CRUST
Resepi Oleh : Alex Goh
Disediakan Oleh : Naz COSK @ovenkecil.blogspot.com
Bahan-bahan :
[A]
  • 200 gm mentega
  • 100 gm gula icing
  • 1/4 tsp esen vanilla
[B]
  • 1 biji telur
[C]
  • 420 gm tepung
  • 1 Tbsp susu tepung
Cara penyediaan :
  1. Putar [A] hingga lembut. Masukkan [B] dan terus memukul hingga gebu dan berkrim.
  2. Masukkan [C] dan gaul hingga mendapat doh yang lembut dan licin.
  3. Ambil sedikit doh dan tekankan ke dalam acuan tart dan kemaskan bahagian dalamnya. Potong lebihan doh di tepi-tepi acuan dengan pisau.
  4. Cucuk dasar tart dengan garfu.
  5. Bakar di dalam oven pada suhu 170 C selama 12 - 15 minit atau hingga doh menjadi keperangan.
  6. Keluarkan dari acuan dan biarkan sejuk dahulu sebelum digunakan atau sebelum disimpan di dalam bekas kedap udara.

 (b) CREAM CHEESE FILLING


Bahan-bahan :
  • 250 gm cream cheese
  • 50 gm gula kastor
  • 1 biji telur saiz B
  • 1/2 sudu teh asen vanilla/ asen lemon
Cara-cara :
  1. Putar cream cheese dan gula hingga berkrim.
  2. Masukkan telur dan esen vanilla. Putar lagi.
  3. Masukkan **filling/inti  ke dalam kulit tat (jangan sampai penuh sebab nak pancitkan cream cheese pula lepas ni).
  4. Tuang atau pancitkan (jika menggunakan piping bag) cream cheese ke atasnya. Bakar selama 5 minit pada suhu 170 C. Sentuh cream dengan hujung jari. Jika tidak melekat, maknanya telah masak. Jika tidak, bakar dalam seminit lagi.
**Inti atau filling cheese tart = strawberry, blueberry, kiwi, oren, coklat, peanut butter dll.

SELAMAT MENCUBA!

Tuesday, 15 November 2011

PUDING ROTI MARBLE


Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Untuk kesekian kalinya, puding roti marble ni dibuat kerana amat mudah dan ringkas serta sedap rasanya. Naz buat puding ni kali ini untuk dibawa sebagai buah tangan ke rumah SIL yang menjemput ke rumahnya untuk jamuan sempena masuk ke rumah barunya. Naz bawa puding ini yang memang mendapat sambutan hangat di sana bersama Talam Cendol yang dipublish sebelum ni. 

Boleh lihat hasil puding ni yang terdahulu di SINI atau di SINI. Cuma kali ini Naz tidak letak serbuk koko dalam salah satu adunan yang telah dibahagi 3 seperti terdahulu. Naz cuma mewarnakan adunan dengan 3 jenis warna yang berlainan sahaja.

Cepat betul puding ni habis dalam masa tak sampai 1 jam. Budak-budak suka betul dengan puding ni sebab ianya bewarna-warni. Ada pula orang yang minta terus resepinya di majlis tu...hehehehe..


PUDING ROTI MARBLE

Bahan-bahan :
  • 10 gm serbuk agar-agar
  • 1/2 cawan gula pasir
  • 3 cawan air
  • 4 keping roti *
  • 2 biji telur ayam *(telur ayam tau! bukan telur itik atau lain-lain..hehehe)
  • 1/2 cawan susu pekat manis *
  • 1 tin susu cair (400ml) *
  • 1 sudu teh asen vanilla *
  • 2 sudu besar majerin
  • 2 sudu besar serbuk koko ATAU 1/4 cawan serbuk milo (Naz tak guna kali ini)
  • 3 jenis pewarna kesukaan
Cara-cara :
  1. Masak serbuk agar-agar dan juga gula bersama air di atas api dapur.
  2. Sementara itu, masukkan bahan-bahan bertanda * ke dalam mesin pengisar(blender) dan kisar halus. (Pastikan mesin pengisar anda tak ada rasa cili yer.. Nanti jadi puding cili marble pulak..hihihi)
  3. Tuang bahan kisar ke dalam larutan agar-agar yang mendidih.
  4. Kacau sentiasa hingga larutan agak pekat.
  5. Masukkan majerin dan kacau hingga larutan menggelegak. Tutup api dapur.
  6. Bahagi larutan puding kepada 3 bahagian. Warnakan setiap bahagian dengan pewarna yang berlainan. (Kalau guna serbuk koko, gaul sebati serbuk koko dengan salah satu bahagian larutan puding).
  7. Basahkan loyang atau acuan pilihan dan sendukkan larutan puding berselang-seli setiap bahagian. Sendukkan adunan terus menerus, maknanya tak perlu tunggu keras adunan yang dah disendukkan ke dalam loyang tu. Kalau nak dapatkan corak seperti di atas tu, sengetkan loyang dan sendal loyang tu di salah satu hujungnya supaya tak jatuh. Kemudian mulalah menyenduk adunan berselang-seli hingga habis digunakan. Kembalikan loyang pada kedudukan asal dan biar puding keras.
  8. Masukkan ke dalam peti sejuk. Hidangkan sejuk-sejuk memang sedap.
SELAMAT MENCUBA!

Monday, 14 November 2011

TALAM CENDOL (CHEF ASMA)

 

Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Tiba-tiba teringin rasa nak makan kuih muih yang ada cendol di dalamnya. Dulu dah pernah buat puding cendol. Jadi sekarang rasanya nak makan talam cendol pula.

Cari-cari resepi dari internet, terjumpa resepi Chef Asma ni. Terus je tak fikir panjang untuk membuatnya. Masyallahhh... memang sedap sangat talam cendol resepi chef Asma ni. Tak rugi mencubanya. Anak lelaki Naz suka sangat talam ni terutamanya lapisan atas yang ada gula merah/melaka tu. Naz pun suka gak..hehehe..

Disebabkan tiada pengukus besar yang boleh memuatkan loyang dengan saiz seperti di dalam resepi, jadi Naz kukus dalam dua loyang yang berlainan untuk memuatkan satu adunan talam cendol ni. Satu loyang Naz bawa ke rumah SIL yang mengadakan jamuan sempena masuk ke rumah barunya bersama dengan Puding Roti Marble.

Terima kasih kepada Chef Asma sebagai tuan empunya resepi dan juga kepada Daria atas kesudian memanjangkan resepi ini untuk dicuba oleh orang lain.


TALAM CENDOL

LAPISAN BAWAH

Bahan-bahan A :
  • 200 gm tepung beras*
  • 250 ml santan pekat*
  • 450 ml air*
  • 1 Tbsp tepung jagung*
  • 150 gm gula kastor
  • 1 tsp garam
Bahan B :
  • 200 gm cendol (Naz letak lebih)
Cara-cara :
  1. Satukan bahan-bahan yang bertanda * dan tapis ke dalam periuk. Masukkan bahan lain di dalam A.
  2. Masak bahan A sehingga naik wap (jangan sampai pekat sangat, sekejap sahaja atas api, guna senduk kayu untuk mengacau. Kacau sentiasa dan bila terdapat ketulan tepung di senduk kayu, tutup api dan guna hand whisk untuk ratakan adunan tersebut).
  3. Angkat dan masukkan cendol. Gaul rata.
  4. Masukkan ke dalam loyang 10" X 10" X 2" yang telah disapu dengan sedikit minyak dan dialas dengan plastik.
  5. Kukus selama 25 minit.
  6. Selepas masak, cakar-cakar permukaannya dengan garfu.

LAPISAN ATAS

Bahan-bahan A :
  • 300 gm gula merah/ gula Melaka
  • 50 gm gula kastor (Naz tak letak)
  • 500 ml air
Bahan-bahan B :
  • 150 gm tepung gandum
  • 3 biji telur (boleh guna sehingga 5 biji telur kalau nak banyak)
  • 250 ml santan pekat
  • 1/2 tsp garam
Cara-cara :
  1. Masak bahan A sehingga gula hancur dan sejukkan sebentar.
  2. Satukan semua bahan B dan kacau sehingga sebati.
  3. Masukkan bahan A ke dalam B dan tapis masuk ke dalam periuk.
  4. Masak sehingga naik wap (jangan pekat sangat, masak sekejap sahaja).
  5. Tuang ke atas lapisan bawah dan kukus selama 30 minit.
NOTA :
  • Dinasihatkan agar membalut tudung periuk pengukus agar wap air tidak menitis di permukaan kuih untuk mendapatkan permukaan kuih yang cantik.
  • Kalau ada air wap yang bertakung di permukaan kuih talam selepas selesai mengukus, buang air tu dengan cara menyerapnya menggunakan tisu dapur.
 SELAMAT MENCUBA!

Thursday, 3 November 2011

BAKED MACARONI & CHEESE


Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Baked macaroni and cheese ni dah lama anakanda Haris request. Membuatnya pun bukannya susah sangat pun tapi ummi dia ni yang kemalasan. Lagi pun setiap kali pergi membeli barang-barang keperluan rumah, selalu tercicir item makaroni ni dari senarai barang-barang yang nak dibeli. Tapi Alhamdulillah kali ini berhasil juga memasak makaroni & cheese ni untuk Haris. Satu bekas kaserol yang Naz buat ni, Haris sorang jer yang makan. Tapi bukanlah makan sekali dah habis. 4 kali makan dalam masa yang berlainan, habis licin semuanya. Sebab dia makan habis, ummi dah janji akan buatkan lagi tapi versi lain pulak makaroni & cheese ni.


BAKED MACARONI & CHEESE

Bahan-bahan :
  • 200 gm macaroni atau elbows macaroni (1 1/2 cawan)
  • Keju parut secukupnya
~ Rebus macaroni 1/2 masak dan toskan.

Bahan Inti Daging :
  • 1 cawan daging cincang
  • 1 batang lobak merah - Hiris halus atau sagat
  • 1/2 labu bawang besar - Potong dadu
  • 2 ulas bawang putih - Cincang
  • 1 tsp serbuk lada hitam
  • 5 Tbsp sos spagetti atau sos tomato (nak lebih sedap, gunalah sos spagetti)
  • Garam
  • Sedikit minyak masak
Cara-cara :
  1.  Panaskan minyak.
  2.  Tumis bawang besar dan bawang putih hingga sedikit layu.
  3.  Masukkan lobak dan biar layu.
  4.  Masukkan daging cincang dan biar hingga kecut dan perang.
  5.  Masukkan sos spagetti atau sos tomato serta lada hitam dan garam. Sesuaikan rasanya. 
  6.  Tutup api dan ketepikan.

Bahan Sos Putih (White Sos) :
  • 2 Tbsp mentega atau majerin
  • 2 Tbsp tepung gandum
  • 2 cawan susu segar
  • Secubit garam
  • Lada sulah
  • 125 gm keju mozzarela atau cheddar (diparut)
  • 2 biji telur - dikocok sikit 
Cara-cara :
  1. Cairkan mentega di dalam periuk.
  2. Masukkan tepung gandum dak kacau hingga tidak berketul-ketul.
  3. Kecilkan api daput atau boleh terus tutup dulu. Masukkan susu segar dan kacau rata. Buka semula api dapur dengan api yang sederhana. Terus mengacau hingga sos kelihatan sedikit pekat.
  4. Masukkan keju parut dan kacau hingga keju cair. Masukkan garam dan sedikit lada sulah. Tutup api.
  5. Masukkan telur yang dikocok tadi dan kacau-kacau rata-rata.
CARA MENYEDIAKAN BAKED MACARONI AND CHEESE
  1. Di dalam bekas caserol atau bekas lain yang bersesuaian seperti loyang kek, gaul makaroni yang telah direbus tadi bersama inti daging dan sos putih.
  2. Ratakan di dalam bekas caserol. Taburkan permukaan makaroni dengan parutan keju parut rata-rata. Sekiranya suka, boleh taburkan bread crumb di atas keju parut tadi.
  3. Bakar pada suhu 175 C selama 15 minit atau hingga keju parut di permukaan makaroni cair sepenuhnya.
SELAMAT MENCUBA!

Tuesday, 1 November 2011

BEBOLA COKLAT URAI


Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Inilah satu lagi projek  yang Naz buat selepas membakar Simple Chocolate Cupcakes hari tu. Naz bakarkan sedikit adunan kek cawan tu di dalam loyang kek. Kemudian dari kek yang siap tu, Naz buat 'Bebola Coklat Urai' ni pula.


Dulu Naz dah pernah letak hasil dan resepi bebola coklat urai ni di dalam blog. Naz jumpa resepi daripada Chef Anuar ni di dapur cyber Maklang Azie tapi bukan dapur cyber yang sekarang (maklangazie.blogspot.com). Naz jumpa di dapur lama Maklang Azie (ulampegaga.fotopages) yang sekarang ni telah ditutup oleh tuannya. Jadi minta maaflah ye sebab link daripada dapur ulampegaga.fotopages tu tak dapat dijumpai sekarang. 

Cuma kali ini, Naz buat tidak mengikut 100% resepi. Oleh kerana kek coklat ini memang moist dan penuh dengan rasa coklat, jadi Naz tidak masukkan coklat masakan yang sepatutnya ada di dalam resepi. Berat bahan-bahan juga Naz tak sukat kerana Naz agak-agak bila adunan dah boleh dikepal menjadi bebola setelah digaul kek dengan jem tu, terus je buat bebola-bebola kecil. 

Ok, untuk resepi dari chef Anuar ni, boleh klik pada link di bawah iaitu di posting Naz terdahulu :
~ Bebola Coklat Urai resepi Chef Anuar ~


Untuk resepi kali ini, ini bahan-bahannya.

BEBOLA COKLAT URAI

Bahan-bahan :

  • Sedikit kek coklat dari resepi  Simple Chocolate Cupcakes
  • Jem strawberry atau raspberry atau blueberry
  • Sedikit kismis atau kekacang sekiranya suka
  • Coklat urai secukupnya
Cara-cara :
  1. Hancurkan kek dgn tangan yang bersih.
  2. Masukkan kekacang atau kismis dan jem sedikit demi sedikit sambil terus menggaul hingga adunan kek boleh dikepal (tidak berderai).
  3. Bulat-bulatkan adunan dan golekkan ke dalam coklat urai. Masukkan ke dalam papper cup. 
  4. Boleh dimakan.
NOTA :
  • Anak-anak Naz suka bila bebola-bebola ni Naz sejukkan dulu di dalam peti ais.

SELAMAT MENCUBA!

Monday, 31 October 2011

ASAM REBUS TEMPOYAK IKAN KEMBUNG


Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Lauk asam rebus memang menjadi kegemaran Naz dan hubby. Cuma kali ini, Naz letak tempoyak di dalam kuahnya. Resepi ni biasa bonda buat di kampung. Cuma kalau resepi dari ibunda ku ini, tak adalah sukatan-sukatannya. Memang dari kecil lagi Naz dah makan lauk asam rebus tempoyak ni. Sedap bagi yang menggemari tempoyaklah. Buat kuahnya pedas-pedas dan pekat. Makan pula dengan nasi panas. Perghhhhh... Meleleh-leleh peluh dibuatnya.

Naz suka buat kuahnya banyak. Boleh letak dalam mangkuk lain dan dihirup. Bestnyer.. hehehe.. Resepi yang amat mudah jer ni.

ASAM REBUS TEMPOYAK IKAN KEMBUNG

Bahan-bahan :
  • 4 ekor ikan kembung - disiang dan dibersihkan
  • Bendi - ikutlah nak letak berapa pun
  • 2 keping asam gelugor
  • 3 batang serai - dititik
  • 3-4 cawan air
  • 1/2 - 1 cawan tempoyak segar 
  • Garam dan gula secukup rasa
Bahan-bahan kisar :
  • 4 ulas bawang merah
  • 3 ulas bawang putih
  • 25 biji cili padi - yang ni ikut tahap kepedasan yang anda inginkan
  • 2 batang cili merah (kalau tak ada stok, tak bubuh pun)
  • 1 inci kunyit hidup
Cara-cara :
  1. Masukkan bahan-bahan kisar ke dalam periuk bersama air dan serai. Masukkan juga asam gelugor dan tempoyak. Biar hingga menggelegak.
  2. Kemudian masukkan ikan. Bila ikan hampir masak, masukkan bendi dan garam. Masukkan gula sekiranya perlu. Rasakan ikut selera masing-masing.
SELAMAT MENCUBA!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...