Selamat datang kepada semua pengunjung blog CUTE OVEN, SMALL KITCHEN. Diharap dengan kunjungan anda dapatlah kita berkongsi ilmu disamping menambah kenalan. Terima kasih atas kesudian bertandang ke sini.

Untuk makluman, di dalam blog ini sukatan cawan adalah menggunakan cawan metrik manakala sukatan sudu pula 98% adalah menggunakan sudu metrik.
Bagi yang sering bertanya apakah 'Tbsp' dan 'tsp'; 'Tbsp' = tablespoon & 'tsp' = teaspoon.

Saturday 31 March 2012

BINGKA NESTUM PANDAN CRUNCHY


ASSALLAMUKALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA.

Bersua kembali pada hari yang diharapkan terus ceria dan indah ini. Semalam buat kuih bingka. Hehehe..first time buat bingka ni tau! Memang Naz tak pernah buat apa jenis bingka pun sebelum ni. Niat asal tu nak mencari-cari apa-apa resepi yang menggunakan nestum sebab nak menghabiskan stok nestum di rumah ni. Terjumpa resepi dari blog HaSue. Belek-belek resepi dari blog HaSue dan juga resepi asalnya dari DatinLulu, Naz ambil keputusan untuk buat yang versi ada pandan sebab tertarik dengan warnanya.

Baru keluar dari oven. Bijirin-bijirin nestum yang di atas tu, memang rangup masa ni.

Naz kongsikan di sini pula resepi ini. Untuk merujuk resepi asal, silalah klik pada link yang Naz sertakan di bawah yer.



BINGKA NESTUM PANDAN CRUNCHY
Rujuk dari : HaSue: I Love My Life

Bahan-bahan :
  • 1 cawan tepung gandum
  • 1 cawan santan
  • 1/2 cawan susu sejat/cair
  • 2 biji telur gred A
  • 1/3 cawan gula pasir
  • 1/3 cawan susu pekat manis
  • 1/2 sudu besar tepung jagung
  • 1 sudu kecil garam halus
  • 1 sudu besar butter - dicairkan (Naz guna majerin)
  • 1/2 sudu teh pes pandan (Naz guna 1 sudu teh)
  • 1/2 sudu teh esen vanilla (optional)
  • 3/4 cawan nestum original
*Nestum secukupnya untuk ditabur di atas adunan
*1 sudu besar butter atau sedikit minyak masak untuk melengser loyag


Cara-cara :
  1. Panaskan oven pada suhu 180 C. Blend/ kisar semua bahan hingga sebati.
  2. Sediakan loyang. Masukkan 1 sudu besar butter dan panaskan atas api yang kecil ATAU boleh juga lengser loyang dengan sedikit minyak masak sahaja.
  3. Tuang masuk adunan yang telah dikisar tadi ke dalam loyang. Taburkan bijirin nestum di atasnya.
  4. Bakar 45-50 minit atau sehingga masak.
  5. Sejukkan dulu sebelum dipotong.
NOTA NAZ :

  • Sedap kuih bingka ni. Yang paling Naz tak sangka anakanda Haris pun kata sedap dan sukakan bingka ni. Sebelum ni memang tak pernah buat kuih bingka sebab rasanya anak-anak macam tak suka sangat.
  • Bahagian atas yang ditaburi dengan bijirin nestum memang rangup sekiranya dimakan ketika suam selepas keluar dari oven. Sekiranya dibiarkan lama pada suhu bilik, ianya akan kurang rangup.


SELAMAT MENCUBA!

Wednesday 28 March 2012

MY FIRST FONDANT CUPPIES


ASSALLAMUALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA.

Ini merupakan projek pertama Naz membuat cuppies yang dihiasi dengan fondant atau nama lainnya pes gula(sugarpaste). Naz buat cuppis ni  untuk hantaran pertunangan CIL(cousin in law) cuti sekolah yang lalu. Masa memikirkan permintaan dari pihak cousin tu, dok terfikir-fikir nak buat cuppies yang dihiasi dengan krim mentega(buttercream) ker atau hiasan lain. Memandangkan cuaca yang panas ketika itu dan pihak keluarga tunangan cousin ni jauh perjalanannya nanti selepas majlis, jadi Naz ambil keputusan untuk buat cuppies yang dihiasi dengan fondant walaupun sebelum ni memang tak pernah langsung pegang dan menggunakan fondant. Hasil rujukan dan pertanyaan kepada rakan-rakan yang lebih arif tentang hiasan kek pun mencadangkan agar memilih fondant sebagai hiasan. So fondantlah pilihan hatiku. Lagi pun cousin Naz ni memang serahkan sepenuhnya untuk Naz sediakan satu dulang hantaran tu dan Naz pula memang dah lama teringin nak menggunakan fondant sebagai bahan hiasan kek.

Ermmm...best juga bermain dengan fondant ni. Macam main dengan play dough anak-anak pula rasanya. Disebabkan ini kali pertama menggunakan fondant, jadi Naz ambil keputusan untuk menggunakan fondant yang siap digunakan(rolled fondant) yang boleh diperolehi dari mana-mana kedai alatan kek dan bakery. Takut juga kalau cuba buat dan uli sendiri fondant tu, tapi tak jadi...abislah Naz....


Pada Naz, menghias menggunakan fondant ni lebih mudah daripada menggunakan krim mentega(buttercream). Nak mengemas dan mencuci peralatan pun lebih senang sebab tak berminyak-minyak. Tapi dari segi kos memang kos menggunakan fondant lagi tinggi daripada kos menggunakan krim mentega(buttercream).

Untuk cuppies, Naz menggunakan resepi Best Moist Chocolat Cake yang pernah dibuat dahulu. Jadi kita layan gambar je la ye di sini.

 Cuppies yang siap dibakar.


Hiasan untuk cuppies yang di bawah ni, Naz tengok ideanya dari blog kak Wan(Resepi Citarasawan). Cuma kak Wan punya lagi cantiklah dari yang Naz buat. Lagi pun untuk daunnya, Naz cuma buat menggunakan fondant. Sepatutnya perlu dibuat menggunakan pes gam(gumpaste) yang mana ia akan mengeras apabila dibiarkan terdedah pada udara. Sebab tulah daun Naz tu macam layu jer kerana fondant tidak akan mengeras seperti pes gam apabila terdedah kepada udara. Terima kasih kak Wan dengan perkongsian idea.
 


Yang ini pula dihias dengan seringkas mungkin..


Hiasan dengan sekuntum bunga ros pula.. 


 Ok tak?? Naz suka sangat dengan bunga ros yang ni sebab dalam beberapa kuntum tu, rasanya yang ini paling menjadi bunganya.


 Yang ni sepatutnya jadi bunga carnation.. Ada rupa carnation ke?? Hentam jer la labuuuu...

Ok ini saja yang mampu Naz tunjukkan setakat ini. Hajat hati tu nak juga tunjukkan step by step membuat hiasan ni tapi apakan daya. Buat kerja pun sorang-sorang. Mana nak buat kerja, mana nak ambil gambar. Lainlah kalau ada kamera canggih yang boleh letak jer atas tripod dan ada controler untuk snap gambar ketika bekerja..hehehe.. Apa yang ada buat masa sekarang ni pun dah lebih dari memadai. Jadi kepada yang suka menghias kek, bolehlah cuba dengan hiasan fondant pula. Memang menyeronokkan!

SEKIAN. SEHINGGA BERTEMU KEMBALI. BYE!

Tuesday 27 March 2012

RED VELVET CAKE WITH CHOCOLATE FILLING


ASSALLAMUALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA.

Dipanjatkan rasa kesyukuran kehadrat Illahi kerana masih diberi peluang untuk terus menitip tinta-tinta resepi di dalam blog ini. Terima kasih dan maaf kepada yang masih terus sudi berkunjung ke blog COSK ini kerana lama sangat tak berupdate entrynya. Tuan rumah COSK memang agak sibuk dua tiga bulan kebelakangan ini selain dari kesibukan menguruskan anak-anak dan rumah tangga. Keadaan ini akan berlarutan hingga beberapa bulan lagi. Sebab itulah sampai tak sepat nak buka blog serta jalan-jalan dan tinggalakan komen di dapur cyber kawan-kawan lain. Insyallah apabila selesai segala urusan ini, keadaan akan kembali normal.

Ok, disebabkan masa amat pendek dirasakan, jadi tak nak membebel panjang-panjang. Kek baldu merah (Red Velvet Cake) ni dibuat sekali lagi tapi kali ini Naz sapukan sekali filling coklat ganache di antara lapisan kek atas permintaan anakanda Haris. As for me and my daughter, Husna, kami lagi suka kek ni dengan filling blueberry hari tu. Tapi untuk anakanda Haris, both fillings are suit to him. 

Masih menggunakan resepi dari Joy Of Baking untuk kek ini. Untuk filling coklatnya pun Naz menggunakan resepi daripada Joy Of Baking.


RED VELVET CAKE (Joy of baking)
OLEH : Naz COSK @ovenkecil.blogspot.com
RUJUKAN : Joy of baking

Bahan-bahan Kek :
  • 2 1/2 cawan (250 gm) tepung kek*
  • 1/2 tsp garam*
  • 2 Tbsp (15 gm) serbuk koko* (*ayak bersama) 
  • 1/2 cawan (113 gm) butter
  • 1 1/2 cawan (300 gm) gula pasir
  • 2 biji telur gred A
  • 1 tsp asen vanilla
  • 1 cawan (240 ml) buttermilk (resepi buttermilk : 1 Tbsp cuka masakan + 240 ml susu segar-biarkan 10 minit sebelum digunakan)
  • 2 Tbsp cecair pewarna merah 
  • 1 tsp white distilled vinegar (guna cuka makan tu pun boleh)
  • 1 tsp baking soda

Cara-cara :
  1. Pukul butter sehingga lembut lebih kurang 1 minit.
  2. Masukkan gula dan terus memutar hingga ringan dan gebu (2-3 minit).
  3. Masukkan telur satu per satu dan pukul rata setiap kali dimasukkan.
  4. Masukkan asen vanilla dan putar hingga sebati.
  5. Dalam larutan buttermilk, masukkan pewarna merah dan kacau sebati.
  6. Pada kelajuan sederhana, masukkan tepung berselang-seli dengan larutan buttermilk dimulai dan diakhiri dengan tepung (masukkan 1/2 tepung dulu, kemudian semua buttermilk dan seterusnya semua tepung yang masih berbaki). 
  7. Dalam satu mangkuk, campurkan cuka dengan baking soda. Campuran akan berbuih atau berbusa. Dengan segera tuang ke dalam adunan kek dan terus kaup balik.
  8. Masukkan adunan ke dalam loyang dan bakar di dalam oven yang telah dipanaskan pada suhu 175 C selama 1 jam atau sehingga kek masak. Sekiranya ingin membakar menggunakan 2 loyang yang sama besar, bahagi adunan kepada 2 bahagian yang sama banyak dan bakar pada suhu 175 C selama 20-30 minit menggunakan api atas dan bawah.
  9. Setelah masak, biarkan kek sejuk di dalam loyang selama 10 minit. Kemudian keluarkan kek dan sejukkan sepenuhnya di atas redai.
  10. Seterusnya, balut kek dengan plastik dan simpan dalam peti sejuk sekurang-kurangnya 1 jam atau sehingga semalaman untuk memudahkan proses menghias kek. (Kalau tak ikut langkah ni pun tak apa. Boleh saja terus menghias kek. Cuma untuk orang amatur macam Naz ni, langkah ni memang membantu).
NOTA NAZ :
  • Apabila membakar kek, sekiranya didapati bahagian atas kek telah masak tetapi di bahagian tengahnya masih belum masak(setelah diuji dengan tester stik atau lidi), letakkan sehelai aluminium foil di atas kek(letak je, tak perlu dikemaskan atau dikelim di bahagian tepi-tepi loyang tu) dan tambah lagi waktu membakar kek sehingga kek masak sepenuhnya. Mulakan dengan menambah 5 minit, kemudian uji lagi kek dah masak atau belum. Sekiranya belum teruskan langkah ini sehingga mendapat kek yang telah masak sepenuhnya. Tujuan meletak aluminium foil ialah untuk mengelakkan permukaan kek terlebih masak atau hangit.


Bahan-bahan Cream Cheese Frosting :
  • 1-8 oz (227 gm) krim keju, pada suhu bilik
  • 1-8 oz (227 gm) keju Mascarpone, pada suhu bilik (boleh diganti dengan krim keju)
  • 1 tsp asen vanilla
  • 1 cawan (115 gm) gula aising, diayak
  • 1 1/2 cawan (360 ml) whipping cream 

Cara-cara :
  1. Pukul krim keju bersama keju Mascarpone hingga smooth.
  2. Masukkan asen vanilla dan gula aising dan teruskan memukul hingga smooth.
  3. Masukkan whipping cream sedikit demi sedikit sambil terus memukul hingga sebati.
  4. Sapukan pada kek dan hiaslah ikut kreativiti masing-masing.
NOTA NAZ :
  • Gunakan whipping cream yang masih sejuk dari peti ais bukan yang telah lama dibiarkan dalam suhu bilik untuk hasil yang lebih baik.
  • Jadi cara terbaik untuk nyahbeku(defrost) whipping cream dari peti sejuk beku(freezer) ialah dengan mengeluarkan kotak whipping cream dari peti sejuk beku(freezer) dan tempatkan di dalam peti sejuk(fridge) 12 - 24 jam sebelum digunakan. 
  • Naz suka dengan Cream Cheese Frosting ni. Pada Naz, konsistensi krim ni memudahkan kerja-kerja menghias kek. Nak buat swirl pun mudah. 

Bahan tambahan : 
  • Coklat ganache sebagai filling

COKLAT GANACHE
OLEH : Naz COSK @ovenkecil.blogspot.com
RUJUKAN : Joy of baking

Bahan-bahan :
  • 8 oz (227 gm) coklat masakan - potong atau hiris kecil
  • 3/4 cawan (180 ml) whipping cream
  • 2 Tbsp (28 gm) butter

Cara penyediaan :
  1. Masukkan coklat yang telah dicincang ke dalam mangkuk tahan panas.
  2. Panaskan whipping cream dan butter di dalam periuk di atas api sederhana hingga hampir menggelegak(akan kelihatan bubble-bubble di tepi-tepi periuk).
  3. Tuang whipping cream ini ke dalam mangkuk yang berisi coklat masakan tadi. Biar seketika beberapa minit.
  4. Kemudian, kacau dengan senduk kayu atau ballon whisk sehingga mendapat adunan yang smooth.
NOTA NAZ :
  • Biarkan coklat ganache sejuk pada suhu bilik sebelum dituang ke atas kek sebagai topping.
  • Jika ingin menggunakan coklat ganache sebagai filling atau sapuan, biarkan lebih lama pada suhu bilik untuk mendapat konsistensi yang lebih likat dan pekat.
  • Lebih lama coklat ganache dibiarkan sejuk, lebih likat konsistensinya.
SELAMAT MENCUBA!

Thursday 1 March 2012

KALIO AYAM


ASSALLAMUALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA.

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha pengasihani. Didoakan semoga semua rakan-rakan sihat walafiat hendaknya. Semoga Allah juga memudahkan segala urusan kita pada hari ini..Insyallah..

Kalio ayam ini merupakan menu yang anak-anak suka di rumah Naz. Rasa kalio ayam ini seharusnya sedikit masam dan sedikit pedas tapi bukan pedas menyengat macam masak lemak cili padi tu, serta wangi dengan bau daun limau purut atau daun kunyit yang digunakan. 

Pertama kali Naz masak lauk ni dulu semasa sedang belajar. Dalam kursus yang Naz ambil, memang ada praktikal untuk memasak dan mengubah suai resepi. So this is what i've done in the kitchen lab long time ago. Apa yang diubah di dalam resepi ialah penggunaan susu segar rendah lemak menggantikan santan. But depends on masing-masing punya tastebud lah kan. Kalau tak suka susu segar dalam masakan, just kekalkan penggunaan santanya.


KALIO AYAM

Bahan-bahan :
  • 1/2 ekor ayam (5-6 ketul ayam) - dibersihkan, dibuang kulitnya dan ditoskan
  • 1 1/2 sudu teh serbuk kunyit
  • 1/2 sudu teh garam
  • 5 ulas bawang merah 
  • 3 biji cili merah 
  • 5 biji cili api 
  • 1 inci halia
  • 3 batang serai - diketuk
  • 1 inci lengkuas - diketuk
  • 2 biji ubi kentang - dibelah 4
  • 1 batang lobak merah - dihiris memanjang
  • Sedikit bunga kobis - dipotong-potong kecil
  • 2 helai daun limau purut ATAU 2 helai daun kunyit - dihiris
  • 400 ml air
  • 200 ml susu segar rendah lemak ATAU 200 ml santan 
  • 1 keping asam gelugor
  • Garam secukup rasa

Cara-cara :
  1. Ayam yang telah dibersihkan, digaul dengan serbuk kunyit dan 1/2 sudu teh garam.
  2. Kisar bersama bawang merah, cili merah dan cili padi serta halia.
  3. Masukkan bahan kisar bersama ayam, ubi kentang dan 400 ml air ke dalam periuk. Masukkan juga serai dan lengkuas yang diketuk. Biar hingga mendidih.
  4. Bila kentang telah separa empuk, masukkan asam gelugur, bunga kobis, lobak merah, daun limau purut dan juga susu segar rendah lemak. Masak hingga mendidih sambail dikacau sesekali. Rasakan garamnya. Boleh dihidangkan.


SELAMAT MENCUBA!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...