Selamat datang kepada semua pengunjung blog CUTE OVEN, SMALL KITCHEN. Diharap dengan kunjungan anda dapatlah kita berkongsi ilmu disamping menambah kenalan. Terima kasih atas kesudian bertandang ke sini.

Untuk makluman, di dalam blog ini sukatan cawan adalah menggunakan cawan metrik manakala sukatan sudu pula 98% adalah menggunakan sudu metrik.
Bagi yang sering bertanya apakah 'Tbsp' dan 'tsp'; 'Tbsp' = tablespoon & 'tsp' = teaspoon.
Showing posts with label Fondant. Show all posts
Showing posts with label Fondant. Show all posts

Friday, 2 November 2012

FONDANT CUPCAKES - HANTARAN NANA

 ASSALLAMUALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA.

Salam penghulu segala hari buat semua teman-teman dengan harapan agar hari ini lebih baik dari semalam..Insyallah..

Cuppies fondant ni Naz buat hari ke 2 Aidiladha hari tu untuk hantaran pertunangan cousin di sini, Nana. Nana ni anak sulung kepada makngah Naz yang selalu Naz cerita-ceritakan di dalam blog ni. Kira kami ni rapat juga lah. Makngah request 9 biji cuppies.


Beberapa bulan sebelum ni, Naz juga ada buatkan cuppies fondant untuk hantaran anak ke 2 makngah. Yang tu tema warna pink putih. Boleh tengok gambar cuppies tu sebagai hantaran pertunangan juga di SINI.

Jadi layan gambar je lah ye. Tak ada resepi untuk entry ni. Sebab fondant tu Naz guna yang ready made je dari kedai alatan bakery.

Just nak share, bunga-bunga rose warna putih dan oren tu adalah bunga dari gumpaste yang Naz beli siap dari kedai alatan bakery. Kalau bunga kecil oren yang ada manik kat tengah-tengahnya tu dan daun tu, Naz buat guna fondat dan terap dengan penerap.

Bunga warna putih di tengah-tengah tu pun Naz buat guna fondat. Okey, bagi yang berminat nak tau tentang huruf-huruf nama di atas tu, Naz terap guna penerap huruf yang Naz dapatkan secara online dari CUPPIES LINA. Naz beli secara online sebab penerap macam ni susah betul nak jumpa di mana-mana kedai alatan bakery yang Naz pergi. Tak taulah kalau ada antara kawan-kawan yang pernah jumpa. 

Okey, sampai di sini dulu pagi ini ya! Nak pergi berlari-lari anak, mak dan bapak dulu ni. Jumpa lagi ..Bye....

SELAMAT MENJAMU MATA!

Wednesday, 5 September 2012

MEWARNA FONDANT


ASSALLAMUALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA.

Ini cuma entry ringkas saja untuk berkongsi cara bagaimana untuk mewarnakan fondant putih kepada warna yang diingini. Naz pun bukan pakar dalam bab fondant ni. Baru je cuba-cuba menggunakannya untuk hiasan cuppies dan juga kek.

Ada juga rakan-rakan di fb yang bertanya fondant apa yang Naz guna dan adakah ianya halal. Untuk makluman semua, Naz menggunakan fondant yang siap untuk terus digunakan (seperti gambar di atas tu) dan Naz membelinya dari kedai menjual alatan dan bahan kek. Fondant yang Naz gunakan ini pula ada cop halal dari JAKIM. Boleh lihat gambar di bawah. Tak boleh nak fokus lebih dekat cop tu sebab pakai kamera cabuk je. Nanti gambar jadi kabur.


Okey sekarang kita bercerita pula cara untuk mewarnakan fondant putih kepada warna yang diingini. 

Mula-mula ambil sejumlah fondant putih yang ingin diwarnakan. Lebih kurang macam dalam gambar ni. Kemudian, dengan menggunakan lidi satay atau lidi pencungkil gigi (yang belum digunakan tau!), celup dalam pewarna yang kita inginkan. Kemudian calit-calit pada fondant cam kat atas tu. INGAT!! Setiap kali nak mencelup warna, kalau boleh gunakanlah lidi lain yang masih bersih. Bukan apa, nak elakkan kontaminasi pada pewarna tu.


Kemudian, ulilah fondant tadi. Nanti awal-awal menguli tu, warna fondant akan jadi macam gambar di atas ni. Ada corak marble pada fondant tu. Kalau nak guna terus pun boleh utk corak marble ni.


Tapi kalau nak warna yang sekata, teruskan menguli hingga anda puas hati dengan pewarnaan anda. Macam di atas ni, inilah warna hijau sekata yang Naz dapat selepas menguli sambil tengok tv..hehehee...

Ok, ini ada beberapa tips tentang mewarnakan fondant. Naz kongsikan apa yang Naz tau ok!

TIPS MEWARNA FONDANT
  1. Seeloknya, ambil jumlah fondant yang ingin diwarnakan, sebesar saiz kepalan tangan kita agar mudah untuk kita uli dalam proses mewarna ini. Sebab kita uli fondant ni di atas dua tapak tangan kita jer.
  2. Kalau kita ingin mewarnakan fondant dalam kuantiti yang banyak, maksudnya lebih besar dari sekepal yang muat atas tapak tangan kita, warnakan sedikit dulu hingga mendapat warna yang agak pekat. Kemudian, fondant dengan warna yang pekat ini kita uli pula dengan fondant putih lain hingga mendapat jumlah fondant berwarna yang kita inginkan. Warna pekat pada fondant tadi dengan sendirinya akan menjadi sedikit cair bergantung banyak mana fondant putih yang kita campurkan pada yang pekat tadi.
  3. Semasa awal proses menguli, mungkin fondant ni akan melekat-lekat sikit pada tapak tangan. Sapukan sedikit tepung jagung di atas tapak tangan untuk mengatasi masalah ini.
  4. Gunakan pewarna gel atau serbuk untuk mewarnakan fondant. Kalau kita gunakan pewarna cecair, fandant akan melekit-lekit.
  5. Fondant yang telah siap diwarna boleh digunakan terus atau lagi baik kalau kita simpan semalaman kerana ada sesetengah warna akan menjadi lebih cantik dan terang selepas sehari.
  6. Untuk menyimpan fondant yang telah diwarnakan atau lebihan fondant yang telah digunakan, balut fondant ini dengan plastik wrap secara berasingan. Maknanya jangan campur semua warna fondant dalam plastik wrap yang sama. Lepas balut tu, simpan fondant ini dalam bekas kedap udara dan biar saja pada suhu bilik. Jangan simpan di dalam peti sejuk tau!
  7. Jangan sesekali menyimpan lebihan fondan ke dalam bekas fondant yang masih terdapat fondant yang belum digunakan. Ini boleh menyebabkan kontaminasi berlaku. 
  8. Fondant yang betul cara penyimpanannya, boleh tahan berbulan-bulan lamanya pada suhu bilik.
Ok. Setakat ini dulu sedikit maklumat tentang mewarnakan fondant. Kalau ada lagi maklumat lain, akan Naz kongsikan lagi di sini.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBACA DAN SELAMAT MEWARNA!

Monday, 3 September 2012

ALATAN MEMBENTUK FONDANT DAN GUMPASTE


ASSALLAMUALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA.
Atas permintaan beberapa orang teman, Naz masukkan entry khas tentang beberapa alatan yang digunakan untuk membentuk fondant yang ada dalam simpanan Naz. Tujuan Naz paparkan alatan ini bukanlah untuk menunjuk-nunjuk tapi untuk berkongsi apa yang Naz tau serba sedikit tentang fondant dengan rakan-rakan yang berminat terutamanya pada yang request tu yer...
Semua alatan ini tidak Naz perolehi dan miliki pada satu masa yang dekat. Naz kumpul membelinya sedikit demi sedikit mengikut keperluan untuk menggunakannya. Ikut bajet yang ada juga sebenarnya sebab Naz bukan wanita berkerjaya. Jadi poket tak kembung pun..heheheee...

Gambar di atas ni adalah alas untuk menggelek fondant. Alas ini boleh diperolehi di kedai menjual alatan dan bahan bakeri. Kalau bernasib baik, boleh dapatkan alas ni dalam warna selain dari putih. Naz pernah jumpa alas ni yang bewarna pink di Bake With Yen di Puchong. Tapi masa tu Naz dah ada alas di atas, so telan air liur je la masa tu..heheheee.. 

Kebaikan menggunakan alas khas untuk menggelek fondant ni ialah fondant kurang melekat-lekat lepas digelek. Tapi masih perlu guna tepung jagung atau gula icing juga. Lagi satu kebaikannya ialah memudahkan kita mengukur lebar fondant yang dikehendaki bersesuaian dengan saiz kek yang ingin dibalut. Nampak tak ada garisan-garisan bulat dan juga nombor-nombor di atas alas tu. Nombor-nombor tu menunjukkan saiz pada setiap ukuran. Memang sangat membantu kalau nak balut sebiji kek. Kalau buat cuppies jer tak perlu ada ukuran pun tak apa sebab cuppies kecil je.

Tapi sebelum ada alas di atas, setiap kali nak menggelek fondant, Naz gunakan alat di bawah..

Tak kanlah tak kenal papan dan penggelek biskut ni kan. Yup, memang Naz gunakan yang ini jer mula-mula baru berjinak-jinak menggunakan fondant. Cuma kalau guna penggelek dan papan untuk menerap biskut ni, kena guna tepung jagung lebih sikit untuk mengelakkan fondant melekat.


Penerap bulat dan bergerigi dalam 4 saiz.
Ok, seterusnya alat di atas ni pula. Alat ni adalah penerap dengan dua bentuk iaitu bulat dan bergerigi pada dua belah hujung yang berbeza. Satu hujung bergerigi dan satu hujung lagi bulat rata je. Satu set alat ni dah dipack dalam 4 saiz. Alat ni selalunya Naz gunakan untuk menerap fondant bagi menutup permukaan kek cawan.


Penerap pelbagai bentuk:
1-bentuk daun, 2-bentuk hati, 3,4,5-bentuk bunga.
Seterusnya gambar di atas adalah beberapa jenis penerap yang digunakan untuk menerap fondant mengikut bentuk yang kita inginkan. Yang bentuk daun tu, ada juga bentuk daun yang lain dari yang Naz ada ni. Tapi buat masa sekarang, ini je lah yang biasa Naz guna. Selain dari penerap khas fondant ni, kita boleh juga guna penerap biskut raya tu. Ikutlah kesesuaian dengan deco yang ingin kita buat. Penerap-penerap fondant di atas ni, biasanya ada 3 hingga 4 saiz dalam satu pack dengan bentuk yang sama.

Modelling tools set.
'Modelling tools set' di atas digunakan untuk membantu kita ketika membentuk fondant menjadi sesuatu objek seperti yang kita inginkan. Tapi kalau baru berjinak-jinak dengan fondant, boleh lewatkan dulu untuk memiliki alat ni. Dengan alat ni, kita boleh buat bunga atau daun tanpa penerap. Dengan alat ini juga kita boleh menjadikan hasil terapan fondan kita menjadi bentuk yang lebih cantik mengikut kehendak kita. Nanti ada masa, Naz tunjuk serba sedikit cara menggunakannya.. Insyallah. 


Pencetak huruf.
Pencetak huruf di atas sebenarnya untuk mencetak biskut. Boleh juga digunakan untuk mencetak fondant tapi pencetak huruf ini besar huruf-hurufnya. Naz pernah guna pencetak ini untuk mencetak huruf dalam entry sebelum ini. Boleh klik di SINI untuk melihat contohnya.


Pencetak huruf khas untuk fondant.
Ok, gambar di atas ini juga merupakan pencetak hurut tapi yang ni memang khas untuk fondant atau gumpaste. Pencetak huruf dan nombor seperti di atas ada pelbagai jenis. Boleh tengok di SINI sebagai rujukan atau kalau nak order. Naz pernah masukkan video youtube dulu sebagai rujukan cara menggunakan pencetak ini. Boleh lihat di SINI untuk video tersebut dan juga contoh hasil Naz menggunakan pencetak ni. Di SINI pun ada hasil fondant yang Naz cetak menggunakan alat ini.


1-penggelek bercorak,  2-penggelek tidak melekit,  3-Fondant smoother,
4-berus,  5-lidi satay
Sekarang gambar yang terakhir untuk entry kali ini. Alat bernombor 1 tu adalah penggelek bercorak. Kegunaannya untuk mendapatkan permukaan fondant yang bercorak. Ada beberapa jenis lagi alatan ini dengan corak yang berbeza yang boleh diperolehi di kedai-kedai menjual alatan dan bahan kek.

Alatan bernombor 2 - Penggelek tidak melekit. Kalau guna penggelek ini untuk menggelek fondant atau gumpaste, kurang melekat fondant pada penggeleknya. 

Alatan bernombor 3 - Fondant smoother yang digunakan semasa kita membalut kek. Kegunaanya adalah untuk melicinkan lagi permukaan kek yang telah dibalut dengan fondant agar kelihatan lebih sekata dan cantik.

Alatan bernombor 4 - Yang ini berus. Boleh guna apa-apa berus pun. Berus untuk lukisan tu pun boleh tapi janganlah guna yang dah digunakan untuk melukis ye. Carilah yang baru yang masih belum tercemar. Asal jangan guna berus sabut atau berus dawai ataupun berus basuh baju jer dah...hihihiiiii.. Kegunaannya banyak sebenarnya. Yang ni Naz guna untuk menyapu dan membuang lebihan tepung jagung yang terlekat pada fondant selepas siap menghias. Boleh guna berus melukis yang kecil untuk menyapu air pada fondant untuk pelekatan di permukaan fondant lain.

Alatan bernombor 5 - Yang ini pula adalah lidi satay. Naz gunakan ini untuk mencungkil secara cermat kalau fondant yang diterap terutamanya yang diterap dengan pencetak huruf sekiranya tersekat. Lidi ni juga boleh digunakan pada model fondant untuk mendapatkan efek yang nipis seperti renda. Caranya dengan menekan sedikit bahagian hujung lidi yang tajam tu pada posisi baring(lidi tu yang dibaringkan tau! Bukan kita yang baring..hihihihii)  dan golekkan ke depan dan kebelakang hingga mendapat efek yang kita inginkan.

Okey, cukup dulu setakat ini. Berjumpa pula kita di lain kali...ceh..ceh..cehhhh... Macam bahasa surat lak..hihihiii. Harap entry tak seberapa kali ini sedikit sebanyak membantu kawan-kawan yang ingin mengetahui tentang peralatan dalam membentuk fondant dan gumpaste ni ye. Insyallah ada lagi ilmu yang Naz tau akan Naz kongsikan di blog ini lagi.

SEKIAN DAN TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBACA!


Saturday, 1 September 2012

VANILLA FONDANT CUPCAKES FOR HANTARAN


ASSALLAMUALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA.

Semoga semua pengunjung blog ini dalam keadaan yang baik-baik saja hendaknya. Masih lagi sibuk beraya ke? Atau sibuk menghadiri kenduri pertunangan dan perkahwinan di musim perayaan ini?

Kali ini, Naz nak kongsikan resepi kek cawan vanilla yang Naz buat dan hias menjadi kek hantaran pertunangan sepupu (inlaw) di sini pada hari merdeka semalam. Tahniah kepada NAZMI dan pasangannya FATIMAH yang jauh nun di Penang. 

Kek cawan ni direquest oleh ibu Nazmi (aunty in law Naz-makngah) dan menyerahkan sepenuhnya kepada Naz untuk menyiapkan satu hantaran ni. Jadi Naz buatlah ikut sesedap citarasa sendiri. Syukur Alhamdulillah mereka cukup puas hati dengan hasil tangan Naz ni...hehehee..Seronok bila apa yang kita hasilkan orang suka. 

Kek cawan vanilla sebelum dihias.

Resepi Naz ambil dari laman "My Resipi" sumbangan miss ad. Baca komen dari orang yang dah mencuba kek cawan ni amat memberangsangkan. Yupp, memang best kek di bila dah masuk ke mulut Naz. Naz minta izin untuk simpan resepi yang marvelous ini di sini pula ye miss ad. Terima kasih!

KEK CAWAN VANILLA
RECIPE BY: miss ad@My Resipi

Bahan-bahan:
  • 150 g mentega
  • 185 g tepung naik sendiri
  • 150 gram gula kastor
  • 1/2 sudu teh soda bikarbonat
  • 3 biji telur
  • 1 sudu teh vanilla
Cara-cara: 

  1. Pukul butter dan gula hingga kembang.
  2. Masukkan telur sebiji demi sebiji dan esen vanilla.
  3. Masukkan tepung yang dicampur dgn soda bikarbonat. Adun sebati.
  4. Susunkan kertas kek cawan kedalam acuan. Masukkan adunan hingga 3/4 penuh (Naz masukkan adunan 1/2 penuh je sebab naik tinggi kek ni).
  5. Bakar selama 10 minit dgn suhu 180 C atau mengikut oven masing-masing.

Untuk ising:
(Naz tak buat sebab nak hias dgn fondant)
  • 100 g mentega
  • 200 g gula ising
  • 2 sudu teh air panas
  • 1 sudu teh esen vanilla
  • chocolate rice utk tabur


  1. Utk ising, pukul mentega dan gula ising hingga kembang. Masukkan esen dan air panas. Pukul lagi hingga putih dan berkrim.
  2. Sapukan ising atak kek. Pastikan kek betul-betul sejuk sebelum diletakkan ising. Kemudian boleh tabut manik atau choc rice

Jadi di bawah ni, saja Naz masukkan gambar-gambar deco Naz untuk rujukan sendiri bila nak buat lagi nanti. Maklumlah masih amatur. Perlu rujukan setiap kali nak buat..heheheee...


Semuanya dari fondant kecuali bunga ros tu bunga gumpaste.

Untuk hiasan-hiasan di atas kek cawan ni, Naz menggunakan fondat. Fondant Naz beli dari kedai bakery. Kecuali bunga ros warna putih tu, Naz guna bunga gumpaste. Bunga ni pun dibeli dari bakery. Bukan apa, sebenarnya Naz lebih suka guna fondant daripada gumpaste sebab kalau gumpaste ni, kerasnya tak boleh digigit. Tapi kalau fondat ni, masih boleh dikunyah-kunyah macam gula-gula. 

Ini bunga-bunga dan daun yang Naz terap. Semua ni dari fondant.
Bunga-bunga dari fondant yang telah Naz terap ni, Naz masukkan ke dalam bekas telur burung puyuh supaya ia sedikit melengkung bila nak digunakan. Jadi lepas terap Naz biarkan dalam bekas tu beberapa jam sebelum digunakan. Jadi bunga-bunga fondant ni nanti akan melengkuk dan statik bentuknya walaupun tak sekeras bunga gumpaste.

Bekas telur burung puyuh ni, yang plastik tu. Naz gunakan bekas ni sebab bekas ni boleh dibasuh dan lebih terjamin kebersihannya. Kalau nak guna bekas telur ayam pun boleh tapi Naz nasihatkan gunakan yang dari plastik juga sebab boleh dicuci dulu sebelum digunakan. Kalau bekas telur yang meterialnya dari kertas tu, dikhuatiri kurang bersih. 

Bunga fondant ni telah dibentukkan melengkuk sikit sebelum digunakan.
Bunga-bunga ni pun Naz dah bentukkan supaya melengkuk sikit di dalam bekas telur puyuh.

Okey, sebelum ada yang bertanya, Naz bagi tau siap-siap di sini. Untuk bunga dari gumpaste tu, Naz lekatkan di atas permukaan fondant menggunakan gum daripada fondant juga. Caranya ialah sedikit fondant dicampurkan dengan air panas dan dilenyek-lenyek sampai jadi cam gam. Untuk bunga dan daun dari fondant tu pula, Naz lekatkan menggunakan air biasa saja.

Ok banyak sangat membebel kali ini. Harap bermanafaat kepada sesiapa yang berminat nak tau serba sedikit passal fondant ni. Ilmu Naz pun tak seberapa. Masih banyak lagi yang perlu diperbaiki.

SELAMAT MENCUBA!

Friday, 29 June 2012

FONDANT CUPCAKES UNTUK HANTARAN


ASSALLAMUALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA.

Ni merupakan entry tertunggak je ni ye. Gambar ni dah ada dalam folder berminggu-minggu lamanya. Cuma tak sempat nak dimasukkan ke dalam blog dan juga kerana terlupa..heheheee...


Kek cawan ni, Naz buat untuk hantaran seorang cumtomer. Keknya, dia request kek coklat lembap dan hiasannya dia minta menggunakan fondant. Bila dah dapat tempahan tu, otak ni asyik terfikir-fikir je nak buat hiasan macam mana pada cuppies tu nanti. Pelanggan Naz ni minta tema warna 'peach'. Puas juga cari-cari fondant yang warnanya peach tapi tak jumpa. Cari pewarna dengan warna peach juga tak ada. 

Jadi Naz terus terang je pada customer ni yang warna peach tak ada. Jadi customer Naz minta dibuatkan tema putih pula. Jadi sehari sebelum membuat cuppies ni, Naz cuba warnakan fondant putih dengan warna oren. Kemudian Naz cuba campurkan dengan sedikit warna kuning. Jadi, inilah hasil warna yang Naz dapat.

Untuk tapak fondant tu, Naz guna fondant yang Naz warnakan tadi, sementara hiasan bunganya Naz gunakan bunga gumpaste yang bewarna putih. Bunga-bunga hiasan tu, Naz beli bunga gumpaste yang dah siap dari kedai peralatan kek. Cuma bunga-bunga tu Naz lekatkan di atas cuppies tu jer,


Sebelum melekatkan tapak fondant, Naz sapukan sedikit krim mentega(buttercream) di permukaan kek cawan. Kemudian barulah tapak fondant yang telah dipotong menggunakan penerap bulat bergigi dilekatkan.


Bunga-bunga di atas ni pula, Naz lekatkan di atas tapak fondant menggunakan gam yang dibuat menggunakan sedikit fondant yang dicampurkan dengan sedikit air panas. Lenyek-lenyekkan jer fondant tu bersama air panas tadi sampai jadi cam kanji. Boleh juga melekatkan bunga-bunga ni menggunakan royal icing. 


Bila dah deliver pada customer ni, alhamdulillah dia berpuas hati. Risau juga hati ni sebab inilah first time ada orang request buatkan cuppies hantaran fondat untuk perkahwinan walaupun dah pernah buat cuppies fondant sebelum ini. Yang pernah Naz buat dulu tu untuk hantaran pertunangan sepupu. Lagi pun yang tu tak ada apa-apa tema. Buat jer sesedap rasa..hehehee..

 

Ok, untuk huruf bagi tulisan yang Naz buat tu (*bagi tau awal-awal. Nanti mesti ada orang tanya kan..heheheee), Naz beli pencetaknya secara online dari CUPPIES LINA.


Inilah rupa pencetak tu yer..
Cara menggunakan fondant cutter ni pula boleh rujuk dari video di bawah ni :


atau yang ni juga:



So enjoy those pictures! Daaa....

Sunday, 8 April 2012

CARROT CAKE (KEK LOBAK MERAH)


 ASSALLAMUALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA.

Bersua kembali pada hari yang diharapkan meninggalkan memori indah dalam kehidupan kita dengan izin Allah SWT hendaknya..Aminnnn..

Lama sungguh dah teringin untuk mencuba kek lobak merah resepi dari newbie123@myresipi ni. Tapi asal nak mencuba je, mesti stok lobak merah dalam peti sejuk dah habis. Jadi bila dah beli jer stok lobak merah tu, terus je buat kek ni sebelum tertunda lagi niat di hati.. Memang lama betul mengidam nak buat kek ni setelah membaca review-review yang sungguh memberangsangkan tentang kek ini di my resepi.

Kek carrot sebelum tepek cream cheese frosting..

Kek carrot selepas dimake-up sikit..

Resepi dituliskan di bawah. Cuma Naz oleh sedikit cara penyampaian resepi ini untuk pemahaman Naz sendiri. Untuk penulisan asal resepi ini, boleh rujuk pada link yang disertakan di bawah.

CARROT CAKE
RESEPI OLEH : newbie123@myresipi

Bahan-bahan :
  • 2 1/2 cawan parutan carrot (Naz letak 3 cawan parutan carrot)
  • 4 biji telur
  • 1 cawan minyak sayuran
  • 1 1/2 cawan gula putih
  • 2 cawan tepung gandum
  • 1 sudu teh soda bikarbonat
  • 1 1/2 sudu teh baking powder
  • 1 1/2 sudu teh serbuk kayu manis (Naz cuma guna 1/2 sudu teh)
  • 1 sudu teh serbuk buah pala (nutmeg) (Naz cuma guna 1/2 sudu teh)
  • 1 sudu teh esen vanilla
  • 1/2 sudu teh garam
  • 1 cawan kacang pecan atau walnut yang dicincang (Naz gantikan dengan raisin)
Cara menyediakan :
  1. Panaskan oven pada suhu 185 C. Sapukan sedikit minyak pada tin kek.
  2. Ayak bersama tepung gandum, baking soda, baking powder, serbuk kayu manis, serbuk buah pala dan juga garam. Ketepikan.
  3. Pukul telur dan gula hingga sebati (tak perlu guna mixer elektrik, guna senduk kayu atau ballon whisk jer sebab tak perlu pukul lama). Setelah sebati, masukkan minyak dan pukul lagi hingga sebati.
  4. Masukkan bahan ayak sedikit demi sedikit sambil dikacau sebati.
  5. Masukkan esen vanilla, parutan carrot dan kekacang. Gaul sebati dan tuang ke dalam tin kek. 
  6. Bakar selama 40 minit hingga 1 jam bergantung kepada oven masing-masing dan juga saiz loyang yang digunakan. Cucuk dengan lidi untuk memastikan kek telah masak sepenuhnya atau tidak.

Kek ini Naz sapukan permukaanya dengan cream cheese frosting lebihan buat RVC dulu. Then replika-replika lobak merah yang kecil-kecil di atas kek tu, Naz buat guna fondant yang masih berbaki setelah  membuat cuppies hantaran sepupu dan juga hiasan kek oren kisar (blended orange cake) hari tu. Anyway, sebenarnya, fondant ni tak sesuai diletakkan pada kek yang perlu disimpan ke dalam peti sejuk kerana fondant ni akan berpeluh-peluh atau melekit bila dikeluarkan dari peti nanti. Tapi sebab nak perabis fondant yang ada, bantai jer la labuuuu... Lagi pun kami anak beranak jer yang makan kek ni...hehehhe..

NOTA NAZ :
  • Kek yang sungguh sedap. Teksture yang lembab dan lembut. Anakanda Maisarah Hani yang kecil tu pun suka kek ni.
  • Untuk serbuk kayu manis dan serbuk buah pala tu, Naz kurangkan penggunaannya sebab risau anak-anak tak suka. Still ada baunya walaupun telah dikurangkan dan anak-anak suka jer..
  • Sekiranya menggantikan kekacang dengan raisin, Naz rasa perlu digaulkan dahulu dengan sedikit tepung untuk mengelakkan raisin mendap ke dasar kek ketika pembakaran seperti yang terjadi pada Naz.

SELAMAT MENCUBA!

Monday, 2 April 2012

BLENDED ORANGE FONDANT CAKE


ASSALLAMUALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA.

Ermm..demam blended orange cake dah lama berlalu rasanya tapi tuan dapur COSK ni baru jer mencubanya. Lambat mencubanya bukan kerana cara penyediaan yang rumit. Cara penyediaan kek ini amat mudah sangat. Cuma Naz je yang sedikit risau sekiranya hasil kek Naz nanti rasanya sedikit pahit dan tak sesedap yang orang lain buat. 


Tapi kalau tidak dicuba, bagaimana nak tau hasil dan rasanya kan. So, here is my first blended orange cake and also my first fondant cake. Kebetulan masih ada fondant yang berlebihan setelah menghias cuppies hantaran sepupu hari tu, jadi Naz ambil kesempatan untuk cuba menghias kek oren ini dengan fondant tersebut. 


Resepi asal kek yang terkenal ini datangnya daripada kak Fida@myresipi. Jadi untuk melihat resepi asal dan juga hasil daripada kak Fida, silalah klik pada link yang disertakan di bawah ye. Terima kasih kak Fida! Naz kongsikan di sini pula ye!

BLENDED ORANGE CAKE

Bahan-bahan :
  • 1 biji buah limau (Naz guna limau sunquick yang tiada biji)
  • 1 cawan minyak (Naz guna minyak jagung)
  • 2 cawan gula halus (Naz guna 1 cawan sahaja)
  • 3 biji telur
  • 2 cawan tepung gandum *
  • 1 Tbsp baking powder * (* ayak bersama) 
  • Beberpa titis pewarna oren (Naz tambah sendiri)


Cara-cara :
  1. Cuci buah limau. Potong dan buang biji serta urat putih di tengah-tengahnya. Potong lagi buah limau kecil-kecil bersama kulitnya sekali. 
  2. Masukkan buah limau ini ke dalam pengisar bersama minyak, gula dan telur. Kisar hingga halus.
  3. Tuang bahan  yang dikisar ke dalam mangkuk dan masukkan bahan ayak sedikit demi sedikit sambil dikacau sebati.
  4. Tuang adunan ke dalam loyang yang telah digris dan beralas dengan kertas baking.
  5. Bakar di dalam oven yang telah dipanaskan pada suhu 170 C selama 40 minit-1 jam atau sehingga masak.
NOTA NAZ :
  • Adunan kek ini Naz bahagikan kepada 3 bahagian. Satu bahagian dibiarkan dengan warna asal manakala 2 adunan lagi diwarnakan dengan warna oren pada tona warna yang berbeza. Naz bakar adunan kek ni dalam 3 loyang yang berlainan tetapi sama saiznya (loyang checkerboard) untuk mendapatkan 3 lapisan kek yang berbeza tona warnanya.
  • Kek ini naik tinggi juga hasilnya walaupun tidak dipukul menggunakan pengadun kek(mixer).
  • Naz menggunakan loyang bulat 8 inci.
  • Kek yang amat mudah disediakan dan tidak memerlukan mixer.
  • Will try it again, again and again. 


SELAMAT MENCUBA!

Wednesday, 28 March 2012

MY FIRST FONDANT CUPPIES


ASSALLAMUALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA.

Ini merupakan projek pertama Naz membuat cuppies yang dihiasi dengan fondant atau nama lainnya pes gula(sugarpaste). Naz buat cuppis ni  untuk hantaran pertunangan CIL(cousin in law) cuti sekolah yang lalu. Masa memikirkan permintaan dari pihak cousin tu, dok terfikir-fikir nak buat cuppies yang dihiasi dengan krim mentega(buttercream) ker atau hiasan lain. Memandangkan cuaca yang panas ketika itu dan pihak keluarga tunangan cousin ni jauh perjalanannya nanti selepas majlis, jadi Naz ambil keputusan untuk buat cuppies yang dihiasi dengan fondant walaupun sebelum ni memang tak pernah langsung pegang dan menggunakan fondant. Hasil rujukan dan pertanyaan kepada rakan-rakan yang lebih arif tentang hiasan kek pun mencadangkan agar memilih fondant sebagai hiasan. So fondantlah pilihan hatiku. Lagi pun cousin Naz ni memang serahkan sepenuhnya untuk Naz sediakan satu dulang hantaran tu dan Naz pula memang dah lama teringin nak menggunakan fondant sebagai bahan hiasan kek.

Ermmm...best juga bermain dengan fondant ni. Macam main dengan play dough anak-anak pula rasanya. Disebabkan ini kali pertama menggunakan fondant, jadi Naz ambil keputusan untuk menggunakan fondant yang siap digunakan(rolled fondant) yang boleh diperolehi dari mana-mana kedai alatan kek dan bakery. Takut juga kalau cuba buat dan uli sendiri fondant tu, tapi tak jadi...abislah Naz....


Pada Naz, menghias menggunakan fondant ni lebih mudah daripada menggunakan krim mentega(buttercream). Nak mengemas dan mencuci peralatan pun lebih senang sebab tak berminyak-minyak. Tapi dari segi kos memang kos menggunakan fondant lagi tinggi daripada kos menggunakan krim mentega(buttercream).

Untuk cuppies, Naz menggunakan resepi Best Moist Chocolat Cake yang pernah dibuat dahulu. Jadi kita layan gambar je la ye di sini.

 Cuppies yang siap dibakar.


Hiasan untuk cuppies yang di bawah ni, Naz tengok ideanya dari blog kak Wan(Resepi Citarasawan). Cuma kak Wan punya lagi cantiklah dari yang Naz buat. Lagi pun untuk daunnya, Naz cuma buat menggunakan fondant. Sepatutnya perlu dibuat menggunakan pes gam(gumpaste) yang mana ia akan mengeras apabila dibiarkan terdedah pada udara. Sebab tulah daun Naz tu macam layu jer kerana fondant tidak akan mengeras seperti pes gam apabila terdedah kepada udara. Terima kasih kak Wan dengan perkongsian idea.
 


Yang ini pula dihias dengan seringkas mungkin..


Hiasan dengan sekuntum bunga ros pula.. 


 Ok tak?? Naz suka sangat dengan bunga ros yang ni sebab dalam beberapa kuntum tu, rasanya yang ini paling menjadi bunganya.


 Yang ni sepatutnya jadi bunga carnation.. Ada rupa carnation ke?? Hentam jer la labuuuu...

Ok ini saja yang mampu Naz tunjukkan setakat ini. Hajat hati tu nak juga tunjukkan step by step membuat hiasan ni tapi apakan daya. Buat kerja pun sorang-sorang. Mana nak buat kerja, mana nak ambil gambar. Lainlah kalau ada kamera canggih yang boleh letak jer atas tripod dan ada controler untuk snap gambar ketika bekerja..hehehe.. Apa yang ada buat masa sekarang ni pun dah lebih dari memadai. Jadi kepada yang suka menghias kek, bolehlah cuba dengan hiasan fondant pula. Memang menyeronokkan!

SEKIAN. SEHINGGA BERTEMU KEMBALI. BYE!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...