Selamat datang kepada semua pengunjung blog CUTE OVEN, SMALL KITCHEN. Diharap dengan kunjungan anda dapatlah kita berkongsi ilmu disamping menambah kenalan. Terima kasih atas kesudian bertandang ke sini.

Untuk makluman, di dalam blog ini sukatan cawan adalah menggunakan cawan metrik manakala sukatan sudu pula 98% adalah menggunakan sudu metrik.
Bagi yang sering bertanya apakah 'Tbsp' dan 'tsp'; 'Tbsp' = tablespoon & 'tsp' = teaspoon.

Tuesday 30 August 2011

SALAM AIDILFITRI 1432 H UNTUK SEMUA


Assallamualaikum dan salam sejahtera.

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI diucapkan kepada semua rakan-rakan
dan pengunjung-pengunjung blog COSK yang beragama Islam di mana sahaja berada.

Maaf dihulur dan ampun dipinta andai dalam senda dan gurau tawa selama ini
ada hati yang terguris dan terluka. Sesungguhnya kita semua insan biasa yang tak akan lari
dari kesilapan. 

Semoga Syawal kali ini membawa seribu rahmat dari Allah SWT kepada semua
dan semoga persahabatan yang terjalin diberkati dan berkekalan..Insyallah.

Sekali lagi, SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI khas dari Naz dan keluarga untuk semua.

Saturday 27 August 2011

BISKUT CHOCOLATE CHIP FAMOUS AMOS (HOME MADE)



Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Emm..biskut yang dikira terhangat di pasaran sekarang ni rasanya. Naz sendiri pun dah pernah buat dulu. Rasanya memang ummphh.. Dulu buat sebab nak mencuba. Sekarang buat untuk menambah koleksi biskut hari raya tahun ni kerana dah tertawan dengan rasanya.


BISKUT CHOCOLATE CHIP FAMOUS AMOS (HOME MADE)
Sumber Resepi : MrNamie dan Fiza Damia

Bahan-bahan ayak :
  • 280 gm (2 1/4 cawan) tepung gandum
  • 10 gm (3 tsp) serbuk koko
  • 2 Tbsp tepung jagung
  • 1/2 tsp soda bikarbonate
  • 2 Tbsp susu tepung
  • Secubit garam

Bahan-bahan lain : 
  • 250 gm mentega
  • 150 gm gula kastor
  • 1/2 tsp asen vanilla
  • 1 biji kuning telur
  • 100 gm (1/2 cawan) coklat chip - boleh tambah atau kurangkan mengikut citarasa
  • 100 gm sebarang kekacang(walnut, badam, gajus dll yang dicincang) atau kismis - optional dan boleh ditambah atau dikurangkan mengikut citarasa



Cara-cara :
  1. Pukul mentega, gula kastor dan esen vanilla hingga kembang.
  2. Masukkan kuning telur dan pukul rata.
  3. Masukkan bahan-bahan ayak dan kemudian kacau hingga sebati dengan spatula atau tangan.
  4. Masukkan coklat chip dan cincangan kacang atau kismis. Kacau rata.
  5. Sudukan adunan ke atas dulang pembakar. Boleh juga diuli menjadi bebola-bebola kecil dengan menggunakan tangan.  Susun di atas dulang pembakar. PERHATIAN! JANGAN LETAKKAN BEBOLA RAPAT-RAPAT ANTARA SATU SAMA LAIN KERANA BEBOLA INI AKAN MENGEMBANG DAN MELEPER SEWAKTU PROSES PEMBAKARAN.
  6. Bakar pada suhu 160 C selama 15-25 minit bergantung kepada saiz bebola-bebola adunan anda menggunakan api atas dan bawah.
  7. Sejukkan dahulu biskut sebelum disimpan di dalam bekas kedap udara.
SELAMAT MENCUBA!

Friday 26 August 2011

CORNFLAKES MADU


Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Cornflakes Madu ni antara cookies hari raya yang wajib dibuat setiap tahun. Kalau tak buat, anak-anak mesti tanya. Lagi pun membuatnya tak lah susah sangat. Bahan-bahan pun memang dah ada di rumah ni. Cuma cornflakes saja yang perlu dibeli.

Kebanyakan orang membuat cornflakes madu ni, menambah beberapa bahan seperti kekacang atau badam dan juga kismis. Tapi Naz selalunya buat plain saja. Cuma Naz taburkan sedikit bijan putih dan gula hiasan. Kalau ditambah kekacang, anakanda Husna tak boleh makan sebab dia tak berapa suka kekacang ni terutamanya kacang tanah. Macam allergic pula Husna dengan kacang tanah yang mana bila dia makan saja kacang tanah ni, lelangit di dalam mulutnya akan berasa gatal. Jadi cornflakes madu Naz memang kosong je.

CORNFLAKES MADU

Bahan-bahan :
  • 325 gm cornflakes
  • 200 gm butter
  • 6 Tbsp madu
  • 5 Tbsp gula kastor


Untuk Hiasan :
  • Gula hiasan
  • Bijan putih


Cara-cara :
  1. Panaskan bersama butter, madu dan gula di atas api. Biar hingga butter cair dan semua bahan sebati. Tutup api dan biarkan larutan sejuk sedikit pada suhu bilik.
  2. Masukka cornflakes ke dalam larutan tadi dan gaul hingga rata dan sebati. Taburkan sedikit bijan dan gaul rata lagi.
  3. Isikan ke dalam cawan kertas kecil dan taburkan gula hiasan.
  4. Bakar pada suhu 160 C di dalam oven yang telah dipanaskan selama 10 - 12 minit.
  5. Sejukkan dan kemudian simpan di dalam bekas kedap udara.
SELAMAT MENCUBA! 

Thursday 25 August 2011

USIA BLOG MENJANGKAU 2 TAHUN


Assallamulaikum dan salam sejahtera.

Tak sempat nak masukkan entry ni pagi-pagi tadi. Jadi dah lewat malam macam ni baru ada kesepatan nak update blog tentang usia blog Naz yang hari ini menjangkau 2 tahun.

Cuma nak ucapkan ribuan terima kasih kepada semua rakan-rakan blog, follower, rakan-rakan fb dan juga semua yang sudi menyinggah blog ini yang secara langsung telah memberi sokongan kepada blog Naz ini. 

Jadi ucapan terima kasih ini Naz tujukan kepada semua rakan taulan yang sudi menjadi sahabat Naz di alam maya ini dan sudi berkongsi-kongsi pengetahuan dalam bidang kulinari ini. Semoga persahabatan ini yang berlandaskan niat yang baik diberkati dan berkekalan. 

Kepada kawan-kawan semua, sudi-sudikanlah terima jambangan buang di atas tu sebagai tanda persahabatan dan terima kasih dari Naz..

Tuesday 23 August 2011

TEUR MASAK GERAU ASAM


Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Ni adalah lauk yang Naz masak untuk digandingkan dengan Nasi Kuning untuk dinikmati semasa berbuka puasa. Resepi ini Naz tengok cara memasaknya di dalam rancangan "Ketuk-ketuk Ramadhan" yang disediakan oleh Linda Onn.

Asalnya resepi ini menggunakan ikan sebagai bahan utama tapi Naz tukarkan kepada telur mata kerbau. Seperti biasa, resepi dari rancangan ini tidak dinyatakan dengan terperinci jumlah bahan-bahan yang digunakannya. Jadi jumlah bahan yang ada pada resepi di bawah adalah hasil olahan Naz sendiri.

Sedap juga lauk ni. Rasa pedas yang menyengat dan sedikit masam tu memang membuka selera.

TELUR MASAK GERAU ASAM
Idea Asal : Linda Onn dari rancangan "Ketuk-ketuk Ramadhan"
Olahan Resepi Oleh : Naz@CUTE OVEN, SMALL KITCHEN

Bahan-bahan :
  • 4 biji telur ayam - digoreng telur mata kerbau
  • 2 batang serai - diketuk
  • 2 labu bawang merah - dimayang
  • 3 ulas bawang putih - dimayang
  • 1/2 cawan cili kering kisar
  • 2 biji cili merah - dihiris
  • 2 biji cili hijau - dihiris
  • 3-5 biji cili padi - dihiris halus
  • 1 1/2 cawan air asam jawa + 2 tsp belacan
  • Minyak masak
  • Garam dan gula

Cara-cara :
  1. Panaskan minyak dan tumis serai serta bawang merah dan bawang putih. Biar hingga naik bau.
  2. Masukkan cili kering dan biarkan garing sedikit.
  3. Masukkan cili merah, cili hijau dan cili padi. Gaul rata.
  4. Masukkan air asam jawa yang telah dicampur belacan. Biarkan menggelegak.
  5. Rasakan masin dan manisnya.
  6. Masukkan telur goreng tadi dan gaul rata. Matikan api.
SELAMAT MENCUBA!

NASI KUNING


Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Siapa suka tengok rancangan masakan yang dihoskan oleh Sheila Rusly? Rancangan masakan yang kira popular juga tu.. Alaaaa.."Ketuk-ketuk Ramadhan".. 

Naz suka tengok rancangan ni tapi tak dapatlah ikuti setiap episodnya sebab banyak kerja lain juga yang menanti di rumah ni. Minggu lepas Naz tengok Shiela Rusly memasak Nasi Kuning ni. Buatnya simple sangat. Jadi terasa nak mencuba. Lagi pun minggu lepas birthday encik hubby. Saja la jamu orang di rumah ni dengan menu lain sikit bila berbuka puasa. Kebetulan Naz memang dah masak lauk rendang daging. Jadi nasi ni dimakan bersama rendang daging, telur masak gerau asam dan juga acar mentah.

Kalau tengok rancangan tu, selalunya resepi yang diberi tak dinyatakan secara terperinci berapa jumlah atau kuantiti bahan-bahan yang digunakan. Lebih kurang beri idea je kepada kita tentang menu yang ditunjukkan. Lepas tu pandai-pandai sendirilah adjust dan buat ye.

Jadi, resepi yang di bawah ni, Naz tulis secara detail tentang bahan-bahan yang Naz gunakan berdasarkan rancangan "Ketuk-ketuk Ramadhan" tu.


NASI KUNING
Idea Asal : Rancangan Ketuk-ketuk Ramadhan
Diolah Oleh : Naz@CUTE OVEN, SMALL KITCHEN

Bahan-bahan :
  • 2 cawan beras - dibasuh dan ditoskan
  • 2 batang serai - dititik
  • 2 ulas bawang putih - dimayang
  • 1 labu bawang besar - dimayang
  • 1 helai daun pandan - dicuci dan disimpulkan
  • Sedikit garam halus
  • 1/2 cawan susu cair
  • 2 cawan air
  • Sedikit minyak masak untuk menumis
  • 2 tsp serbuk kunyit

Cara-cara :
  1. Panaskan minyak dan tumis bawang merah, bawang putih dan juga serai. Biar hingga wangi.
  2. Masukkan beras dan gaul rata.
  3. Masukkan air dan susu cair.
  4. Masukkan garam dan juga daun pandan. Kacau rata.
  5. Taburkan serbuk kunyit dan gaul rata.
  6. Masak nasi seperti biasa.
  7. Apabila nasi telah kering, taburkan kismis atau gajus sekiranya suka.(part ni, Sheila Rusly tak buat..Naz tambah sendiri).
SELAMAT MENCUBA!

Monday 22 August 2011

PUDING LAPIS GULA MELAKA


Assallamualaikum dan salam sejahtera semua.

Alhamdulillah..masuk hari ini, dah hari ke 22 umat Islam berpuasa dalam bulan Ramadhan buat tahun ini. Pejam celik..pejam celik..dah tinggal tak lebih dari 7 atau 8 hari lagi untuk kita meninggalkan Ramadhan bagi tahun 1432 H. Setiap orang semakin sibuk dengan persiapan untuk menyambut Syawal pula. Bila difikir-fikirkan, sayu pula rasa hati ni sebab tertanya-tanya, dapatkah aku menempuh satu lagi Ramadhan pada tahun hadapan. Berapa banyakkah lagi bulan Ramadahan yang Allah SWT beri peluang untuk aku hadapinya. Kadang-kadang dalam mengejar urusan seharian, kita terlupa pada persoalan seperti ini. Jadi marilah kita sama-sama berdoa semoga kita semua masih lagi diberi peluang untuk menempuhi banyak lagi episod Ramadhan pada masa hadapan..Insyallah..

Satu lagi juadah puding untuk berbuka puasa. Naz beri sikit pada MIL. Rasa puding ni seakan-akan rasa agar-agar santan gula melaka atau ada sesetengah orang panggil agar-agar gudir. Saja cari penyakit dan buang masa dok melapis agar-agar ni. Ada cara senang, nak buat cara susah pula kan..hehehe..


PUDING LAPIS GULA MELAKA

Bahan-bahan A :
  • 1 paket serbuk agar-agar 10 gm
  • 1 liter air
  • 200 gm gula melaka
  • 2 helai daun pandan - dibasuh dan disimpulkan

Bahan-bahan B :
  • 1 paket serbuk agar-agar 10 gm
  • 1 liter santan
  • 160 gm gula pasir
  • 1/2 tsp garam halus

Cara-cara :
  1. Masakkan bahan-bahan A di atas api hingga mendidih dan gula larut. Tapis dan masukkan ke dalam periuk semula dan biarkan di atas api paling kecil.
  2. Masakkan pula bahan-bahan B di dalam periuk yang lain hingga mendidih dan gula larut. Kecilkan api dan biarkan atas api paling kecil.
  3. Tuang 200 ml larutan agar-agar A ke dalam loyang. Biarkan keras sedikit permukaannya. Tak perlu tunggu hingga keras sepenuhnya. *(Kalau guna bekas kecil-kecil macam Naz, agak-agaklah ye nak tuang banyak mana setiap lapisan).
  4. Kemudian tuang 200 ml larutan agar-agar B ke dalam loyang tadi. Biarkan keras sedikit permukaannya. Buat hingga semua laurtan agar-agar A dan B digunakan secara berselang seli. *(Kalau nak cepat proses ni, setiap kali melapis, masukkan loyang ke dalam peti sejuk supaya setiap lapisan agar-agar cepat beku permukaannya).
  5. Akhirnya, masukkan loyang ke dalam peti sejuk dan biarkan keras sepenuhnya.

SELAMAT MENCUBA!

Sunday 21 August 2011

BUTTER COOKIES (BISKUT MENTEGA)


Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Satu lagi biskut untuk dibawa ke rumah mak di kampung dan juga untuk MIL. Resepi biskut ni dah lama Naz dok peram dalam folder komputer semenjak tahun 2007 lagi..hahaha.. 

Resepi ni Naz perolehi daripada fotopages kak Hanieliza, salah satu laman web masak-masak yang paling awal dan paling Naz suka jengah dulu semasa baru berjinak-jinak dengan web masakan ni.


Rasa biskut ni sama dengan rasa butter cookies yang biasa dijual di supermarket yang dalam kotak atau tin bulat tu. Alaaaa..selalunya ia ada pelbagai bentuk dalam satu pack. Anak lelaki Naz, Haris sukalah biskut yang Naz buat ni sebab dia memang suka sangat suruh ayahnya belikan butter cookies di supermarket tu.

Malas nak bebel panjang-panjang. Kita terus sahaja kepada resepinya. (Resepi ni Naz oleh sikit cara penyampaiannya).


BUTTER COOKIES
Resepi Asal : Kak Hanieliza

Bahan-bahan :
  • 135 gm butter
  • 60 gm gula kastor
  • 150 gm tepung gandum
  • 30 gm tepung jagung

Cara-cara :
  1. Pukul butter dan gula hingga sebati.
  2. Masukkan tepung gandum dan tepung jagung yang telah diayak sedikit demi sedikit dan uli.
  3. Masukkan adunan ke dalam piping bag roseete (ataupun pam daisy/ bunga cina) dan pamkan ke dalam cawan kertas.
  4. Bakar pada suhu 170 C selama 18-20 minit mengikut oven masing-masing.
  5. Sejukkan dan boleh dihias mengikut citarasa anda.
  6. Simpan di dalam bekas kedap udara.

NOTA :
  • Adunan yang Naz perolehi ni sedikit lembik dan sticky. Jadi Naz masukkan dulu ke dalam peti sejuk selama 15-20 minit dan kemudian baru Naz pamkan ke dalam cawan kertas.

SELAMAT MENCUBA! 

Saturday 20 August 2011

IRISH COOKIES

 

Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Salah satu biskut yang tak pernah ketinggalan Naz membuatnya setiap tahun semenjak kali pertama mencuba dulu. Memang kelasss gituw!! Kombinasi rasa nescafe dan nestum tu membuatkan tidak cukup sekadar 1 atau 2 ketul bila dah mula makan. Kalau tak percaya, cubalah!


Biskut ni juga merupakan top selling masa Naz ambil tempahan membuat biskut raya dulu. Sama bersaing dengan tart nenas gulung. Naz memang buat biskut-biskut yang mendapat sambutan jer. Buat tak banyak jenis tapi confirm orang akan tempah berbilion-bilion..*hehehe..ye ker banyak tu.... Acah jer...hahaha..

Biskut Irish ni, bukan setakat musim perayaan saja ada di rumah Naz. Kadang-kadang tu, bila tergerak nak makan atau atas permintaan anak-anak, pasti akan adalah biskut ni di dapur rumah.


Resepi biskut Irish ni pun dah pernah letak dulu. Tapi cara menghias biskut tu je yang lain. Boleh klik di SINI untuk melihat versi yang dulu. Dulu Naz sapu kuning telur dan tabur dengan sugar ball tapi kali ni Naz drizzle dengan coklat masakan jer. 


Rasanya yang sedikit rangup tu buat sedap mengunyah tak ingat dah nak habis 1/2 balang..hehehe. Lagi pun bila membuat biskut Irish ni, Naz suka mengurangkan sedikit jumlah mentega dan digantikan dengan majerin. Oleh kerana ada kombinasi mentega, majerin dan juga shortening, maka biskut ini akan berasa lembut dan rangup sikit. Tapi tak le sampai krup..krap.. bunyinya bila dimakan.

Kepada yang ingin mencuba, ini resepinya. Naz memang recommend untuk membuat biskut Irish ni pada yang tak pernah merasanya. Tak rugi tau! Kalau tak caya, boleh klik pada link resepi asal kat bawah tu. Tengok macam mana maklang Azie dok promote biskut Irish ni... Kan maklang... Memang best sangat!


BISKUT IRISH (IRISH COOKIES)

Bahan-bahan A :
  • 180 gm butter (Naz guna 150 gm butter + 30 gm majerin)
  • 20 gm vege shortening (lelemak sayuran)
  • 130 gm gula kastor
  • 1 biji kuning telur
  • 1 tsp serbuk nescafe classic
  • 1 tsp asen kopi/ asen vanilla/ kopi emulco
Bahan-bahan B :
  • 200 gm tepung gandum
  • 100 gm tepung ubi
  • 1/2 tsp serbuk penaik
  • 40 gm nestum atau cornflakes yang dikisar halus
Bahan Hiasan:
  • Kuning telur untuk sapuan + sugar ball @ chocolate rice
  • Atau boleh guna coklat masakan yang dicairkan dan dilorek di atas biskut selepas biskut masak

Cara-cara :
  1. Satukan semua bahan A ke dalam mangkuk pengadun. Pukul hingga sebati dan berkrim.
  2. Masukkan bahan B. Uli hingga menjadi doh. Canai dan terap menggunakan acuan pilihan anda.
  3. Sapukan kuning telur dan taburkan dengan sugar ball. 
  4. Bakar di dalam oven pada suhu 170C  - 175 C selama 25 minit atau hingga biskut masak sepenuhnya.
  5. Sejukkan dulu biskut sebelum disimpan di dalam bekas kedap udara.

NOTA :
  • Kalau nak hias menggunakan coklat masakan macam yang Naz buat tu, bakar biskut dulu. Kemudian cairkan coklat masakan secara double boiler. Then masukkan dalam plastik bersih dan potong sikit jer di bahagian hujung plastik. Kemudian paipkan corak idaman anda di permukaan biskut yang telah sejuk.
  • Sekiranya ingin mendapatkan bentuk biskut yang tidak terlalu kembang(still maintain shape dia seperti acuan penerap), selepas menguli adunan, balut doh di dalam plastik bersih atau balut dengan cyling wrap dan simpan seketika di dalam peti sejuk selama 20 minit. Kemudian keluarkan dan bolehlah mula mencanai dan menerap. Boleh juga simpan hingga semalaman atau berhari-hari di dalam peti sejuk. Apabila ingin menerap, keluarkan dari peti sejuk dan biar pada suhu bilik selama 20 - 30 minit. Kemudian bolehlah mula mencanai dan menerap. Naz selalu buat macam ni jadi bentuk biskut still cun macam acuan. Tak lebar atau mengembang atau lari shape dia..still macam anak dara lah...hehehe...
OK, SELAMAT MENCUBA!

Friday 19 August 2011

BISKUT SARANG SEMUT


Assallamualaikum dan salam sejahtera semua.

Biskut sarang semut ni merupakan salah satu biskut raya yang mesti Naz buat setiap tahun. Resepinya Naz perolehi daripada mak. Memang Naz tak pernah lagi mencuba resepi lain. Resepi mak ni pun ukuran berat bahan-bahannya dalam ukuran auns(oz). Tapi untuk memudahkan rujukan pada masa akan datang, Naz sertakan sekali ukuran dalam unit gram.


Untuk membuat biskut ni, kita memerlukan penyagat sayuran tu untuk menyagat doh supaya adunan menjadi bentuk seperti di atas.

Ni la contoh penyagat sayuran atau kerepek yang boleh digunakan. 
Gambar ni Naz pinjam dar Cik Google ye.
Sagat doh/ adunan tu kat bahagian yang berlubang-lubang tu. 

Tapi oleh kerana Naz buat banyak adunan ni, jadi kalau guna penyagat tu, jawabnya lamalah duduk terperap di dapur rumah ni. Untuk mudah, Naz menggunakan acuan muruku dan memilih acuan berlubang sederhana untuk mendapatkan bentuk yang sama dengan adunan yang disagat menggunakan penyagat. Idea menggunakan acuan membuat muruku ni tiba 2 tahun lepas semasa Naz ambil tempahan membuat biskut raya. Kalau dah banyak tempahan, takkanlah nak sagat guna penyagat biasa tu. Harus tak tidur siang dan malam Naz menyiapkan tempahan biskut raya ni nanti. Jadi Naz gunakan acuan untuk membuat muruku yang ada di rumah ni. Emm..hasilnya tetap sama seperti adunan yang disagat dengan penyagat biasa tu.


Ok, resepinya seperti berikut.


BISKUT SARANG SEMUT
Oleh: Naz@CUTE OVEN, SMALL KITCHEN
Resepi oleh: Bondaku

Bahan-bahan :
  • 6 auns(oz)/ 170 gm butter
  • 4 auns(zo)/ 120 gm gula
  • 1/2 tsp vanilla asen
  • 1/2 tsp serbuk penaik
  • 6 auns(oz)/ 170 gm tepung gandum
  • 4 auns(oz)/ 120 gm tepung kastad
  • Coklat rice secukupnya sebagai hiasan


Cara-cara :
  1. Pukul butter dan gula hingga kembang.
  2. Masukkan asen vanilla dan baking powder. Pukul rata.
  3. Masukkan tepung gandum dan tepung kastad. Gaul dan uli hingga sebati.
  4. Sagat adunan ke dalam mangkuk besar. Buat hingga habis semua adunan disagat.
  5. Sudukan adunan yang telah disagat ke dalam cawan kertas. Taburkan coklat rice di atasnya.
  6. Bakar pada suhu 175 C selama 20 minit.

SELAMAT MENCUBA!

Thursday 18 August 2011

SEMPERIT PANDAN


 Assallamualaikum dan salam sejahtera semua.

Emm.. lebih dari seminggu juga Naz tak masukkan entry. Maaf la ye pada yang mengunjungi blog ini dan terima kasih juga sebab masih sudi berkunjung walaupun tak ada entry terkini.

Masak memanglah masak. Setiap hari memasak. Tapi memang sedikit kesibukan kebelakangan ni. Ditambah pula dengan sedikit (ye ke sikit???^_^) kemalasan, bersawanglah dapur cyberku ini. Kerja rumah seperti biasalah tak pernahnya habis.



Okey, dipendekkan cerita. Ini salah satu biskut raya yang Naz dah buat. Sedikit kelainan dari semperit biasa. Resepi Naz ambil dari dapur cyber maklang azie yang memang dah fames tu. Suka masuk dapur maklang ni semenjak dulu lagi sebelum Naz ada blog sendiri dan masa tu maklang guna fotopages. Maklang Azie ni disamping berkongsi resepi-resepi di blognya, beliau juga buat business jualan home made food. Macam-macam ada.



Sedap biskut semperit pandan ni. Resepi ini asalnya dari Chef Zubaidah dan dipanjangkan oleh Maklang Azie. Jadi Naz kongsi di sini pula. Sedappp.. Cubalah.. Memang tak rugi. Makan satu, nak lagi dan lagi dan lagi dan lagi... Hahaha..jangan habis sebelum hari raya sudah...


SEMPERIT PANDAN

Bahan A :
  • 200 gm mentega
  • 100 gm gula icing
  • 1 biji kuning telur
  • 1/4 tsp pes pandan (Naz letak 1 tsp pandan emulco)
  • 1/2 tsp pewarna hijau
Bahan B :
  • 250 gm tepung gandum
  • 50 gm tepung jagung
  • 30 gm tepung kastad
Hiasan :
  • Coklat masakan putih dan gula manik 

Cara-cara :
  1. Sebatikan bahan-bahan A.
  2. Masukkan B dan uli rata.
  3. Gunakan acuan dan paipkan adunan. (Naz paip dan potong adunan kepada 1.5 inci setiap satu).
  4. Bakar selama 15 minit dengan suhu 160C.
  5. Sejukkan biskut dan celup hujung biskut dengan coklat putih dan tabur dengan gula manik.
NOTA :
  • Naz tak celupkan ke dalam coklat putih tapi cuma taburkan gula manik sebelum membakar biskut supaya manik-manik tu melekat pada biskut.

SELAMAT MENCUBA! 

Friday 12 August 2011

AYAM BUMBU BALI


Assallamualaikum dan salam sejahtera semua.

Aik! Menu ayam sambal lagi??? Nak buat macam mana. Dah yang ni la kegemaran orang di rumah ni. Tukang masaknya pun suka nak masak lauk yang bersambal-sambal ni..hehehe..

Resepi Ayam Bumbu Bali ni Naz tungkil dari blog Diana@Sky Blue's Kitchen. Naz kongsi di sini pula ye Diana. Tq. Memang sedap!

AYAM BUMBU BALI
Sumber Resepi : saw_wei via Diana@Sky Blue's Kitchen

Bahan-bahan :
  • 1 ekor ayam - dipotong 20 (Naz guna 1/2 ekor jer)
  • 1 cm lengkuas - ditumbuk
  • 3 helai daun limau purut
  • 2 biji buah tomato
  • 2 sudu makan kicap manis
  • 2 helai daun bay (Naz guna yang kering)
  • 2 batang serai - dititik (Naz tambah seperti Diana)
  • Garam dan gula secukup rasa
  • Minyak masak
Bahan-bahan  Kisar :
  • 7 biji cili merah
  • 5 ulas bawang merah
  • 4 ulas bawang putih
  • 2 cm halia
  • 3 biji buah keras
  • 1/2 tsp belacan bakar
  • 2-3 tbsp cili kering kisar (Naz tambah macam Diana)
  • 2 batang serai (Naz tambah)

Cara-cara :
  1. Gaul ayam bersama sedikit garam dan perap seketika.
  2. Panaskan minyak dan goreng ayam sehingga masak tapi jangan garing. Angkat dan ketepikan.
  3. Di dalam kuali lain, panaskan sedikit minyak(boleh guna minyak menggoreng ayam tadi) dan tumis bahan-bahan kisar sehingga naik baunya dan sedikit garing.
  4. Masukkan lengkuas, daun limau purut. daun bay, serai, tomato dan kicap manis. Gaul rata.
  5. Masukkan ayam goreng dan masak sehingga tomato hancur dan pekat.
  6. Angkat dan hidangkan dengan nasi putih.

SELAMAT MENCUBA!

Wednesday 10 August 2011

NASI BRIYANI


Assallamualaikum dan salam sejahtera semua.

Nasi briyani ni Naz masak untuk menu berbuka puasa. Naz guna Rempah Briyani ADABI. Tapi masa sendukkan nasi tu, Naz terlupa nak taburkan gajus dulu. Jadi nasi tu nampak kosong jer la. Lagi pun masa berbuka mana sempat nak make-up makanan tu cantik-cantik. Anak-anak dah lapar. Jadi mana yang sempat jer la snap gambar. Naz hidangkan nasi briyani ni bersama daging gulai kawah, ayam merah tomato dan juga jelatah.

NASI BRIYANI

Bahan-bahan :
  • 2 cawan beras Basmati
  • 2 cawan air
  • 1/2 cawan susu cair atau yogurt asli(plain yogurt)
  • 2 sudu besar rempah nasi briyani ADABI
  • 3 sudu besar minyak sapi
  • 1 helai daun pandan - dibasuh dan disimpulkan
  • Sedikit daun ketumbar dan daun pudina
  • 1 biji buah tomato - dibelah empat
  • 11/2 tsp garam
  • Sedikit pewarna kuning
  • Sedikit gajus - digoreng sebentar

Bahan kisar :
  • 4 ulas bawang merah*
  • 2 ulas bawang putih*
  • 1 inci halia*

Bahan tumis :

  • 2 inci kulit kayu manis
  • 1 kuntum bunga lawang
  • 2 biji buah pelaga

Cara-cara :
  1. Basuh beras dan toskan.
  2. Panaskan minyak sapi. Tumis bahan tumis hingga naik bau dan masukkan bahan kisar. Tumis 2-3 minit.
  3. Kemudian masukkan rempah nasi biryani ADABI dan kacau hingga wangi.
  4. Masukkan air, susu cair, daun ketumbar, buah tomato dan daun pandan. Kacau hingga mendidih.
  5. Masukkan beras dan garam. Gaul rata dan masak nasi seperti biasa.
  6. Apabila nasi kering, titiskan pewarna kuning di beberapa bahagian. Tutup periuk dan biarkan nasi masak sepenuhnya. Gaul rata nasi dan taburkan gajus. Sedia untuk dihidang bersama lauk kegemaran anda.
SELAMAT MENCUBA!

JELATAH


Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Jelatah atau acar timun mentah ni adalah resepi yang paling mudah untuk disediakan. Potong bahan-bahan dan gaul je. Anak Naz, Husna memang suka makan jelatah ni tapi bukan semua bahan tu. Dia suka makan timun je dan juga kuah jelatah ni yang akan hadir bila kita campurkan semua bahan tu. Sebabnya, kuah tu kan rasa manis-manis sikit.

JELATAH

Bahan-bahan :
  • 1/2 biji nenas sedarhana kecil - dipotong kecil
  • 1 batang timun - dipotong
  • 1-2 labu bawang besar - dimayang
  • 2 batang cili merah - dihiris
  • 1 tsp cuka
  • 1 tsp gula
  • Secubit garam
Cara:
  • Campurkan semua bahan dan gaul rata. Sedia untuk dihidangkan.

SELAMAT MENCUBA!

GULAI KAWAH


Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Gulai kawah ni Naz masak untuk dimakan bersama nasi briyani. Lagi pun anak Naz yang sulung tu, Haris suka sangat daging gulai kawah. Di sini, kalau ada kenduri-kendara, daging gulai kawah ni memang dah kemestian di dalam menu. Pasti ada. Dipanggil gulai kawah sebab kalau dimasak selalunya orang akan menggunakan kawah yang besar untuk menggulai daging ni. Tapi sebab Naz bukan nak masak untuk kenduri-kendara. Cuma untuk seisi rumah je. Jadi Naz bukan memasak gulai ni di dalam kawah tapi di dalam kuali..hehehe.. 

Sebelum ni memang Naz tak pernah masak lauk gulai kawah ni. Oleh kerana resepi ni telah dikongsi oleh Marizah Miza (kawan fb), maka Naz teringin nak buat sendiri. Lagi pun menurut Miza, bapanya memang ketua tukang masak gulai kawah ni di kampungnya. Wah! Pasti sedap kan. Naz kongsikan di sini pula ye Miza resepi ni. Memang sedap. Terima kasih atas perkongsian resepi yang sedap ini. Naz gulaikan daging tu lebih lama supaya lembut je bila digigit. Lagipun anak-anak Naz suka daging yang memang lembut dan tidak liat. Kuahnya tu pula memang ada lebih. Anak-anak bersahur hari tu dengan roti canai segera bersama gulai ni yang masih elok. Bila dah dipanaskan berulang kali, lagi terangkat rasanya.

GULAI KAWAH
Sumber : Marizah Miza(kawan fb)


Bahan-bahan :
  • 300-500 gm daging lembu - dipotong ikut suka dan dicuci
  • 4 cawan santan
  • 2 sm halia - dimayang
  • 4 ulas bawang merah - dimayang
  • 2 ulas bawang putih - dimayang
  • Kulit kayu manis, bunga lawang, bunga cengkih
  • 1/2 cawan cili kering (boleh adjust ikut selera masing-masing)
  • 4 sudu besar serbuk gulai kawah - bancuh dengan sedikit air menjadi pes
  • 1-2 keping asam gelugor
  • 2 biji kentang - dibelah 4 (ni naz tambah sendiri)
  • 3 sm lengkuas - diketuk
  • Garam secukup rasa
  • Gula sedikit

Cara-cara :
  1. Tumis kulit kayu manis, bunga lawang dan bunga cengkih. Masukkan halia. 
  2. Kemudian masukkan bawang merah dan bawang putih. Tumis hingga naik bau.
  3. Masukkan cili kering. Masak hingga pecah minyak dan cili masak.
  4. Masukkan pes rempah gulai kawah dan masak hingga pecah minyak.
  5. Masukkan daging, asam keping dan sedikit gula. Masak hingga daging kecut.
  6. Masukkan santan dan garam. Masukkan juga kentang. Masak hingga naik minyak dan daging serta kentang empuk(lagi lama gulai di atas api, lebih banyak minyak yang naik dan lebih lembut daging). 
  7. Masukkan lengkuas ketuk tadi dan biarkan 15 minit sebelum menutup api.
SELAMAT MENCUBA!

AYAM MERAH TOMATO


Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Resepi Ayam Merah Tomato ni Naz ambil dari blog Kak Ummi (Home Sweet Home). Tertarik nak cuba sebab tengok bahan-bahan dan caranya amat mudah. Sekarang memang nak cari dan cuba resepi yang tak perlu guna banyak masa di dapur..almaklumlah..si kecil Hani tu dah la jarang tidur siang.. Lepas tu nak berkepit jer dengan ummi dia.

Okey, malas nak tulis panjang-panjang. Resepi di bawah yer. Naz minta izin ye kak Ummi kongsikan di sini pula. Terima kasih atas resepi yang simple dan sedap ini. Memang lazat! Anak-anak Naz suka sangat sebab tak pedas dan rasa masam manis. Naz masak untuk dimakan bersama nasi biryani sewaktu berbuka puasa.

AYAM MERAH TOMATO

Bahan-bahan :
  • 1 ekor ayam - dipotong dan dibersihkan (Naz cuma guna 1/2 ekor ayam)
  • 2 biji tomato - didadu kecil
  • 5 sudu besar soso tomato
  • 3 sudu besar sos cili
  • 3 sudu besar pes tomato
  • 2 sudu besar cuka makan
  • 2 sudu besar cili kisar
  • 4 sudu besar gula
  • 1/4 cawan air
  • Garam secukup rasa
  • Minyak secukupnya
Bahan Kisar :
  • 2 labu bawang besar
  • 5 ulas bawang putih
  • 3 cm halia
Bahan Tumis :
  • 2 batang kulit kayu manis
  • 3 kuntum bunga lawang
  • 3 kuntum bunga cengkih
Cara Memasak :
  1. Ayam digaul dengan serbuk kunyit dan garam secukupnya. Perap 20 minit dan goreng separuh masak. Angkat dan ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam kuali dan tumis bahan tumis hingga naik bau dan masukkan bahan kisar, cili kisar serta tomato dadu. Kacau sekejap.
  3. Masukkan semua sos, cuka dan air. Masak hingga mendidih sebentar.
  4. Masukkan ayam dan gaul balik biar sos rata pada ayam.
  5. Masukkan garam dan gula secukup rasa.
  6. Masak hingga agak pekat dan tutup api. Hidangkan dengan nasi tomato atau nasi minyak atau pun nasi briyani ikut citarasa masing-masing.
NOTA :
  • Naz guna setengah ekor ayam sahaja dan mengekalkan jumlah bahan lain supaya dapat sosnya yang banyak. Anak-anak suka sos merah macam ni.

SELAMAT MENCUBA!

Monday 8 August 2011

PUDING TEMBIKAI SUSU


Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Puding tembikai susu ini enak dimakan bila telah disejukkan di dalam peti ais. Ni guna buah tembikai susu atau honeydew ye bukan buah tembikai + susu.. Nanti ada pula yang salah faham.


Di rumah memang dah ada sebiji buah tembikai susu. Tiba-tiba rasa teringin nak berbuka dengan satu hidangan puding pula. Jadi projekkanlah sedikit buah tembikai susu tu menjadi puding.

Sedap puding ni sebab lembut je. Kalau menggunakan buah tembikai susu yang memang ranum dan manis, lagi terangkat! Naz bagi sikit untuk jiran sebelah rumah. Takut banyak juadah dah masa berbuka, tak terhabis pula puding ni. Tapi memang laku pun puding ni sebab sedapppp..


PUDING TEMBIKAI SUSU

Bahan-bahan :
  • 10 gm serbuk agar-agar
  • 1 tin susu cair(400 ml)*
  • 100 ml susu pekat manis*
  • 100 ml air*
  • 3 sudu besar gula pasir* - boleh adjust ikut kemanisan
  • 2 biji telur* - dikocok sikit dengan garfu
  • 1 sudu teh asen vanilla*
  • 400 gm buah tembikai susu - dikisar(tak payah campur air tau!)
  • 100 gm buah tembikai susu - didadu kecil-kecil
  • Beberapa titis pewarna hijau


Cara-cara :
  1. Campurkan semua bahan yang bertanda * ke dalam periuk. Renehkan dengan api perlahan dan kacau.
  2. Tuang buah tembikai susu yang telah dikisar. Kacau rata.
  3. Masukkan serbuk agar-agar dan kacau hingga larut. Titiskan pewarna hijau dan kacau biar sekata warnanya.
  4. Masukkan buah tembikai susu yang didadu kecil. Kacau rata dan tutup api.
  5. Masukkan ke dalam bekas pilihan atau loyang dan biarkan keras. Boleh disejukkan di dalam peti ais.

SELAMAT MENCUBA!

Saturday 6 August 2011

KEK CAWAN PISANG BERKISMIS


Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Kek cawan pisang yang lembut dan gebu jer. Kalau rasa malas nak buat dalam bekas cawan kertas, boleh je bakar dalam loyang yang disukai. Untuk kismis tu, boleh diganti dengan coklat chip ke, coklat rice ke atau apa-apa je la yang disukai.

KEK CAWAN PISANG BERKISMIS
Oleh : Naz's CUTE OVEN, SMALL KITCHEN

Bahan-bahan :
  • 2 cawan tepung gandum
  • 1 tsp soda bikarbonate
  • 1 1/2 tsp baking powder
  • 1/4 tsp garam halus
  • 1 cawan gula perang
  • 1 tsp ovallate
  • 2 biji telur gred B
  • 250 gm pisang - dilenyek dan masukkan asen vanilla, gaul rata
  • 1/2 tsp asen vanilla
  • 1/2 cawan minyak jagung
  • 1/3 cawan susu segar atau susu cair
  • 1/2 cawan kismis - digaul dengan sedikit tepung gandum

Cara-cara :
  1. Ayak tepung gandum, soda bikarbonate, baking powder dan garam halus bersama. Ketepikan.
  2. Pukul telur bersama gula perang dan ovallate hingga kembang dan likat pada kelajuan maksimum.
  3. Masukkan pisang lenyek yang telah digaul dengan asen vanilla tadi. Pukul rata.
  4. Masukkan bahan ayak berselang seli dengan minyak dan susu hingga habis sambil memutar dengan kelajuan sederhana. Mulakan dengan tepung dan diakhiri dengan tepung juga.
  5. Masukkan kismis dan gaul rata dengan spatula.
  6. Masukkan adunan ke dalam cawan kertas dan bakar dalam oven yang telah dipanaskan pada suhu 175 C selama 20 minit bergantung kepada oven masing-masing. Sekiranya membakar kek menggunakan loyang, bakar selama 40 - 45 minit atau sehingga masak. Cucuk lidi sate di tengah-tengah kek dan tarik keluar. Sekiranya lidi sate bersih dan tiada adunan basah yang melekat, maknanya kek telah masak. 
SELAMAT MENCUBA!

BAKED SANDWICH


Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Disebabkan kuih-muih yang manis-manis tidak mendapat tempat di hati anak-anak ketika bulan Ramadhan ni(sewaktu berbuka), jadi Naz cuba sediakan pengganti kuih-muih ni dengan sesuatu yang savoury. Nampaknya memang laku sangat berbanding dengan kuih-muih yang manis.

Baked sandwich ni untuk membuatnya memang cukup senang. Bahan-bahannya pun tak susah untuk disediakan. Kebetulan di rumah memang ada sebantal lagi roti sandwich yang baru dibeli. Rasa-rasanya kalau tak dibuat apa-apa transformasi, mau berkulat roti tu. Maklumlah......siapa pula la nak makan roti tu lepas berbuka puasa dan di kala perut masing-masing memang dah kekenyangan. Jadi kita projekkan roti ni menjadi BAKED SANDWICH.

Resepi ni asalnya dari fotopages kak Rinnchan. Kemudian Naz nampak pula baked sandwich ni di dapur cyber kak Madiha. Di dapur kak Nor dan Hasue pun ada. Ini antara dapur-dapur yang Naz terpandang. Rasanya ramai juga yang dah buat baked sandwich ni. Tutorial membuatnya Naz tengok dari blog HaSue.

BAKED SANDWICH
Sumber Resepi : HaSue

BAHAN KULIT/ CASING :
  • Roti gardenia secukupnya

BAHAN-BAHAN INTI :
  • 1 biji bawang besar - dicincang
  • 2 biji bawang putih - dicincang
  • 1/2 camca serbuk lada hitam
  • 1 sudu besar sos tiram
  • 1 sudu besar sos tomato (Naz tambah)
  • 200 gm - 300 gm isi ayam - dipotong halus (Naz guna 3 batang sosej yang dihiris-hiris)
  • 5 biji cendawan butang dlm tin - dipotong halus (Naz ganti dengan 1/4 batang carrot yang dihiris atau disagat halus)
  • 1 biji telur
  • Garam secukup rasa
  • Keju secukupnya - boleh guna keju parut atau slice cheese
Kaedah penyediaan inti :
  1. Tumis bawang besar dan bawang putih hingga layu. Masukkan sos tiram dan kacau rata. Masukkan lada hitam.
  2. Masukkan ayam dan cendawan. Tumis hingga masak. Sekiranya perlu, masukkan sedikit air supaya ayam betul-betul masak.
  3. Pecahkan telur dan kacau-kacau sehingga rata dengan ayam dan cendawan.
  4. Masukkan garam secukup rasa. Masak hingga kering.

CARA MENYEDIAKAN BAKED SANDWICH :
 

1. Gelek atau lenyek roti hingga nipis.

2.  Tekap roti dengan apa-apa acuan yang sesuai. 
(Sue, kak Naz guna cawan plastik biru juga..heheheehe..)

3. Buang tepi-tepi roti.

4. Masukkan roti ke dalam acuan seperti muffin tray atau petite tin.

5. Kemaskan roti di dalam acuan. Bakar di dalam oven hingga keperangan.
(Naz bakar pada suhu 200 C selama 10 minit)

6. Casing yang telah siap dibakar. Boleh keluarkan dari acuan.

7. Masukkan inti ke dalam setiap casing dan taburkan cheese.
Bakar semula di dalam oven sekadar mencairkan cheese.

8. Boleh drizzle dengan mayonis dan sos cili atau boleh dimakan begitu sahaja.
Seeloknya makan sewaktu panas-panas kerana roti masih rangup. Kalau dah 
dibiarkan lama, roti akan sedikit lemau tapi tetap enak dimakan.

Sedap sangat baked sandwich ni. Anak-anak suka sebab roti yang rangup tu. Untuk intinya, boleh dipelbagaikan mengikut citarasa masing-masing. 

SELAMAT MENCUBA!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...