Selamat datang kepada semua pengunjung blog CUTE OVEN, SMALL KITCHEN. Diharap dengan kunjungan anda dapatlah kita berkongsi ilmu disamping menambah kenalan. Terima kasih atas kesudian bertandang ke sini.

Untuk makluman, di dalam blog ini sukatan cawan adalah menggunakan cawan metrik manakala sukatan sudu pula 98% adalah menggunakan sudu metrik.
Bagi yang sering bertanya apakah 'Tbsp' dan 'tsp'; 'Tbsp' = tablespoon & 'tsp' = teaspoon.
Showing posts with label Sambal. Show all posts
Showing posts with label Sambal. Show all posts

Tuesday, 24 July 2012

SAMBAL GORENG TEMPOYAK IKAN BILIS


ASSALLAMUALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA.

Alhamdulillah masih lagi diberi kesempatan untuk mencoret resepi di blog yang suam-suam kuku ini..hehehee..

Kali ini Naz nak masukkan resepi yang memang menjadi kegemaran Naz. Sambal goreng tempoyak ikan bilis ini memang selalu mak Naz buat kalau ada stok tempoyak. Dari kecil lagi Naz dah biasa makan sambal ni. Ayah dan adik-beradik yang lain pun memang gemar sangat sambal goreng tempoyak ni. Buat pedas-pedas sampai berdesing telinga masa makan lagi best! Tapi siapa yang nak buat, adjust lah ikut tahap kepedasan masing-masing yer. Nanti ada yang berlari-lari keesokan hari tak sempat-sempat nak pergi toilet..heheheeee...


Mak Naz kalau masak sambal tempoyak ni, tak ada resepi standard pun. Air tangan seorang ibu kan. Main campak-campak pun, sedap sampai rasa tak cukup. Jadi resepi ni Naz cuba olah sendiri supaya ada asas cara membuatnya. Memang senang sangat pun. 

SAMBAL GORENG TEMPOYAK IKAN BILIS

Bahan-bahan:
  • 1-2 genggam ikan bilis
  • 3 biji cili merah
  • 1-2 genggam cili padi (boleh adjust ikut tahap kepedasan yang diingini)
  • 4 ulas bawang merah
  • 3 ulas bawang putih
  • 1 labu bawang besar (dimayang)
  • 3-5 sudu besar tempoyak
  • Garam dan gula secukup rasa
  • Minyak masak 
Cara-cara:
  1. Basuh ikan bilis dan toskan. Goreng hingga garing, angkat dan ketepikan.
  2. Tumbuk bawang merah, bawang putih bersama cili merah dan cili padi.
  3. Panaskan sedikit minyak bekas menggoreng ikan bilis tadi. Tumis bahan tumbuk hingga betul-betul garing. Masukkan bawang besar yang dimayang. Goreng hingga layu sambil mengacau sambal agar tidak hangit.
  4. Masukkan tempoyak dan gaul rata. Rasakan garam dan gulanya. Bila telah sebati matikan api dapur.
  5. Tunggu hingga sambal suam atau sejuk baru masukkan ikan bilis dan gaul rata. Tujuan masukkan ikan bilis apabila sambal telah sejuk ialah untuk mengekalkan kerangupan ikan bilis di dalam sambal. Kalau digaul semasa sambal masih panas, ikan bilis akan lemau.
  6. Nikmati dengan nasi panas. 

NOTA NAZ: 
  • Sambal goreng tempoyak ni memang sedap sangat kalau dibuat pedas-pedas. Biasanya Naz memang suka sambal yang betul-betul kawww!! Jadi ikutlah lidah masing-masing ye.
  • Bahan-bahan di atas tu hanya sebagai garis panduan saja. Boleh saja diubah suai supaya menjadi lebih sedap mengikut selera masing-masing.
  • Kalau gantikan ikan bilis dengan udang pun sedap.
SELAMAT MENCUBA!

Wednesday, 6 July 2011

SAMBAL BELACAN BUAH BACANG


Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Buah bacang ke buah macang?? Emmm.. mana-mana pun tak apalah kan. Tapi Naz memang selalu panggil buah bacang. Tengah musim buah ni sekarang di sini. Merata-rata nampak buah ni dijual. Memang dah lama tunggu buah ni ada. Target untuk buat sambal belacan.

Ingat beberapa tahun lalu, masa Naz buat sambal belacan buah bacang ni. Kalau di luar, memang biasa kita jumpa orang buat sambal belacan menggunakan buah bacang yang dah masak tapi di sini, kebiasaanya orang buat sambal belacan pakai buah mangga yang muda. Masa buat tu, MIL ada di rumah Naz. Bila tengok Naz guna buah bacang yang dah masak untuk buat sambal belacan, terus je MIL kata "Eh! Guna buah yang masak???? Orang biasa guna yang putik Naz..". Naz pula dengan selamba cakap "Memang biasa Naz buat sambal belacan guna buah bacang yang dah masak. Di luar, biasa orang buat macam ni". (Hehehe..menantu yang tak mau mengalah...tapi jangan melawan tau! Berdosa!)

Jadi siap masak lauk, kalau tak silap Naz ayam goreng kicap masa tu, satu jenis hidangan sayur, Naz pun hidanglah dengan sambal belacan buah bacang tadi. MIL makan dulu. Wahhhh..lepas makan baru keluar ayat dari mulut MIL, "Sedap Naz. Mok tak pernah makan sambal belacan dengan buah pauh masak". Hihiihii.. Baru MIL tau kelazatan sambal belacanku. Yelah.. Dari kecil lagi Naz dah biasa makan sambal belacan yang diletak buah bacang masak. Bertambah-tambah nasi MIL makan hari tu bila terkena pukulan sambal belacanku..hehehe..

Jadi kepada yang ingin mencuba, dipersilakan. Buatnya seperti sambal belacan biasa je sebenarnya. Cuma ditambah dengan buah bacang ni dan seimbangkan rasanya.

SAMBAL BELACAN BUAH BACANG
Oleh : Naz's CUTE OVEN, SMALL KITCHEN


Bahan-bahan :

  • 1 biji buah bacang yang masak(sederhana besar)
  • 6 biji cili merah
  • 4-6 biji cili padi
  • 2 inci belacan - dibakar
  • Gula
  • Garam
  • Asam limau nipis/ limau kasturi

Cara-cara :
  1. Kupas kulit buah bacang dan cincang kasar isinya.
  2. Tumbuk cili merah, cili padi dan belacan bakar hingga mendapat teksture yang dikehendaki(sebab ada orang suka sambal belacan yang halus, ada juga yang suka cilinya masih kasar-kasar).
  3. Masukkan gula dan garam. Gaul rata. 
  4. Masukkan pula buah bacang yang telah dicincang kasar tadi. Gaul rata dan rasa masin dan manisnya biar seimbang.
  5. Perahkan jus limau nipis/ kasturi sekiranya suka atau perlu.
  6. Hidangkan.

NOTA :
  • Kepedasan tu boleh adjust ye.. Ikut la lidah masing-masing tahap kepedasannya..
SELAMAT MENCUBA!

Saturday, 21 May 2011

SET NASI AYAM


Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Okey, hari ni nak letak resepi nasi ayam yang biasa Naz buat di rumah. Resepi yang mudah saja.  Sebab anakanda Hani tak sihat, Naz terus kepada resepinya ye!

NASI AYAM & PELENGKAPNYA (untuk 3-4 orang makan)
Resepi Oleh : Naz's COSK

[A] NASI AYAM
 

Bahan-bahan :
  • 2 cawan beras
  • 2 cawan sup ayam atau ikut sukatan air untuk beras anda (resepi sup ayam di bawah)
  • Sedikit serbuk kunyit
  • Daun bawang untuk hiasan
  • Bawang goreng untuk hiasan
Cara-cara :
  1. Basuh beras dan toskan.
  2. Masukkan beras bersama sup ayam dan sedikit serbuk kunyit ke dalam periuk. Gaul rata biar warna kuning sekata. 
  3. Masak seperti memasak nasi biasa.
  4. Setelah masak, sendukkan ke dalam mangkuk nasi dan taburkan dengan hirisan daun bawang dan juga bawang goreng.

[B] SUP

Bahan-bahan :
  • 1/2 ekor ayam (dibersihkan dan dibuang kulitnya)
  • 5 ulas bawang merah 
  • 4 ulas bawang putih
  • 2-3 inci halia (diketuk)
  • 1-2 kiub pati ayam
  • Garam secukup rasa
  • 1 sup bunjut
  • 1 liter air (boleh tambah atau kurangkan ikut keperluan)
  • 2-3 Tbsp minyak jagung untuk menumis (guna minyak masak biasa pun boleh)
  • 20 biji bebola ayam atau bebola ikan
  • Daun sup dan daun bawang (dihiris)
  • Bawang goreng
Cara-cara :
  1. Tumbuk bawang merah bersama bawang putih. 
  2. Panaskan minyak di dalam kuali. Tumis bahan tumbuk bersama halia. Biar naik bau dan layu. 
  3. Masukkan air dan juga ayam. Masukkan juga sup bunjut dan biar hingga menggelegak.
  4. Apabila menggelegak, masukkan kiub pati ayam dan garam. Rasakan masinnya.
  5. Apabila ayam telah empuk, keluarkan dan masukkan ke dalam mangkuk besar.
  6. Keluarkan sedikit sup ayam untuk memasak nasi.
  7. Lebihan sup kemudian dicampurkan bebola ayam atau bebola ikan ke dalamnya. Biar seketika hingga sebati. Tutup api.
  8. Hidangkan ke dalam mangkuk menghidang bersama hirisan daun bawang dan daun sup serta bawang goreng.

[C] AYAM 

Bahan-bahan :
  • Ayam dari sup di atas
  • Kicap manis
  • Minyak masak untuk menggoreng
Bahan tambahan (optional) :
  • 4 inci halia*
  • 2 ulas bawang putih* 
  • 3 ulas bawang merah* (* ditumbuk lumat)
Cara-cara :
  1. Ayam yang dikeluarkan dari sup tadi, diperap dengan kicap manis. Gaul rata kicap tersebut biar menyaluti rata ayam. Sekiranya suka boleh diperap bersama dengan bahan tambahan di atas sekali. 
  2. Panaskan minyak secukupnya di dalam kuali dan goreng ayam. Tidak perlu menggoreng terlalu lama kerana ayam telah masak semasa di dalam sup tadi.
  3. Ayam yang telah masak dipotong atau dihentak sedikit dan masukkan ke dalam pinggan menghidang. Tuangkan lebihan kicap perap yang masih berbaki dari dalam mangkuk perap.

[D] SAMBAL CILI


Bahan-bahan :
  • 5 batang cili merah
  • 4 ulas bawang putih
  • 1/2 cawan air masak
  • 2-3 Tbsp sos tomato
  • 1 Tbsp sos cili
  • 1 tsp gula pasir
  • 1 tsp garam halus
Cara-cara :
  1. Bahan-bahan di atas, dimasukkan ke dalam mesin pengisar dan kisar halus. Sesuaikan rasa sambal cili ini mengikut kesesuaian anda. 
  2. Hidangkan ke dalam mangkuk hidangan.

[E] KICAP NASI AYAM
Bahan-bahan :
  • Sedikit sup dari sup di atas
  • Kicap manis secukupnya
Cara-cara :
  1. Masukkan sedikit sup dari sup di atas ke dalam mangkuk hidangan.
  2. Tambahkan ke dalamnya kicap manis. Sesuaikan rasanya mengikut kehendak masing-masing.
[F] ULAM-ULAMAN


Bahan-bahan :
  • 2 batang timun
  • 2 biji buah tomato
  • 1 rumpun salad
Cara-cara :
  1. Basuh dan kupas kulit timun. Hiris ikut suka. 
  2. Basuh buah tomato dan hiris mengikut kehendak anda.
  3. Basuh daun salad sehelai demi sehelai dan susun ke dalam pinggan.
  4. Hidangkan ulam-ulaman bersama set nasi ayam yang lain.
SELAMAT MENCUBA!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...