Selamat datang kepada semua pengunjung blog CUTE OVEN, SMALL KITCHEN. Diharap dengan kunjungan anda dapatlah kita berkongsi ilmu disamping menambah kenalan. Terima kasih atas kesudian bertandang ke sini.

Untuk makluman, di dalam blog ini sukatan cawan adalah menggunakan cawan metrik manakala sukatan sudu pula 98% adalah menggunakan sudu metrik.
Bagi yang sering bertanya apakah 'Tbsp' dan 'tsp'; 'Tbsp' = tablespoon & 'tsp' = teaspoon.

Thursday, 13 October 2011

STRAWBERRY CHEESE TART


Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Strawberry cheese tart yang dibuat untuk anak-anak di rumah ni.. Ok, malas nak membebel panjang-panjang. Terus jer kepada resepi yang ditungkil dari blog kak Azita Zain dan juga dirujuk dari blog Mas.

STRAWBERRY CHEESE TART
(a) PASTRY/ TART SHELL/ CRUST
Sumber Resepi : Kak Azita Zain ~ AZITA KITCHEN
Sumber Rujukan : Mas ~ Duniaku

Bahan-bahan :
  • 170 gm majerin
  • 50 gm gula icing
  • 1 biji telur gred C
  • 1 sudu teh asen vanilla
  • 290 gm tepung gandum
Cara-cara :
  1. Pukul majerin dan gula dengan senduk kayu (Naz guna balloon whisker). Jangan lama sangat.
  2. Masukkan telur dan asen vanilla. Pukul lagi.
  3. Masukkan tepung sedikit demi sedikit. Uli hingga menjadi doh yang lembut. Kuantiti tepung bergantung kepada kelembutan doh.
  4. Ambil sedikit adunan dan tekan ke dalam acuan tart. Kemaskan doh di dalam acuan tart dan potong lebihan doh dengan pisau di bahagian tepi-tepi acuan tart(petty tin). Cucuk dasar doh dengan garfu sebelum dibakar.
  5. Bakar pada suhu 170C sehingga masak (Naz bakar selama 15 minit sehingga doh bertukar menjadi warna perang menggunakan api atas dan bawah).
  6. Sejukkan sebelum disimpan di dalam bekas kedap udara sekiranya tidak digunakan terus.
Nota :
Jika menggunakan telur gred B, buang sedikit putih telurnya untuk mengelakkan crust menjadi terlalu keras.


(b) CREAM CHEESE FILLING

Bahan-bahan :
  • 250 gm cream cheese
  • 50 gm gula kastor
  • 1 biji telur saiz B
  • 1/2 sudu teh asen vanilla/ asen lemon

Cara-cara :
  1. Putar cream cheese dan gula hingga berkrim.
  2. Masukkan telur dan esen vanilla. Putar lagi.
  3. Masukkan filling ke dalam kulit tat.
  4. Tuang atau pancitkan (jika menggunakan piping bag) cream cheese ke atasnya. Bakar selama 5 minit pada suhu 170 C. Sentuh cream dengan hujung jari. Jika tidak melekat, maknanya telah masak. Jika tidak, bakar dalam seminit lagi.

Filling/ Inti :
Strawberry @ blueberry @ kiwi @ oren @ lain-lain lagi.


CARA MENYEDIAKAN CHEESE TART
  1. Tart crust yang sedia untuk dibakar.
  2. Tart crust yang telah siap dibakar dan disusun ke dalam loyang untuk proses seterusnya.
  3. Isikan filling ke dasar crust. Lebih banyak filing, lebih sedap!
  4. Pacitkan adunan cream cheese filling ke atas filling tadi.
  5. Untuk melorek, ambil sedikit adunan cream cheese dan titikkan dengan beberapa titik pewarna.
  6. Sekiranya menggunakan strawberry filling untuk lorekan atas cream cheese tu, picitkan strawberry filling yang telah dimasukkan ke dalam piping bag ke atas cream cheese. Sila abaikan no 7 dan no 8 jika menggunakan strawberry filling. (Ni ikut Mas)
  7. Kacau rata-rata hingga mendapat warna yang diinginkan.
  8. Dengan menggunakan pencungkil gigi, buat garis-garis kecil di bahagian tepi.
  9. Bilangan garis-garis kecil tersebut mengikut citarasa sendiri (lebih banyak lebih cantik).
  10. Kemudian dengan menggunakan bahagian tajam lidi, tarik daripada atas ke bawah untuk mendapatkan bentuk tersebut.
  11. Bakar selama 5 minti. Siap!!

Tips untuk mendapatkan cistat yang gebu dan montok (mengikut pengalaman Kak Azita Zain ~ AZITA KITCHEN) :
  1. Jangan simpan cream cheese di tempat sejuk beku (freezer).
  2. Keluarkan cream cheese 30 - 40 minit sebelum digunakan. JANGAN biarkan cream cheese mencapai suhu bilik.
  3. Isi adunan cream cheese ke dalam piping bag untuk memudahkan proses mengisi adunan ke dalam crust.
  4. Picitkan adunan hingga penuh (sampai ke bahagian sisi crust).
SELAMAT MENCUBA! 

Wednesday, 12 October 2011

TART SHELL (Resepi Azita Zain)


Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Tersengih-sengih sendirian bila baca komen-komen yang awal tu ketika entry ni yang tak siap diedit, tidak dimasukkan gambar telah ter'publish'. Masa sedang buat posting ni, kena bersiap-siap keluar rumah sebab ada hal. Masa tu memang hubby dan anak-anak semua ada di rumah. Tak taulah tangan siapa yang dah tolong mem'publish'kan entry yang tak siap ni masa tu. Memang tak perasan sungguh. Aduh!!! Buat malu jer..hehehe... Nasib baik tak ramai yang sempat tengok.  

Bila buka komputer dan nak edit semula entry ni, baru terperasan yang entry tak siap ni, dah ter'publish'. Cepat-cepat pergi 'save'kan tapi dah ada beberapa komen yang kehairanan dengan posting yang ganjil ni..hahahaha.. SORRY yer...^_^

Okey, untuk posting ni, Naz cuma masukkan hasil dan resepi pastry tart crust dari kak Ita ni. Untuk yang dah siap diletak filling kejunya, akan Naz masukkan dalam entry yang berlainan. 



PASTRY/ TART SHELL/ CRUST

Bahan-bahan :
  • 170 gm majerin
  • 50 gm gula icing
  • 1 biji telur gred C
  • 1 sudu teh asen vanilla
  • 290 gm tepung gandum



Cara-cara :
  1. Pukul majerin dan gula dengan senduk kayu (Naz guna balloon whisker). Jangan lama sangat.
  2. Masukkan telur dan asen vanilla. Pukul lagi.
  3. Masukkan tepung sedikit demi sedikit. Uli hingga menjadi doh yang lembut. Kuantiti tepung bergantung kepada kelembutan doh.
  4. Ambil sedikit adunan dan tekan ke dalam acuan tart. Kemaskan doh di dalam acuan tart dan potong lebihan doh dengan pisau di bahagian tepi-tepi acuan tart(petty tin). Cucuk dasar doh dengan garfu sebelum dibakar.
  5. Bakar pada suhu 170C sehingga masak (Naz bakar selama 15 minit sehingga doh bertukar menjadi warna perang menggunakan api atas dan bawah).
  6. Sejukkan sebelum disimpan di dalam bekas kedap udara sekiranya tidak digunakan terus.
Nota :
Jika menggunakan telur gred B, buang sedikit putih telurnya untuk mengelakkan crust menjadi terlalu keras.


SELAMAT MENCUBA!

Saturday, 8 October 2011

PAU GEBU WATER ROUX


Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dah lama rasanya tak buat pau. Dulu masa ternampak Anna (Anna Qaseh Az-Zahra) buat pau ni dah berkira-kira nak buat tapi tak juga terbuat-buat. Jadi bila ada kesempatan buat pau sekarang, terus je cari resepi Pau Gebu Water Roux ni di dapur cyber Anna.

Resepi asal datangnya dari dapur cyber Ros (Bukan Sekadar Masakan). Pau ni memang gebu betul. Saling tak tumpah seperti namanya. Gebu, halus, mulus dan lembut jer. Kejadiannya pun montok-montok aje. Dengan warnanya yang putih mulus dan melepak. Hishhhh..memang kena buat lagi ni.

Naz buat 500 gm tepung tu dengan dua jenis inti. Inti kelapa dan juga inti kacang merah. Yang inti kacang merah ni memang wajib buat sebab anak-anak memang suka sangat pau dengan inti kacang merah ni. Dapat banyak juga hasilnya untuk kami seisi rumah yang tak berapa ramai ni. Kekenyangan Husna sampai tak makan dinner malam tadi.



Jadi selepas kukus dan sejuk, Naz simpan sebahagian pau ke dalam bekas dan masukkan ke dalam peti sejuk beku (freezer). Nanti bila nak makan, cuma keluarkan dan kukus semula.

Okey resepi seperti biasa akan menyusul. Naz tambah susu tepung ke dalam resepi supaya pau ni jadi lebih berkhasiat dengan zat kalsium. Kan bagus tu untuk diri sendiri dan juga anak-anak. Penambahan susu tepung ni tak menjejaskan langsung rasa pau yang montok ini. 

PAU GEBU WATER ROUX
Resepi Asal Oleh : Ros ~ Bukan Sekadar Masakan

Bahan-bahan Pau :
  • 500 gm tepung pau
  • 3 sudu besar shortening**
  • 220 ml air suam + 1 tsp garam
  • 3 sudu besar gula
  • 2 sudu besar baking powder
  • 4 sudu besar water roux (Naz guna semua water roux yang telah dibuat ~ resepi water roux ada di bawah)
  • 1 1/2 sudu teh yis
  • 2 sudu besar susu tepung (Naz tambah)
**Nota dari Ros : Bagi mendapatkan pau yang putih selepas dikukus, jangan gunakan majerin atau minyak bagi menggantikan shortening


Cara-cara :
  1. Masukkan semua bahan ke dalam bekas adunan dan uli sehingga tidak melekat di tangan, (nak guna BM pun boleh). Pastikan doh elastik ye. Kemudian perap dalam 40 minit atau sehingga satu jam. Tumbuk-tumbuk doh untuk keluarkan angin. 
  2. Bahagi doh kepada beberapa bebola kecil dan masukkan 2 sudu kecil inti kegemaran dan tutup kemas. Ulangi langkah tadi hingga doh habis digunakan.
  3. Lapik pau dengan baking sheet atau daun pisang (Naz guna kertas A4 jer) dan biarkan pau naik dua kali ganda, lebih kurang 1 jam.
  4. Panaskan pengukus dan pastikan air betul-betul mendidih. Kukus pau dengan api sederhana, tak perlu api terlalu besar. Kukus 7-8 minit sahaja bergantung kepada saiz pau.
Variasi Inti Yang Boleh Digunakan :
  • Inti kelapa
  • Inti coklat
  • Inti kacang merah
  • Inti kaya
  • Inti kari daging

Bahan-bahan Water Roux :
  • 25 gm tepung gandum
  • 125 ml air
Cara :
  • Masukkan tepung gandum dan air ke dalam periuk. Kacau sehingga pekat menggunakan api perlahan. Setelah pekat tutup api dan sejukkan sebelum digunakan. (Naz kacau tak sampai 3 minit pun di atas api dapur)
 SELAMAT MENCUBA!

INTI KELAPA


Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Inti kelapa ni banyak kegunaannya. Boleh dijadikan inti untuk kuih dadar/ kuih ketayap. Boleh juga dijadikan inti untuk pau atau roti dan juga bun. 

Jadi ini versi inti kelapa yang biasa Naz buat.

INTI KELAPA
Bahan-bahan :
  • 3 cawan kelapa parut muda
  • 3/4 cawan gula merah
  • Secubit garam
  • Gula pasir(tambahan sekiranya kurang manis)
  • 1/2 cawan air
  • 2 helai daun pandan(disimpul)

Cara :


Masukkan semua bahan di atas ke dalam kuali (kalau guna non stick pan lagi bagus) dan masak di atas api sederhana sehingga sebati dan kelihatan kering. Bab kering ni ikut masing-masing punya kehendak ye sebab ada yang suka inti kebasahan sikit dan ada yang suka inti kering. So pandai-pandai lah adjust sendiri.

SELAMAT MENCUBA!

Friday, 7 October 2011

NASI LEMAK & SAMBAL TUMIS SOTONG


Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Mak aiiiii... Bersawang dah blog ni..Hehehe.. Lama tak dapat mengupdate blog dengan entry-entry yang baru. Ni nak minta dak Izah Muffin Lover tu tolong bersihkan sawang-sawang yang banyak di blog. Boleh ker Izah??^_^ hehehe..

Ok terus jer kepada resepi hari ini. Disebabkan resepi ni namanya nasi lemak, jadi kita cuba kurangkan lemak-lemak yang banyak di dalam resepi. Naz masak nasi lemak ni menggunakan campuran santan cair dengan susu segar rendah lemak. Rasanya tetap sedap. Mungkin lain kali boleh gantikan terus santan tu dengan susu segar rendah lemak pula. 

Untuk bahan sampingan seperti biasalah, ikut selera masing-masing. Cuma tang telur tu, encik hubby sebenarnya lebih suka telur goreng tapi sebab isteri tercinta dia ni nak kurangkan kalori dalam menu ni, jadi telur tu direbus sahaja. 

NASI LEMAK

Bahan-bahan :
(a) Nasi Lemak
  • 2 cawan beras
  • 1 cawan santan cair
  • 1 cawan susu rendah lemak
  • Air sekiranya perlu 
  • 3 ulas bawang merah - dimayang
  • 1 inci halia - dimayang atau diketuk saja
  • 2 helai daun pandan - dibasuh dan disimpul
  • 1/2 sudu teh garam
Cara-cara :
  1. Basuh beras dan toskan.
  2. Masukkan beras, santan, susu rendah lemak dan bahan-bahan lain di atas ke dalam periuk dan masak nasi seperti biasa. 
  3. Setelah masak boleh dihidangkan bersama dengan sambal tumis, ikan bilis goreng, telur rebus dan potongan timun.

(b) Sambal Tumis Sotong

  • 500 gm sotong segar - disiang, dibersihkan dan dicuci
  • 15 tangkai cili kering* ATAU 1 cawan cili kering yang telah dikisar
  • 4 ulas bawang merah*
  • 3 ulas bawang putih*
  • 1 sudu kecil belacan*
  • 1 labu bawang besar - dihiris kasar
  • 1 sudu kecil asam jawa dibancuh dengan 1/3 cawan air
  • Garam dan gula 
  • Minyak masak
Cara-cara :
  1. Panaskan 1 sudu besar minyak di dalam kuali. Masukkan sotong yang telah disiang. Biar hingga sotong kecut dan keluar airnya. Boleh tunggu hingga airnya sedikit kering. Angkat dan ketepikan.
  2. Kisar bahan-bahan bertanda * di atas. Panaskan minyak masak di dalam kuali. Tumis bahan-bahan kisar hingga kering. Apabila kering, masukkan bawang besar yang dihiris kasar. Biar seketika.
  3. Masukkan air asam jawa, garam dan juga gula sekiranya perlu. Masukkan sotong tadi dan tunggu hingga menggelegak dan sambal sedikit pekat. Tutup api.
(c) Bahan-bahan lain :
  • Telur rebus
  • Ikan bilis goreng
  • Timun yang dihiris 
  • Kangkung celur sekiranya suka
Hidangkan nasi lemak bersama sambal tumis serta bahan-bahan sampingan yang lain.

SELAMAT MENCUBA!

Monday, 26 September 2011

PUDING ROTI MARBLE LAGI...


Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Resepi ulang tayang je ni. Tapi gambar bukan gambar ulang tayang. Puding roti yang sedap ni, Naz buat lagi sekali untuk anakanda Haris bawa ke sekolah untuk jamuan hari raya di kelasnya. Haris cakap sedappp.. Bila balik rumah hari tu dari sekolah siap tanya, "Ada lagi ke ummi kuih tu?". Nasib baik masih ada lagi baki puding yang dia bawa ke sekolah tu. Memang Naz tinggalkan sikit untuk santapan orang di rumah ni.

Ok, resepi sama je dengan puding sebelum ni. Cuma kali ni, selain menggunakan serbuk koko pada salah satu bahagian adunan, Naz gunakan 2 jenis pewarna untuk 2 bahagian adunan lagi iaitu hijau dan oren.

PUDING ROTI MARBLE
Bahan-bahan :
  • 10 gm serbuk agar-agar
  • 1/2 cawan gula pasir
  • 3 cawan air
  • 4 keping roti *
  • 2 biji telur ayam *(telur ayam tau! bukan telur itik atau lain-lain..hehehe)
  • 1/2 cawan susu pekat manis *
  • 1 tin susu cair (400ml) *
  • 1 sudu teh asen vanilla *
  • 2 sudu besar majerin (tak perlu dicairkan dulu sbb bila masuk dalam adunan, ia akan mencair sendiri)
  • 2 sudu besar serbuk koko ATAU 1/4 cawan serbuk milo
  • 1 atau 2 pewarna kesukaan


Cara-cara :
  1. Masak serbuk agar-agar dan juga gula bersama air di atas api dapur.
  2. Sementara itu, masukkan bahan-bahan bertanda * ke dalam mesin pengisar(blender) dan kisar halus. (Pastikan mesin pengisar anda tak ada rasa cili yer.. Nanti jadi puding cili marble pulak..hihihi)
  3. Tuang bahan kisar ke dalam larutan agar-agar yang mendidih.
  4. Kacau sentiasa hingga larutan agak pekat.
  5. Masukkan majerin dan kacau hingga larutan menggelegak. Tutup api dapur.
  6. Bahagi larutan puding kepada 3 bahagian. Satu bahagian dicampurkan dengan serbuk koko dan digaul sebati, satu bahangian dicampur dengan pewarna pilihan dan satu bahagian dibiarkan dengan warna asal atau boleh juga kalau nak diwarnakan.
  7. Basahkan loyang atau acuan pilihan dan sendukkan larutan puding berselang-seli setiap bahagian. Sendukkan adunan terus menerus, maknanya tak perlu tunggu keras adunan yang dah disendukkan ke dalam loyang tu. Kalau nak dapatkan corak seperti di atas tu, sengetkan loyang dan sendal loyang tu di salah satu hujungnya supaya tak jatuh. Kemudian mulalah menyenduk adunan berselang-seli hingga habis digunakan. Kembalikan loyang pada kedudukan asal dan biar puding keras.
  8. Masukkan ke dalam peti sejuk. Hidangkan sejuk-sejuk memang sedap.
SELAMAT MENCUBA!

Saturday, 24 September 2011

SAMBAL TUMIS UDANG DENGAN PETAI


Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Lama sungguh rasanya tak beli udang segar di pasar. Jadi bila dah beli tu terus je dimasak sementara udang tu masih terasa manisnya. Encik hubby siap belikan 3 papan petai bersama udang ni. Haiii...faham-faham jer la nak dimasak apa dengan udang tu kalau dah ada petai. Masak sambal tumis udang lah.. apa lagi kan.

Naz kalau masak sambal tumis, memang letak banyak cili kering sebab encik hubby suka sambal tumis yang banyak sambalnya. Jadi resepi yang mudah ini ada di bawh ye.

SAMBAL TUMIS UDANG DENGAN PETAI
Oleh : Naz COSK @ ovenkecil.blogspot.com


Bahan-bahan :

  • 500 gm udang segar - dibersihkan
  • 2 - 3 papan petai - ambil isinya
  • 15 sudu besar cili kering kisar - tambah lagi untuk sambal yang lebih banyak
  • 4 ulas bawang merah
  • 3 ulas bawang putih
  • 1 tsp belacan
  • 1 labu bawang besar - dimayang kasar
  • 1 sudu besar asam jawa - dibancuh dengan sedikit air
  • Garam dan gula
  • Minyak masak untuk menumis

Cara-cara :
  1. Tumbuk lumat bawang merah. bawang putih dan belacan. Kemudian campurkan dengan cili kering kisar. Boleh juga kalau dikisar bawang merah, bawang putih dan belacan bersama cili kering di dalam pengisar.
  2. Panaskan minyak di dalam kuali. Tumis bahan tumbuk/ bahan kisar hingga garing dan wangi.
  3. Masukkan bawang besar. Biar seketika sambil dikacau-kacau. 
  4. Masukkan air asam jawa, udang dan petai. Biar sehingga udang masak sepenuhnya dan petai sedikit layu.
  5. Masukkan garam dan sedikit gula. Rasalah ikut lidah masing-masing yer.
SELAMAT MENCUBA!

Wednesday, 21 September 2011

KARI AYAM TANPA SANTAN


Assallamualikum dan salam sejahtera.

Semenjak cuba masak kari tanpa santan dulu, tekak makin suka pula kari yang tak letak santan. Encik hubby pun suka kari yang tiada santan. Kurang sikit muak katanya walaupun makan banyak. Naz pun lagi suka sebab  boleh kurangkan lemak dalam masakan dan lebih senang kerja memasak. 

Ok, ini salah satu resepi kari ayam tanpa santan yang Naz buat. Ada beberapa cara lagi yang akan Naz masukkan entrynya lain kali.

KARI AYAM TANPA SANTAN

Bahan-bahan :
  • 1/2 ekor ayam - dipotong kecil dan dibersihkan
  • 1 labu bawang besar*
  • 4 ulas bawang putih*
  • 1 inci halia* - bahan bertanda * ditumbuk bersama
  • 1-2 ulas bawang merah - dihiris nipis-nipis
  • 1 biji buah tomato - dipotong menjadi kiub-kiub kecil
  • 2 inci kulit kayu manis
  • 2 biji buah pelaga
  • 1 kuntum bunga lawang
  • 4 sudu besar serbuk rempah kari ayam
  • 2 batang daun kari
  • 1 sudu besar asam jawa - dibancuh dengan sedikit air
  • 2 biji ubi kentang - dikupas dan dibelah 4
  • Air secukupnya
  • Garam
  • 1 sudu teh gula
  • Minyak masak atau minyak jagung

Cara-cara :
  1. Panaskan minyak masak. Tumis kulit kayu manis, buah pelaga dan bunga lawang. Biar seketika.
  2. Masukkan bahan tumbuk dan biar hingga wangi dan layu. Kemudian masukkan bawang merah yang dihiris nipis bersama buah tomato dan juga daun kari. Biar lagi dan kacau sesekali supaya tidak hangit.
  3. Masukkan serbuk kari dan sedikit air sambail dikacau-kacau. Agak-agaklah bila masukkan air tu ye. Jangan banyak sangat. Cukup sekadar menjadikan serbuk kari tu pes. Biar di atas api hingga pecah minyak. Sambil tu, sesekali kacau agar tidak hangit.
  4. Masukkan ayam dan tambah sedikit air agar tidak kering. Biar hingga daging ayam sedikit kecut.
  5. Masukkan air asam jawa dan air biasa hingga mencukupi. Masukkan juga ubi kentang. Biar hingga kentang empuk dan gulai mendidih serta pekat.
  6. Masukkan garam mengikut citarasa dan juga gula. Tutup api.
SELAMAT MENCUBA!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...