Selamat datang kepada semua pengunjung blog CUTE OVEN, SMALL KITCHEN. Diharap dengan kunjungan anda dapatlah kita berkongsi ilmu disamping menambah kenalan. Terima kasih atas kesudian bertandang ke sini.

Untuk makluman, di dalam blog ini sukatan cawan adalah menggunakan cawan metrik manakala sukatan sudu pula 98% adalah menggunakan sudu metrik.
Bagi yang sering bertanya apakah 'Tbsp' dan 'tsp'; 'Tbsp' = tablespoon & 'tsp' = teaspoon.

Sunday, 3 April 2011

KARIPAP BAKAR


Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Cuma menu yang mudah hari ini. Karipap bakar. Resepi di bawah ni dapat lebih kurang 8-10 biji karipap saiz biasa tu. 

KARIPAP BAKAR
Resepi Oleh : Naz's CUTE OVEN, SMALL KITCHEN

[A] Bahan-bahan Doh :
  • 1 cawan tepung gandum
  • Secubit garam
  • 80 gm mentega
  • Air sejuk dari peti sejuk secukupnya

Cara-cara :

  1. Gaulkan tepung gandum dengan garam.
  2. Masukkan mentega dan gaul hingga menjadi seperti serbuk roti.
  3. Masukkan air sedikit-sedikit sambil menguli hingga menjadi doh. Balut doh dengan plastik pembalut makanan dan simpan di dalam peti sejuk. Keluarkan 10-15 minit sebelum digunakan untuk membentuk karipap. 
  4. Canai doh dan terap doh menjadi bulat. Isikan inti di tengah doh dan kelim tepi-tepinya dengan kemas. Susun karipap di atas loyang pembakar dan bakar dalam oven pada suhu 200 C selama 20 minit atau hingga karipap bewarna keperangan.

[B] Bahan-bahan Inti :
  • 4 biji kentang saiz sederhana (didadu kecil)
  • 1 cawan daging cincang
  • 1/2 biji bawang besar (dicincang)
  • 3 biji bawang merah (ditumbuk)
  • 2 ulas bawang putih (ditumbuk)
  • 1/2 inci halia (dicincang)
  • 2 Tbsp serbuk kari daging
  • Air secukupnya
  • Garam secukupnya
  • Sedikit daun sup (dihiris)
  • Sedikit minyak jagung untuk menumis

Cara-cara : 
  1. Panaskan minyak jagung di dalam non stik pan. Tumiskan bahan tumbuk dan juga bawang besar hingga layu. Masukkan rempah kari dan gaul rata atas api sederhana.
  2. Masukkan daging cincang dan gaul sebati. Masukkan pula kentang dan sedikit air dan biarkan hingga air kering dan kentang empuk. Masukkan garam dan kacau sesekali supaya tidak hangit di bahagian bawah. 
  3. Apabila kentang telah empuk dan air telah kering, masukkan hirisan daun sup dan gaul rata. Tutup api dan sejukkan sebelum digunakan.

  

Thursday, 31 March 2011

NASI AYAM PENYET


Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Masak Nasi Ayam Penyet ni untuk santapan famili. Banyak versi rasanya nasi ayam penyet ni..Pelbagai  resepi ada. Ini versi Naz sendiri.. Buat dengan cara yang paling mudah je.

NASI AYAM PENYET
Sumber : Naz's CUTE OVEN, SMALL KITCHEN

[A] Nasi putih

Bahan-bahan :

  • Beras dan 2 helai daun pandan - masak menjadi nasi putih biasa

[B] Ayam penyet


Bahan-bahan :
  • 1/2 ekor ayam (dibuang kulit, dibersihkan dan dipotong ikut suka)
  • 4 inci halia
  • 4 ulas bawang putih
  • 1 Tbsp jintan putih
  • 1 Tbsp jintan manis 
  • 1 tsp serbuk kunyit
  • Garam secukup rasa


Cara-cara :
  1. Tumbuk halia, bawang putih, jintan putih dan jintan manis. Campurkan bahan tumbuk ini bersama serbuk kunyit dan garam; seterusnya gaul dengan ayam. 
  2. Masukkan air dalam pengukus dan susun ayam dalam kukusan. Kukus ayam selama lebih kurnag 15 minit. (air kukusan jangan dibuang - akan digunakan untuk memasak sup).
  3. Setelah masak, panaskan minyak di dalam kuali dan goreng ayam tadi. Tidak perlu terlalu lama kerana isi ayam telah masak semasa proses mengukus tadi.
  4. Angkat ayam dari kuali dan ketuk sebelum dihidangkan.
ayam di dalam kukusan...


[C] Sup bebola ayam


Bahan-bahan :
  • 20 biji bebola ayam - dibasuh dan dibelah 2
  • 2 biji kentang - dikupas kulit, dibasuh dan dibelah 8
  • 4 ulas bawang merah
  • 3 ulas bawang putih
  • 1 inci halia
  • 1 sup bunjut
  • Air dari kukusan tadi
  • 2 Tbsp minyak jagung - untuk menumis
  • Garam secukup rasa
  • Daun bawang dan daun sup untuk hiasan


Cara-cara :
  1. Tumbuk bawang merah, bawang putih dan halia. Panaskan minyak di dalam periuk. Tumis bahan tumbuk hingga layu dan wangi.
  2. Masukkan air dari kukusan tadi bersama sup bunjut. Biar hingga menggelegak.
  3. Masukkan kentang. Bila kentang empuk, masukkan bebola daging ayam dan juga garam. Biar seketika. Tutup api. Taburkan hirisan daun bawang dan daun sup bila menghidang.

[D] Sambal belacan ayam penyet


Bahan-bahan :
  • 2 biji cili merah
  • 10 - 15 biji cili padi
  • 5 biji bawang merah (hiris kasar)
  • 20 gm belacan
  • 1 Tbsp udang kering 
  • 1 biji buah tomato (dibelah 4)
  • 1 Tbsp gula merah
  • Garam
  • Minyak untuk menggoreng
  • Asam limau sekiranya suka

Cara-cara :
  1. Panaskan minyak di dalam kuali. Gorengkan semua bahan satu per satu. Angkat.
  2. Tumbuk atau kisar bahan-bahan gorengan tadi. Sesuaikan rasanya. Perahkan asam limau. Hidangkan dengan nasi, ayam penyet dan juga sup bebola ayam.
SELAMAT MENCUBA!

Tuesday, 29 March 2011

KEK RAMPAI KELAPA


Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Buat Kek Rampai Kelapa ni untuk minum petang. Resepi Naz ambil dari buku Kompilasi Hidangan Kek oleh Nor Aini Zakaria. Sedap rasa kek ni. Makan sambil minum secawan teh "O" lagi sedap..

Naz buat setengah adunan jer dan menggunakan loyang bulat 6.5 inci. Cantik kejadian kek ni dengan warna hijau dan merah kelapa tu..


KEK RAMPAI KELAPA
Sumber Resepi : Chef Nor Aini Zakaria

Bahan-bahan :
250 gm mentega
230 gm tepung kek *
1 tsp serbuk penaik *
(* diayak - A)
200 gm gula kastor
50 gm kelapa parut kering
50 gm air susu
4 biji telur gred A
1 tsp esen vanilla
Sedikit pewarna merah dan hijau


Cara membuat :

  1. Griskan acuan berukuran 8 inci. Lapik dengan kertas serap minyak. Panaskan ketuhar pada suhu 180C.
  2. Kelapa parut kering dibahagi dua dan digaul dengan pewarna merah dan hijau. Biarkan ia kering sebentar.
  3. Pukul mentega dan gula kastor hingga kembang dan putih.
  4. Masukkan telur sebiji-sebiji sambil dipukul hingga sebati. Masukkan asen vanilla.
  5. Kemudian masukkan bahan A sedikit-sedikit sambil dikacau berselang-seli dengan air susu.
  6. Masukkan pula kelapa parut dan gaul lagi hingga rata.
  7. Tuangkan adunan ke dalam acuan. Bakar selama 1 jam.

RUJUKAN :

Nor Aini Zakaria (2010). Kek Rampai Kelapa. Kompilasai Hidangan Kek. Grup Buku Karangkraf Sdn. Bhd. Shah Alam, Selangor.

SELAMAT MENCUBA!

Sunday, 27 March 2011

APPLE PIE


Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Tuan dapur baru dapat bersidang hari ni. Dah jadi macam biskut chips more pulak sekarang. 'Sekejap ada, sekejap tiada'.. heheheee.. Tapi rasanya Naz ni bukannya 'sekejap ada, sekejap tiada' tapi 'sekejap ada, lama tiada..'.haahaaahaaaa...

Nak buat macam mana kan.. Anakanda Maisarah Hani tu dah mula melasak. Tak boleh ditinggal-tinggalkan bermain sendiri. Dah mula suka berdiri tapi tak 'pass' lagi untuk berdiri tanpa berpegang. Yang menjadi masalahnya, bila berjaya berdiri saja, automatik tangannya melepaskan pegangan. Jadi kenalah umminya jadi 'body guard' sepanjang masa supaya tak tersungkur atau tersembam anakandanya tuuu.. Tu tak masuk lagi part mengutip apa je yang dia jumpa di atas lantai dan masuk ke mulut. 

Jadi mulai sekarang ada sedikit kekangan untuk Naz memasukkan entry-entry yang baru. Bila ada kelapangan dan ada kesempatan barulah ada entry. Kalau tidak sunyi sepi je la blog ni.. Apa-apa pun, 'family first..right?'.


Buat pai epal ni atas request kawan(Isma) untuk satu majlis di USM yang melibatkan kakitangan dan pelajar program Dietetik dan Pemakanan. Isma request bagi pihak Dr. Sakinah (bos lama Naz masa kerja di USM dulu). Majlis ni adalah sempena pelancaran buku Dr. Sakinah serta hari kerjaya diet dan 'continues dietetic education'. Isma tempah 3 biji epal pai.. 


Resepi seperti biasa di bawah yer..

APPLE PIE (untuk bekas pai 9 inci)

1) Bahan-bahan untuk pastri :
  • 2  3/4 cawan tepung gandum
  • 1/4 tsp garam halus
  • 2 Tbsp gula pasir
  • 200 gm butter (pada suhu bilik dan potong menjadi kiub-kiub kecil)
  • 1/4 cawan air ais/ air sejuk dari peti ais
Cara-cara :
  1. Dengan menggunakan mixer atau pun tangan, campurkan tepung gandum, garam halus dan juga gula. Gaul sebati.
  2. Masukkan butter dan gaul hingga sebati atau menjadi seperti serbuk roti. 
  3. Masukkan air sedikit demi sedikit sambil terus menguli hingga terhasil doh yang bila dipicit dengan hujung jari, ianya boleh bergumpal dan bercantum.
  4. Uli dengan tangan menjadi bebola dan bahagi dua. Canai setiap doh menjadi rata (tak apa walaupun tebal lagi doh tu. Tujuan supaya senang untuk dicanai selepas dikeluarkan dari peti sejuk apabila nak digunakan). Kalau nak simpan dalam bentuk bebola jer pun tak apa.
  5. Balut setiap doh berasingan dengan plastik wrap dan simpan di dalam peti sejuk sekurang-kurangnya 1 jam.
2) Bahan-bahan untuk inti epal :
  • 1 kg campuran epal hijau(Granny Smith) dan epal merah(Royal Gala)
  • 1/4 cawan gula pasir
  • 1/4 cawan gula perang lembut(soft brown sugar)
  • 1 Tbsp jus lemon
  • Secubit garam halus
  • 1 tsp serbuk kayu manis(ground cinnamon)
  • 1/4 tsp serbuk buah pala(ground nutmeg)
  • 2 Tbsp butter atau marjerin
  • 1 Tbsp + 1 tsp tepung jagung
Cara-cara :
  1. Basuh epal dan kupas kulitnya. Kemudian buang bahagian tengahnya dan hiris-hiris epal tersebut.
  2. Di dalam sebuah mangkuk, masukkan hirisan epal dan tuangkan jus lemon. Gaul rata. 
  3. Masukkan gula pasir, gula perang garam dan taburkan serbuk kayu manis serta serbuk buah pala. Gaul sebati. Tutup mangkuk dengan plastic wrap dan biarkan pada suhu bilik selama 3 jam. Tujuannya supaya air dari buah keluar. Sementara itu, boleh keluarkan doh dari peti ais dan biar pada suhu bilik selama 10 minit untuk memudahkan proses mencanai. 
  4. Setelah 3 jam, toskan buah epal selama lebih kurang 15 minit. Jus yang diperolehi dari buah epal ni jangan dibuang tau! 
  5. Masukkan jus epal ke dalam periuk(lebih elok kalau yang non stik) bersama butter. Atas api sederhana didihkan jus hingga sedikit likat dan menjadi karemel(kelihatan buih-buih yang banyak terhasil). Tutup api.
  6. Masukkan semula hirisan-hirisan buah epal tadi ke dalam mangkuk dan gaul dengan tepung jagung.
  7. Kemudian masukkan jus epal yang telah menjadi karemel tadi. Gaul sebati.
3) Cara menyediakan pai epal :
  1. Canai salah satu doh(yang telah 10 minit dalam suhu bilik) di antara dua helai plastik pembalut sehingga mendapat diameter sekurang-kurangnya 12 inci atau lebih besar dari acuan pai. 
  2. Kemudian alihkan doh dengan cara menggulungkan doh pada rolling pin dan pindahkan ke dalam mangkuk/tin pai dengan cermat. Kemaskan bahagian dalam mangkuk/tin pai. Potong lebihan doh.
  3. Tuangkan inti epal ke dalam mangkuk.
  4. Canai pula satu lagi doh seperti (1). Kemudian seperti (2) alihkan doh menutupi bahagian atas mangkuk/tin pai. Kemaskan bahagian tepi-tepi pai dengan cara mengelim doh menggunakan jari atau dengan menekan doh menggunakan garfu.
  5. Dengan menggunakan pisau, buat beberapa belahan di permukaan pai(seperti gambar di bawah). Tujuannya ialah untuk pengudaraan pai semasa proses pembakaran.
  6. Sapukan permukaan pai dengan telur dan taburkan sedikit gula perang sekiranya suka.
  7. Bakar di dalam oven pada suhu 200 C selama 45-50 minit.  (****Letakkan sehelai aluminium foil di bawah bekas pai pada rak pembakar sebelum membakar. Ini adalah untuk mengelakkan jus yang keluar dari belahan pai dari menitis mengotori oven). Sejukkan dulu sebelum dipotong.



2 biji pai dah selamat masuk ke dalam kotak. Posingkan kejap yang satu tu..


    Thursday, 17 March 2011

    APPLE & DATES CRUMBLE



    Asallamualaikum dan salam sejahtera.

    Wah dah bersawang dapur cyber ku ini rupanya...Heheheeee.. 

    Dua minggu kebelakangan ini tuan dapur sungguh sibuk. Memang tak sempat sangat nak mengemaskini entry. Sibuk dengan anak nak menghadapi ujian di sekolah (biasalah bila anak yang nak exam, ummi dia yang lebih kecut perut, yang lebih-lebih sibuk tengok topik yang perlu diulangkaji hehehe..), sibuk sebab entertain bonda dan ayahanda yang berkunjung dari Melaka, sibuk juga sebab si kecil Hani demam + selsema + batuk, sibuk mengikut hubby outstation ke Pahang (yang ni bukan sibuk tapi menyibuk..kih..kih..kihhh..) dan lagi satu sebab... competition untuk menggunakan komputer amat tinggi terutama bila cuti sekolah menjelma. Mana taknya..komputer hubby sakit. Jadi laptop kesayanganku inilah yang perlu menggantikan kerja-kerja laptop hubby tu. Ingatkan bila hubby dah tak guna laptop sayangku ini, bolehlah nak mengadap pula. Anak-anak pula sibuk nak main game... Saboooo je leeee...

    Nak jalan-jalan ke blog kawan-kawan pun tak sempat. Kalau sempat pun tak sempat pula nak tinggal jejak. Minta maaf ye kawan-kawan.  

    Ni pun suruh anak yang sulung tu berhenti sekejap main game komputer. Dapatlah masukkan satu entry sementara si kecil Hani tengah nyenyak tidur. Kalau tak, tak ada peluang juga kalau si kecil tu tak tidur walaupun tak ada orang yang guna komputer ni.. 




    Buat apple crumble ni malam tadi sebenarnya. Bawa sebagai dessert ke rumah mak mertua sebab kakak-kakak ipar ada berkumpul di sana sempena cuti sekolah ni. 

    Idea nak buat apple and dates crumble ni datang bila terlihat di dapur Dayang Jack. Teringin pula nak buat dan merasanya. Buat pun menggunakan bahan-bahan yang memang ada di dapur rumah jer.. Kalau nak tengok resepi asal boleh klik pada blog DJ ni.. Di bawah ni resepi yang Naz buat malam tadi tapi tak jauh beza dengan yang DJ punya...

    APPLE & DATES CRUMBLE

    Bahan-bahan A :
    4 biji epal (lebih sedap kalau guna epal Granny Smith)
    10 biji buah kurma
    1/4 cawan kismis
    1 Tbsp gula pasir
    1/2 biji lemon (Naz perahkan jus lemon ni sebab Naz guna epal merah) 

    Cara-cara :

    1. Kupas kulit epal dan hiris-hiris seperti di atas. Kalau nak potong dadu pun boleh jugak. Masukkan ke dalam sebuah mangkuk.

    2. Perahkan jus lemon dan campurkan dengan kismis serta buah kurma yang dihiris-hiris.
    Opssss..jangan lupa gulanya sekali.

     
     3. Gaul rata.

     4. Masukkan ke dalam bekas yang sesuai untuk memasak di dalam oven.
    Ketepikan.

    Bahan-bahan B (crumble) :
    1 cawan tepung gandum
    1/4 cawan butter pada suhu bilik
    1/4 cawan gula perang
    1/4 tsp serbuk kayu manis (tak nak letak pun tak apa)

    Chocolate rice dan sugar ball untuk hiasan

    Cara-cara :
     1. Satukan semua bahan kecuali bahan hiasan ke dalam sebuah mangkuk.

     2. Gaul dengan hujung jari hingga menjadi serbuk roti.

     3. Taburkan ke atas bahan A di dalam bekas pembakar tadi rata-rata. Tidak perlu ditekan-tekan atau dimampatkan.

    4. Taburkan bahan hiasan. Naz taburkan juga 1 Tbsp gula perang di permukaan crumble. Bakar dalam oven yang telah dipanaskan pada suhu 175 C selama 30 minit atau sehingga keperangan.


    NOTA :

    Emmmm... memang sedap crumble ni.. Tak rugi mencubanya. Next time nak cuba dengan campuran buah-buahan lain pula. 
    Semasa menjamu di rumah mak mertua malam tadi, ramai pula yang bertanyakan resepinya.. Semua orang cakap sedap.. Terima kasih kerana berkongsi resepi ye DJ!

    Tuesday, 1 March 2011

    KUIH RENGAS aka KUIH KASTURI


    Assallamualaikum dan salam sejahtera.

    Masak kacang hijau ni malam tadi untuk buat kuih rengas ni. Pagi ni gorengkan sikit untuk sarapan. 
    Lebihannya Naz gorengkan separuh masak saja dan disimpan ke dalam freezer.
    Okey, resepi seperti biasa...di bawah..


    KUIH RENGAS aka KUIH KASTURI
    Sumber : Naz's CUTE OVEN, SMALL KITCHEN


    Bahan-bahan inti kacang hijau :
    1 cawan kacang hijau (lebih kurang 200 gm)
    1/2 - 3/4 cawan gula pasir (boleh sesuaikan ikut manis yg dikehendaki)
    1 tsp garam
    1/4 cawan kelapa parut muda
    Air secukupnya untuk merebus kacang hijau

    Bahan-bahan batter :
    2 Tbsp tepung gandum
    6 Tbsp tepung beras
    1 tsp garam
    1 tsp serbuk kunyit
    2 tsp majerin atau mentega
    Air secukupnya

    Minyak masak untuk menggoreng

    Cara-cara :

    1. Basuh kacang hijau dan rebus bersama air hingga lembut dan kembang. Bila dah lembut tu lenyek-lenyek sikit.
    2. Masukkan gula, garam dan kelapa parut. Masak hingga sebati dan adunan kering. Sejukkan.
    3. Bila telah sejuk, bulat-bulatkan adunan sebesar bola golf dan penyekkan sedikit agar leper. Jangan  bulat-bulatkan sebesar bola sepak pula eh! hik..hik..hik..
    4. Bancuh bahan-bahan batter hingga sebati.
    5. Panaskan minyak di dalam kuali. Celupkan adunan kacang hijau tadi dan goreng hingga kekuningan dan garing. Angkat dan sejukkan. Boleh dinikmati.
    NOTA :
    • Kelapa parut boleh diabaikan penggunaannya sekiranya tidak suka.
    • Kuih ni boleh dibuat banyak-banyak dan digoreng separuh masak saja. Kemudian simpankan ke dalam peti ais. Bila tiba masa untuk menikmatinya, gorengkan saja kuih ini hingga garing.
    SELAMAT MENCUBA!

    Sunday, 27 February 2011

    NASI LEMAK SERAI



    Assallamualaikum dan salam sejahtera.

    Masak nasi lemak hari ini. Cuma kali ni, tak guna daun pandan sebagai pewangi nasi tapi digantikan dengan serai. Dulu pertama kali masak nasi lemak serai ni sebab di rumah Naz, pokok daun pandan dah habis nyawa..Entah apa silapnya, serumpun mati pokok tu. Jadi Naz tukarlah daun pandan kepada serai. Not bad! 
    Mungkin ada juga orang lain yang dah pernah mencuba menggantikan daun pandan kepada serai untuk memasak nasi lemak kan..Wangi jer nasi tu dengan bauan serai.



    Naz lawankan nasi lemak serai ni dengan sambal tumis udang. Request dari hubby. Lepas tu potongkan timun dan masak telur rebus. Anak ke 2 Naz, Maizatul Husna makan bertambah-tambah. Jarang dia makan banyak.



    NASI LEMAK SERAI
    Sumber : Naz's CUTE OVEN, SMALL KITCHEN

    Bahan-bahan :
    2 cawan beras
    2 cawan santan
    3 ulas bawang merah (dimayang halus)
    1 inci halia (dihiris nipis panjang)
    3 batang serai (dititik/ diketuk)
    1 tsp halba
    1/2 tsp garam

    Cara-cara :
    1. Basuh beras dan toskan.
    2. Masukkan semua bahan ke dalam periuk dan masak nasi seperti biasa.
    3. Setelah masak hidangkan bersama dengan sambal tumis udang atau sambal tumis sotong, telur rebus atau telur dadar, ikan bilis goreng, timun atau kangkung celur.


    SELAMAT MENCUBA!                     

    Thursday, 24 February 2011

    KUIH PUTERI MANDI


    Assallamualaikum dan salam sejahtera.

    Haiiii...tetiba tekak rasa nak makan kuih puteri mandi pula. Bahan-bahan memang dah ada. Jadi projekkan aja leee.


    Seperti biasa, kerana di rumah ni ada kanak-kanak, jadi kuih yang boleh diwarnakan perlulah diwarnakan dengan warna-warna ceria. Kalau malas nak warnakan, buat je satu warna...dan dah tentulah warna hijau iaitu perisa pandan.
    Okey seperti biasa, resepi di bawah yer..



    KUIH PUTERI MANDI
    Sumber : Naz's CUTE OVEN, SMALL KITCHEN


    Bahan-bahan [A] :
    1 cawan tepung pulut
    1 tsp air kapur
    Air daun pandan (boleh juga guna esen pandan + pewarna hijau)
    Pewarna merah dan kuning
    Garam halus
    Air secukupnya
    2 helai daun pandan (disimpul)

    Cara-cara :

    1. Tepung pulut dibahagi kepada 3 bahagian. Satu bahagian dicampurkan dengan air daun pandan, sedikit garam dan sedikit air kapur. Uli hingga membentuk doh. Lagi dua bahagian masing-masing dicampur dengan air, secubit garam, sedikit air kapur dan pewarna merah untuk satu bahagian dan pewarna kuning untuk satu bahagian lagi. Uli hingga membentuk doh.
    2. Didihkan air di dalam periuk bersama simpulan daun pandan. Kemudian sediakan satu mangkuk berisi air biasa (untuk meletak doh yang telah dimasak agar tidak melekat antara satu sama lain).
    3. Gentel doh-doh yang bewarna tadi menjadi bebola-bebola kecil dan penyekkan sedikit di tengah-tengah bebola itu (menjadi spt bentuk sel darah merah). Masukkan ke dalam air mendidih di dalam periuk dan biarkan bebola-bebola ini timbul. Apabila timbul, angkat bebola-bebola ini dan masukkan ke dalam mangkuk berisi air biasa tadi. Buat sehingga habis semua doh dimasak.
    Bahan-bahan [B] :
    1 cawan kelapa parut muda 
    1/2 cawan gula perang (brown sugar)
    2 Tbsp gula pasir (boleh tambah lagi jika suka lebih manis)
    1/2 cawan air
    1 helai daun pandan (disimpulkan)

    Cara-cara :
    1. Masukkan air, gula perang dan gula pasir ke dalam periuk bersama simpulan daun pandan. Masak hingga gula larut.
    2. Masukkan kelapa parut dan masak hingga sedikit kering di atas api sederhana. 
    3. Toskan bebola-bebola yang telah dimasak tadi dan masukkan ke dalam adunan kelapa parut. Gaul rata hingga sebati. Tutup api. Tunggu sejuk baru dimakan.
    SELAMAT MENCUBA!
    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...