Selamat datang kepada semua pengunjung blog CUTE OVEN, SMALL KITCHEN. Diharap dengan kunjungan anda dapatlah kita berkongsi ilmu disamping menambah kenalan. Terima kasih atas kesudian bertandang ke sini.

Untuk makluman, di dalam blog ini sukatan cawan adalah menggunakan cawan metrik manakala sukatan sudu pula 98% adalah menggunakan sudu metrik.
Bagi yang sering bertanya apakah 'Tbsp' dan 'tsp'; 'Tbsp' = tablespoon & 'tsp' = teaspoon.

Tuesday, 30 August 2011

SALAM AIDILFITRI 1432 H UNTUK SEMUA


Assallamualaikum dan salam sejahtera.

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI diucapkan kepada semua rakan-rakan
dan pengunjung-pengunjung blog COSK yang beragama Islam di mana sahaja berada.

Maaf dihulur dan ampun dipinta andai dalam senda dan gurau tawa selama ini
ada hati yang terguris dan terluka. Sesungguhnya kita semua insan biasa yang tak akan lari
dari kesilapan. 

Semoga Syawal kali ini membawa seribu rahmat dari Allah SWT kepada semua
dan semoga persahabatan yang terjalin diberkati dan berkekalan..Insyallah.

Sekali lagi, SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI khas dari Naz dan keluarga untuk semua.

Saturday, 27 August 2011

BISKUT CHOCOLATE CHIP FAMOUS AMOS (HOME MADE)



Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Emm..biskut yang dikira terhangat di pasaran sekarang ni rasanya. Naz sendiri pun dah pernah buat dulu. Rasanya memang ummphh.. Dulu buat sebab nak mencuba. Sekarang buat untuk menambah koleksi biskut hari raya tahun ni kerana dah tertawan dengan rasanya.


BISKUT CHOCOLATE CHIP FAMOUS AMOS (HOME MADE)
Sumber Resepi : MrNamie dan Fiza Damia

Bahan-bahan ayak :
  • 280 gm (2 1/4 cawan) tepung gandum
  • 10 gm (3 tsp) serbuk koko
  • 2 Tbsp tepung jagung
  • 1/2 tsp soda bikarbonate
  • 2 Tbsp susu tepung
  • Secubit garam

Bahan-bahan lain : 
  • 250 gm mentega
  • 150 gm gula kastor
  • 1/2 tsp asen vanilla
  • 1 biji kuning telur
  • 100 gm (1/2 cawan) coklat chip - boleh tambah atau kurangkan mengikut citarasa
  • 100 gm sebarang kekacang(walnut, badam, gajus dll yang dicincang) atau kismis - optional dan boleh ditambah atau dikurangkan mengikut citarasa



Cara-cara :
  1. Pukul mentega, gula kastor dan esen vanilla hingga kembang.
  2. Masukkan kuning telur dan pukul rata.
  3. Masukkan bahan-bahan ayak dan kemudian kacau hingga sebati dengan spatula atau tangan.
  4. Masukkan coklat chip dan cincangan kacang atau kismis. Kacau rata.
  5. Sudukan adunan ke atas dulang pembakar. Boleh juga diuli menjadi bebola-bebola kecil dengan menggunakan tangan.  Susun di atas dulang pembakar. PERHATIAN! JANGAN LETAKKAN BEBOLA RAPAT-RAPAT ANTARA SATU SAMA LAIN KERANA BEBOLA INI AKAN MENGEMBANG DAN MELEPER SEWAKTU PROSES PEMBAKARAN.
  6. Bakar pada suhu 160 C selama 15-25 minit bergantung kepada saiz bebola-bebola adunan anda menggunakan api atas dan bawah.
  7. Sejukkan dahulu biskut sebelum disimpan di dalam bekas kedap udara.
SELAMAT MENCUBA!

Friday, 26 August 2011

CORNFLAKES MADU


Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Cornflakes Madu ni antara cookies hari raya yang wajib dibuat setiap tahun. Kalau tak buat, anak-anak mesti tanya. Lagi pun membuatnya tak lah susah sangat. Bahan-bahan pun memang dah ada di rumah ni. Cuma cornflakes saja yang perlu dibeli.

Kebanyakan orang membuat cornflakes madu ni, menambah beberapa bahan seperti kekacang atau badam dan juga kismis. Tapi Naz selalunya buat plain saja. Cuma Naz taburkan sedikit bijan putih dan gula hiasan. Kalau ditambah kekacang, anakanda Husna tak boleh makan sebab dia tak berapa suka kekacang ni terutamanya kacang tanah. Macam allergic pula Husna dengan kacang tanah yang mana bila dia makan saja kacang tanah ni, lelangit di dalam mulutnya akan berasa gatal. Jadi cornflakes madu Naz memang kosong je.

CORNFLAKES MADU

Bahan-bahan :
  • 325 gm cornflakes
  • 200 gm butter
  • 6 Tbsp madu
  • 5 Tbsp gula kastor


Untuk Hiasan :
  • Gula hiasan
  • Bijan putih


Cara-cara :
  1. Panaskan bersama butter, madu dan gula di atas api. Biar hingga butter cair dan semua bahan sebati. Tutup api dan biarkan larutan sejuk sedikit pada suhu bilik.
  2. Masukka cornflakes ke dalam larutan tadi dan gaul hingga rata dan sebati. Taburkan sedikit bijan dan gaul rata lagi.
  3. Isikan ke dalam cawan kertas kecil dan taburkan gula hiasan.
  4. Bakar pada suhu 160 C di dalam oven yang telah dipanaskan selama 10 - 12 minit.
  5. Sejukkan dan kemudian simpan di dalam bekas kedap udara.
SELAMAT MENCUBA! 

Thursday, 25 August 2011

USIA BLOG MENJANGKAU 2 TAHUN


Assallamulaikum dan salam sejahtera.

Tak sempat nak masukkan entry ni pagi-pagi tadi. Jadi dah lewat malam macam ni baru ada kesepatan nak update blog tentang usia blog Naz yang hari ini menjangkau 2 tahun.

Cuma nak ucapkan ribuan terima kasih kepada semua rakan-rakan blog, follower, rakan-rakan fb dan juga semua yang sudi menyinggah blog ini yang secara langsung telah memberi sokongan kepada blog Naz ini. 

Jadi ucapan terima kasih ini Naz tujukan kepada semua rakan taulan yang sudi menjadi sahabat Naz di alam maya ini dan sudi berkongsi-kongsi pengetahuan dalam bidang kulinari ini. Semoga persahabatan ini yang berlandaskan niat yang baik diberkati dan berkekalan. 

Kepada kawan-kawan semua, sudi-sudikanlah terima jambangan buang di atas tu sebagai tanda persahabatan dan terima kasih dari Naz..

Tuesday, 23 August 2011

TEUR MASAK GERAU ASAM


Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Ni adalah lauk yang Naz masak untuk digandingkan dengan Nasi Kuning untuk dinikmati semasa berbuka puasa. Resepi ini Naz tengok cara memasaknya di dalam rancangan "Ketuk-ketuk Ramadhan" yang disediakan oleh Linda Onn.

Asalnya resepi ini menggunakan ikan sebagai bahan utama tapi Naz tukarkan kepada telur mata kerbau. Seperti biasa, resepi dari rancangan ini tidak dinyatakan dengan terperinci jumlah bahan-bahan yang digunakannya. Jadi jumlah bahan yang ada pada resepi di bawah adalah hasil olahan Naz sendiri.

Sedap juga lauk ni. Rasa pedas yang menyengat dan sedikit masam tu memang membuka selera.

TELUR MASAK GERAU ASAM
Idea Asal : Linda Onn dari rancangan "Ketuk-ketuk Ramadhan"
Olahan Resepi Oleh : Naz@CUTE OVEN, SMALL KITCHEN

Bahan-bahan :
  • 4 biji telur ayam - digoreng telur mata kerbau
  • 2 batang serai - diketuk
  • 2 labu bawang merah - dimayang
  • 3 ulas bawang putih - dimayang
  • 1/2 cawan cili kering kisar
  • 2 biji cili merah - dihiris
  • 2 biji cili hijau - dihiris
  • 3-5 biji cili padi - dihiris halus
  • 1 1/2 cawan air asam jawa + 2 tsp belacan
  • Minyak masak
  • Garam dan gula

Cara-cara :
  1. Panaskan minyak dan tumis serai serta bawang merah dan bawang putih. Biar hingga naik bau.
  2. Masukkan cili kering dan biarkan garing sedikit.
  3. Masukkan cili merah, cili hijau dan cili padi. Gaul rata.
  4. Masukkan air asam jawa yang telah dicampur belacan. Biarkan menggelegak.
  5. Rasakan masin dan manisnya.
  6. Masukkan telur goreng tadi dan gaul rata. Matikan api.
SELAMAT MENCUBA!

NASI KUNING


Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Siapa suka tengok rancangan masakan yang dihoskan oleh Sheila Rusly? Rancangan masakan yang kira popular juga tu.. Alaaaa.."Ketuk-ketuk Ramadhan".. 

Naz suka tengok rancangan ni tapi tak dapatlah ikuti setiap episodnya sebab banyak kerja lain juga yang menanti di rumah ni. Minggu lepas Naz tengok Shiela Rusly memasak Nasi Kuning ni. Buatnya simple sangat. Jadi terasa nak mencuba. Lagi pun minggu lepas birthday encik hubby. Saja la jamu orang di rumah ni dengan menu lain sikit bila berbuka puasa. Kebetulan Naz memang dah masak lauk rendang daging. Jadi nasi ni dimakan bersama rendang daging, telur masak gerau asam dan juga acar mentah.

Kalau tengok rancangan tu, selalunya resepi yang diberi tak dinyatakan secara terperinci berapa jumlah atau kuantiti bahan-bahan yang digunakan. Lebih kurang beri idea je kepada kita tentang menu yang ditunjukkan. Lepas tu pandai-pandai sendirilah adjust dan buat ye.

Jadi, resepi yang di bawah ni, Naz tulis secara detail tentang bahan-bahan yang Naz gunakan berdasarkan rancangan "Ketuk-ketuk Ramadhan" tu.


NASI KUNING
Idea Asal : Rancangan Ketuk-ketuk Ramadhan
Diolah Oleh : Naz@CUTE OVEN, SMALL KITCHEN

Bahan-bahan :
  • 2 cawan beras - dibasuh dan ditoskan
  • 2 batang serai - dititik
  • 2 ulas bawang putih - dimayang
  • 1 labu bawang besar - dimayang
  • 1 helai daun pandan - dicuci dan disimpulkan
  • Sedikit garam halus
  • 1/2 cawan susu cair
  • 2 cawan air
  • Sedikit minyak masak untuk menumis
  • 2 tsp serbuk kunyit

Cara-cara :
  1. Panaskan minyak dan tumis bawang merah, bawang putih dan juga serai. Biar hingga wangi.
  2. Masukkan beras dan gaul rata.
  3. Masukkan air dan susu cair.
  4. Masukkan garam dan juga daun pandan. Kacau rata.
  5. Taburkan serbuk kunyit dan gaul rata.
  6. Masak nasi seperti biasa.
  7. Apabila nasi telah kering, taburkan kismis atau gajus sekiranya suka.(part ni, Sheila Rusly tak buat..Naz tambah sendiri).
SELAMAT MENCUBA!

Monday, 22 August 2011

PUDING LAPIS GULA MELAKA


Assallamualaikum dan salam sejahtera semua.

Alhamdulillah..masuk hari ini, dah hari ke 22 umat Islam berpuasa dalam bulan Ramadhan buat tahun ini. Pejam celik..pejam celik..dah tinggal tak lebih dari 7 atau 8 hari lagi untuk kita meninggalkan Ramadhan bagi tahun 1432 H. Setiap orang semakin sibuk dengan persiapan untuk menyambut Syawal pula. Bila difikir-fikirkan, sayu pula rasa hati ni sebab tertanya-tanya, dapatkah aku menempuh satu lagi Ramadhan pada tahun hadapan. Berapa banyakkah lagi bulan Ramadahan yang Allah SWT beri peluang untuk aku hadapinya. Kadang-kadang dalam mengejar urusan seharian, kita terlupa pada persoalan seperti ini. Jadi marilah kita sama-sama berdoa semoga kita semua masih lagi diberi peluang untuk menempuhi banyak lagi episod Ramadhan pada masa hadapan..Insyallah..

Satu lagi juadah puding untuk berbuka puasa. Naz beri sikit pada MIL. Rasa puding ni seakan-akan rasa agar-agar santan gula melaka atau ada sesetengah orang panggil agar-agar gudir. Saja cari penyakit dan buang masa dok melapis agar-agar ni. Ada cara senang, nak buat cara susah pula kan..hehehe..


PUDING LAPIS GULA MELAKA

Bahan-bahan A :
  • 1 paket serbuk agar-agar 10 gm
  • 1 liter air
  • 200 gm gula melaka
  • 2 helai daun pandan - dibasuh dan disimpulkan

Bahan-bahan B :
  • 1 paket serbuk agar-agar 10 gm
  • 1 liter santan
  • 160 gm gula pasir
  • 1/2 tsp garam halus

Cara-cara :
  1. Masakkan bahan-bahan A di atas api hingga mendidih dan gula larut. Tapis dan masukkan ke dalam periuk semula dan biarkan di atas api paling kecil.
  2. Masakkan pula bahan-bahan B di dalam periuk yang lain hingga mendidih dan gula larut. Kecilkan api dan biarkan atas api paling kecil.
  3. Tuang 200 ml larutan agar-agar A ke dalam loyang. Biarkan keras sedikit permukaannya. Tak perlu tunggu hingga keras sepenuhnya. *(Kalau guna bekas kecil-kecil macam Naz, agak-agaklah ye nak tuang banyak mana setiap lapisan).
  4. Kemudian tuang 200 ml larutan agar-agar B ke dalam loyang tadi. Biarkan keras sedikit permukaannya. Buat hingga semua laurtan agar-agar A dan B digunakan secara berselang seli. *(Kalau nak cepat proses ni, setiap kali melapis, masukkan loyang ke dalam peti sejuk supaya setiap lapisan agar-agar cepat beku permukaannya).
  5. Akhirnya, masukkan loyang ke dalam peti sejuk dan biarkan keras sepenuhnya.

SELAMAT MENCUBA!

Sunday, 21 August 2011

BUTTER COOKIES (BISKUT MENTEGA)


Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Satu lagi biskut untuk dibawa ke rumah mak di kampung dan juga untuk MIL. Resepi biskut ni dah lama Naz dok peram dalam folder komputer semenjak tahun 2007 lagi..hahaha.. 

Resepi ni Naz perolehi daripada fotopages kak Hanieliza, salah satu laman web masak-masak yang paling awal dan paling Naz suka jengah dulu semasa baru berjinak-jinak dengan web masakan ni.


Rasa biskut ni sama dengan rasa butter cookies yang biasa dijual di supermarket yang dalam kotak atau tin bulat tu. Alaaaa..selalunya ia ada pelbagai bentuk dalam satu pack. Anak lelaki Naz, Haris sukalah biskut yang Naz buat ni sebab dia memang suka sangat suruh ayahnya belikan butter cookies di supermarket tu.

Malas nak bebel panjang-panjang. Kita terus sahaja kepada resepinya. (Resepi ni Naz oleh sikit cara penyampaiannya).


BUTTER COOKIES
Resepi Asal : Kak Hanieliza

Bahan-bahan :
  • 135 gm butter
  • 60 gm gula kastor
  • 150 gm tepung gandum
  • 30 gm tepung jagung

Cara-cara :
  1. Pukul butter dan gula hingga sebati.
  2. Masukkan tepung gandum dan tepung jagung yang telah diayak sedikit demi sedikit dan uli.
  3. Masukkan adunan ke dalam piping bag roseete (ataupun pam daisy/ bunga cina) dan pamkan ke dalam cawan kertas.
  4. Bakar pada suhu 170 C selama 18-20 minit mengikut oven masing-masing.
  5. Sejukkan dan boleh dihias mengikut citarasa anda.
  6. Simpan di dalam bekas kedap udara.

NOTA :
  • Adunan yang Naz perolehi ni sedikit lembik dan sticky. Jadi Naz masukkan dulu ke dalam peti sejuk selama 15-20 minit dan kemudian baru Naz pamkan ke dalam cawan kertas.

SELAMAT MENCUBA! 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...