Assallamualaikum dan salam sejahtera.
Lauk asam rebus memang menjadi kegemaran Naz dan hubby. Cuma kali ini, Naz letak tempoyak di dalam kuahnya. Resepi ni biasa bonda buat di kampung. Cuma kalau resepi dari ibunda ku ini, tak adalah sukatan-sukatannya. Memang dari kecil lagi Naz dah makan lauk asam rebus tempoyak ni. Sedap bagi yang menggemari tempoyaklah. Buat kuahnya pedas-pedas dan pekat. Makan pula dengan nasi panas. Perghhhhh... Meleleh-leleh peluh dibuatnya.
Naz suka buat kuahnya banyak. Boleh letak dalam mangkuk lain dan dihirup. Bestnyer.. hehehe.. Resepi yang amat mudah jer ni.
ASAM REBUS TEMPOYAK IKAN KEMBUNG
Bahan-bahan :
- 4 ekor ikan kembung - disiang dan dibersihkan
- Bendi - ikutlah nak letak berapa pun
- 2 keping asam gelugor
- 3 batang serai - dititik
- 3-4 cawan air
- 1/2 - 1 cawan tempoyak segar
- Garam dan gula secukup rasa
Bahan-bahan kisar :
- 4 ulas bawang merah
- 3 ulas bawang putih
- 25 biji cili padi - yang ni ikut tahap kepedasan yang anda inginkan
- 2 batang cili merah (kalau tak ada stok, tak bubuh pun)
- 1 inci kunyit hidup
Cara-cara :
- Masukkan bahan-bahan kisar ke dalam periuk bersama air dan serai. Masukkan juga asam gelugor dan tempoyak. Biar hingga menggelegak.
- Kemudian masukkan ikan. Bila ikan hampir masak, masukkan bendi dan garam. Masukkan gula sekiranya perlu. Rasakan ikut selera masing-masing.
SELAMAT MENCUBA!



