Selamat datang kepada semua pengunjung blog CUTE OVEN, SMALL KITCHEN. Diharap dengan kunjungan anda dapatlah kita berkongsi ilmu disamping menambah kenalan. Terima kasih atas kesudian bertandang ke sini.

Untuk makluman, di dalam blog ini sukatan cawan adalah menggunakan cawan metrik manakala sukatan sudu pula 98% adalah menggunakan sudu metrik.
Bagi yang sering bertanya apakah 'Tbsp' dan 'tsp'; 'Tbsp' = tablespoon & 'tsp' = teaspoon.

Friday, 5 November 2010

SELAMAT HARI DEEPAVALI

Example

DI PAGI HARI MENCARI MURUKU,
MURUKU DIBUNGKUS SIMPAN DI SAKU,
KEPADA PENGANUT AGAMA HINDU,
HAPPY DEEPAVALI UCAPANKU UNTUKMU.

Thursday, 4 November 2010

SOTO AYAM


Salam semua. Resepi kali ini dah lama nak letak tapi malas betul nak menaipnya.. Ni angin rajin dah terlebih, tu yang siapkan jugak post untuk resepi kali ini. Ini adalah cara biasa Naz dan family biasa lakukan untuk hidangan SOTO AYAM.

SOTO AYAM
Bahan-bahan Sup Ayam
:
1 ekor ayam
Air secukupnya
5 biji bawang merah
4 biji bawang putih
2 inci halia
1 - 2 sup bunjut
1 - 2 kiub pati ayam
Garam secukup rasa
Sedikit minyak untuk menumis

Cara-cara :
1. Ayam dipotong-potong, dibuang kulitnya, dibersihkan dan ditoskan.
2. Masukkan ayam ke dalam periuk dan rebus di dalam air. Masukkan bersama kiub pati ayam dan juga sup bunjut.
3. Tumbuk bawang merah, bawang putih dan juga halia. Tumis bahan ini di dalam kuali lain sehingga layu dan naik baunya. Kemudian masukkan ke dalam sup ayam yang sedang menggelegak.
4. Rasakan garamnya dan masak hingga ayam empuk.
5. Keluarkan ayam dan racik-racik isinya.


Bahan-bahan begedil daging :

5 ulas bawang merah
Beberapa biji lada hitam
Beberapa biji buah pelaga
Beberapa kuntum bunga cengkih
Sebiji buah pala(pecahkan & ambil isinya sahaja),


200 gm daging cincang
300-400 gm kentang(kupas kulitnya, basuh, hiris dan goreng)
Sedikit daun sup(dihiris)
Garam secukup rasa
Lada sulah (optional)

Cara-cara :
1. Tumbuk bawang merah, lada hitam, buah pelaga, bunga cengkih, buah pala dan juga kentang. Pastikan kentang tu halus ye.
2. Gaulkan bahan-bahan tumbuk bersama lain-lain bahan yang ada hingga sebati.
3. Kemudian bulat-bulatkan seperti di bawah.

4. Pecahkan sebiji telur dan pukul sikit dengan garfu.
5. Panaskan minyak di dalam kuali.
6. Celup begedil yang telah dibulat-bulatkan tadi ke dalam telur dan goreng hingga keperangan. Angkat dan toskan.

Okey, begedil dah siap...



Bahan-bahan Cili Kicap :
20 batang cili padi
4 ulas bawang putih
1/2 cawan kicap manis
Cuka masak



Cara-cara :
1. Tumbuk cili padi bersama bawang putih hingga lumat.
2. Masukkan ke dalam mangkuk.
3. Tambahkan kicap manis dan beberapa titis cuka. Agak-agaklah letak cuka tu. Jangan banyak sangat. Nanti rasa masam pula.

Bahan-bahan Hiasan Lain :
Daun sup dan daun bawang(dibasuh dan dihiris)
Bawang goreng
Taugeh

Bawang goreng...
Taugeh...


Dan jangan lupa meehoon atau nasi impit sebagai bahan utama...Hehehe tak kan nak makan kuah dengan bahan hiasan saja kan...

Okey bila semuanya telah siap, bolehlah dihidang...


CARA MENGHIDANG
Masukkan bahan utama iaitu meehoon atau nasi impit ke dalam mangkuk. Masukkan pula begedil, isi ayam yang diracik, taugeh, daun sup & bawang serta cili kicap Kemudian sendukkan sup ayam sebagai kuahnya. Seterusnya................................... aik tak kan nak kena beritahu jugak...MAKANLAH....Nyum..nyum..nyummmm...

NOTA :
Untuk buat begedil tu, bahan asas dan utamanya ialah daging cincang, kentang goreng dan juga garam. Bagi yang tak gemar rasa rempah dan kawan-kawannya tu, tak letak pun tak apa.
Sukatan kentang dan juga daging cincang tu sebagai garis panduan aje ye. Sebab kadang-kadang kena adjust jugak. Ada kentang yang mungkin lebih sikit kelembapan, jadi pandai-pandailah adjust.
Kalau goreng begedil untuk sesi pertama, jangan goreng sekali banyak. Goreng sikit dulu dan tengok samada begedil pecah tak semasa digoreng. Kalau pecah, untuk gorengan seterusnya, golekkan begedil ke dalam tepung gandum, kemudian celupkan ke dalam telur dan goreng seperti biasa..Insyallah tak pecah. Kalau pecah jugak maknanya nisbah daging cincang kepada kentang kena adjust lagilah tu. Kalau selalu buat, lama-lama expert lah.. Okey selamat mencuba dan selamat menjamu selera..

Wednesday, 3 November 2010

APAM DOT DOT

Salam semua. Haaa.. tak payah beritahu pun, semua tentu dah tahu resepi kuih di atas tu kan. Resepi Apam Dot Dot ni tengah hangat di kalangan blogger rasanya. Naz buat malam tadi untuk sarapan pagi. Satu adunan..., mak oiiiii... banyaknya.. Hai.. Kalau ikut resepi guna acuan kuih lompang tapi memandangkan buatnya pun dah dekat pukul 12 malam, jadi Naz guna acuan muffin. Cepat sikit siapnya.. Bukan apa, acuan kuih lompang Naz sikit jer.. Jadi nak kena ulang banyak kali mengukus... Hai...pukul berapa pulak la nak tidur... Risau si kecil tu pulak kalau terjaga cari ummi dia laaaa... Okey, resepi di bawah..
Opppssss ini tambahan. Baru tahu melalui Hana, rupanya resepi ni disumbangkan oleh Kak Lily. Jadi terima kasih Kak Lily kerana sudi berkongsi resepi ni dengan blogger-blogger semua.

APAM DOT DOT
Bahan-bahan :
3 biji telur - dari peti sejuk
275 gm tepung gandum
220 gm gula halus - (Naz kurangkan kepada 180 gm)
150 gm susu segar
3 tsp baking powder
1 tsp ovallete
1 tsp asen vanilla (Naz tambah)
Filling blueberry secukupnya (Naz gunakan juga jem strawberry)
Pewarna (ikut sukalah berapa jenis warna nak guna)

Cara-cara :
1. Masukkan semua bahan apam ke dalam mangkuk mixer dan pukul kelajuan maxima selama 6 - 8 minit.
2. Bahagikan adunan kepada beberapa bahagian & titiskan pewarna mengikut kesukaan.
3. Masukkan setiap warna ke dalam piping bag atau beg plastik yang bersih.
4. Picitkan sedikit adunan ke dalam mangkuk kertas yang telah disusun didalam acuan lompang.
5. Picitkan blueberry filling secukupnya.
6. Picitkan lagi adunan yang berlainan warna sehingga ¾ penuh.Kemudian dot dot kan dengan warna pilihan.
7. Kukus didalam kukusan yang telah dipanaskan menggunakan api sederhana selama 10-15 minit.


Haaa.. yang ini ibu apam dengan anaknya... :)
Yang ibu guna acuan muffin dan yang anaknya guna acuan lompang.

Ini pun ibu apam dengan anaknya tapi anaknya tak de dot dot ...

Memang dapat banyak apam ni. Anak dara Naz siap bawak bekal pergi sekolah untuk makan dengan kawan-kawannya. Pas tu siap bungkus asing lagi untuk beri pada guru kelasnya.. Hai.. mintak-mintak okey la pada tekak gurunya tu.. Kalau tak, buat malu den yo...

Monday, 1 November 2010

PUDING SAGO DWI WARNA


PUDING SAGO DWI WARNA
Bahan-bahan :

300 gm biji sago putih
2 liter air
2 pewarna pilihan

Cara-cara :
1. Cuci sago.
2. Didihkan air di atas api dapur.
3. Masukkan sago tadi dan masak hingga sago hampir menjadi jernih(warna putih pada sago semakin mengecil). Sambil itu kacau sago dengan senduk agar tidak hangit di bahagian bawah. Tutup api dan biarkan sago 2-3 minit. Biji sago akan terus menjadi jernih sepenuhnya selepas 2-3 minit.
4. Tuang biji sago ke dalam tapisan dan basuh di bawah air mengalir untuk membuang kanji. Toskan.
5. Bahagikan sago kepada 2 bahagian. Titiskan 1-2 titis pewarna pilihan dan gaul sago agar sekata warnanya.
6. Isikan sago ke dalam acuan pilihan dengan 2 lapis warna setiap acuan. Sejukkan di dalam peti ais.

AIR GULA MELAKA
Bahan-bahan :

100 gm gula melaka(dipotong-potong kecil)
1/4 cawan gula pasir
1 cawan air
1 helai daun pandan(basuh dan simpulkan)

Cara :
Masak bahan-bahan di atas hingga gula larut. Tapis.

Bahan lain :
Santan pekat + secubit garam atau susu cair

CARA MENGHIDANG :
Masukkan sago ke dalam mangkuk hidangan. Tuang sedikit santan dan gula melaka mengikut kemanisan yang diingini.

Tadaaaa... Jemput makan..

Saturday, 30 October 2010

MERENDAM DAN MELEMBUTKAN SOTONG KERING


MERENDAM DAN MELEMBUTKAN SOTONG KERING
Bahan-bahan :

Sotong kering
Air abu
Air paip


Cara-cara :
1. Masukkan air abu dan air paip ke dalam bekas untuk merendam sotong kering. Nisbah campuran air abu kepada air paip adalah seperti berikut... 1:10. Maknanya 1 bahagian air abu dicampur dengan 10 bahagian air paip menggunakan penyukat yang sama.
2. Masukkan sotong kering yang keras lagi tu ke dalam campuran air tadi dan biarkan direndam selama 6 jam. (Edited: Try kali ke 2, Nadz just rendam 4 jam saja. Lagi bagus texturenya. Seeking kenyal tapi lembut bila digigit).
3. Setelah 6 jam, sotong dah pun kembang. Keluarkan sotong dan buang campuran air tadi.
4. Rendam pula sotong dengan air panas atau suam untuk lebih kurang 1 jam. Kemudian bilas sotong tadi. Bolehlah dimasak atau disimpan ke dalam freezer(sejuk beku).

NOTA : Kalau nak dapatkan sotong yang lembut, ikut tau cara di atas tu... Jangan derhaka pada tips ni sebab Naz sendiri dah pernah merebus sotong kering di dalam air paip selama lebih kurang 3 jam di atas api dapur dan hasilnya, bila dibuat sambal tumis, sotong ku macam tayar basikal...hehehe.. liat yang amat.. Jadi kalau dah beli sotong kering yang masih kering tu, pergilah cari air abu untuk melembutkan sotong tu.

Air abu tu selalunya dijual di dalam botol kaca. Rupanya sama seperti air paip.

NASI LEMAK & SAMBAL TUMIS SOTONG KERING



NASI LEMAK
Bahan-bahan :

2 cawan beras
2 cawan santan
2 helai daun pandan(dibasuh dan disimpulkan)
1 inci halia(dihiris menjadi 3 keping)
2 ulas bawang merah(dimayang)
Secubit garam

Cara-cara :
1. Basuh beras dan toskan.
2. Masukkan semua bahan lain ke dalam periuk berisi beras dan masak seperti biasa.
3. Setelah masak, hidangkan bersama sambal tumis, telur rebus, ikan bilis goreng dan juga timun.



SAMBAL TUMIS SOTONG KERING
Bahan-bahan :

3 keping sotong kering (dipotong ikut suka)
20 tangkai cili kering(direbus seketika di atas dapur)
6 ulas bawang merah
4 ulas bawang putih
1 inci belacan(boleh abaikan pada yang tidak suka)
1 biji bawang besar(dihiris)
1 cawan air asam jawa
Garam
Gula
Minyak untuk menumis

Cara-cara :
1. Kisar cili kering bersama bawang merah, bawang putih dan juga belacan.
2. Panaskan minyak di dalam kuali. Tumis bahan mesin hingga garing.
3. Masukkan bawang besar dan gaul rata.
4. Masukkan sotong. Biarkan seketika sambil sesekali digaul rata.
5. Masukkan air asam jawa dan biar menggelegak.
6. Masukkan garam secukup rasa dan juga gula. Biarkan sehingga sambal kelihatan pekat.

NOTA : Untuk merendam dan melembutkan sotong kering yang masih kering tu, boleh rujuk di sini.

Tuesday, 26 October 2010

AYAM GORENG MASAK KICAP


AYAM GORENG MASAK KICAP
Bahan-bahan :

1/2 ekor ayam (dibasuh dan dipotong kecil)
3 ulas bawang putih
3 biji bawang merah
2 inci halia
1 labu bawang besar (dimayang)
4 biji kentang (dikupas kulitnya,dicuci dan dihiris)
Kicap manis
Air
Air asam jawa atau cuka masakan

Cara-cara :
1. Panaskan minyak di dalam kuali. Goreng kentang yang telah dihiris. Toskan.
2. Gaul ayam dengan kunyit dan garam. Goreng dan toskan.
3. Tumbuk bawang putih, bawang merah dan halia. Bahan tumbuk ni kalau nak dimayang saja pun boleh.
4. Ambil sedikit minyak untuk menggoreng ayam tadi. Tumis bahan tumbuk dan juga bawang besar yang telah dimayang hingga kelihatan layu.
5. Masukkan kicap manis dan air asam jawa. Kalau tiada air asam jawa, boleh diganti dengan beberapa titis cuka masakan. Masukkan air mengikut kehendak(berapa banyak kuah yang dikehendaki). Adjust lah rasanya ye..
6. Bila kuah telah menggelegak, masukkan ayam dan kentang yang telah digoreng tadi dan gaul rata. Biar seketika dalam 2 minit. Tutup api.
7. Boleh dihidang dengan nasi panas.

Sunday, 24 October 2010

SWISS ROLL BLUEBERRY



Semalam baru beli jem blueberry dari kedai kek. Memang niat nak buat kek swiss roll dengan filling blueberry.

SWISS ROLL BLUEBERRY
Bahan A
:
3 biji telur gred A @ B
2 oz gula castor
1/2 tsp baking powder
1/2 tsp esen vanilla
1/2 TBSP ovallete
1.5 oz tepung gandum
1/2 TBSP susu tepung

Bahan-bahan lain :
2 oz mentega cair
Jem blueberry secukupnya
Buttercream icing yang bewarna ungu


Cara-cara :
1. Pukul Bahan A (kelajuan maxsima) sampai fluffy (7 – 9 min).
2. Asingkan 1 1/2 sudu besar batter dan masukkan ke dalam piping bag dan titiskan beberapa titis pewarna ungu dan gaul sebati. Ketepikan.
3. Masukkan mentega cair ke dalam adunan batter di dalam mixing bowl tadi, kemudian kaup balikkan biar rata.
4. Tuangkan adunan batter ke dalam loyang yang telah dialas dengan kertas kalis minyak kemudian ratakan permukaannya.
5. Paipkan adunan yang diasingkan tadi ke atas adunan yg diratakan dlm loyang dan buatlah corak yang diingini.
6. Bakar dalam ketuhar yang telah dipanaskan terlebih dahulu pada suhu 170 C selama 20 minit, api atas dan bawah.
8. Apabila kek sudah masak, keluarkan dari oven. Letakkan sekeping kertas di atas bahagian yang berlorek kemudian terbalikkan. Keluarkan kertas alas semasa membakar. Sapu permukaan kek dengan jem blueberry dan juga buttercream secara lemah lembut.
9. Gulung kek tadi perlahan-lahan dan cermat.

NOTA : Warna ungu Naz hasilkan dengan mencampurkan pewarna merah dengan biru. Nisbahnya ialah - 2 merah:1 biru. Maknanya, 2 titis merah dengan 1 titis biru. Boleh adjust ikut suka.

Lorekan atau corak pada kek tu, kalau tak buat pun tak apa. Bukan kemestian. Lebih kepada untuk kek kelihatan cantik.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...