Kek Pisang Dua Cara ni telah ada 2 entrynya dengan cara yang berbeza sebelum ini. Boleh rujuk pada link di bawah kalau ingin melihat hasil kek yang telah dipotong :
Untuk kek kali ini, gambar kek yang telah dipotong tiada sebab kek ni Naz buat khas untuk seorang kawan tempat kerja lama dulu. Kek yang Naz buat ni, menggunakan Cara 2 kerana suka sangat dengan hasil kek yang lebih lembut dan gebu serta kek yang diperolehi lebih besar.
Hiasan kek ini pula menggunakan coklat ganache dan juga krim mentega. Di samping itu Naz menggunakan coklat yang dibalut menjadi lebah dan kumbang lady bird yang boleh diperolehi di pasaraya. Cara hiasan kek ini Naz rujuk dari Buku Panduan Asas Menghias Kek tulisan kak Zati.
Sebenarnya hiasan kek ini tidak begitu lengkap. Bunga-bunga di bahagian tepi-tepi kek tu, tak sempat nak dihiaskan bersama daunnya. Ini semua gara-gara anakanda Hani yang mula merengek inginkan deko lebah dan lady bird di atas kek tu. Tangan kecilnya tu dah tak boleh diam dah. Bukannya tak ada coklat kumbang dan lebah yang diberi kepada dia. Cuma dia lebih tertarik dengan kumbang dan lebah yang tertenggek di atas kek tu. Jadi ini sajalah yang termampu disiapkan..hehehe..
Lebah-lebah dan kumbang-kumbang ladybird yang menarik minat Hani. |
Bunga-bunga yang kehilangan daunnya..hehehehe... |
Jadi di bawah ini, Naz masukkan resepi kek dengan kedua-dua cara sekali.
KEK PISANG DUA CARA
Bahan-bahan :
- 125 gm butter
- 2 biji telur gred A @ B
- 3/4 cawan gula perang/ gula kastor
- 3/4 cawan pisang yang dilecek halus
- 2/4 cawan tepung naik sendiri (self raising flour)*
- 3/4 cawan tepung gandum*
- 1 tsp soda bikarbonat* (* ayak bersama)
- 1 tsp ovallate
- 1 tsp asen vanilla
Cara 1 :
- Pukul butter dan gula hingga berkrim.
- Masukkan telur satu per satu sambil memukul rata dan sebati.
- Masukkan ovalette dan terus pukul lagi hingga sebati (updated 14/5/2013, tertinggal langkah ke3 ni).
- Masukkan pisang lenyek dan juga asen vanilla. Pukul pada kelajuan sederhana hingga sebati.
- Masukkan 1/2 bahan ayak dan gaul rata. Masukkan selebihnya dan gaul hingga sebati.
- Masukkan ke dalam loyang yang dialas dengan kertas minyak dan ratakan.
- Bakar dalam oven yang telah dipanaskan pada suhu 175 C selama 40 minit - 1 jam bergantung kepada oven masing-masing.
Cara 2 :
- Cairkan butter dan ketepikan.
- Masukkan gula, ovallate dan telur ke dalam mangkuk pengadun. Putar pada kelajuan tinggi hingga adunan likat dan berkrim selama lebih kurang 3-5 minit.
- Masukkan asen vanilla dan pisang lenyek. Putar lagi hingga rata.
- Masukkan bahan ayak berselang seli dengan butter cair. Gaul rata dan sebati.
- Panaskan oven pada suhu 175C menggunakan api atas dan bawah. Lapik loyang dengan kertas kalis minyak.
- Masukkan adunan ke dalam loyang dan bakar selama 40 minit - 1 jam atau sehingga kek masak.
- Setelah masak, keluarkan loyang kek dari oven dan terus terbalikkan kek bersama loyangnya ke atas redai. Ini untuk mengelakkan permukaan kek menjadi mendap. Biarkan loyang kek kekal pada kek.
- Setelah 10 minit, keluarkan kek dari loyangnya dan biarkan sejuk sepenuhnya sebelum dihias atau dimakan.
SELAMAT MENCUBA!