Selamat datang kepada semua pengunjung blog CUTE OVEN, SMALL KITCHEN. Diharap dengan kunjungan anda dapatlah kita berkongsi ilmu disamping menambah kenalan. Terima kasih atas kesudian bertandang ke sini.

Untuk makluman, di dalam blog ini sukatan cawan adalah menggunakan cawan metrik manakala sukatan sudu pula 98% adalah menggunakan sudu metrik.
Bagi yang sering bertanya apakah 'Tbsp' dan 'tsp'; 'Tbsp' = tablespoon & 'tsp' = teaspoon.

Saturday 15 June 2013

SAMBAL TERUNG DENGAN DAGING


Assallamualaikum WBT dan salam sejahtera.

Masih lagi diberi kesempatan untuk bertemu di arena blogging sambil sama-sama berkongsi resepi-resepi yang bermanfaat untuk setiap orang..insyaAllah.

Resepi sambal terung dengan daging ni merupakan resepi yang sudah lama Nadz nikmatinya semenjak kecil lagi. Memang merupakan menu biasa di rumah. Mudah sangat untuk membuatnya. Masa mula-mula lepas kahwin dulu, bila masakkan untuk encik hubby, terus je dia jatuh hati dengan sambal ni. Mungkin sebab MIL Nadz tak pernah masakkan lauk seperti ini agaknya. Akibatnya, asyiklah request masakkan sambal terung dengan daging ni.

Okey, Nadz kongsikan resepi mudah ini di bawah ye.

SAMBAL TERUNG DENGAN DAGING

Bahan-bahan :
  • 500 gm daging 
  • 5-10 batang terung panjang (ikut la banyak mana nak letak)
  • 5 ulas bawang merah
  • 3 ulas bawang putih
  • 1 inci belacan
  • 1 cawan cili kering kisar 
  • 1/4 cawan air asam jawa
  • 1 batang serai - dititik
  • Garam dan gula mengikut keperluan
  • Minyak 

Cara penyediaan :
  1. Daging dihiris nipis, dicuci dan ditoskan. Garamkan dan kunyitkan daging tersebut.
  2. Terung dipotong ikut suka dan dibasuh. Garamkan dan kunyitkan terung. 
  3. Panaskan minyak di dalam kuali dan goreng terung hingga habis. Kemudian goreng pula daging yang telah dikunyitkan tadi. 
  4. Sementara menggoreng, kisar bawang merah, bawang putih. belacan bersama dengan cili kering kisar.
  5. Kemudian kurangkan minyak di dalam kuali, tinggalkan secukupnya untuk menumis bahan kisar. Tumis bahan kisar hingga garing dan terbit minyak. Masukkan sekali serai yang dititik.
  6. Masukkan air asam jawa, garam dan gula sekiranya perlu. 
  7. Masukkan daging goreng dan juga terung goreng tadi. Gaul rata dan rasakan masakan anda. Biar kering sikit dan tutup api dapur. Sedia untuk dihidang.
NOTA :
  • Nadz suka buat sambal ni dengan banyak sebab anakanda Haris dan Nadz sendiri suka makan lebihan sambal ni dicicah dengan pisang goreng atau jemput-jemput tepung gandum. 
SELAMAT MENCUBA!

Friday 14 June 2013

UDANG MASAK TEMPOYAK

Assallamualaikkum dan salam sejahtera.

Dah lunch ke semua? Mesti masing-masing dah kenyang kan. Sambil tu mata pun kian layu dan kuyu..hehehe.. Haippp...siapa yang kerna kerja dan masuk ofis tu, segar-segarkanlah mata anda ye. Bagi yang boleh melayan mata yang kian layu tu, dipersilakan..heheheee..

Okey, menu ringkas je nak share hari ni. Udang masak tempoyak. Buat pekat-pekat dengan kepedasan yang "kick", perghhhhhh...sedap makan bersama nasi panas. Tak ingat-ingat dah tambah nasi berapa kali..huhuhuuu... Resepi simple dan ramai pun yang pandai membuatnya kan..

UDANG MASAK TEMPOYAK

Bahan-bahan :
  • 20 ekor udang sederhana besar
  • 1-2 papan petai
  • 4 ulas bawang merah
  • 2 ulas bawang putih
  • 3-5 sudu besar tempoyak (ikut selera masing-masing)
  • 5-10 biji cili padi (adjust ikut tahap kepedasan yang dikehendaki)
  • Air mengikut tahap kepekatan kuah yang dikehendaki
  • 1 inci kunyit hidup atau 1/2 sudu teh serbuk kunyit
  • 2 helai daun kunyit
  • Garam dan gula secukup rasa

Cara penyediaan :
  1. Kupas kulit udang, basuh dan toskan.
  2. Tumbuk atau kisar bawang merah, bawang putih, cili padi dan juga kunyit hidup.
  3. Masukkan bahan kisar ke dalam periuk bersama tempoyak dan juga air. Biar hingga menggelegak dan kuah likat mengikut tahap yang anda gemari.
  4. Kecilkan api dan masukkan udang, petai, garam dan gula sekiranya perlu. Masukkan juga daun kunyit yang telah dibasuh dan telah dihiris nipis atau disiat dua sahaja. Biar mereneh seketika.
  5. Rasakan masam dan manis gulai anda. Tutup api.


SELAMAT MENCUBA!

Thursday 13 June 2013

LEMANG SEGERA


Assallamualaikum WBT dan salam sejahtera.

Semoga hari ini menjadi hari yang lebih baik dari semalam bagi kita semua. Dipanjatkan doa dan kesyukuran ke hadrat Illahi kerana masih diberi peluang bernafas di muka bumi ini untuk terus menginsafi diri.

Lemang ni Nadz buat semasa masak lontong bersama sambal tumis bilis dan rendang ayam berkerisik hari tu. Bila dah siap, memanglah tak akan sama rasanya 100% dengan original lemang yang dibakar dan dimasak di dalam buluh tu. Haishhhh..terliur pula bila fikir lemang yang banyak dijual di rumah bonda di kampung. 

Anyway, just nak melepaskan gian, bolehlah dicuba cara ni. Cara ni Nadz belajar masa tinggal di negara orang dulu. Makcik-makcik dan pakcik-pakcik melayu yang dah jadi PR di sana yang ajarkan. Yelah, manalah nak dapat buluh di sana untuk membakar lemang. So guna cara instant je lah. Kalau cara tradisional tu, kena mengadap api dan bakar lemang berjam-jam. Yang ni sebab dah instant, tak adalah lama sangat nak menyediakannya. 

Cara penyediaan lemang ni lebih kurang sama macam nak buat kuih lopes versi tradisional tu. Kalau diikutkan, buat kuih lopes memang kena rebus pulut yang kita masak kejap di atas api dapur setelah dibalut kemas dan diikat ketat dengan daun pisang. Biar pulutnya elok kembang dan padat. Cuma now days, kita semua suka permudahkan dan ringkaskan cara tradisional ni agar cepat siap apa yang dimasak. Pelbagai cara yang lebih mudah, ringkas dan cepat ada untuk diikuti sekarang ni. Eh???? Apa pasal cerita pasal kuih lopes pulak ni?? Bukan ke nak cerita pasal lemang segera..hehehe...sori melalut.

LEMANG SEGERA

Bahan-bahan :
  • 3 cawan beras pulut (lebih kurang 300 gm)
  • 300-350 ml santan pekat
  • Garam
  • Daun pisang secukupnya
  • Benang pengikat
  • Air secukupnya untuk merebus
Cara penyediaan :


  1.  Basuh beras pulut dan rendam semalaman atau beberapa jam. Toskan.
  2. Masukkan santan dan garam ke dalam periuk. Bila mula menggelegak, masukkan beras pulut tadi. Kacau-kacau hingga santan meresap ke dalam beras pulut. Buat hingga santan kelihatan tidak berair lagi. Sekejap je proses ni dalam 5 minit bergantung pada api dapurlah. Jangan khuatir sebab pulut ni memang tak masak sepenuhnya lagi. Masih berdetus atau berbiji kalau dipicit. Tutup api dapur dan biarkan ia suam.
  3. Sementara itu, layur kan daun pisang di atas api dapur dan lap bersih daun pisang tersebut. Sebolehnya biarkan daun pisang tu panjang ye sebab nak bungkus pulut tadi sebanyak dua kali balutan agar kukuh.
  4. Tebarkan daun pisan di atas permukaan yang rata. Sendukkan sedikit beras pulut tadi dan bungkus dengan daun pisang hingga menjadi silinder. Ikat dengan benang di kedua-dua hujung silinder tadi. Janganlah guna tali rafia sebab di akhir proses nanti, lemang ni akan dibakar di dalam oven. Nanti cair pula tali rafia tu..heheheee.. Buat sampai habis semua pulut digulung ke dalam daun pisang.
  5. Panaskan periuk dengan air yang banyak di atas api dapur. Masukkan semua pulut yang telah dibungkus dalam daun pisang tadi dan rebus lebih kurang 40-50 minit. Proses ini untuk memastikan pulut kembang dan padat dan masak sepenuhnya. Bila sudah siap, toskan.
  6. Bakar dalam oven pada suhu 180-200 C selama 15 minit atau sehingga daun pisang kelihatan kering.
  7. Sejukkan sebentar sebelum dipotong dan dihidangkan.
Ini satu lagi cara penyediaan yang Nadz pelajari dan buat masa tinggal di perantauan dulu. PR-PR yang ajarkan ni. Cara ini lagi express. 

Bahan-bahan :
  • 1 cawan beras pulut 
  • 1 cawan santan sederhana pekat
  • Garam
  • Aluminium foil
Cara penyediaan :
  1. Basuh beras pulut dan rendam semalaman. Toskan. Kalau tak rendam pun boleh juga.
  2. Masukkan beras pulut dan santan ke dalam loyang dan kukus hingga pulut masak. 
  3. Bila pulut telah suam, balut pulut dengan aluminium foil membentuk silinder. Bungkus ketat-ketat tau! Kemaskan dan ikat di setiap hujung silinder. Buat hingga habis.
  4. Panaskan periuk kukusan dan kukus pulut yang di dalam aluminium foil tadi lebih kurang 20-30 minit.
  5. Bila telah sejuk, bolehlah dipotong dan dihidangkan.
Memanglah tak kan sama dengan original lemang kan tapi untuk mengubati kerinduan dan memenuhi keinginan anak tekak, bolehlah guna cara ni daripada tak ada langsung..hehheheee... 

SELAMAT MENCUBA!

Wednesday 12 June 2013

RENDANG AYAM BERKERISIK


Assallamualaikum WBT dan salam sejahtera.

Semoga semua pengunjung dan rakan-rakan dalam keadaan kesihatan yang baik hendaknya..InsyaAllah..

Sebenarnya, Nadz kalau buat rendang di rumah mak, memanglah menggunakan santan segar tu yang diperah dari buah kelapa yang telah disagat. Tapi kalau di sini memang selalunya guna santan kotak je. Apa yang Nadz perhatikan, setiap kali rendang yang Nadz buat menggunakan santan kotak, selalunya kurang berminyak apabila telah kering. Tidak seperti rendang yang biasa dimasak menggunakan santan perahan dari buah kelapa yang segar. 

Oleh sebab itu, kali ini bila memasak rendang, Nadz tambahkan kerisik di dalam resepi walaupun sebelum ini Nadz memang tak pernah guna kerisik pun ketika memasak rendang. Memang ada sedikit kelainan hasil rendang kali ini. Rasa kerisik itu pun menambah lagi kesedapan rendang. Oh ya, Nadz gunakan kerisik yang dibeli dari pasar raya je. Tak ada kelapalah nak dibuat kerisik. Santan pun pakai santak kotak jer, manalah ada peluang nak buat kerisik sendiri..heheheee...(alasan kah itu????)


RENDANG AYAM BERKERISIK

Bahan-bahan :
  • 1 ekor ayam 
  • 2 biji bawang besar 
  • 8 biji bawang merah* 
  • 3 ulas bawang putih* 
  • 3-4 inci halia* 
  • 3-4 inci lengkuas* 
  • 2 inci kunyit hidup* 
  • 6 batang serai* 
  • 10-20 batang cili kering(boleh adjust ikut selera)* 
  • 100 gm kerisik (lebih kurang 7 sudu besar) 
  • Sedikit air asam jawa(kalau tak suka, boleh abaikan) 
  • 6 helai daun limau purut 
  • Santan secukupnya 
  • Garam 

Cara penyediaan :
  1. Bersihkan ayam dan potong ikut suka. 
  2. Hiris bahan-bahan bertanda * dan kisar halus. 
  3. Masukkan bahan kisar bersama ayam ke dalam kuali. Masak hingga ayam kecut sedikit. 
  4. Masukkan santan sehingga sama paras atau menutupi potongan ayam di dalam kuali. Masukkan juga kerisik dan air asam jawa. Masak hingga kering(untuk tahan lebih lama) sambil sesekali digaul untuk mengelakkan berkerak dan hangus di bahagian dasar kuali. Perasakan garamnya. 
  5. Bila telah kering, masukkan daun limau purut yang disiat-siat. Biar seketika. 
  6. Bila telah puas hati dengan rasa dan kekeringan rendang, padamkan api dapur. 
Nadz sediakan sekali nasi impit, lontong, sambal tumis ikan bilis dan juga lemang segera semasa menikmati rendang ni. Bungkuskan sedikit untuk anakanda Haris bawa ke rumah kawan study dia. Ermmm...alhamdulillah... Sedap rendang tu feedback dari mak kawan Haris.

SELAMAT MENCUBA!

Tuesday 11 June 2013

LONTONG DAN SAMBAL TUMIS BILIS


Assallamualaikum WBT dan salam sejahtera.

Tiba-tiba pula tekak ni nak makan lontong dengan nasi impit dan juga sambal tumis. Siapalah yang nak tolong buatkan kalau tak dibuat sendiri kan. 

Sesetengah orang memanggil Lontong ni dengan panggilan Sayur Lodeh. Tapi rasanya  menu yang sama je. Mungkin lain tempat, lain panggilannya. Cara penyediaannya pun ada juga bezanya. Sesetengah resepi, kalau tak silap Nadz, di awal penyediaan perlu menumis bahan tumisan. Tapi cara Nadz buat ni tak ada tumis-menumis. Resepi dah pernah letak dulu tapi Nadz letak jugalah lagi di sini.

Ha, tengok! Snap gambar dengan periuk sekali...hihhiiii..Tak ada skill langsung..huhuuu...

LONTONG

Bahan-bahan :
  • 5 ulas bawang merah
  • 2-4 sudu besar udang kering (dibasuh, direndam dan toskan)
  • 2 inci kunyit hidup (boleh juga guna serbuk kunyit)
  • 3 batang serai - dititik
  • 4 cawan santan cair (1 liter)
  • 2 cawan santan pekat (500 ml)
  • 2 batang terung panjang - potong-potong ikut suka
  • 4 biji kentang - potong 8
  • 5 batang kacang panjang - dipotong-potong
  • 1 batang lobak merah - hiris memanjang atau hiris bulat serong
  • 2 keping tempeh - didadu besar-besar
  • Fucuk dan soo hoon - direndam hingga lembut dan toskan
  • 4 biji cili hijau - hiris
  • Garam secukup rasa

Cara-cara :
  1. Tumbuk bawang merah bersama udang kering dan kunyit hidup.
  2. Masukkan bahan tumbuk dan juga serai yang diketuk bersama santan cair ke dalam periuk dan letakkan atas api dapur.
  3. Bila mula menggelegak, masukkan kentang. Biar separa empuk. Kemudian masukkan sayuran lain dan juga tempeh. Masak hingga sayuran lembut. Kemudian masukkan fucuk dan soo hoon serta cili hijau.
  4. Seterusnya masukkan santan pekat dan sentiasa kacau. Rasakan garamnya. Biar mendidih perlahan di atas api sederhana. Bila telah puas hati dengan rasanya, padamkan api dapur.
Cara Menghidang :
  1. Masukkan nasi impit (ikut la berapa banyak nak makan) ke dalam mangkuk.
  2. Sendukkan kuah lontong bersama isinya. Sudukan sambal tumis. Boleh dinikmati.
  3. Boleh juga dinikmati bersama rendang, serunding, kuah kacang dan juga telur rebus.


Sambal tumis ikan bilis

SAMBAL TUMIS IKAN BILIS

Bahan-bahan :
  • 1/2 cawan ikan bilis - basuh dan toskan
  • 20 tangkai cili kering - rebus, basuh dan toskan
  • 4 biji bawang merah
  • 3 ulas bawang putih
  • 1 inci belacan
  • 1 labu bawang besar - dimayang
  • Air asam jawa secukupnya mengikut citarasa
  • Garam dan gula 
Cara penyediaan :
  1. Kisar cili kering yang telah direbus tadi bersama dengan bawang merah, bawang putih dan belacan.
  2. Panaskan minyak di dalam kuali. Tumis bahan kisar dengan api sederhana hingga naik minyak dan cili garing. Kalau sebelum tumis ni, nak goreng dulu ikan bilis pun boleh. Guna saja minyak bekas menggoreng ikan bilis ni untuk menumis bahan kisar.
  3. Masukkan air asam jawa secukup rasa mengikut citarasa. Ni ikutlah selera masing-masing ye sebab sesetengah orang suka rasa lebih masam dalam sambal tumisnya. Sesetengah pula suka sedang-sedang saja. Masukkan juga garam dan gula.
  4. Masukkan ikan bilis dan bawang besar yang telah dimayang. Kecilkan api dapur dan biar sambal mereneh hingga agak pekat. Perasakan masin, masam dan manis sambal. Tambah apa yang perlu mengikut citarasa.
Oh, by the way nak bagi tau. Setiap kali masak lontong, Nadz memang buat banyak sebab MIL Nadz memang suka lontong. Sama ada ajak MIL datang makan di rumah atau tapau dan bawa ke rumah dia. Kalau masak nak bawa balik kampung arwah datuk hubby, MIL mesti pesan suruh simpankan untuknya sedikit.

Nadz masak lontong dan sambal tumis ni bersama dengan rendang ayam berkerisik dan juga lemang segera. Tapi resepi rendang ayam berkerisik dan juga lemang segera tu Nadz masukkan kemudian yer di entry lain. Penat pula rasanya ibu buyung ni bertenggek depan lappy lama-lama. Lenguh segala urat pinggang dan pinggul..hihihii...

SELAMAT MENCUBA!

Sunday 9 June 2013

MOIST RED VELVET CAKE, CREAM CHEESE FROSTING & CHOCOLATE GANACHE

Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Alhamdulillah, masih lagi ada khudrat untuk bertenggek depan lappy dan masukkan entry ke dalam blog ini. 

Red Velvet Cake ini adalah hantaran untuk pertunangan adik ipar beberapa hari lalu. Untuk resepi kek, Nadz pernah letakkan sebelum ini. Tapi untuk cream cheesenya, rasanya Nadz tak pernah publish lagi. Jadi mari kita kongsi-kongsi resepi.

MOIST RED VELVET CAKE
Recipe by: Nurul - Cake2U
Source: Anna Qawina

Bahan-bahan

A:
  • 300 g tpg gandum
  • 2 camb serbuk koko
  • 2 camt baking powder
  • 1 camt soda bicarbonate
  • 1 camt garam

B:
  • 125 g mentega tawar (used buttercup)
  • 280 g gula castor

C:
  • 2 biji telur (gred B)

D:
  • 1 camt esen vanilla
  • 1 camt cuka putih @cuka kurma
  • 1 camb pewarna merah

E:
  • 240ml buttermilk (Campurkan 1 cawan susu segar @ susu cair dengan 1 sdb cuka. Biarkan sebati bersama selama 10 minit sebelum digunakan.)

Cara-cara:
  1. Ayak (A)-ketepikan.
  2. Pukul (B) sampai kembang & ringan.Masukkan (C) satu persatu dan pukul lagi.
  3. Masukkan (D)-pukul hingga sebati.
  4. Masukkan tepung yg diselang seli dgn buttermilk-pukul hingga sebati.
  5. Alas & gris loyang saiz 9" dengan baking paper. Tuang adunan kek dan bakar pada suhu 175-180 C selama 1 jam atau sehingga masak.
  6. Atau masukkan adunan dalam acuan cupcake sebanyak 1/2 cup sahaja dan bakar pada suhu 180c  selama 15 ke 20 minit.
  7. Sejukkan dan hiaskan dgn cream cheese icing.

CREAM CHEESE (MY WAY)
Recipe by : Nadz @ovenkecil.blogspot.com

Bahan-bahan :
  • 500 gm cream cheese
  • 60 gm butter
  • 200 gm gula icing (ayak)
  • 2 tsp esen lemon
  • 100 ml non dairy whipping cream

Cara-cara :
  1. Pukul cream cheese dan butter hingga kembang.
  2. Tambahkan gula icing dan putar lagi hingga gebu dan sebati.
  3. Masukkan asen lemon dan pukul rata.
  4. Akhir sekali, masukkan whipping cream dan pukul sebati.

CHOCOLATE GANACHE
Recipe by : Kak Amaruszati Noor Rahim

Bahan-bahan :
  • 150 gm non dairy whipping cream
  • 300 gm coklat masakan - dicincang halus
  • 1/4 cawan sirap glukos / madu (Nadz guna madu)
  • 1 tsp mentega (Nadz guna majerin planta)

Cara-cara :
  1. Panaskan krim putar(whipping cream) hingga hampir mendidih. Curahkan ke dalam mangkuk berisi coklat masakan.  Biar seketika dan kemudian kacau hingga sebati.
  2. Masukkan sirap glukos atau madu. Kacau lagi.
  3. Akhir sekali masukkan mentega dan gaul sebati.
NOTA NADZ :
  • Resepi chocolate ganache ni, adalah 1/2 daripada resepi asal. 
  • Resepi ganache ini adalah antara resepi yang Nadz suka guna. Kelikatannya selepas suam amat sesuai untuk menghias kek yang telah disalut krim biar nampak coklat tu meleleh-leleh dengan cantik di bahagian tepi-tepi kek. Lebih elok sekiranya kek yang telah disalut krim ini disejukkan di dalam peti ais dulu.
SELAMAT MENCUBA!

HANTARAN PERTUNANGAN ADIK IPAR - RVC & FRUIT TART

Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Pada 7/6/2013 yang lalu, adik lelaki encik hubby bertunang dengan gadis pilihan hatinya. Jadi untuk melengkapkan hantaran pertunangan tersebut, MIL Nadz minta buatkan sebiji kek dan satu lagi jenis hantaran.

Nadz buatkan sebiji Kek Baldu Merah dan juga Fruit Tart sebagai hantaran tersebut. So kita layan gambar sajalah hari ini yer.


Red Velvet Cake 9"
Layered with cream cheese frosting & strawberry jam
Coated with cream cheese frosting
Top with ganache
Deco : Gumpaste & fondant


25 pcs fresh fruits tarts

Tart buah-buahan ni, Nadz pack dalam kotak coklat. Jadi bila ditutup begilah rupanya... 


SELAMAT MENJAMU MATA!

Wednesday 5 June 2013

ORDER PELBAGAI DARI KAK SAKINAH

Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Alhamdulillah, tempahan dari kak Sakinah (ex-boss Nadz masa kerja di USM). Kak Kinah ada title "Doktor"  sebenarnya tapi since Nadz dah tak kerja di USM, dia cuma bahasakan dirinya kak Kinah saja. Very humble person dan baik hati. Lembut je orangnya. 

Kak Kinah merupakan regular customer Nadz sebenarnya. Beberapa kali juga dah kak Kinah menempah makanan home made dari Nadz. Paling acap kali ditempah adalah Red velvet cuppies.

Tempahan kali ini adalah untuk jamuan "Hi-Tea" di USM yang dikelolakan dan dikendalikan oleh beliau. Tema jamuan adalah western food yang disesuaikan untuk minum petang. 
So berikut adalah tempahan kak Kinah. 

50 pcs red velvet cupcakes bersaiz S.
Untuk resepi boleh rujuk di SINI.


50 pcs fresh fruit tart
(yang di atas ni belum cukup 50 pcs..ambil gambar dulu baru packing semuanya..heheee..) 
Untuk resepi boleh rujuk di SINI.


2 biji apple pie bersaiz 9". 
Untuk resepi boleh rujuk di SINI.


Trima kasih kak Sakinah atas kesemua tempahan dan juga atas kesanggupan untuk collect sendiri semua tempahan di teratak Nadz. Harap segala tempahan memuaskan hati ye! 

UNTUK KAWAN-KAWAN SEMUA, SELAMAT MENJAMU MATA!

Tuesday 4 June 2013

FRESH FRUIT TART

Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Semoga semua pengunjung dan rakan-rakan semua sihat sejahtera hendaknya. 

Ermmm...Fruit tart yang memang makan satu, dua dan tiga masih tak cukup..hihiii... Sedap rupanya tart buah-buahan ni. Tulah, dari dulu tak nak buat. Malas lagi! Sekarang makan sampai tiga, empat ketul pun masih tak cukup...kah..kah..kah...

Okey, tak mau cakap banyak-banyak. Siapa yang masih belum pernah mencuba buat fruit tart ni, disarankan untuk merajinkan diri membuatnya ye sebab seriously, sedap sangat. Ada rasa crunchy dari crust tu, rasa manis yang sedang-sedang dari kastadnya dan rasa manis masam dari buah-buahan yang diletakkan di atas kastad. Ermmm...sambil makan, pejam-pejam mata menikmati keenakannya..hahaha... Ada yang terliur tak? Terliur, pergi buat sendiri ye. Kalau nak tempah, yang dekat-dekat dengan Nadz bolehlah. Ni resepinya bagi sesiapa yang nak mencuba.

FRESH FRUIT TART
RESEPI CRUST/ TART SHELL
Recipe by: Laman fb Kongsi Resepi
Source: Anna Qawina

Bahan-bahan:
  • 250 gm mentega Buttercup
  • 120 gm gula icing
  • 2 biji telur gred B
  • 480 gm tepung gandum (kalau lembik tambah lagi tepung sikit demi sikit)
Cara-cara :
  1. Ayak gula icing ke dalam mangkuk besar.
  2. Menggunakan senduk kayu@whisker, pukul gula icing & mentega hingga sekata. Jangan pukul lama sangat.
  3. Masukkan telur & pukul lagi sekejap.
  4. Masukkan tepung gandum sedikit demi sedikit hingga membentuk doh, gaulkan dengan tangan biar sebati.
  5. Kalau lembik sangat boleh tambah sedikit tepung lagi.
  6. Bulat2kan doh sebesar ibu jari & tekan ke dalam acuan tart, biar sekata, potong tepinya dengan pisau agar rata, cucuk dasarnya dengan garfu.
  7. Buat sampai habis & bakar menggunakan suhu 170'C lebih kurang 15-20 minit@sehingga masak (warna perang2 sikit) *Guna api atas bawah dulu 10 minit, kemudian api bawah sahaja sehingga masak.
NOTA ANA: 
  • Untuk mendapatkan crust yang cantik & elok pada pemerhatian Ana, simpan doh dalam peti sejuk untuk 1/2 jam kemudian baru diterap, kemudian, sebelum dibakar, masukkan dulu adunan doh yang dah siap diterap dalam peti ais sambil2 panaskan oven tu, kemudian bakar, ON kan kipas oven jika ada, InsyaAllah pastri anda akan cantik & lebih elok.
  • *Kalau tak sempat habiskan boleh simpan doh dalam plastik & tutup rapat, simpan dalam peti sejuk.
  • *Adunan ni akan menghasilkan lebih kurang 100 biji crust saiz kecil.
  • Simpan crust dalam bekas kedap udara. 
  • ACUAN TART NI TAK PAYAH OLES MINYAK/MENTEGA, DAH MASAK TERBALIKKAN JE & CRUST TU KELUAR DENGAN ELOK
  • Pastikan acuan tidak basah.

Nadz sapukan sedikit coklat masakan yang dicairkan secara double boiler pada permukaan dalam crust untuk mengekalkan kerangupan crust selepas diisi dengan kastad.


RESEPI KASTAD

Bahan-bahan :
  • 1 cawan tepung kastad
  • 2 cawan susu cair/ fresh milk
  • 2 cawan air
  • 3/4 cawan gula (boleh dikurangkan kepada 1/2 cawan)
  • 1 camca besar marjerin
Cara penyediaan :
  1. Masukkan semua bahan kecuali marjerin ke dalam periuk dan masak di atas api yang sederhana besar sehingga pekat.
  2. Masukkan marjerin. Matikan api dan kacau hingga marjerin cair sepenuhnya.
  3. Masukkan ke dalam piping bag. 
Buah-buahan :
Mengikut selera sendiri - anggur hijau, anggur merah, peach, strawberry, kiwi
Potong mengikut citarasa masing-masing

Cara untuk menghias :
  1. Picitkan adunan kastad ke atas tart crust.
  2. Susun buah-buahan pilihan.
  3. Glis buah-buahan dengan piping jelly - supaya nampak berkilat(optional).

Nota :
  1. Untuk adunan kastad, boleh juga menggunakan 4 cawan air sahaja (tanpa menggunakan susu). Dengan ini adunan kastad akan nampak lebih striking / keemasan lagi.
  2. Semasa memicit adunan kastad, boleh juga menggunakan nozel berbentuk bintang.

Paipkan kastad ke dalam crust. Wahhhh...cantik kan warna kuning kastad Nadz..hihihii..
Masuk bakul angkat sendiri..hahahaa..

Susun buah-buahan segar pilihan anda di atas kastad tadi. Tadaaaa...bolehlah dinikmati...Nyummm..

NOTA NADZ:
  • Sekiranya ada lebihan fresh fruit tart yang masih tidak dimakan, masukkan ke dalam bekas bertutup dan simpan di dalam peti sejuk. Sedap tau makan yang sejuk-sejuk. 
  • Lebihan yang Nadz simpan di dalam bekas bertutup dan dimasukkan ke dalam peti ais, crustnya masih rangup. Suprise juga. Ingatkan dah lebut je crustnya tu. Sedap pula tu makan bila dah sejuk. 

 SELAMAT MENCUBA!

Saturday 1 June 2013

RED VELVET CAKE UNTUK HANTARAN DAN MAKAN-MAKAN (CHE SAFRA)

Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Alhamdulillah, dalam keadaan berat badan yang semakin menakutkan penimbang dan tuannya ni serta perut yang lebih dulu sampai ke destinasi sebelum kaki tuannya sampai, masih berupaya menyiapkan tempahan cuppies untuk hantaran perkahwinan seorang adik manis ni. Tempahan dibuat dan diuruskan oleh ibu pengantin perempuan untuk majlis perkahwinan anaknya yang berlangsung pada 25 Mei 2013.

Tema warna untuk hantaran ini adalah kuning. Jadi Nadz cuma combine je warna kuning dengan warna putih dan sedikit warna hijau sebagai penaik seri pada hiasan cuppies ni.

Kek yang dipilih untuk hantaran adalah si baldu merah yang memang mendapat tempat di hati kebanyakan penempah kek Nadz. Hiasan adalah gabungan fondant(sugar paste) dan juga gumpaste.

SELAMAT PENGANTIN BARU buat CHE SAFRA SULAIMAN serta pasangannya MUHAMMAD EDZFIZAL MOHD NOOR. Semoga berbahagia hingga ke jannah dan hidup sentiasa dibawah keberkatan Illahi..InsyaAllah..

Selain daripada cuppies red velvet untuk hantaran, ibu pengantin juga request untuk dibuatkan sebiji kek Red Velvet untuk makan-makan mereka sekeluarga. 
KEK: Red Velvet 8"
Layered with cream cheese & blueberry jam.
Coated with cream cheese frosting.

Alhamdulillah..pengantin bagi feed back yang kek-kek tempahannya sedap. Syukur..Terima kasih ye Safra dan keluarga atas tempahan dan kepercayaan. Sesungguhnya yang baik itu datangnya dari Allah SWT dan yang kurang itu datangnya dari diri saya sendiri. Insyallah masih cuba lagi memperbaiki segala kekurangn yang ada.

SO, ENJOY THE PICTURES YA!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...