Selamat datang kepada semua pengunjung blog CUTE OVEN, SMALL KITCHEN. Diharap dengan kunjungan anda dapatlah kita berkongsi ilmu disamping menambah kenalan. Terima kasih atas kesudian bertandang ke sini.

Untuk makluman, di dalam blog ini sukatan cawan adalah menggunakan cawan metrik manakala sukatan sudu pula 98% adalah menggunakan sudu metrik.
Bagi yang sering bertanya apakah 'Tbsp' dan 'tsp'; 'Tbsp' = tablespoon & 'tsp' = teaspoon.

Thursday 30 June 2011

AISKRIM KAPUCINO


Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Ternampak resepi aiskrim ni di blog Tun Telani. Tun buat aiskrim yang menggunakan biskut oreo. Kalau nak tengok resepi bagaimana Tun membuatnya, klik di sini. Resepi asal datangnya dari wssary(MyResepi) dengan perisa vanilla. Baca komen-komen orang yang dah mencubanya menaikkan semangat untuk mencubanya.

Tapi Naz mengubah suai resepi ini menjadi Aiskrim Kapucino. Hehehe..Semuanya nak dibuat perisa kapucino. Kek keju kapucino, swiss roll kapucino...sekarang aiskrim kapucino pula. Eh! Nanti nak buat biskut kapucino...kek kapucino...emmm..apa lagi ek?? Haaa...puding kapucino boleh tak? Wahhhh! Hajat di hati nak buat macam-macam. Entah bila terlaksana tak tau lah kan.

Okey, sementara line internet ni tengah laju, cepat-cepat siapkan entry ni.



AISKRIM KAPUCINO 
Oleh : Naz's CUTE OVEN, SMALL KITCHEN

Bahan-bahan :
  • 5 tbsp gula pasir *
  • 1 tin susu cair (400 ml) *
  • 1 tbsp ovallete *
  • 1 biji telur *
  • 2 tbsp susu tepung
  • 2 tsp asen vanilla
  • 1 paket(25 gm) serbuk kapucino INDOCAFE


Cara-cara :
  1. Pukul  bahan-bahan bertanda * di dalam mixer hingga gebu selama 5 minit pada kelajuan maksimum. Adunan akan menjadi 2-3 kali saiz adunan asal.
  2. Simpan di dalam freezer(peti sejuk beku) selama 30 minit.
  3. Keluarkan dan pukul lagi adunan ini selama 5 minit. Simpan di dalam freezer selama 30 minit.
  4. Kemudian keluarkan adunan sekali lagi dan pukul selama 5 minit. 
  5. Seterusnya, masukkan susu tepung, asen vanilla dan juga serbuk kapucino. Gaul rata dengan wisk(Naz gaul guna mixer jer pada kelajuan sederhana).
  6. Masukkan adunan ke dalam bekas bertutup dan bekukan di dalam freezer.
SELAMAT MENCUBA!

Monday 27 June 2011

PISANG BAKAR BERKEJU


Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Pisang Bakar Berkeju.. Pernah makan ke? Hehehe..Naz sendiri pun tak pernah makan. Ini pertama kali membuat dan memakannya.

Sebelum ini tak terfikir pula nak gunakan pisang untuk dijadikan satu hidangan pencuci mulut yang sedap seperti ini. Cara membuatnya pun tidaklah susah sangat. Bila anak-anak makan, terus saja keluar dari mulut mereka bunyi .."emmm....sedapnya ummi..". Untuk lebih menarik, Naz taburkan coklat urai yang kaler-kaler tu di atasnya sebelum dihidangkan. Okey mari kita lihat resepinya.

PISANG BAKAR BERKEJU 

Bahan-bahan :
  • 2 biji pisang montel - Naz guna pisang nangka
  • Keju parut
  • Susu/ Krimer Manis
  • Sos coklat (Hersey's) - Naz guna coklat ganach yang memang ada dalam peti sejuk
  • Coklat rice/ Calored choc rice sebagai hiasan - Naz tambah

Cara-cara :
  1. Kupas kulit pisang dan potong 2 memanjang pisang tersebut.
  2. Bakar pisang di dalam oven pada suhu 180 C selama 2 minit atau bakar guna api dapur hingga pisang agak layu dan berbau wangi. (Naz bakar 5 minit kerana pisang nangka sedikit keras teksturenya dan perlukan lebih masa untuk ia masak).
  3. Sapukan krimer manis pada bahagian tengah pisang dan katup semula. Curahkan soso coklat dan taburkan keju parut. (Naz taburkan sekali coklat urai yg kaler-kaler tu).
  4. Siap untuk dihidang.
Untuk hidangan ini, Naz lakukan 2 cara. Satu mengikut cara asal seperti resepi dan satu lagi cara Naz sapukan atau drizzlekan coklat ke atas pisang dan taburkan keju parut sebelum dibakar. Setelah dibakar 5 minit dan dikeluarkan, sekali lagi Naz drizzlekan coklat dan taburkan keju parut serta coklat urai. Gambar di bawah ni adalah hasilnya, untuk Husna sebab dia nak coklat urai yang bentuk-bentuk love tu!.. Rasanya lebih sedap kerana coklat dan keju yang ditabur sebelum membakar pisang, sebati dengan rasa pisang tu..Emmm..yummy...


SELAMAT MENCUBA!

Sunday 26 June 2011

DROP COOKIES : CHOCOLATE CHIP COOKIES

 

Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Menu cookies lagi?? Hahaha..nasib la kan. Mood tengah rajin buat biskut ni, jangan dihalang-halang. Sementara rajin, baik buat. Nanti bila dah masuk angin "M" tu, satu apa pun tak jadi..hehehee..

Biskut kali ni merupakan salah satu lagi jenis biskut coklat chip. Macam-macam resepi biskut coklat chip ada sebenarnya. Resepinya Naz tungkil dari blog happy home baker. Adunan biskut ni agak lembut dan berlekit-lekit. Oleh itu, dengan menggunakan sudu, adunan ini perlu disudu dan diletakkan di atas dulang pembakar. Kemudian, dengan menggunakan belakang sudu tadi atau boleh juga menggunakan garfu, tekan adunan yang dijatuhkan ke atas dulang pembakar agar leper sedikit.


Naz lakukan satu lagi cara sebab nak lihat, cara mana yang lebih mudah. Adunan yang telah siap diadun, dimasukkan ke dalam beg plastik atau dibalut dengan plastik pembalut dan kemudian disimpan ke dalam peti sejuk selama 20-30 minit. Setelah 20-30 minit, adunan ini Naz keluarkan dan Naz cuba menggentel menjadi bebola-bebola kecil dan dileperkan sedikit. Memang lebih mudah melakukannya dengan cara ke dua ini. Adunan tidak melekat-lekat di tangan dan lebih mudah membentuknya. Cuma adunan ini perlu dibiarkan seketika pada suhu bilik sebelum pembakaran kerana adunan ini perlu berada pada tekstur asalnya agar masak sekata sewaktu pembakaran. Sekiranya tidak(sebab Naz dah cuba), dikhuatiri biskut ini tidak rangup di bahagian tengahnya apabila selesai tempoh pembakaran.

Dari segi rasa dan teksture biskut ini selepas dibakar, rasanya Naz lebih suka pada  BISKUT CHOCOLATE CHIP FAMOUS AMOS (HOME MADE) yang dibuat beberapa hari lalu. Walau bagaimana pun, seperti biasa, cookies  seperti ini memang mendapat sambutan di kalangan anak-anak di rumah ni.. 


DROP COOKIES : CHOCOLATE CHIP COOKIES
Oleh : Naz's CUTE OVEN, SMALL KITCHEN

Bahan-bahan :
  • 115 gm butter - dibiarkan lembut pada suhu bilik
  • 115 gm gula kastor (Naz kurangkan menjadi 100gm)
  • 1 biji telur - dipukul sikit dengan garfu
  • 1 tsp esen vanilla
  • 175 gm tepung gandum
  • 175 gm coklat chip (Naz cuma guna 75-80 gm)

Cara-cara :
  1. Panaskan oven pada suhu 180 C. Lapik dulang pembakar dengan kertas pembakar.
  2. Pukul butter dan gula sehingga kembang dan bewarna pucat.
  3. Masukkan telur sedikit demi sedikit dan pukul rata setiap kali memasukkan telur. Masukkan asen vanilla dan gaul rata.
  4. Ayak tepung ke dalam adunan dan kaup balik dengan spatula atau sudu kayu. Seterusnya masukkan coklat chip dan gaul rata.
  5. Sudukan 1 sudu besar adunan ke atas dulang pembakar. Jarak-jarakkan setiap 1 sudu besar adunan di atas dulang pembakar kerana adunan akan mengembang sewaktu pembakaran. Tekan sedikit permukaan setiap 1 adunan di atas dulang tadi dengan belakang sudu atau garfu.
  6. Bakar 10 minit atau hingga keperangan dan masak. Sejukkan dulu sebelum disimpan di dalam bekas kedap udara.
SELAMAT MENCUBA!

Friday 24 June 2011

MELT-IN-MOUTH GERMAN COOKIES


Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Projek cookies lagi kali ini. Terjumpa resepi ni di blog happy home baker. Tertarik pula bila tengok nama biskut ni. 'Melt-in-mouth'... Naz menggambarkan yang biskut ni bila masuk saja ke dalam mulut, ia akan mencair dengan sendiri. Tak payah gigit-gigit atau kunyah-kunyah. 


Jadi setelah biskut ini dikeluarkan dari oven, disejukkan sebentar, terus saja Naz 'ngap' beberapa ketul. Bukanlah mencair seperti sangkaan Naz. Mungkin lebih tepat kalau Naz describe biskut ni sebagai rapuh dan mudah hilang dari dalam mulut masuk ke perut..heheheee... Mungkin penggunaan 'potato starch' dalam resepi ini menghasilkan teksture biskut yang rapuh dan ringan. Orang yang tak ada gigi pun mudah kalau nak makan biskut ni.


Dari segi rasa..emmmm...tak tau nak gambarkan macam mana. Rasa vanilla lah bagi biskut yang plain tu dan rasa coklat bagi biskut yang ditambah serbuk koko di dalamnya. Sekiranya menggunakan butter yang lebih mahal dan lebih sedap, maka adunan akan menghasilkan rasa 'buttery' yang lebih sedap.  Apa-apa pun anak-anak memang suka. Dari seketul ke seketul masuk ke mulut mereka. Naz sendiri apabila menikmati biskut ini macam tak sedar dah makan berketul-ketul sebab tak terasa mengunyahnya.



Ok cerita tentang dohnya pula. Seperti yang telah dijangkakan, adunan biskut ini amat lembut dan sedikit melekit-lekit. Jadi setelah diadun, adunan ini Naz masukkan ke dalam beg plastik dan kemudian dimasukkan ke dalam peti sejuk untuk direhatkan selama 10-15 minit. Apabila dikeluarkan, memang lebih mudah membentuk adunan ini menjadi bebola-bebola kecil. Sekiranya lebih lama adunan ini disimpan di dalam peti sejuk, maka akan lebih mudah kerja-kerja menggentel ia menjadi bebola-bebola kecil.



Banyak mana jumlah biskut ini terhasil dari satu adunan bergantung kepada saiz bebola yang dibuat. Naz menggentel adunan menjadi saiz sebesar guli (lebih kurang 2cm diameternya) supaya apabila anak-anak makan lebih mudah masuk ke mulut setiap bebola dan kuranglah serpihan-serpihan biskut yang jatuh apabila digigit. Untuk perisa coklat, Naz tambahkan 2 teaspoon serbuk koko ke dalam adunan. Adunan ini tidak mengembang seperti kebanyakan biskut lain setelah dibakar. Mungkin kerana tiada penggunaan agen penaik dan juga tiada penggunaan telur di dalam resepinya.


MELT-IN-MOUTH GERMAN COOKIES
Sumber : Happy Home Baking
Oleh : Naz's CUTE OVEN, SMALL KITCHEN


Bahan-bahan :

  • 125 gm butter, dilembutkan pada suhu bilik
  • 40 gm gula icing, diayak
  • 1 teaspoon asen vanilla, untuk biskut perisa vanilla 
  • 2 teaspoon serbuk koko, optional(ditambah jika ingin mendapatkan biskut perisa coklat)
  • 125 gm potato starch
  • 80 gm tepung kek/tepung gandum

Cara-cara :
  1. Di dalam mangkuk pengadun, pukul butter dan gula icing hingga gebu dan ringan. Tambahkan asen vanilla dan gaul rata.
  2. Ayak tepung kek dan juga potato starch ke dalam adunan. Gaul menggunakan spatula hingga mendapat doh yang lembut. Sekiranya doh terlalu lembik dan sukar dibentuk, balut dengan plastik dan simpan di dalam peti sejuk 10-15 minit(Naz simpan 20 minit).
  3. Gentel doh menjadi bebola-bebola kecil dengan diameter lebih kurang 2cm dan susun di atas loyang pembakar yang telah dilapik dengan kertas pembakar. Tekan setiap bebola dengan garfu untuk mendapatkan corak(celup garfu ke dalam air selepas setiap kali penggunaan untuk mengelakkan doh melekat pada garfu).
  4. Bakar di dalam oven yang telah dipanaskan pada suhu 170 C selama 15 minit di rak yang paling atas(tidak perlu membakar sehingga biskut bertukar warna menjadi warna perang) menggunakan api atas dan bawah.
SELAMAT MENCUBA!

Thursday 23 June 2011

SELAMAT ULANGTAHUN KELAHIRAN AZLITA AZIZ & MAMA HAWA

Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Alhamdulillah hari ini, dua orang lagi rakan blogger diberi kesempatan oleh Allah SWT untuk 
sekali lagi melalui tarikh kelahiran mereka.

Diucapkan SELAMAT HARI LAHIR kepada 
Kak Azlita Aziz dan juga Mama Hawa dengan doa dan harapan 
semoga kakak berdua sentiasa dilimpahi rahmat dan sentiasa di bawah lindungan 
Allah SWT hendaknya..Insyallah.

Harap Kak Ita dan juga Mama Hawa sudi terima pemberian Naz yang serba ringkas ini..

KAD HARI LAHIR UNTUK MAMA HAWA 


KAD HARI LAHIR UNTUK KAK AZLITA AZIZ

SEMOGA PERSAHABATAN DI ALAM MAYA INI DIBERKATI OLEHNYA..

Wednesday 22 June 2011

SELAMAT ULANGTAHUN KELAHIRAN KAWAN-KAWANKU

Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Entry ringkas ni cuma nak ucapkan rasa kesyukuran kehadarat Illahi kerana memberi peluang kepada dua orang rakan bloger iaitu HaSue dan juga Mamasya menempuhi sekali lagi tarikh kelahiran mereka.

Kepada HaSue dan juga Mamasya diucapkan SELAMAT HARI LAHIR kepada kalian berdua. Semoga dipermudahkan olah Allah SWT dalam segala urusan dari dunia hingga akhirat..Insyallah..

Harap HaSue dan juga Mamasya sudi terima hadiah hari lahir yang tak seberapa ini dari Naz..

KAD HARI LAHIR UNTUK HASUE
(ok tak transformasi kain biru semalam ni??)


KAD HARI LAHIR UNTUK MAMASYA
(Mama, warna pink + purple cam ni ok kan..)

SEMOGA PERSAHABATAN ANTARA KITA BERKEKALAN HENDAKNYA..

Tuesday 21 June 2011

BISKUT CHOCOLATE CHIP FAMOUS AMOS (HOME MADE)


Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Pernah makan biskut Famous Amos?? 
Suka ke tidak?? Sedap ke rasanya?? 
Ingin mendapatkannya dengan harga yang lebih rendah?? 
Ketahui rahsianya selepas ini.

Hahaha..macam iklan produk pulak. Ok, untuk penggemar biskut ini, sekarang anda boleh buat sendiri di rumah dengan kos yang lebih rendah dan rasa yang memang saling tak tumpah dengan biskut Famous Amos yang di kedai tu. Betul ni.. Tak tipu punya.. Tipu tu kan berdosa.. 

Resepi ni sebenarnya dah lama Naz simpan. Diberi oleh seorang kawan masa hari raya tahun lepas (Ok tak, beraya di rumah orang, lepas tu minta resepi time tu jugak..hehehee). Kawan ni pun dapat resepi ni dari internet juga katanya. Ila...Naz dah buat dah biskut ni..Hihihiii..punyalah lama Naz peram resepi ni. Sampai terlupa nak membuatnya. Lagi pun resepi ni sampai di rumah selepas raya puasa(sebab beraya di kampung). Malaslah pula nak mengukis di dapur. Tiba-tiba teringin nak buat bila terlihat biskut ni di dapur Fiza. Barulah tau resepi ni diambil dari sini rupanya. Oklah tu. Timing dah kenalah kan. Tak lama lagi dah nak puasa bulan Ramadhan. Bolehlah jadi salah satu biskut raya ni. Uihhh... orang beraya ke rumah, kita hidangkan dengan biskut Famous Amos...  MAHAL TUUUU!!! Mahal sebab air tangan sendiri. Bukan kedai mari punya...


Ni masa tengah manaip ni, biskut tu masih di dalam oven untuk dulang yang ke dua. Baunya...SUBAHANALLAHHH!!! Menggetarkan perut dan kerongkong yang dah kekenyangan ni.. Tadi yang first round bakar, dah separuh habis masuk ke perut orang yang membakar tu.. Siapa la orang tu agaknya. Sebab tu lah masa apply kerja di kilang dan kedai biskut Famous Amos ni, tak diterima.... Kena reject.. Sebab bos tempat apply kerja tu dah tau, kalau ambil budak ni kerja di situ, sah-sah tutup kilang atau kedai tu nanti..heheheeee...


Baiklah, untuk tidak menghampakan resepi biskut ini, Naz telah sukat bahan-bahan mengikut resepi asal dan kemudian Naz sukat pula menggunakan ukuran cawan dan sudu bagi beberapa bahan yang berkenaan. Jadi lebih mudah kawan-kawan nak sukat nanti kan sebab ada pilihan dalam penggunaan jenis sukatan itu. Naz pun senang juga bila nak buat lagi sekali nanti. Untuk resepi ini, jumlah kepingan biskut yang boleh diperolehi (macam mana nak kira ni..Separuh dah masuk perut dah ni..) bergantung kepada berapa besar setiap bebola yang akan anda buat. Kalau kecil-kecil bebolanya nanti, maka lebihlah jumlah biskut yang akan diperolehi berbanding dengan bebola yang lebih besar sekiranya dibuat.


BISKUT CHOCOLATE CHIP FAMOUS AMOS (HOME MADE)
Oleh : Naz's CUTE OVEN, SMALL KITCHEN
Sumber Resepi: Fiza Damia

Bahan-bahan ayak :
  • 280 gm (2 1/4 cawan) tepung gandum
  • 10 gm (3 tsp) serbuk koko
  • 2 Tbsp tepung jagung
  • 1/2 tsp soda bikarbonate
  • 2 Tbsp susu tepung
  • Secubit garam
Bahan-bahan lain :
  • 250 gm mentega
  • 150 gm gula kastor
  • 1/2 tsp asen vanilla
  • 1 biji kuning telur
  • 100 gm (1/2 cawan) coklat chip
  • 100 gm sebarang kekacang(walnut, badam, gajus dll yang dicincang) atau kismis - optional



Cara-cara :
  1. Pukul mentega, gula kastor dan esen vanilla hingga kembang.
  2. Masukkan kuning telur dan pukul rata.
  3. Masukkan bahan-bahan ayak dan kemudian kacau hingga sebati dengan spatula atau tangan.
  4. Masukkan coklat chip dan cincangan kacang atau kismis. Kacau rata.
  5. Sudukan adunan ke atas dulang pembakar. Boleh juga diuli menjadi bebola-bebola kecil dengan menggunakan tangan.  Susun di atas dulang pembakar. PERHATIAN! JANGAN LETAKKAN BEBOLA RAPAT-RAPAT ANTARA SATU SAMA LAIN KERANA BEBOLA INI AKAN MENGEMBANG DAN MELEPER SEWAKTU PROSES PEMBAKARAN.
  6. Bakar pada suhu 160 C selama 15-25 minit bergantung kepada saiz bebola-bebola adunan anda.
  7. Sejukkan dahulu biskut sebelum disimpan di dalam bekas kedap udara.

NOTA :

  • Naz tak letak pun kekacang atau kismis di dalam adunan kerana dengan coklat chip saja pun dah MELETOPZZZZ rasa biskut ni. Lagi pun Husna tak berapa gemar makanan yang ada kekacang di dalamnya.
  • Rasanya kalau nak letak kekacang di dalam adunan, elok dikurangkan coklat cip sedikit kerana satu keping biskut ni, penuh dengan coklat cipnya. Cadangan Naz: 50 gm coklat cip dan 50 gm kekacang.
  • Cubalah buat biskut ni.. Tak rugi mencubanya.. Kalau tak cuba dah rugi macam Naz(setahun Naz rugi tu).
SELAMAT MENCUBA! 

Sunday 19 June 2011

LAKSA JOHOR


Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Menu kali ini ialah Laksa Johor. Kali terakhir Naz buat laksa Johor ni ialah pada tahun 2005 dan ketika ini menetap di negara orang kerana mengikut encik hubby yang menyambung pelajarannya di sana.


Laksa Johor mempunyai ciri-ciri keistimewaannya sendiri yang membezakannya dengan jenis laksa lain yang terdapat di Malaysia ini. Ciri-ciri tersebut ialah penggunaan spagetti sebagai bahan utamanya disamping penggunaan ulam-ulaman sebagai bahan sampingan hidangan beserta dengan sambal belacan sebagai pelengkap menu ini.

Untuk resepi laksa Johor ini, tiada penggunaan telur rebus sebenarnya. Tapi oleh kerana encik hubby dan anak-anak Naz, memang suka sangat telur rebus dimasukkan ke dalam hidangan-hidangan laksa, maka sebab itulah ada telur rebus dalam gambar-gambar laksa Johor Naz ini. 


Selain itu, kuah untuk laksa Johor ini sepatutnya bewarna sedikit kemerahan seperti kari kerana penggunaan serbuk kari di dalam resepinya. Cuma kuah yang Naz buat tu kurang warna merahnya kerana Naz tak tunggu sehingga naik atau terbit minyak betul-betul sebelum memasukkan isi ikan dan juga santan ke dalam kuahnya. Jadi untuk mendapatkan kuah yang lebih kelihatan menarik, selepas menumis pes laksa ini, tunggu dulu sehingga terbit minyak di permukaan barulah masukkan santan dan juga isi ikan yang telah dikisar.


LAKSA JOHOR
Oleh : Naz's CUTE OVEN, SMALL KITCHEN

Bahan-bahan kisar :
  • 8 biji bawang merah
  • 4 ulas bawang putih
  • 3 cm halia
  • 3 cm lengkuas
  • 3 batang serai 

Bahan-bahan lain :
  • 1/4 cawan minyak masak
  • 500 gm ikan kembung (direbus, diambil isinya dan dikisar halus)
  • 4 sudu besar udang kering (direndam dan ditumbuk)
  • 2 liter santan
  • 2 sudu besar asam jawa + 1/2 cawan air
  • 2 keping asam gelugor
  • 3 sudu besar kerisik
  • 10-15 tangkai daun kesum (dicuci)
  • Garam dan gula secukupnya

Bahan-bahan pes :
(bancuh bersama dengan sedikit air untuk menjadi pes)
  • 2 sudu besar serbuk ketumbar
  • 1 sudu besar serbuk jintan manis
  • 2 sudu besar serbuk kari daging
  • 2 sudu besar cili kering kisar

Bahan-bahan sampingan :
  • 1 paket spagetti atau mee kuning - utk spagetti, rebus seperti arahan di paket hingga lembut
  • 2 biji bawang besar - dihiris
  • 1 biji timun - dihiris
  • Taugeh - dibuang ekornya
  • Daun selom - dihiris
  • Daun selasih - dihiris
  • 8 biji limau kasturi - dibelah 2
  • 6 biji telur rebus (optional)

Bahan-bahan untuk sambal :
(ditumbuk lumat)
  • 6 biji cili merah
  • 3 biji cili padi
  • 2 inci belacan - dibakar
  • Garam dan gula secukup rasa

Cara-cara :
  1. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar hingga wangi.
  2. Masukkan bancuhan pes dan kacau hingga terbit minyak.
  3. Tuangkan santan dan kacau sekali sekala hingga menggelegak.
  4. Masukkan isi ikan, udang kering, air asam jawa, asam keping dan juga kerisik serta daun kesum.
  5. Kacau sekali sekala hingga menggelegak dan masukkan garam serta gula secukup rasa. Bila terbit minyak semula, matikan api dapur.
  6. Untuk menghidang, masukkan spagetti atau mee ke dalam mangkuk. Taburkan bahan-bahan sampingan dan sendukkan kuah. Hidangkan bersama perahan limau kasturi dan juga sambal belacan.


SELAMAT MENCUBA!

Thursday 16 June 2011

GELATIN HALAL


Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Entry kali ini bukan nak paparkan sebarang resepi. Cuma Naz nak kongsikan bersama di sini tentang GELATIN HALAL yang biasa Naz gunakan dalam resepi yang memerlukan gelatin.

Maaf kepada beberapa orang rakan yang bertanya tentang rupa gelatin ni di atas kelewatan Naz menunjukkannya. 

Untuk maklumat lanjut tentang gelatin ini, dari mana dan bagaimana boleh diperolehi, kegunaan serta harganya boleh rujuk pada laman web ini : http://halalgelatine.com/my/index.html

Rupa gelatin adalah seperti di bawah ini :


Rupa gelatin adalah seperti gula kastor yang bewarna perang lembut. Macam gula perang lembut tu jer rupanya. Bukan seperti serbuk agar-agar seperti sangkaan kebanyakan orang.

Harap dengan entry ringkas ini dapat membantu rakan-rakan yang tertanya-tanya tentang gelatin halal selama ini. 

Tuesday 14 June 2011

RICH MILO PUDDING

  

Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Teringin nak buat puding coklat sebenarnya. Teringat dulu sewaktu belum ada blog pernah buat Rich Chocolate Pudding yang diambil resepinya dari MyResepi. Bila teringatkan puding ni terkenangkan rasa coklatnya yang sungguh kaya.


Tiba-tiba terasa nak tukar pula rasa coklat ni kepada milo. Kebetulan memang banyak pula stok milo di rumah. Jadi buatlah Rich Milo Pudding pula diadaptasi dari resepi Rich Chocolate Pudding.


Dalam resepi Rich Milo Pudding ni, Naz ubah suai sedikit sukatan bahan-bahannya untuk menyesuaikan dengan rasa milo yang digunakan. Kuantiti gulanya pun Naz kurangkan kerana milo semulajadi telah manis. Tidak seperti serbuk koko yang memang tiada rasa manisnya. Untuk resepi Rich Chocolate Pudding yang menjadi rujukan Naz ini boleh klik di sini. Terima kasih kepada kak Jun iaitu penyumbang resepi.


RICH MILO PUDDING
(PUDING KAYA MILO)
Oleh : Naz's CUTE OVEN, SMALL KITCHEN


Bahan-bahan :
  • 3/4 cawan serbuk milo
  • 3/4 cawan gula pasir
  • 3/4 cawan susu tepung
  • 4 Tbsp tepung kastad atau tepung jagung
  • 1/2 tsp garam
  • 1/2 tsp asen vanilla
  • 10 gm serbuk agar-agar
  • 4 1/4 cawan air
  • 2-3 Tbsp mentega

Cara-cara :
  1. Masukkan semua bahan kecuali mentega ke dalam periuk dan masak di atas api hingga mendidih.
  2. Masukkan mentega dan terus kacau larutan hingga likat. Tutup api.
  3. Basahkan acuan pilihan anda dan masukkan larutan yang telah masak tadi. Biarkan beku.
  4. Boleh dinikmati.

SELAMAT MENCUBA!

Sunday 12 June 2011

SWISS ROLL COKLAT & SEDIKIT TIPS


Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Aik?? Swiss roll lagi?? Hehehe.. Tulah..kalau dah mula menggulung ni, memang nak buat selalu pula rasanya. Lebih-lebih lagi rasa kek gulung ni yang lembut dan sedikit lembap..haiiiii..memang tak cukup sepotong masuk ke mulut. 

Buat swiss roll ni sebenarnya untuk seseorang yang dah lama mengidamkan swiss roll-swiss roll yang Naz tunjukkan di blog ni. Sebab tu lah tak ada gambar swiss roll yang dah dipotong dalam entry ni. Alhamdulillah..puas hati nampaknya orang yang mengidam tu. Lepas ni bolehlah buat sendiri pula..hehhehee.

.

Ada antara kawan-kawan yang bertanya, bagaimana nak dapatkan swiss roll yang cantik mulus jer permukaannya tu. Sebenarnya Naz sendiri pun tak dapat menjawab dengan tepat soalan ni. Dari pengalaman Naz membuat kek gulung ni, rasanya memang resepi ini kejadian keknya, insyallah akan elok. Dari kali pertama membuat kek ni sehingga kini, memang tiada sekalipun kejadian kek ini yang mengecewakan Naz. Yang pastinya, setiap orang mesti arif dengan oven masing-masing kerana setiap oven kadang-kala akan ada sedikit perbezaan pemanasannya. 

Untuk kek gulung ni, kek tidak boleh terlebih bakar kerana ia akan lebih kering dan menyebabkan permukaan kek menjadi merekah sewaktu proses menggulung. Kek juga tidak boleh terkurang pembakarannya kerana permukaan kek(bahagian yang cantik tu) akan melekat pada kertas yang digunakan untuk membantu semasa proses menggulung nanti. Ini berdasarkan pengalaman Naz sendiri.



Lagi satu, sekiranya menggunakan loyang yang lebih kecil saiznya, kek akan menjadi lebih tebal. Jadi bagi yang baru mencuba untuk menggulung kek mungkin agak sukar sikit sebab kek gulung ni memang lembut dan fragile. Ada kemungkinan kek akan pecah kalau terlebih tekan sewaktu menggulung tapi ada juga orang yang walaupun baru pertama kali melakukannya, tetap berjaya. Naz sendiri, masa mula-mula mencuba kek ini, menggunakan loyang 9" X 11". Bila dah dapat skill menggulung tu, Naz tukar kepada loyang bersaiz 8" X 11". Walaupun macam tak banyak beza kalau dilihat saiz loyang tu, tetapi ketebalan kek memang berbeza jadinya. Dengan loyang yang lebih besar, kek menjadi lebih nipis. Jadi nak menggulung lebih mudah dan kek tak mudah pecah. Apa-apa pun pengalaman menambah pengetahuan kita dan practice makes perfect. Kena cuba jayalah.

Okeylah, panjang pulak membebel kali ini. Untuk resepinya di bawah yer.

SWISS ROLL COKLAT
Oleh : Naz's CUTE OVEN, SMALL KITCHEN
Sumber : Maklang Azie

Bahan-bahan [A] :

  • 3 biji telur gred A atau B
  • 2 oz (4 Tbsp / 60 gm) gula kaster
  • 1/2 tsp serbuk penaik
  • 1/2 tsp asen vanilla
  • 1/2 Tbsp ovallate
  • 1.5 oz (5 Tbsp) tepung gandum (sukat dan kemudian kurangkan 2 Tbsp tepung gandum ni, kalau guna sukatan Tbsp - letak 3 Tbsp jer)
  • 2 Tbsp serbuk koko
  • 1/2 Tbsp susu tepung

Bahan-bahan lain :
  • 2 oz (60 gm) mentega (dicairkan dan disejukkan)
  • Buttercream secukupnya 

Cara-cara :
  1. Pukul bahan-bahan [A] dengan kelajuan maksimum hingga kembang dan berkrim (lebih kurang 7-9 minit).
  2. Masukkan mentega cair ke dalam adunan dan kaup balikkan dengan spatula hingga sebati dan rata. Keluarkan 1-2 Tbsp adunan ini dan campurkan sedikit coklat paste atau coklat emulco dan gaul rata. Kemudian masukkan adunan yang sedikit ini ke dalam beg plastik untuk dibuat corak nanti.
  3. Tuang adunan yang asal ke dalam loyang 11" X 8" yang telah dilapikkan dengan kertas kalis minyak dan ratakan permukaannya. Paipkan adunan yang diwarnakan coklat tadi dan buatlah corak yang diingini.
  4. Bakar di dalam oven yang telah dipanaskan pada suhu 170 C selama 20 minit menggunakan api atas dan bawah.
  5. Setelah selesai proses pembakaran, keluarkan kek dari oven. Biarkan sejuk seketika. Letakkan sekeping kertas kalis minyak di permukaan kek dan terbalikkan kek ke atas permukaan yang rata. Bahagian bawah kek kini berada di atas. Tarik perlahan kertas alas pembakaran tadi.
  6. Sapukan permukaan kek dengan buttercream secara lemah lembut.
  7. Gulung kek dengan cermat. 



NOTA :
  • Kepada kawan-kawan yang meminta sukatan bahan di dalam ukuran yang lebih mudah, Naz sudah letakkan ukuran dalam sukatan 'gm' dan juga sukatan 'spoons'. Harap telah membantu.

SELAMAT MENCUBA!

TAHNIAH BUAT BLOGGER HASUE


Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Wah! Bercuti lama sangat sampai terlepas berita-berita terkini kawan-kawan cyber. Walaubagaimana pun TAHNIAH buat Hasue kerana telah beroleh follower melebihi 1000 orang untuk blog beliau "HaSue: I Love My Life" Akak angkut mawar biru dari blog you yer! Bunga biru ni tanda penghargaan Sue kepada semua yang menyokong blog beliau selama ini.. Terima kasih Sue... Semoga Sue lebih success dalam segala apa yang dicitakan.

Saturday 11 June 2011

SWISS ROLL KAPPUCCINO


Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Swiss roll kappuccino pula keluar kali ini. Lama rasanya tak buat swiss roll. Masih menggunakan resepi yang sama seperti swiss roll-swiss roll yang terdahulu cuma diubah suai sikit bahannya untuk menjadikan swiss roll kappuccino pula.


Sedikit corak di permukaan kek itu Naz buat dengan melorekkan emulco kopi menggunakan hujung lidi sebelum kek dibakar. 

Untuk filling swiss roll ini pula, Naz mencampurkan juga sedikit serbuk kappuccino ke dalam buttercream yang digunakan untuk menerbitkan rasa kappuccino di dalam krimnya. 



SWISS ROLL KAPPUCCINO
Oleh : Naz's CUTE OVEN, SMALL KITCHEN


Bahan-bahan [A] :

  • 3 biji telur gred A atau B
  • 2 oz/ 60 gm/ 4 Tbsp gula kaster
  • 1/2 tsp serbuk penaik
  • 1/2 tsp asen vanilla
  • 1/2 Tbsp ovallate
  • 1.5 oz/ 5 Tbsp tepung gandum (timbang dan kemudian kurangkan 3 Tbsp tepung gandum ni)
  • 3 Tbsp serbuk kappuccino Indocafe
  • 1/2 Tbsp susu tepung

Bahan-bahan lain :
  • 2 oz/ 60 gm mentega (dicairkan dan disejukkan)
  • Buttercream secukupnya 

Cara-cara :
  1. Pukul bahan-bahan [A] dengan kelajuan maksimum hingga kembang dan berkrim (lebih kurang 7-9 minit).
  2. Masukkan mentega cair ke dalam adunan dan kaup balikkan dengan spatula hingga sebati dan rata.
  3. Tuang adunan ke dalam loyang 11" X 8" yang telah dilapikkan dengan kertas kalis minyak dan ratakan permukaannya.
  4. Bakar di dalam oven yang telah dipanaskan pada suhu 170 C selama 20 minit menggunakan api atas dan bawah.
  5. Setelah selesai proses pembakaran, keluarkan kek dari oven. Biarkan sejuk seketika. Letakkan sekeping kertas kalis minyak di permukaan kek dan terbalikkan kek ke atas permukaan yang rata. Bahagian bawah kek kini berada di atas. Tarik perlahan kertas alas pembakaran tadi.
  6. Sapukan permukaan kek dengan buttercream secara lemah lembut.
  7. Gulung kek dengan cermat. 
SELAMAT MENCUBA!

Wednesday 8 June 2011

AISKRIM GORENG

 

Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Bersiaran kembali setelah bercuti lebih daripada seminggu juga rasanya. Seronok, gembira, letih dan penat..semuanya dirasai. Walaubagaimana pun, puas hati sebab dapat gembirakan anak-anak dalam waktu cuti sekolah yang masih lagi bersisa beberapa hari lagi.

Semasa bercuti hari tu, kami berhenti di kawasan rehat Seremban untuk sembahyang. Anak-anak ternampak satu kiosk ni yang menjual aiskrim dan iceblended. Ada pula tu menu aiskrim roti goreng beserta gambar macam yang Naz buat ni. Haris dan Husna pun cakap, "Eh! Samalah ummi macam yang ummi buat". Memang la sama anak-anak oiii.. tapi tang harga tu yang tak sama. Yang tu sebiji pun dah beringgit-ringgit. Jadi bila sampai je ke rumah mak di kampung, projekkanlah aiskrim dan roti untuk buat aiskrim roti goreng ni. Lebih-lebih lagi anak-anak dah request bila terlihat gambar di kiosk tadi. Lebih puas hati dapat makan yang dibuat sendiri.


Okey, resepi untuk aiskrim goreng ni Naz pernah letak dulu beserta gambar cara-cara membuatnya langkah demi langkah. Boleh rujuk di :

Untuk kali ini Naz cuma letakkan resepi dan gambar aiskrim goreng yang dah siap saja ye.


AISKRIM GORENG
Bahan-bahan :
(untuk 5 ketul aiskrim goreng)
  • 10 keping roti sandwich
  • 5 scoop aiskrim (apa-apa perisa)
  • Plastik penyimpanan
  • Acuan untuk menerap roti (cawan plastik atau apa-apa yang boleh dijadikan penerap)
  • Minyak masak secukupnya untuk menggoreng
Cara-cara :
  1. Baringkan sekeping roti di atas pinggan. 
  2. Letakkan satu scoop aiskrim di tengah-tengah roti.
  3. Ambil sekeping lagi roti dan tutup aiskrim di atas roti yang pertama tadi.
  4. Gunakan acuan dan terap roti hingga terputus bahagian tepi-tepi roti. Pastikan bahagian tepi-tepi roti ni bercantum. Kalau didapati terbukak dan tak melekat, boleh kelim dengan jari agar tak ternganga.
  5. Masukkan aiskrim roti ini ke dalam plastik penyimpanan. Buat hingga selesai.
  6. Masukkan beg plastik berisi aiskrim roti ke dalam peti sejuk beku(freezer) dan simpan 3 jam atau semalaman.
  7. Apabila tiba masa untuk digoreng, panaskan minyak masak.
  8. Bila minyak telah panas, keluarkan aiskrim roti dari peti sejuk beku dan goreng hingga kekuningan. Terbalikkan semasa menggoreng agar masak sekata di kedua belah permukaan. Proses menggoreng ini sekejap sahaja ye(kurang dari 1 minit).
  9. Angkat dan boleh terus dinikmati.


SELAMAT MENCUBA!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...