Thursday, 26 May 2011

TALAM SAGU BERLAPIS


Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Kuih Talam Sagu Berlapis telah tiba ke rumah ku... Wah! Memang sedap rupanya kuih ni sebagaimana komen-komen dari kawan-kawan yang telah mencuba membuat kuih ini. Teksturenya yang lembut, rasa manisnya yang sedang-sedang saja dan rupanya yang cantik menarik membuatkan sesiapa yang mencubanya tidak akan berasa rugi.

 

Naz cuma buat setengah adunan sahaja daripada adunan asal. Dengan menggunakan loyang 9 inci X 9 inci puas jugalah makan. Dapat pula bagi pada jiran sebelah rumah dan juga MIL sedikit. Cuma potongan kuih talam Naz kurang kemas. Tu laa..Gatal sangat nak potong guna pisau plastik yang beralun tu.. Kan dah comot jadinya. Jadi kepada sesiapa yang ingin membuat kuih ni, seelokknya dipotong dengan pisau biasa yang tajam. Barulah biji-biji sagu tu tak terkeluar dari tempat asalnya.


Resepi Naz letak untuk setengah adunan dan juga adunan penuh. Senang untuk rujukan Naz sendiri bila nak buat lagi nanti. Resepi untuk 1/2 adunan, Naz copy & paste dari dapur cyber Izah(Izah Muffin Lover), manakala resepi penuh pula Naz copy & paste dari dapur kak Yatie(Sinar Kehidupanku). Tidak dilupa, ucapan terima kasih kepada tentulah penyumbang asal resepi yang sedap ini iaitu Kak Wan(Resipi Citarasawan)


TALAM SAGU BERLAPIS (1/2 adunan)
Resepi Asal Oleh : Kak Wan (Resipi Citarasawan)

Bahan-bahan :
  • 50 gm sagu

Bahan A
  • 115 gm tepung beras
  • 50 gm tepung ubi / tepung sagu
  • 200 ml santan pekat KARA
  • 175 ml air

Bahan B
  • 160 gm gula
  • 150 ml air
  • 3 helai daun pandan

Loyang 9" empat segi

Cara-cara :
  1. Didihkan air yang banyak, masukkan sago dan masak hingga sago menjadi jernih. Tos dan siram dengan air paip. Ketepikan.
  2. Masak bahan B hingga gula larut. Ketepikan.
  3. Satukan semua bahan A, masukkan bahan B, gaul rata dan tapis.
  4. Ketepikan 150ml adunan untuk lapisan atas, masukkan pewarna hijau dan esen pandan. Ketepikan.
  5. Kemudian masukkan sago yang di toskan tadi ke dalam baki adunan. Bahagikan kepada 2 bahagian dan warnakan setiap satu dengan warna hijau dan merah atau warna di sukai.
  6. Tuang 1/2 bahagian dari adunan hijau ke dalam loyang 9" yang telah dileser dengan sedikit minyak. Kukus selama 5 minit.
  7. Tuang 1/2 bahagian dari adunan merah, kukus selama 5 minit. Ulangi melapis adunan hijau dan merah berselang seli hingga habis.
  8. Akhir sekali tuang adunan lapisan atas, tutup loyang dengan aluminium foil dan kukus selama 30 minit. Biarkan betul-betul sejuk baru di potong.


TALAM SAGU BERLAPIS (Adunan penuh)
Resepi Asal Oleh : Kak Wan (Resipi Citarasawan)

Bahan-bahan

  • 100 gm biji sago
Bahan A

  • 230gm tepung beras
  • 100gm tepung ubi / tepung sagu
  • 400ml santan pekat KARA
  • 350ml air
Bahan B
  • 350gm gula
  • 300ml air
  • 3 helai daun pandan
Loyang 9" empat segi

Cara-cara :
  1. Didihkan air yang banyak, masukkan sago dan masak hingga sago menjadi jernih. Tos dan siram dengan air paip. Ketepikan.
  2. Masak bahan B hingga gula larut. Ketepikan.
  3. Satukan semua bahan A, masukkan bahan B, gaul rata dan tapis.
  4. Ketepikan 300ml adunan untuk lapisan atas, masukkan pewarna hijau dan esen pandan. Ketepikan.
  5. Kemudian masukkan sago yang di toskan tadi ke dalam baki adunan. Bahagikan kepada 2 bahagian dan warnakan setiap satu dengan warna hijau dan merah atau warna di sukai.
  6. Tuang 1/2 bahagian dari adunan hijau ke dalam loyang 9" yang telah dileser dengan sedikit minyak. Kukus selama 5 minit.
  7. Tuang 1/2 bahagian dari adunan merah, kukus selama 5 minit. Ulangi melapis adunan hijau dan merah berselang seli hingga habis.
  8. Akhir sekali tuang adunan lapisan atas, tutup loyang dengan aluminium foil dan kukus selama 30 minit. Biarkan betul-betul sejuk baru di potong.
SELAMAT MENCUBA!

Monday, 23 May 2011

PUDING LAPIS KOPI MOKKA


Assallamulaikum dan salam sejahtera.

Resepi puding pula kali ini. Terpesona tengok puding kopi mokka ni di dapur Yat Maria. Terus salin resepi dari blog Yat. Yat pula cedok resepi ini dari blog Rima. Jadi inilah hasilnya.


Resepi asal menggunakan sukatan serbuk agar-agar sebanyak 7 gm. Naz ubah suai resepi supaya sesuai dengan penggunaan serbuk agar-agar sebanyak 10 gm. Malas pulaklah nak sukat jadi 7 gm tu sebab biasanya Naz memang beli serbuk agar-agar yang 10 gm sepeket. Jadi kepada sesiapa yang ingin melihat resepi asal boleh klik pada nama Yat Maria atau pada nama Rima di bawah. Bersama resepi ini, ada sekali resepi sosnya/kuahnya. Tapi Naz tak buat sebab puding ini dimakan begitu sahaja pun dah sedap. Rasanya memang marvellous! Kepada penggemar puding, anda harus mencuba puding yang memang best dan meletopzzzz rasanya ini.

 


PUDING LAPIS KOPI MOKKA
Resepi Asal Oleh : Rima
Sumber : Yat Maria
Diolah Resepi Oleh : Naz's COSK

[A] Bahan-bahan Puding Mokka :
  • 10 gm serbuk agar-agar
  • 400 ml air
  • 3/4 cawan gula pasir
  • 2 Tbsp + 1 tsp tepung jagung, larutkan dengan 100 ml air 
  • 600 ml susu segar
  • 2 Tbsp serbuk koko, dilarutkan dengan 60 ml air panas
Cara-cara :
  1. Masukkan air, serbuk agar-agar dan juga gula pasir ke dalam periuk. Masak hingga mendidih dan serbuk agar-agar serta gula larut.
  2. Masukkan larutan tepung jagung, susu segar dan juga larutan koko. Kacau rata. Biarkan di atas api yang paling kecil atau boleh merendam periuk di dalam satu bekas lain yang berisi air panas. Tujuannya untuk mengelakkan larutan agar-agar dari membeku sebelum habis digunakan.

[B] Bahan-bahan Puding Kopi :
  • 10 gm serbuk agar-agar
  • 1 liter air
  • 1/2 cawan gula pasir
  • 3 tsp serbuk kopi segera(nescafe)
Cara-cara :
  1. Masukkan semua bahan ke dalam periuk dan masak hingga mendidih. Biarkan di atas api yang paling kecil atau letakkan periuk ke dalam bekas yang berisi air panas untuk mengelakkan larutan agar-agar membeku sebelum habis digunakan.

Cara Menyediakan Puding Kopi Mokka :

  1. Sedikan loyang atau acuan kegemaran anda. Basahkan bahagian dalamnya dengan air.
  2. Tuang atau sendukkan adunan puding mokka ke dalam acuan. Biarkan ia mengeras.
  3. Kemudian, sendukkan pula adunan puding kopi ke dalam acuan tadi. Biar ia mengeras.
  4. Buat hingga habis semua adunan digunakan. Simpan di dalam peti sejuk. Hidangkan apabila telah keras sepenuhnya.

NOTA :
  • Naz memasukkan acuan ke dalam peti ais selepas setiap kali melapis puding supaya puding cepat mengeras untuk setiap lapisan.
  • Rasa yang sungguh sedap!!!!
SELAMAT MENCUBA!

Saturday, 21 May 2011

SET NASI AYAM


Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Okey, hari ni nak letak resepi nasi ayam yang biasa Naz buat di rumah. Resepi yang mudah saja.  Sebab anakanda Hani tak sihat, Naz terus kepada resepinya ye!

NASI AYAM & PELENGKAPNYA (untuk 3-4 orang makan)
Resepi Oleh : Naz's COSK

[A] NASI AYAM
 

Bahan-bahan :
  • 2 cawan beras
  • 2 cawan sup ayam atau ikut sukatan air untuk beras anda (resepi sup ayam di bawah)
  • Sedikit serbuk kunyit
  • Daun bawang untuk hiasan
  • Bawang goreng untuk hiasan
Cara-cara :
  1. Basuh beras dan toskan.
  2. Masukkan beras bersama sup ayam dan sedikit serbuk kunyit ke dalam periuk. Gaul rata biar warna kuning sekata. 
  3. Masak seperti memasak nasi biasa.
  4. Setelah masak, sendukkan ke dalam mangkuk nasi dan taburkan dengan hirisan daun bawang dan juga bawang goreng.

[B] SUP

Bahan-bahan :
  • 1/2 ekor ayam (dibersihkan dan dibuang kulitnya)
  • 5 ulas bawang merah 
  • 4 ulas bawang putih
  • 2-3 inci halia (diketuk)
  • 1-2 kiub pati ayam
  • Garam secukup rasa
  • 1 sup bunjut
  • 1 liter air (boleh tambah atau kurangkan ikut keperluan)
  • 2-3 Tbsp minyak jagung untuk menumis (guna minyak masak biasa pun boleh)
  • 20 biji bebola ayam atau bebola ikan
  • Daun sup dan daun bawang (dihiris)
  • Bawang goreng
Cara-cara :
  1. Tumbuk bawang merah bersama bawang putih. 
  2. Panaskan minyak di dalam kuali. Tumis bahan tumbuk bersama halia. Biar naik bau dan layu. 
  3. Masukkan air dan juga ayam. Masukkan juga sup bunjut dan biar hingga menggelegak.
  4. Apabila menggelegak, masukkan kiub pati ayam dan garam. Rasakan masinnya.
  5. Apabila ayam telah empuk, keluarkan dan masukkan ke dalam mangkuk besar.
  6. Keluarkan sedikit sup ayam untuk memasak nasi.
  7. Lebihan sup kemudian dicampurkan bebola ayam atau bebola ikan ke dalamnya. Biar seketika hingga sebati. Tutup api.
  8. Hidangkan ke dalam mangkuk menghidang bersama hirisan daun bawang dan daun sup serta bawang goreng.

[C] AYAM 

Bahan-bahan :
  • Ayam dari sup di atas
  • Kicap manis
  • Minyak masak untuk menggoreng
Bahan tambahan (optional) :
  • 4 inci halia*
  • 2 ulas bawang putih* 
  • 3 ulas bawang merah* (* ditumbuk lumat)
Cara-cara :
  1. Ayam yang dikeluarkan dari sup tadi, diperap dengan kicap manis. Gaul rata kicap tersebut biar menyaluti rata ayam. Sekiranya suka boleh diperap bersama dengan bahan tambahan di atas sekali. 
  2. Panaskan minyak secukupnya di dalam kuali dan goreng ayam. Tidak perlu menggoreng terlalu lama kerana ayam telah masak semasa di dalam sup tadi.
  3. Ayam yang telah masak dipotong atau dihentak sedikit dan masukkan ke dalam pinggan menghidang. Tuangkan lebihan kicap perap yang masih berbaki dari dalam mangkuk perap.

[D] SAMBAL CILI


Bahan-bahan :
  • 5 batang cili merah
  • 4 ulas bawang putih
  • 1/2 cawan air masak
  • 2-3 Tbsp sos tomato
  • 1 Tbsp sos cili
  • 1 tsp gula pasir
  • 1 tsp garam halus
Cara-cara :
  1. Bahan-bahan di atas, dimasukkan ke dalam mesin pengisar dan kisar halus. Sesuaikan rasa sambal cili ini mengikut kesesuaian anda. 
  2. Hidangkan ke dalam mangkuk hidangan.

[E] KICAP NASI AYAM
Bahan-bahan :
  • Sedikit sup dari sup di atas
  • Kicap manis secukupnya
Cara-cara :
  1. Masukkan sedikit sup dari sup di atas ke dalam mangkuk hidangan.
  2. Tambahkan ke dalamnya kicap manis. Sesuaikan rasanya mengikut kehendak masing-masing.
[F] ULAM-ULAMAN


Bahan-bahan :
  • 2 batang timun
  • 2 biji buah tomato
  • 1 rumpun salad
Cara-cara :
  1. Basuh dan kupas kulit timun. Hiris ikut suka. 
  2. Basuh buah tomato dan hiris mengikut kehendak anda.
  3. Basuh daun salad sehelai demi sehelai dan susun ke dalam pinggan.
  4. Hidangkan ulam-ulaman bersama set nasi ayam yang lain.
SELAMAT MENCUBA!

Friday, 20 May 2011

YOGURT STEAMED CUPCAKE


Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Salam pagi Jumaat untuk semua. Yogurt steamed cupcake atau nama melayunya Kek cawan yogurt kukus. Resepi yang dikira mendapat sambutan baik di kalangan surirumah-surirumah yang suka mencuba resepi-resepi baru.


 
 Macam-macam kaler..

 Hijau dan merah..

 Merah dan putih, merah dan hijau..

Naz buat kek cawan yogurt ini semalam. Seperti yang diwar-warkan, memang sedap dan gebu serta lembut kek cawan ini. Naz cuma buat setengah adunan saja. Husna suka sangat kek ni. Dah request suruh buat untuk bawa bekal ke sekolah minggu depan. Tapi memang betul. Sedap! Naz suka teksturenya yang gebu dan lembut tu walaupun kek ni dah tak panas mahupun suam-suam kuku.


Baca komen dari Anna Qawina dan juga kak Nor(Secubit Garam) yang telah mencuba membuat kek cawan ini, yang menurut mereka amat manis walau pun telah dikurangkan sukatan gulanya. Jadi Naz pun kurangkan juga sukatan gulanya sebab tak boleh tolerate makanan yang terlalu manis sangat. Naz kurangkan 1/2 daripada sukatan gula yang asal. Hasilnya...ada rasa macam manis-manis buah je. Tidak tawar dan tidak juga terlalu manis. Maaf ye Rima. Pandai-pandai je ubah resepi orang :)) Tapi bagi sesiapa yang memang gemarkan makanan yang extra manis, bolehlah adjust sendiri ikut resepi asal ye.

Yang original..

Naz terjemah resepi asal ke dalam bahasa melayu. Untuk resepi asal, bolek klik pada nama Rima di bawah.

KEK CAWAN YOGURT KUKUS
Oleh : Naz's COSK
Resepi Asal Oleh : Rima

Bahan-bahan :
  • 2 cawan gula (Naz kurangkan menjadi 1 cawan)
  • 1 tsp ovallete
  • 2 cawan tepung gandum
  • 1 cawan yogurt asli (plain yogurt)
  • 2 biji telur
  • 1/2 tsp serbuk penaik
  • 1 tsp serbuk koko
  • 1 tsp pes coklat 

Sebelum..

Selepas..

Cara-cara :
  1. Panaskan kukusan.
  2. Masukkan semua bahan kecuali serbuk koko dan pes coklat ke dalam mangkuk pengadun.
  3. Dengan menggunakan high speed, putar adunan hingga menjadi pekat selama beberapa minit. Adunan akan menjadi pucat warnanya.
  4. Asingkan sedikit adunan iaitu lebih kurang 5 Tbsp ke dalam bekas lain dan campurkan dengan serbuk koko dan juga pes coklat. Gaul rata.
  5. Masukkan adunan putih ke dalam piping bag atau boleh guna beg plastik yang bersih dan potong sedikit muncung plastik. Paipkan ke dalam cawan kertas hingga 3/4 penuh. Kalau nak guna sudu untuk sudukan adunan ke dalam cawan kertas pun boleh juga.
  6. Kemudian, sudukan atau paipkan adunan coklat di atas adunan putih tadi. 
  7. Kukus di atas air yang betul-betul sedang mendidih selama 15 minit.
  8. Kek yang telah masak sempurna akan tersenyum mekar macam bunga yang sedang berkembang.
Sebelum..

Selepas..


NOTA :
  • Pastikan meletakkan adunan ke dalam pengukus apabila air kukusan telah betul-betul menggelegak.
  • Kalau menggunakan cawan kertas yang bersaiz kecil, lebih mudah memasukkan adunan menggunakan piping bag. 
  • Warna dan perisa serta kombinasi warna kek ini boleh diubah suai mengikut kreativiti masing-masing.
Ibu kek cawan bersama anak-anaknya...heheheee...


SELAMAT MENCUBA!

Thursday, 19 May 2011

MUFFIN COKLAT YOGURT COKLAT CHIP


 Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Ini projek tengah malam tadi untuk anakanda Muhd. Haris. Hari ini di sekolah Haris ada majlis sambutan hari guru. Haris request untuk bawa makanan yang mudah untuk dibawa dan mudah untuk dihidang. Tak payah potong-potong, tak perlu guna pinggan serta sudu dan garfu. Jadi inilah pilihan yang sesuai rasanya. Nak dihidang, letakkan saja di atas meja. Nak makan, ambil saja seketul dua dan boleh terus ngap.. Tak perlu guna peralatan lain. Heheheeee.. Okey tak alasan tu??


Resepi ini diambil dari hasil geledah dapur puan Izah Muffin Lover ni. Tapi hasil kejadian muffin Izah cantik dari yang Naz punya. Muffin Izah halus mulus jer permukaannya sedangkan muffin Naz macam kawah gunung berapi permukaannya....wahkhaakaaakaa. Mana tak macam kawah gunung berapi. Izah suruh guna susu segar. Naz pula pandai-pandai tukar guna susu cair. Dah itu je yang ada di rumah. Tapi tak apalah.. Asalkan tak bantat...Heeheeeheee...Oppsss.. Lagi satu, masa buat muffin ni baru Naz perasan yang stok coklat chip di rumah tinggal sikit je. Memang tak mencukupi untuk mengikut sukatan dalam resepi. Jadi Naz pun guna coklat masakan perisa oren yang memang ada di rumah. Naz potong-potong kecil coklat ni dan masukkan ke dalam adunan muffin. Haaa..yang ini anak Naz suka. Kawan-kawan dia pun suka katanya sebab ada rasa oren dalam muffin tu. Heheheeee.. Nasib baik menjadi.


Okey, mood nak menaip resepi macam tak berapa ada. Jadi Naz copy & paste jer dari blog Izah. Cuma nama muffin tu Naz tukar sikit sebab nak bagi sedap lagi bunyinya. Ampun ye Izah!!! Pepandai jer tukar nama resepi muffin Izah.

MUFFIN COKLAT YOGURT COKLAT CHIP  
Oleh : Naz's COSK
Sumber resepi : izahdaut

Bahan-bahan :
1 1/2 cawan tepung gandum
1 sb membumbung serbuk koko
3/4 sk baking powder
1/4 sk soda bikarbonat
1/2 sk garam
1/2 cawan + 2 sb gula perang
3/4 cawan coklat chip
1 biji telur- dikocok sedikit
1 cawan susu segar
1/4 cawan yogurt
1/4 cawan minyak sayur
1 sudu kecil essence vanilla
1 sk cuka *optional- jika tidak menggunakan telur

Caranya:

1. Ayak tepung, serbuk koko, soda penaik dan garam ke mangkuk besar.
2. Kemudian masukkan gula perang dan coklat chip. Gaul semuanya sebati. Ketepikan.
3. Dalam mangkuk yang lain, sebatikan telur, susu segar, yogurt, minyak sayur dan essence vanilla.
4. Masukkan bahan basah ke dalam mangkuk tepung tadi.
5. Adunan sedikit cair.
6. Masukkan ke dalam muffin cup 3/4 penuh atau hampir penuh.
7. Bakar pada suhu 180 C selama 25 minit.


SELAMAT MENCUBA!

Wednesday, 18 May 2011

NASI LEMAK HIJAU PANDAN


Assallamualaikum dan salam sejahtera

Nasi lemak hijau pandan? Pelik ke bunyi nya? Pelik tetapi benar.. Macam nasi lemak biasa je tapi warna nasinya hijau. Warna hijau yang terhasil datangnya dari air pandan yang dimasukkan semasa memasak nasi lemak ini. Bau harum pandan pun lebih dari biasa.


Tak ada mood nak tulis panjang lebar ni. Terus sahaja kepada resepinya yer.

NASI LEMAK HIJAU PANDAN
Resepi Oleh : Naz's COSK

Bahan-bahan :
  • 2 cawan beras
  • 1 cawan santan pekat
  • 1 cawan air daun pandan (4 helai daun pandan, dipotong-potong pendek dan dikisar dengan 2 cawan air. Kemudian tapis dan dapatkan 1 cawan air daun pandan ini)
  • 1 inci halia - diketuk
  • 2 helai daun pandan - dibasuh dan disimpulkan
  • 2 ulas bawang merah - dimayang
  • 1 tsp garam halus

Cara-cara :
  1. Basuh beras dan toskan.
  2. Masukkan beras bersama semua bahan lain ke dalam periuk dan masak nasi seperti biasa. Pastikan sukatan air mengikut sukatan beras anda.
  3. Setelah masak, hidangkan bersama sambal tumis sotong atau sambal tumis ikan bilis, telur rebus atau telur mata kerbau, hirisan timun atau kangkung celur dan juga ikan bilis goreng.



SELAMAT MENCUBA!

Tuesday, 17 May 2011

DOUBLE CHOCOLATE DRIZZLE BROWNIES


 Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Ini merupakan projek sempena hari guru di sekolah anakanda Maizatul Husna. Ada cerita di sebalik terhasilnya brownies ni. Asalnya Naz nak buat Marble Cheese Brownies untuk Husna. Ternampak Marble Cheese Brownies ni di dapur kak Nor-Secubit Garam.  Tapi bila siap saja dibakar brownies ni, Naz tengok elok je brownies ni naik tinggi memenuhi loyang Naz. Alamak!! Macam mana nak tuang adunan kejunya nanti ni??? Tiada ruang langsung dah di dalam loyang untuk dicurahkan adunan kejunya untuk dibakar.

Tanya pada kak Nor, kak Nor kata boleh tekan-tekankan sikit brownies tu sebelum masukkan adunan keju agar ada ruang untuk adunan keju tu. Tapi bila Naz fikir-fikir balik...ishhhh... memang dah tak boleh muat dah ni. Kalau tekan-tekan sampai brownies tu penyek pun memang dah tak boleh muat dengan adunan keju nanti. Terfikir-fikir lagi.. apa salah aku buat ni??? Laaaa...rupanya salah pilih loyang daaaa... Naz guna loyang cutter untuk buat shortbread cookies. Loyang tu kan memang rendah jer. Padahal loyang yang sama saiz dengan ketinggian yang lebih lagi memang ada. Aduhhhhh.... Kena tukar plan ni.

Jadi inilah brownies yang terhasil selepas Naz buat keputusan untuk menukar plan dari menghasilkan Marble Cheese Brownies kepada Double Chocolate Drizzle Brownies.


Naz paipkan ke atas permukaan brownies ini dengan coklat masakan berperisa coklat dan juga perisa oren. Cairkan coklat masakan tersebut berasingan dan paipkan di permukaan brownies ni. Kemudian Naz taburkan  gula hiasan dengan bentuk bintang dan juga bentuk hati. Suka sangat Husna bila ada gula hiasan ni terutamanya yang berbentuk hati tu.

Untuk resepinya, Naz masih menggunakan resepi brownies dari Marble Cheese Brownies. Cuma tiada lapisan keju. Pada yang ingin melihat resepi Marble Cheese Brownies yang lengkap, boleh pergi ke dapur kak Nor-Secubit Garam ni atau dapur kak Rinn-Apron of Love ni.



DOUBLE CHOCOLATE DRIZZLE BROWNIES
Oleh : Naz's COSK

Bahan-bahan Brownies :
  • 250 gm butter
  • 1 cawan serbuk koko
  • 3 biji telur gred B
  • 1 1/2 cawan gula kastor
  • 1/2  cawan susu cair
  • 1 1/2 cawan tepung gandum* (bahan bertanda * - ayak bersama)
  • 1 tsp serbuk penaik*
  • 1 tsp soda bikarbonat*
  • 1 tsp asen vanilla

Cara-cara :
  1. Cairkan butter. Masukkan serbuk koko dan kacau rata.
  2. Handwhisk gula dan telur. Masukkan ke dalam adunan butter dan koko. Kacau sebati.
  3. Masukkan susu cair dan kacau sebati.
  4. Masukkan bahan ayak sedikit demi sedikit sambil dikacau hingga sebati. Akhir sekali, masukkan asen vanilla dan kacau rata.
  5. Panaskan oven pada suhu 175 C. Alaskan loyang 10 inci X 10 inci dengan baking paper (Naz guna loyang 11 inci X 9 inci). Biarkan kertas berjuntai pada dua belah sisi loyang yang bertentangan agar mudah mengeluarkan brownies bila telah masak nanti.
  6. Tuang adunan brownies ke dalam loyang dan ratakan permukaannya. 
  7. Bakar selama 20 minit atau hingga masak menggunakan api atas dan bawah.

Bahan-bahan Drizzle :
  • 50 gm coklat masakan (perisa coklat)
  • 50 gm coklat masakan (perisa oren)
  • 1/4 tsp dan 1/4 tsp butter atau majerin
Cara-cara :
  1. Cairkan coklat masakan (perisa coklat) secara double boil. Apabila coklat telah cair, masukkan 1/4 tsp butter atau majerin dan gaul rata hingga butter atau majerin cair. Buat langkah yang sama untuk coklat masakan (perisa oren) pula.
  2. Masukkan dua jenis coklat masakan ke dalam 2 beg plastik yang berasingan. Gunting sedikit hujung plastik dan drizzle coklat masakan ke atas permukaan brownies yang telah sejuk. Taburkan hiasan gula samada sugar ball atau chocolate rice di atasnya untuk kelihatan lebih menarik.
SELAMAT MENCUBA!


Monday, 16 May 2011

PUDING KOKTAIL BERKUAH


Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Puding koktail berkuah ni sudah banyak kali Naz buat dan letak resepinya. Kali ini Naz buat dengan menggandakan adunan untuk dibawa ke rumah sepasang sahabat yang menjemput untuk majlis hari lahir anak ke dua mereka.

Kali pertama membuat puding ini dulu, Naz menggunakan agar-agar bertali. Untuk kali ke 2 pun Naz menggunakan agar-agar bertali. Jadi pada kali ke 3 membuatnya, Naz menggunakan serbuk agar-agar. Pada kali ini (kali yang ke 4) pun Naz menggunakan serbuk agar-agar untuk membuat pudingnya.

Jadi bagi yang ingin mencuba, boleh rujuk mana-mana resepi berikut :
Untuk kali ini, adunan yang Naz tuliskan di bawah menghasilkan dua kali adunan yang asal. Mula-mula bila sampai di rumah kawan tu, risau juga takut tak habis puding aku ni nanti. Maklumlah..makanan yang lain pun banyak. Ada pula tu pencuci mulut iaitu agar-agar bersantan. 

Tapi sungguh mengejutkan! Selepas diletakkan di atas meja hidangan, tidak sampai 30 minit, puding ni dah tinggal kurang dari suku mangkuk hidangan. Alhamdulillah... Ramai yang gemar puding koktail berkuah ini rupanya. Tuan rumah siap cakap, kalau buat 3 adunan pun mesti habis. Heheheeeee... 

Resepi kuah untuk puding ni, memang dapat banyak. Selalunya Naz akan tuang kuahnya mencukupi untuk puding ini sewaktu dihidangkan dan masih ada lagi  baki kuah yang disimpan di dalam peti sejuk. Bila sampai satu tahap, Naz akan jenguk puding ini dan biasanya, puding ini masih ada tetapi kuahnya dah mula berkurangan dan sedikit. Maka Naz akan tuangkan lagi kuah yang masih berbaki dari dalam peti sejuk. Sedapnya puding ini adalah pada kuahnya...

Jadi, mari kita lihat resepinya...

PUDING KOKTAIL BERKUAH
Resepi Oleh : Naz's COSK

Bahan-bahan  Puding Kastad (untuk 2 adunan) :
  • 1800 ml air
  • 40 gm serbuk agar-agar
  • 10 Tbsp gula pasir
  • 6 Tbsp tepung kastad
  • 1 tsp garam halus
  • 500 ml susu cair

Cara-cara :
  1. Masak serbuk agar-agar bersama gula dan air hingga larut. Kecilkan api.
  2. Bancuh tepung kastad dengan sedikit susu cair hingga larut.
  3. Masukkan susu cair dan bancuhan tepung kastad serta garam ke dalam periuk dan kacau hingga sebati. Tak perlu tunggu hingga menggelegak. Tutup api.
  4. Bahagikan adunan puding kepada 2 bahagian. Satu bahagian dibiarkan dengan warna asalnya manakala satu bahagian lagi dititiskan sedikit pewarna merah. Kacau rata.
  5. Tuang kedua-dua adunan puding kastad di dalam loyang atau bekas yang berasingan. Sejukkan dan bekukan di dalam peti sejuk.
Puding kastad dengan warna asal(kuning) dan yang diwarnakan(merah)..

Bahan-bahan Kuah Puding :
  • 2 tin susu cair + baki susu cair dari adunan di atas
  • 2 tin besar fruit cocktail (tapis untuk mengasingkan buah-buahan dengan sirapnya)
  • 400 ml air masak
  • 10 Tbsp gula pasir
  • 1 tsp garam halus

Cara-cara :
  1. Campurkan semua bahan di atas kecuali buah-buahan koktail.
  2. Masak di atas api sehingga gula larut dan tutup api.
  3. Sejukkan kuah di dalam peti ais.

Puding kastad yang telah dicampurkan dengan buah-buahan koktail..

Cara Menghidang :
  1. Potong puding kastad menjadi kiub-kiub kecil.
  2. Masukkan kiub-kiub kastad ini ke dalam mangkuk besar bersama dengan buah-buahan koktail yang telah ditapis tadi.
  3. Tuangkan kuahnya dan sedia untuk dihidangkan. 
Puding koktail berkuah yang sedia untuk dihidangkan..
Sedap bila dimakan sejuk-sejuk..nyummmm....

NOTA : 
Sekiranya suka, boleh ditambah lagi isinya dengan nata de coco..

SELAMAT MENCUBA!

AYAM GORENG SOS PLUM


Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Alhamdulillah....blogspot dah kebah dari demam..heheheee.. Entry yang kena telan (terpadam) pun dia pulangkan balik. Cuma komen-komen di ruangan komen dah terpadam nampaknya. Semua blogger mengalami nasib yang sama nampaknya. Orang lain semua berlumba-lumba mengupdate blog masing-masing nampaknya. Naz jugak yang nak kena ambil balik "mood" untuk mengupdate blog semula.. Maklumlah dah beberapa hari cuti..heheheeee..

Okey, ni menu yang tertangguh entrynya. Maklumlah cuti beberapa hari ni dengan masalah blogspot dan juga dengan kemalasan diri sendiri heheheeee...


Resepi asal dari blog Diana @ Melley Mey : Sky Blue's Kitchen. Nampak resepi ni beberapa kali ditayangkan di blog Mas. Naz buat tak ikut resepi asal sepenuhnya sebab ikut tahap kerajinan dan juga ikut barang-barang yang ada di dapur rumah. Ubah suai sendiri biar kena dengan selera orang di rumah ni. Untuk resepi asal, boleh klik pada nama Diana dan Mas di atas tu yer. Rasanya di blog Kak Nor(Secubit Garam) pun ada kan. Boleh la ke blog kak Nor ni selongkar sendiri yer..

AYAM GORENG SOS PLUM
Oleh : Naz's COSK

Bahan-bahan perap :
  • 2 keping dada ayam - dipotong kecil dan dicuci*
  • 2 sudu besar tepung jagung*
  • 2 sudu besar sos lada hitam*
  • 1/2 sudu teh garam*
* Semua bahan bertanda * di atas, digaul rata dan perap seketika.
  • 2 biji kentang - dikupas kulitnya dan dihiris
  • 1 biji mangga separa muda - dipotong  kiub(boleh juga diganti dgn kiub-kiub nenas)

Bahan-bahan [A] :
  • 4 ulas bawang merah*
  • 3 ulas bawang putih
  • 2 inci halia*
  • 3 tangkai cili merah*
* Semua bahan bertanda * di atas ditumbuk atau dikisar. 

Bahan-bahan [B] :
  • 6 sudu besar sos plum
  • 2 sudu besar sos tomato
  • 1 sudu besar sos cili
  • 2 sudu besar sos tiram
  • sedikit air - agak-agaklah nak kuah banyak mana

Cara-cara :
  1. Panaskan minyak masak di dalam kuali. Goreng kentang hingga masak dan angkat. Kemudian goreng ayam yang telah diperap tadi. Angkat dan toskan.
  2. Tinggalkan sedikit minyak di dalam kuali. Tumis bahan-bahan [A] hingga naik bau dan garing.
  3. Masukkan bahan-bahan [B] dan gaul hingga sebati. Masukkan air dan apabila nampak menggelegak, masukkan bahan-bahan goreng tadi dan gaul rata. Biar seketika agar kuah dan ayam sebati. Dapatkan kepekatan kuah yang diingini. Masukkan kiub-kiub mangga. Gaul sebati. Tutup api.
  4. Hidangkan bersama taburan daun bawang dan bawang goreng.

SELAMAT MENCUBA!

SELAMAT HARI GURU


Assallamualaikum dan salam sejahtera.

SELAMAT HARI GURU kepada semua insan yang bergelar guru tidak kiralah di mana saja anda berada dan di mana sahaja anda mengajar. Sama ada anda masih bertugas ataupun anda telah bersara. Semoga jasa para guru yang mendidik anak bangsa dengan ikhlas dan berhemah akan dibalas dengan kebaikan olehNya..Insyallah..

Kepada semua rakan-rakan dan para ibu yang menjadi guru tidak bertauliah di rumah, juga diucapkan SELAMAT HARI GURU. You are the best teacher at your own home! 

Wednesday, 11 May 2011

BUNCIS DAN TEMPE GORENG BERLADA

Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Masak kacang buncis kegemaranku ini dan diregukan dengan tempe yang juga kegemaran Naz. Best! Resepi yang sangat mudah untuk disediakan. Kepada penggemar tempe, bolehlah dicuba resepi ini.


BUNCIS DAN TEMPE GORENG BERLADA
Resepi Oleh : Naz's CUTE OVEN, SMALL KITCHEN

Bahan-bahan :
  • 20 batang kacang buncis.- dicuci dan dihiris serong
  • 1 keping tempe - dipotong kiub dan digaul dengan kunyit + garam
  • 5-10 tangkai cili kering - direndam 
  • 4 ulas bawang merah
  • 3 ulas bawang putih
  • Beberapa keping ikan bilis
  • Garam
  • Gula

Cara-cara :
  1. Kisar cili kering, bawang merah, bawang putih dan juga ikan bilis bersama.
  2. Goreng tempe dan toskan.
  3. Tumis bahan kisar hingga garing. Masukkan garam.
  4. Masukkan kacang buncis dan tempe. Gaul sebati. Rasakan masinnya dan tambah sedikit gula sekiranya perlu.
  5. Hidangkan dengan nasi panas.

SELAMAT MENCUBA!

Tuesday, 10 May 2011

ULANGTAHUN PERTAMA MAISARAH HANI


Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Baru 4 hari lepas ulangtahun kelahiran anakanda Haris yang ke 10. Hari ini (10/5/2011) pula merupakan ulangtahun pertama anakanda Maisarah Hani. Cepatnya masa berlalu. Tak sangka, sudah setahun keluarga kami ditambah kegembiraannya dengan kehadiran Hani.

Alhamdulillah dipanjatkan kesyukuran kehadrat Illahi atas kurniaanNya dan anugerahNya kepada kami di muka bumi ini. Juga bersyukur atas peluang yang diberi olehNya untuk membesarkan seorang lagi permata hati kami suami isteri sehingga menginjak usia setahun hari ini.

"Anakanda Maisarah Hani, sekiranya anakanda membaca coretan ini satu ketika nanti, ingin ummi maklumkan yang ummi tak mampu memberi segunung intan permata buat anakanda atau mengadakan hadiah yang mahal-mahal pada ulangtahun kelahiran anakanda. Tapi apa yang pasti, dengan izin Allah SWT, ummi akan terus memberikan kasih sayang yang tiada tolok bandingnya kepada anakanda selagi hayat dikandung badan."

Untuk semua anakanda-anakandaku, Muhd. Haris, Maizatul Husna dan juga Maisarah Hani..ummi dan ayah akan terus menyayingi anakanda semua selagi diberi peluang olehNya. Seperti kata Dato' Dr. Fadzilah Kamsah yang amat ummi setuju sangat :

We will always love all of you differently (because all of you are different persons) but of course as much as each other..


SELAMAT HARI LAHIR SAYANGKU MAISARAH HANI..
Semoga menjadi anak yang solehah dan berjaya di dunia dan juga di akhirat.. Insyallah..



Monday, 9 May 2011

TALAM DURIAN


 Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Projek durian dan menu durian lagi. Sebenarnya Naz dah lama aim nak buat kuih talam durian ni tapi tangguh dulu sebab masa tu durian tak banyak lagi di sini. Orang lain semua dah tinggalkan menu-munu durian, Naz baru terkedek-kedek mengopek durian di dapur. 


Terpandang resepi kuih talam durian ni di blog Nieza. Apa khabar Nieza sekarang ye. Harap Nieza dan suaminya sihat walafiat dalam mengerjakan umrah mereka dan dipermudahkan dalam segala urusan. "Nieza...I miss you dear.."

Kuih talam durian ni Nieza cipta berdasarkan resepi kuih talam pisang kepunyaan chef siber yang terkenal tu Kak Hanieliza.  Naz cuma mencuba resepi yang Nieza dah ubah suai tu. Memang sedap bagi penggemar durian dalam masakanlah. Kalau orang yang tak suka durian di dalam masakan, mesti tak mahu mencuba. Tapi apa salahnya mencuba. Rasanya memang enak.


Resepi kuih talam durian ni Naz tuliskan di bawah. Naz cuma buat 1/2 adunan sahaja daripada resepi di bawah.

TALAM DURIAN

Bahan-bahan Lapisan Bawah :
  • 1 cawan durian (dilecek)
  • 1/2 cawan gula pasir (boleh tambah lagi sekiranya perlu)
  • 1 cawan tepung beras
  • 2 Tbsp tepung kastad
  • 2 cawan santan cair
  • Secubit garam
  • Sedikit pewarna kuning

Cara-cara :
  1. Panaskan kukusan. Sapukan sedikit minyak makan di bahagian dalam loyang.
  2. Gaul sebati semua bahan dan rasa kemanisannya. Tambah gula sekiranya perlu. Tuangkan adunan ke dalam loyang.
  3. Masukkan ke dalam kukusan dan kukus selama 30 minit.
  4. Cakarkan permukaan kuih sebelum menuang adunan lapisan atas.


Bahan-bahan Lapisan Atas :
  • 1 cawan tepung beras
  • 3 cawan santan pekat
  • 2 Tbsp tepung jagung
  • 1 tsp garam

Cara-cara :
  1. Gaul semua bahan sehingga sebati dan rata. 
  2. Tapis ke dalam kuali tak lekat dan kacau sebentar di atas api sederhana.
  3. Bila kelihatan pekat, tutup api dan tuang adunan ke atas lapisan bawah tadi yang telah masak.
  4. Kukus selama 20 minit.
  5. Setelah masak, sejukkan dulu sebelum memotong untuk dihidang.



SELAMAT MENCUBA!