Saturday, 22 September 2012

PUDING ROTI KARAMEL

ASSALLAMUALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA.

Dipanjatkan rasa kesyukuran kepada Illahi kerana masih diberi peluang bernafas dengan sempurna pada hari ini..Alhamdulillah.. Didoakan semoga semua rakan-rakan dalam situasi yang mengembirakan dan dikurniakan kesihatan yang baik.

Puding roti karamel ini Naz buat untuk dibawa ke rumah bapa saudara yang menjemput untuk majlis makan-makan bersama saudara mara. Resepi seperti biasa yang memang lama dalam simpanan dan telah dicuba berkali-kali ini datangnya daripada fotopages kak Hanieliza yang popular tu. Naz kongsikan di sini pula ye kak Liza. Sekejap je licin puding ni.


PUDING ROTI CARAMEL 
RECIPE BY: Chef Hanieliza

Bahan-bahan:
  • 750 ml susu segar/susu kotak 
  • 3 biji telur 
  • 2 s/b gula kastor 
  • 1 s/k esen vanilla 
  • 6 keping roti [koyakkan] 
  • 1/2 cawan gula [hanguskan] 
  • hiasan.... buah peach dalam tin [boleh gunakan fruit koktel] 


Cara-cara:

  1. Gaulkan susu, telur, gula kastor, esen vailla dan roti dalam mangkuk (Naz kisar jer semua bahan ni dalam blender sebab tak nak nampak lapisan roti bila puding telah masak nanti).
  2. Panaskan gula dalam loyang yang nak digunakan diatas api paling kecil sehingga berwarna kekuningan (Bila dah hangus tu, Naz masukkan sikit air).
  3. Panaskan kukusan.
  4. Masukkan adunan roti dalam loyang yang ada gula hangus.
  5. Kukuskan selama 30 minit di atas api sederhana.
  6. Angkat dan sejukkan loyang.
  7. Bila telah sejuk terbalikkan perlahan dalam pinggan yang sedikit berlekuk sebab puding ni berkuah.
  8. Susunkan hirisan buah peach dan sejukkan.
  9. Potong dan hidangkan.
NOTA NAZ:
  • Disebabkan Naz blend jer roti tu dengan susu dan bahan-bahan lain, jadi bila puding ni dah masak, teksture roti tu tak nampak di dalam puding. Semua yang makan puding ni ingatkan ni puding karamel bukan puding roti karamel....heheheeee....



Ni puding roti karemel yang belum dihias dengan buah peach tu. Gambar yang dah dipotong tak adalah yer sebab sibuk-sibuk orang makan, tak kan kita pulak sibuk-sibuk nak ambil gambar. Ambil lak bukan gambar orang yang makan tapi makanan yang dimakan...heheheee... 

OK, SELAMAT MENCUBA!

Friday, 21 September 2012

RED VELVET CAKE (MAYA) WITH CHOCOLATE GANACHE


ASSALLAMUALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA.

Apa khabar kawan-kawan semua? Harap semuanya sihat sejahtera ya. Hari ni nak letak resepi Kek Baldu Merah yang Naz ambil dari blog kak Ayu(Curlybabe's Satisfaction). Dulu dah pernah letak resepi ni. Tapi Naz letak jugalah lagi sekali.

Kek ni Naz buat untuk tempahan dari member di USM untuk jamuan di tempat kerjanya. Jadi gambar kek yang dah dipotong tak ada ye. Tapi kalau nak tengok juga, boleh klik di SINI untuk melihat kek ini yang sama Naz buat dahulu. 

Kek ini dibelah 3, dilapisi dengan cream cheese dan filling blueberry di setiap lapisan dan disalut dengan cream cheese frosting serta dicurahkan dengan coklat ganache di atas kek. Memang tak puas makan kata member Naz ni..hahahaaaaa...


RED VELVET CAKE (Maya)

Bahan-bahan :
(A)
  • 1 2/3 cawan tepung naik sendiri 
  • 2 Tbsp serbuk koko
  • 1/2 tsp baking soda
  • 110 gm mentega (Naz guna 125 gm)
  • 1 cawan gula halus

(B)
  • 2 biji telur besar
  • 1/2 cawan susu segar
  • 1/4 cawan buttermilk (substitute: 1/2 cawan susu segar + 1/2 Tbsp cuka, biarkan hingga 15-20 min.  Gunakan 1/4 cawan saja utk resepi ini) 
(C)
  • 1 tsp cuka
  • 1/2 botol pewarna merah cecair atau 1 tsp pewarna merah gel

Cara-cara:
  1. Pukul  mentega dan gula hingga berkrim
  2. Masukkan telur satu persatu
  3. Masukkan esen vanila
  4. Masukkan bahan kering yang sudah di ayak, bersama susu dan buttermilk bergilir-gilir bermula dan berakhir dengan bahan kering.
  5. Akhir sekali masukkan cuka dan gaul rata
  6. Bakar dalam oven yang sudah di panaskan selama 30-40 min pada suhu 170C atau mengikut kepanasan oven masing-masing hingga masak
  7. Biarkan sejuk. Lepas tu boleh di lapis dengan frosting cheese dan coklat di atasnya..

RESEPI CREAM CHEESE (**Naz buat 2 adunan utk salut kek 8")
TRIED BY: Naz @ovenkecil.blogspot.com
  • 250 gm cream cheese
  • 30 gm butter
  • 1 sudu besar perahan lemon @ lime
  • 1 sudu besar esen vanilla
  • 1 sudu besar susu segar
  • 100 gm gula ising

Cara-cara :
  • Pukul cream cheese bersama mentega sehingga kembang
  • Masukkan gula icing & pukul lagi sehingga gebu.
  • Kemudian masukkan semua bahan2 lain, sebatikan.



RESEPI COKLAT GANACHE
TRIED BY: Naz @ovenkecil.blogspot.com
SOURCES: Anna QawinaMat Gebu
  • 200 gm coklat masakan  
  • 100 ml susu cair ATAU 150 ml whipp. cream 
  • 1tsp butter


Cara-cara : 
  1. Doubler boiler susu ATAU whipping cream bersama coklat masakan.
  2. Dah agak mencair coklat tu tutup api sambil terus mengacau hingga larut semua coklat.
  3. Masukkan butter, kacau sebati.
  4. Biarkan seketika baru digunakan. 

SELAMAT MENCUBA!

Friday, 14 September 2012

KEK DURIAN (DURIAN CREAM LAYER CAKE)

 ASSALLAMUALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA.

Hihihihiiii...mesti pening kan baca ucapan atas kek tu. Syawal pun dah nak sampai ke penghujung, tiba-tiba lak ada ucapan selamat menyambut Ramadan. Ini kek yang tak sempat dibuat entrynya sebelum bulan puasa hari tu. Kek durian ni asalnya Naz buat untuk memenuhi permintaan dan juga tempahan seorang rakan fb, Adilla sempena menyambut bulan Ramadan yang lalu. Memang sebelum ni Naz tak pernah mencuba membuat kek span yang dilapisi dengan krim durian di bahagian tengahnya. So this is an opportunity for me to try making this fabulous cake.

Cari-cari resepi, jumpalah beberapa jenis kek durian. Tapi akhirnya Naz buat keputusan untuk mencuba resepi kek durian dari dapur cyber kakak doktor ni. Kek yang di atas tu, tempahan dari Adilla. Cukup lama dah tempahan tu, baru sekarang nak update ke dalam blog..hehehee.. Tempahannya pada minggu terakhir sebelum Ramadan.


Terima kasih Adilla atas tempahan. Sila abaikan tulisan tangan Naz yang teruk itu ye. Masih perlu diperbaiki lagi. Memang lebih mudah menulis di atas kertas sebenarnya...heheheeee...

Haaa... kek ini pula adalah kek durian yang Naz buat untuk makan-makan sendiri di rumah. Deco pun cincai-cincai je. Tapi rasa kek memang marvelous. Terima kasih kak Ina berkongsi resepi. Naz simpan lak resepi ni di sini. Minta dihalalkan ye!

DURIAN CREAM LAYER CAKE
RECIPE BY: Inahar's cooking time
TRIED BY: Naz @ovenkecil.blogspot.com

Kek Span Vanilla
Bahan-bahan:
  • 150 gm tepung superfine (Naz guna tepung gandum)
  • 150 gm gula kastor
  • 5 biji telur A
  • 1 sudu besar ovalette
  • 80 ml jus oren (Naz ikut kak Ina ganti susu segar)
  • 80 ml minyak / mentega cair
  • 1 sudu teh serbuk penaik
  • Sedikit pewarna kuning - optional



Cara-cara: 

  1. Satukan gula, ovalette, tepung, serbuk penaik dan telur dalam mangkuk adunan. Pukul hingga pekat dan gebu selama 5 minit dengan kelajuan tinggi (tapi nie terletak kepada kelajuan pengadun).
  2. Perlahankan kelajuan dan masukkan jus dan sedikit pewarna kuning. Pukul lagi dengan kelajuan tinggi selama seminit atau sehingga aduan kek benar-benar ringan.
  3. Tuangkan minyak/ mentega cair ke dalam adunan dan gaul dengan senduk sehingga sebati.
  4. Sediakan tin pembakar bulat atau segi empat berukuran 8 inci, griskan dasarnya dan lapik kertas serap minyak. Tuangkan adunan dan bakar selama 45 minit atau hingga masak pada suhu 150 - 180 darjah celcius.
  5. Bila dah masak keluarkan dari oven dan telangkupkan kat atas redai kek...lebih kurang 5 minit...bagi mengelakkan kek kita kempis.
  6. Bila sejuk boleh hias ikut suka.

Resipi durian cream filling
Bahan-bahan:
  • 250 gm whipped/fresh cream
  • 200 gm isi durian (Naz guna 300 gm isi durian)
  • 1/2 tsp gelatin (Naz guna 1 tsp halal gelatin)
  • 2 tbsp air 
  • 2 tbsp gula kastor (ni Naz tambah sendiri-adjustlah kalau durian dah cukup manis tak perlu)
Cara-cara:
  1. Pukul whipping cream sampai bertanduk.
  2. Kemudian campurkan isi durian yang telah dilenyek.
  3. Gelatin dicampur air dan dipanaskan dlm microwave sebentar. Kacau hingga larut. (Naz campurkan gelatan dengan air panas dan kacau hingga larut. Gula pun Naz masukkan dan larutkan bersama).
  4. Akhir sekali campurkan larutan gelatin tadi ke dlm krim durian. Kacau rata dan ketepikan. 

Untuk hiasan
  • 300 gm whipped/fresh cream- dipukul kental

Cara menyusun kek:
  1. Kek span dipotong 3 lapis kemudian lapiskan dgn durian filling di setiap lapisan kek.
  2. Sapu whipped/fresh cream yg telah dipukul kental di keseluruhan kek tadi dan hias ikut suka.
  3. Sejukkan dalam peti sejuk lebih kurang sejam sebelum di hidang.
SELAMAT MENCUBA!

Wednesday, 12 September 2012

AGAR-AGAR SANTAN PANDAN


ASSALLAMUALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA.

Alhamdulillah. Bertemu lagi kita pada hari ini. Semoga segala yang dirancang berjalan lancar seperti yang kita inginkan dengan niat yang baik..Insyallah..

Okey, seperti yang dijanjikan pada entry yang lepas (AGAR-AGAR SANTAN SIRAP ROSE), pada entry kali ini, Naz akan tunjukkan hasil agar-agar santan yang Naz buat menggunakan resepi yang sama dengan agar-agar santan sirap rose semalam tetapi menghasilkan rupa agar-agar yang  berbeza. Sekiranya semalam Naz paparkan agar-agar santan yang mempunyai dua lapisan, hari ini Naz tunjukkan pula agar-agar yang tidak menjadi dua lapisan.

Jadi, mula-mula Naz letak dulu resepinya yang memang sama dari segi bahan-bahannya. Dalam tatacara akan Naz tuliskan bagaimana nak dapatkan agar-agar seperti kali ini. So, baca dengan teliti ye!


AGAR-AGAR SANTAN PANDAN
Bahan-bahan :
  • 1 paket serbuk agar-agar 10 gm atau 11 gm
  • 1 liter air (4 cawan)
  • 200 gm gula pasir (lebih kurang 1 cawan)
  • 250 ml santan pekat (1 cawan) - Naz guna santan kotak jer
  • 1 biji telur ayam - masukkan dalam santan dan kocak sikit dengan garfu
  • Secubit garam
  • Sedikit perisa/emulco pandan dan beberapa titis pewarna hijau
  • 2 helai daun pandan - dibasuh dan disimpulkan

Cara-cara:
  1. Masak 1 liter air bersama gula dan serbuk agar-agar hingga gula larut.
  2. Kecilkan api dan masukkan campuran santan bersama telur, garam dan perisa pandan serta pewarna hijau. Masukkan juga simpulan daun pandan.
  3. Kacau dan tunggu hingga menggelegak atas api sederhana. PENTING!! Bila menggelegak, kacau-kacau adunan dan pastikan api dijaga (kalau perlu kecilkan lagi api) supaya adunan mengelegak perlahan sahaja (mereneh). Bukan menggelegak dengan buih-buih yang besar tu yer. Kemudian tutup api. Tak perlu terlalu lama sehingga nampak santan berbintil-bintil. 
  4. Basahkan loyang atau apa-apa acuan kegemaran dengan air. Kemudian tuang adunan agar-agar santan dan biarkan mengeras. Boleh simpan di dalam peti ais untuk mendapatkan agar-agar yang sejuk dan umpphhh bila masuk ke tekak..heheheeee...

TIPS DAN NOTA NAZ:
  • Untuk mendapat agar-agar santan yang sekata iaitu tidak mempunyai dua lapisan seperti agar-agar semalam ni, bila adunan mula menggelegak selepas santan dimasukkan, kecilkan api agar adunan cuma menggelegak perlahan iaitu mereneh. Proses mereneh ni akan menghasilkan buih-buih yang kecil-kecil jer.. Yang sopan-sopan je dalam periuk tu..heheheee.. Bukan menggelegak kuat tau, dengan buih-buih yang mengganas di dalam periuk. Kemudian, bolehlah tutup api. Tak perlu lama. Insyallah..hasil agar-agar akan jadi seperti yang Naz tunjukkan hari ini.
  • Tapi pada yang inginkan agar-agar santan yang menghasilkan dua lapisan seperti yang biasa kita lihat tu, boleh baca TIPS MENDAPATKAN AGAR-AGAR SANTAN DUA LAPISAN DI SINI.


Okey, gambar ni memang saja Naz close up sebab nak tunjukkan sesuatu. Nampak tak bintil-bintil pada agar-agar ni? Bintil-bintil ni lah yang akan kita nampak bila adunan kita mula menggelegak. Jadi, oleh sebab Naz tak biarkan adunan menggelegak lama, jadi walaupun dah terhasil bintil-bintil ni, agar-agar Naz tetap tidak menjadi 2 lapisan. Sekiranya nak dapatkan agar-agar dengan 2 lapisan, bila dah nampak bintil-bintil ni dalam adunan, jangan terus tutup api. Tapi biarkan adunan tu menggelegak lama supaya lapisan santan dan cecair terpisah. Hehehe...faham ke tidak ni yer... Harap-harap fahamlah yer... Kalau tak faham, boleh baca entry sebelum ni juga supaya lebih jelas lagi penerangan Naz ni yer.

SELAMAT MENCUBA!

Tuesday, 11 September 2012

AGAR-AGAR SANTAN SIRAP ROSE


ASSALLAMUALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA.

Alhamdulillah masih dikurniakan kesihatan yang baik untuk meneruskan urusan harian seperti biasa. Semoga kita sentiasa beringat-ingat dan menggunakan peluang ini sebaiknya serta tidak melupakanNya..Insyallah..

Untuk hari ini, Naz akan tunjukkan resepi agar-agar santan sirap rose. Resepi agar-agar santan ni, pertama kali Naz buat dulu menggunakan agar-agar tali tu.  Tapi sekarang sebab dah ada agar-agar yang jenis serbuk,  Naz lebih suka guna yang serbuk sebab cepat larut. Untuk peisa, boleh dipelbagaikan mengikut kehendak kita sendiri. Resepinya dah tentulah dapat dari bonda di kampung kan. Yelah, dulu mana ada orang kongsi-kongsi resepi di internet macam sekarang. Tapi resepi tu dalam kuantiti yang banyak. Jadi resepi yang dipaparkan di sini, Naz dah adjust supaya sesuai untuk dimakan oleh keluarga yang kecil. 

Resepi agar-agar santan ni, kalau dilihat pada mana-mana sumber, lebih kurang sama saja cara dan sukatannya. Jadi, gunalah mana-mana resepi pun tapi perkara penting yang kita nak lihat ialah adakah hasil agar-agar santan kita tu menjadi 2 lapisan atau tidak. Jadi di bawah ni, Naz sertakan sedikit tips setelah ber'eksperiment' sendiri di dapur beberapa kali. So check it out...


AGAR-AGAR SANTAN SIRAP ROSE

Bahan-bahan :
  • 1 paket serbuk agar-agar 10 gm atau 11 gm
  • 1 liter air (4 cawan)
  • 200 gm gula pasir (lebih kurang 1 cawan)
  • 200-250 ml santan pekat (1 cawan) - (Naz guna santan kotak jer & boleh kurang kuantiti kalau nak dapatkan lapisan santan/atas yang nipis sedikit)
  • 1 biji telur ayam - masukkan dalam santan dan kocak sikit dengan garfu
  • Secubit garam
  • 1-2 sudu besar sirap rose ATAU beberapa titis pewarna pink dan perisa rose
  • 2 helai daun pandan - dibasuh dan disimpulkan

Cara-cara:
  1. Masak 1 liter air bersama gula dan serbuk agar-agar hingga gula larut.
  2. Kecilkan api dan masukkan campuran santan bersama telur, garam dan sirap rose. Masukkan juga simpulan daun pandan.
  3. Kacau dan tunggu hingga menggelegak atas api sederhana. PENTING!! Bila menggelegak, biar seketika lebih kurang 1-2 minit atau boleh kuatkan api dapur dan biar adunan mengelegak kuat sambil dikacau-kacau. Kacau ni untuk mengelakkan adunan membuak dan melimpah dari periuk. Pandai-pandailah adjust api dapur tu ye. Nanti akan kelihatan adunan santan jadi berbintil-bintil. Tutup api.
  4. Basahkan loyang atau apa-apa acuan kegemaran dengan air. Kemudian tuang adunan agar-agar santan dan biarkan mengeras. Boleh simpan di dalam peti ais untuk mendapatkan agar-agar yang sejuk dan umpphhh bila masuk ke tekak..heheheeee...

TIPS DAN NOTA NAZ:
  • Banyak orang yang tertanya-tanya kenapa bila membuat agar-agar santan, tidak mendapat 2 lapisan seperti yang sepatutnya walaupun masing-masing selalunya dah ikut betul-betul resepi yang mereka guna. Jadi, tipsnya ialah selepas memasukkan santan ke dalam periuk, biar adunan menggelegak lama sikit dalam 1 minit atau lebih. Ataupun, selepas masukkan santan, bila adunan mula mengelegak, kuatkan api dapur hingga adunan mengelegak kuat. Tapi kena hati-hati jangan sampai adunan membuak dan melimpah keluar dari periuk. Kacau-kacau adunan dalam 1 minit. Insyallah..confirm anda akan mendapat hasil agar-agar yang mempunyai 2 lapisan selepas keras nanti.
  • (edited-13/09/2012) Kalau yang suka lapisan santan tu nipis jer, kurangkan kuantiti santan di dalam resepi ye. Nanti dapatlah lapisan santan (yang bahagian atas tu), nipis sikit berbanding dengan bahagian bawahnya.

Nanti Naz tunjukkan pula hasil agar-agar santan dengan resepi yang sama tetapi tidak mempunyai 2 lapisan seperti agar-agar kali ini. Tunggu untuk melihat perbezaannya... KLIK DI SINI UNTUK MELIHAT PERBEZAAN HASIL AGAR-AGAR SANTAN INI SERTA SEBAB BERLAKUNYA BEGITU..

SELAMAT MENCUBA!

Monday, 10 September 2012

ASAM PEDAS IKAN TENGGIRI (KAK ANYMZ)

ASSALLAMUALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA.

Semoga semua pengunjung yang sudi menjenguk blog ini sihat sejahtera hendaknya. Kali ni Naz nak tayang menu asam pedas kak Anymz. Lebih kurang sama je macam asam pedas yang Naz selalu buat cuma tang serai tu, biasanya Naz ketuk je. Tak pernah pula dikisar. Anyway, Naz memang suka asam pedas sebab dah biasa makan dari kecil lagi. Kuah tu Naz suka buat banyak dan pekat biar ada baki yang boleh dipanaskan dan dimakan dengan roti..hehehee...

Okey, mari kita lihat resepi kak Anymz nie...

ASAM PEDAS KAK ANYMZ
TRIED BY: Naz @ovenkecil.blogspot.com

Bahan-bahan:
  • 1/2 ekor ikan tenggiri batang-akak guna 6 keping-bersihkan gaul sedikit dgn serbuk kunyit dan ketepikan
  • 1 batang terung panjang-di belah dua dan di kerat 4.rendam dlm air sejuk sebentar (Naz ganti bendi)
  • 15 tangkai cili kering-di kisar
  • 1 labu bawang besar-di kisar
  • 3 ulas bawang putih-di kisar
  • 2 batang serai-di kisar
  • sedikit belacan-jika suka-di kisar
  • 3 batang daun kesum-ambil daunnya
  • 2 batang bunga kantan-di belah dua
  • 1 kiub pati ikan bilis
  • garam secukup rasa
  • 1 mangkuk air asam jawa-agak2 le
  • 1 st serbuk kunyit
  • minyak untuk menumis

Cara-cara:
  1. Panaskan minyak di dalam periuk.
  2. Tumis bahan2 kisar hingga naik bau.
  3. Setelah terbit minyak,masukkan serbuk kunyit,garam dan kiub ikan bilis.
  4. Masukkan air asam jawa.
  5. Masukkan juga ikan dan daun kesum.
  6. Bila sudah mendidih masukan terung yang sudah di toskan airnya dan juga bunga kantan.
  7. Jerang hingga terung masak.
  8. Renihkan sebentar dengan api perlahan dan tutup api.
  9. Sedia untuk di hidangkan.
SELAMAT MENCUBA!

Sunday, 9 September 2012

CMC: SOCCER FIELD THEME (KEK PADANG BOLA)

ASSALLAMUALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA.

Alhamdulillah rezeki datang lagi. Tempahan kek bertema padang bola sepak pada hari Jumaat yang lalu (7/9/2012). Tempahan kek dari Elfa dan suaminya yang diberi kepercayaan untuk organize  sebiji kek bagi kelab bola sepak SUK (kalau tak salah). 

Ini merupakan tempahan dari Elfa kali ke dua. Pertama kali dulu Elfa menempah RVC untuk sambutan hari lahir anaknya yang ke 2. Kali ini Elfa meminta buatkan apa-apa jenis kek dengan berat 3 kg dan bersaiz besar dengan berhias seperti padang bola sepak. Jadi inilah hasilnya.... 

Sejurus selepas membuka kotak kek dan melihat hasil kek ini, Elfa terus membuat panggilan  telefon kepada Naz melahirkan rasa puas hati suami serta dirinya sendiri. Alhamdulillah.. Lain kali boleh order lagi ye..heheheee...

Chocolate moist cake
3++ kg
Tema padang bola sepak
10" X 16"
Deco dan layered dengan buttercream
Filling blueberry

SELAMAT MENJAMU MATA!

Thursday, 6 September 2012

BISKUT DONUT/ SNOW WHITE COOKIES

 ASSALLAMUALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA.

Alhamdulillah, masih lagi berpeluang memasukkan resepi ke dalam blog ini. Apa khabar semua ye? Semoga kawan-kawan semua dalam keadaan yang baik-baik saja di saat ini.

Biskut ni Naz buat sebelum Syawal dulu. Sekarang baru berkesempatan untuk update ke dalam blog. Ramai juga rasanya yang dah mencuba resepi biskut donut ini yang datangnya dari dapur kak Wan. Memang sedap biskut ni pada tekak Naz. Naz lebih suka biskut ni tanpa salutan coklat tu sebenarnya. Best juga rasanya walaupun togel saja. 

Masa tengah list down senarai biskut yang nak dibuat Ramadan lalu, biskut ni adalah salah satu biskut yang masuk dalam senarai. Kemudian ternampak pula biskut ni dibuat oleh Qasey Honey di blognya. Lagi meluap-luap keinginan nak membuat biskut ni.

Jadi sekarang Naz kongsikan pula resepi ini di blog Naz. Naz salut biskut ni dengan coklat masakan putih dan yang coklat.

BISKUT DONUT / SNOW WHITE COOKIES
SOURCE: Qasey Honey


Bahan A:
  • 150 gm mentega
  • 30 gm shortening
  • 100 gm gula caster
  • 1 biji kuning telur
  • 1/2 sudu teh emplex



Bahan B:
  • 200 gm tepung gandum
  • 60 gm tepung jagung
  • 30 gm nestum (dikisar)
  • 3 sudu besar susu tepung



Hiasan:
Coklat masakan putih dan manik warna hundred thousand


Cara-cara:
  1. Satukan bahan A dan pukul hingga sebati. Masukkan bahan B dan uli sehingga menjadi doh.
  2. Canai dan terap dengan acuan berlubang. Bakar pada suhu 150C selama 20 minit. Sejukkan.
  3. Celup biskut dgn coklat putih yang dicairkan secara double boiler. Taburkan manic warna warni.
  4. Biar coklat beku baru di simpan di dalam bekas.
SELAMAT MENCUBA!

Wednesday, 5 September 2012

MEWARNA FONDANT


ASSALLAMUALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA.

Ini cuma entry ringkas saja untuk berkongsi cara bagaimana untuk mewarnakan fondant putih kepada warna yang diingini. Naz pun bukan pakar dalam bab fondant ni. Baru je cuba-cuba menggunakannya untuk hiasan cuppies dan juga kek.

Ada juga rakan-rakan di fb yang bertanya fondant apa yang Naz guna dan adakah ianya halal. Untuk makluman semua, Naz menggunakan fondant yang siap untuk terus digunakan (seperti gambar di atas tu) dan Naz membelinya dari kedai menjual alatan dan bahan kek. Fondant yang Naz gunakan ini pula ada cop halal dari JAKIM. Boleh lihat gambar di bawah. Tak boleh nak fokus lebih dekat cop tu sebab pakai kamera cabuk je. Nanti gambar jadi kabur.


Okey sekarang kita bercerita pula cara untuk mewarnakan fondant putih kepada warna yang diingini. 

Mula-mula ambil sejumlah fondant putih yang ingin diwarnakan. Lebih kurang macam dalam gambar ni. Kemudian, dengan menggunakan lidi satay atau lidi pencungkil gigi (yang belum digunakan tau!), celup dalam pewarna yang kita inginkan. Kemudian calit-calit pada fondant cam kat atas tu. INGAT!! Setiap kali nak mencelup warna, kalau boleh gunakanlah lidi lain yang masih bersih. Bukan apa, nak elakkan kontaminasi pada pewarna tu.


Kemudian, ulilah fondant tadi. Nanti awal-awal menguli tu, warna fondant akan jadi macam gambar di atas ni. Ada corak marble pada fondant tu. Kalau nak guna terus pun boleh utk corak marble ni.


Tapi kalau nak warna yang sekata, teruskan menguli hingga anda puas hati dengan pewarnaan anda. Macam di atas ni, inilah warna hijau sekata yang Naz dapat selepas menguli sambil tengok tv..hehehee...

Ok, ini ada beberapa tips tentang mewarnakan fondant. Naz kongsikan apa yang Naz tau ok!

TIPS MEWARNA FONDANT
  1. Seeloknya, ambil jumlah fondant yang ingin diwarnakan, sebesar saiz kepalan tangan kita agar mudah untuk kita uli dalam proses mewarna ini. Sebab kita uli fondant ni di atas dua tapak tangan kita jer.
  2. Kalau kita ingin mewarnakan fondant dalam kuantiti yang banyak, maksudnya lebih besar dari sekepal yang muat atas tapak tangan kita, warnakan sedikit dulu hingga mendapat warna yang agak pekat. Kemudian, fondant dengan warna yang pekat ini kita uli pula dengan fondant putih lain hingga mendapat jumlah fondant berwarna yang kita inginkan. Warna pekat pada fondant tadi dengan sendirinya akan menjadi sedikit cair bergantung banyak mana fondant putih yang kita campurkan pada yang pekat tadi.
  3. Semasa awal proses menguli, mungkin fondant ni akan melekat-lekat sikit pada tapak tangan. Sapukan sedikit tepung jagung di atas tapak tangan untuk mengatasi masalah ini.
  4. Gunakan pewarna gel atau serbuk untuk mewarnakan fondant. Kalau kita gunakan pewarna cecair, fandant akan melekit-lekit.
  5. Fondant yang telah siap diwarna boleh digunakan terus atau lagi baik kalau kita simpan semalaman kerana ada sesetengah warna akan menjadi lebih cantik dan terang selepas sehari.
  6. Untuk menyimpan fondant yang telah diwarnakan atau lebihan fondant yang telah digunakan, balut fondant ini dengan plastik wrap secara berasingan. Maknanya jangan campur semua warna fondant dalam plastik wrap yang sama. Lepas balut tu, simpan fondant ini dalam bekas kedap udara dan biar saja pada suhu bilik. Jangan simpan di dalam peti sejuk tau!
  7. Jangan sesekali menyimpan lebihan fondan ke dalam bekas fondant yang masih terdapat fondant yang belum digunakan. Ini boleh menyebabkan kontaminasi berlaku. 
  8. Fondant yang betul cara penyimpanannya, boleh tahan berbulan-bulan lamanya pada suhu bilik.
Ok. Setakat ini dulu sedikit maklumat tentang mewarnakan fondant. Kalau ada lagi maklumat lain, akan Naz kongsikan lagi di sini.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBACA DAN SELAMAT MEWARNA!

Tuesday, 4 September 2012

COFFEE COOKIE

ASSALLAMUALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA.

Kalau dah lepas 1 Syawal ni ada entry biskut, maknanya samada tuan rumah memang rajin buat biskut raya atau pun tuan rumah baru nak masukkan entry tentang biskut raya. Heheheeee.. Untuk biskut ni, Naz buat untuk bawa balik ke rumah mak menjelang Aidilfitri hari tu. Cuma faham-fahamlah ye. Tak sempat nak masukkan entry ni ke dalam blog bulan Ramadan yang lalu.

Resepi ni dah lama Naz simpan dalam buku resepi. Jadi kesempatan untuk menyambut Syawal kali ini, Naz berpeluang mencubanya. Bagi penggemar kek atau biskut perisa kopi, biskut ini menepati citarasa.

COFFEE COOKIE
RECIPE BY: From Zu's Kitchen
TRIED BY: Naz @ovenkecil.blogspot.com

The dough is very soft, so you need to use either piping bag or cookie presser to shape it. Rest it in the fridge for 30mins for easier handling.

Ingredients
1 egg
9oz/250g butter, softened
6oz/170g castor sugar
1 tsp vanilla essence
11oz/330g plain flour
1 tbsp instant coffee powder
some chocolate rice for decoration


Method
1. Beat sugar and butter till white and fluffy
2. Add vanilla essence, egg and coffee powder and mix well
3. Once well blended add in the flour
4. Use a cookie presser or piping bag to shape the cookie
5. Bake in a preheated oven at 180C till the cookies turn golden brown

SELAMAT MENCUBA!

Monday, 3 September 2012

ALATAN MEMBENTUK FONDANT DAN GUMPASTE


ASSALLAMUALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA.
Atas permintaan beberapa orang teman, Naz masukkan entry khas tentang beberapa alatan yang digunakan untuk membentuk fondant yang ada dalam simpanan Naz. Tujuan Naz paparkan alatan ini bukanlah untuk menunjuk-nunjuk tapi untuk berkongsi apa yang Naz tau serba sedikit tentang fondant dengan rakan-rakan yang berminat terutamanya pada yang request tu yer...
Semua alatan ini tidak Naz perolehi dan miliki pada satu masa yang dekat. Naz kumpul membelinya sedikit demi sedikit mengikut keperluan untuk menggunakannya. Ikut bajet yang ada juga sebenarnya sebab Naz bukan wanita berkerjaya. Jadi poket tak kembung pun..heheheee...

Gambar di atas ni adalah alas untuk menggelek fondant. Alas ini boleh diperolehi di kedai menjual alatan dan bahan bakeri. Kalau bernasib baik, boleh dapatkan alas ni dalam warna selain dari putih. Naz pernah jumpa alas ni yang bewarna pink di Bake With Yen di Puchong. Tapi masa tu Naz dah ada alas di atas, so telan air liur je la masa tu..heheheee.. 

Kebaikan menggunakan alas khas untuk menggelek fondant ni ialah fondant kurang melekat-lekat lepas digelek. Tapi masih perlu guna tepung jagung atau gula icing juga. Lagi satu kebaikannya ialah memudahkan kita mengukur lebar fondant yang dikehendaki bersesuaian dengan saiz kek yang ingin dibalut. Nampak tak ada garisan-garisan bulat dan juga nombor-nombor di atas alas tu. Nombor-nombor tu menunjukkan saiz pada setiap ukuran. Memang sangat membantu kalau nak balut sebiji kek. Kalau buat cuppies jer tak perlu ada ukuran pun tak apa sebab cuppies kecil je.

Tapi sebelum ada alas di atas, setiap kali nak menggelek fondant, Naz gunakan alat di bawah..

Tak kanlah tak kenal papan dan penggelek biskut ni kan. Yup, memang Naz gunakan yang ini jer mula-mula baru berjinak-jinak menggunakan fondant. Cuma kalau guna penggelek dan papan untuk menerap biskut ni, kena guna tepung jagung lebih sikit untuk mengelakkan fondant melekat.


Penerap bulat dan bergerigi dalam 4 saiz.
Ok, seterusnya alat di atas ni pula. Alat ni adalah penerap dengan dua bentuk iaitu bulat dan bergerigi pada dua belah hujung yang berbeza. Satu hujung bergerigi dan satu hujung lagi bulat rata je. Satu set alat ni dah dipack dalam 4 saiz. Alat ni selalunya Naz gunakan untuk menerap fondant bagi menutup permukaan kek cawan.


Penerap pelbagai bentuk:
1-bentuk daun, 2-bentuk hati, 3,4,5-bentuk bunga.
Seterusnya gambar di atas adalah beberapa jenis penerap yang digunakan untuk menerap fondant mengikut bentuk yang kita inginkan. Yang bentuk daun tu, ada juga bentuk daun yang lain dari yang Naz ada ni. Tapi buat masa sekarang, ini je lah yang biasa Naz guna. Selain dari penerap khas fondant ni, kita boleh juga guna penerap biskut raya tu. Ikutlah kesesuaian dengan deco yang ingin kita buat. Penerap-penerap fondant di atas ni, biasanya ada 3 hingga 4 saiz dalam satu pack dengan bentuk yang sama.

Modelling tools set.
'Modelling tools set' di atas digunakan untuk membantu kita ketika membentuk fondant menjadi sesuatu objek seperti yang kita inginkan. Tapi kalau baru berjinak-jinak dengan fondant, boleh lewatkan dulu untuk memiliki alat ni. Dengan alat ni, kita boleh buat bunga atau daun tanpa penerap. Dengan alat ini juga kita boleh menjadikan hasil terapan fondan kita menjadi bentuk yang lebih cantik mengikut kehendak kita. Nanti ada masa, Naz tunjuk serba sedikit cara menggunakannya.. Insyallah. 


Pencetak huruf.
Pencetak huruf di atas sebenarnya untuk mencetak biskut. Boleh juga digunakan untuk mencetak fondant tapi pencetak huruf ini besar huruf-hurufnya. Naz pernah guna pencetak ini untuk mencetak huruf dalam entry sebelum ini. Boleh klik di SINI untuk melihat contohnya.


Pencetak huruf khas untuk fondant.
Ok, gambar di atas ini juga merupakan pencetak hurut tapi yang ni memang khas untuk fondant atau gumpaste. Pencetak huruf dan nombor seperti di atas ada pelbagai jenis. Boleh tengok di SINI sebagai rujukan atau kalau nak order. Naz pernah masukkan video youtube dulu sebagai rujukan cara menggunakan pencetak ini. Boleh lihat di SINI untuk video tersebut dan juga contoh hasil Naz menggunakan pencetak ni. Di SINI pun ada hasil fondant yang Naz cetak menggunakan alat ini.


1-penggelek bercorak,  2-penggelek tidak melekit,  3-Fondant smoother,
4-berus,  5-lidi satay
Sekarang gambar yang terakhir untuk entry kali ini. Alat bernombor 1 tu adalah penggelek bercorak. Kegunaannya untuk mendapatkan permukaan fondant yang bercorak. Ada beberapa jenis lagi alatan ini dengan corak yang berbeza yang boleh diperolehi di kedai-kedai menjual alatan dan bahan kek.

Alatan bernombor 2 - Penggelek tidak melekit. Kalau guna penggelek ini untuk menggelek fondant atau gumpaste, kurang melekat fondant pada penggeleknya. 

Alatan bernombor 3 - Fondant smoother yang digunakan semasa kita membalut kek. Kegunaanya adalah untuk melicinkan lagi permukaan kek yang telah dibalut dengan fondant agar kelihatan lebih sekata dan cantik.

Alatan bernombor 4 - Yang ini berus. Boleh guna apa-apa berus pun. Berus untuk lukisan tu pun boleh tapi janganlah guna yang dah digunakan untuk melukis ye. Carilah yang baru yang masih belum tercemar. Asal jangan guna berus sabut atau berus dawai ataupun berus basuh baju jer dah...hihihiiiii.. Kegunaannya banyak sebenarnya. Yang ni Naz guna untuk menyapu dan membuang lebihan tepung jagung yang terlekat pada fondant selepas siap menghias. Boleh guna berus melukis yang kecil untuk menyapu air pada fondant untuk pelekatan di permukaan fondant lain.

Alatan bernombor 5 - Yang ini pula adalah lidi satay. Naz gunakan ini untuk mencungkil secara cermat kalau fondant yang diterap terutamanya yang diterap dengan pencetak huruf sekiranya tersekat. Lidi ni juga boleh digunakan pada model fondant untuk mendapatkan efek yang nipis seperti renda. Caranya dengan menekan sedikit bahagian hujung lidi yang tajam tu pada posisi baring(lidi tu yang dibaringkan tau! Bukan kita yang baring..hihihihii)  dan golekkan ke depan dan kebelakang hingga mendapat efek yang kita inginkan.

Okey, cukup dulu setakat ini. Berjumpa pula kita di lain kali...ceh..ceh..cehhhh... Macam bahasa surat lak..hihihiii. Harap entry tak seberapa kali ini sedikit sebanyak membantu kawan-kawan yang ingin mengetahui tentang peralatan dalam membentuk fondant dan gumpaste ni ye. Insyallah ada lagi ilmu yang Naz tau akan Naz kongsikan di blog ini lagi.

SEKIAN DAN TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBACA!