Sunday 7 February 2010

SAGO PEARL PUDDING


Sago Pearl Pudding atau Puding Sago ini resepinya dah lama ambil dari rumah En.Mat Gebu. Cuma baru sekarang mencuba buat. Rasanya lebih kurang macam agar-agar santan sebab penggunaan santan dalam resepi ini. Yang menariknya dengan puding ini ialah..... tentulah warnanya yang pelbagai. Lebih-lebih lagi bila kelihatan biji-biji sago yang telah diwarnakan. Sungguh menarik..

Teringat pula Naz sewaktu kecil dulu, kalau hantaran perkahwinan memang ada sedulang hantaran yang diletakkan puding atau agar-agar. Tapi zaman sekarang ni dah jarang orang buat puding sebagai hantaran. Walau bagaimanapun, Sago Pearl Pudding ini sesuai dijadikan hantaran kerana warnanya yang cantik lebih-lebih lagi kalau acuan yang digunakan menarik bentukknya.

Ini puding yang menggunakan bekas kecil-kecil..


Haaaa.. ini yang dah dipotong..Lebih jelas warnanya kan..


SAGO PEARL PUDDING / PUDING SAGO
Bahan-bahan
:
100 gm biji sagu rumbia
1 liter air
20 gm serbuk agar-agar
300 gm gula pasir
3 helai daun pandan
250 ml santan
3 jenis pewarna kegemaran

Cara :
1. Rendam biji sagu selama 2 jam. Kemudian rebus hingga biji sagu menjadi jernih. Tuangkan ke dalam tapisan dan cuci di bawah air mengalir utk membuangkan kanji dan mengelakkan ia melekat-lekat.
2. Bahagikan biji sagu kepada 6 bahagian berasingan dan warnakan 3 bahagian berbeza-beza dengan pewarna kegemaran anda. Lagi 3 bahagian sagu biarkan pada keadaan asal.
3. Masukkan 1 liter air bersama serbuk agar-agar, gula dan daun pandan ke dalam periuk dan masak hingga mendidih.
4. Masukkan santan dan kacau rata. Kecilkan api.
5. Cedok 200 ml larutan agar-agar dan masukkan ke dalam 1 bekas sago tanpa warna. Kacau rata dan tuang ke dalam acuan yang telah dibasahkan dengan air. Biar keras seketika dan kelar permukaan agar-agar dengan pisau.
6. Cedok 200 ml larutan agar-agar lagi dan masukkan ke dalam 1 bekas sago dengan pewarna dan kacau rata. Tuang perlahan ke atas lapisan pertama tadi. Biarkan keras seketika sebelum mengelar permukaan agar-agar dengan pisau.
7. Ulangi langkah 5 & 6 beberapa kali sehingga habis semua larutan agar-agar dan biji sago digunakan. Sejukkan di dalam peti ais...

No comments:

Post a Comment