Selamat datang kepada semua pengunjung blog CUTE OVEN, SMALL KITCHEN. Diharap dengan kunjungan anda dapatlah kita berkongsi ilmu disamping menambah kenalan. Terima kasih atas kesudian bertandang ke sini.

Untuk makluman, di dalam blog ini sukatan cawan adalah menggunakan cawan metrik manakala sukatan sudu pula 98% adalah menggunakan sudu metrik.
Bagi yang sering bertanya apakah 'Tbsp' dan 'tsp'; 'Tbsp' = tablespoon & 'tsp' = teaspoon.

Recent Posts

Sunday, November 20, 2011

SERI MUKA GULA MELAKA


Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Salah satu juadah yang sesuai untuk minum pagi atau pun minum petang. Kuih ni mesti ramai yang tahu membuatnya. Naz buat satu loyang segi empat dengan ukuran 7" X 7". 

Anakanda Husna suka makan terutama lapisan pulut tu, manakala anakanda Hani pula suka makan lapisan gula Melaka tu. Jadi bila suapkan Hani, bahagian pulut yang tak berapa dia nak makan tu, Husna yang akan tolong habiskan. 

As for me, tak boleh makan kuih ni sebab tak boleh berhenti..hehehe.. Lepas sepotong, sepotong lagi yang masuk ke mulut. Cakap jer tak boleh makan tapi dah berketul-ketul yang hadam di dalam perut. Setiap kali suapkan Hani, sepotong kuih tu, Hani makan 1/4 bahagian jer. Yang lagi 3/4 bahagian sepotong kuih tu masuk perut ummi dia..huhuhu...
  

SERI MUKA GULA MELAKA

Bahan-bahan Lapisan Bawah :
  • 1 cawan beras pulut
  • 1 1/4 cawan santan cair
  • 1/2 tsp garam
Cara-cara :
  1. Basuh beras pulut dan toskan.
  2. Masukkan beras pulut ke dalam loyang bersama dengan santan cair dan juga garam.
  3. Kukus sehingga masak.
  4. Setelah masak, sapu sedikit minyak pada loyang segi empat 7 X 7 inci dan lapikkan dengan sehelai plastik.
  5. Masukkan pulut tadi ke dalam loyang dan tekan-tekan biar padat dan rata.

Bahan-bahan Lapisan Atas :
  • 200 gm gula Melaka (putong kecil-kecil)
  • 1/2 cawan air
  • 1 cawan santan pekat
  • 2 biji telur
  • 1 Tbsp tepung jagung
  • 1/4 cawan tepung gandum
  • 1/2 tsp garam
Cara-cara :
  1. Masak gula Melaka bersama 1/2 cawan air hingga gula larut.
  2. Di dalam sebuah mangkuk, campurkan semua bahan-bahan lain dan kemudian tapis masuk larutan gula Melaka tadi. Kacau sebati hingga tiada ketulan. (kalau ada ketulan, boleh ditapis).
  3. Masakkan adunan di atas api hingga naik wap.
  4. Tuang adunan ke atas lapisan pulut di dalam loyang tadi dan kukus selama 10 minit - 15 minit atau sehingga masak.
  5. Sejukkan kuih dan potong dengan pisau plastik untuk dihidangkan.
SELAMAT MENCUBA!

Friday, November 18, 2011

KUIH RENGAS / KUIH KACANG HIJAU / KUIH KASTURI


Assallamualaikum dan salam sejahtera.
Kuih Rengas atau pun Kuih Kacang Hijau ni dibuat untuk sarapan dan juga minum petang. Kuih ni boleh dibuat sekali banyak dan lepas digoreng sikit jer, sejukkan dan simpan dalam peti sejuk beku (freezer). Jadi bila nak makan, cuma keluarkan dari peti sejuk beku dan biar seketika dalam suhu bilik kemudian bolehlah digoreng hingga masak sepenuhnya.
Suka betul anakanda Husna makan kuih ni lebih-lebih lagi di bahagian kulitnya yang rangup-rangup tu.


KUIH RENGAS atau KUIH KACANG HIJAU atau KUIH KASTURI
Bahan-bahan :
  • 1 cawan kacang hijau
  • Air yang cukup untuk merebus
  • 1/2 - 3/4 cawan gula perang lembut atau gula pasir biasa (adjust ikut kemanisan yang dikehendaki)
  • 5 sudu besar kelapa parut muda 
  • 1/2 sudu teh garam
  • 3-4 sudu besar tepung gandum
Cara-cara :
  1. Basuh dan rendam kacang hijau selama 1 hingga 3 jam.
  2. Kemudian masukkan ke dalam periuk (seelokknya dalam periuk non-stick) dengan air yang mencukupi dan rebus hingga empuk. Kalau masih keras, tambah sedikit lagi air dan terus merebus hingga kacang lembut.
  3. Bila air hampir kering,masukkan gula, kelapa parut muda, tepung gandum dan garam. Kacau sentiasa hingga sebati dan kering. Tutup api dapur dan sejukkan.
  4. Setelah sejuk, ambil sedikit adunan dan bulat-bulatkan. Kemudian leperkan.
  5. Panaskan minyak masak di dalam kuali.
  6. Celup adunan kacang hijau tadi ke dalam batter dan goreng hingga garing. Kalau nak simpan dalam peti sejuk beku, goreng sekejap je. Jangan sampai garing. Kemudian sejukkan dan simpan ke dalam peti sejuk beku.
Bahan-bahan  Batter (untuk menggoreng) :
  • 1 cawan tepung beras
  • 1 sudu besar tepung gandum
  • 1 sudu besar tepung jagung
  • 1/2 sudu kecil serbuk kunyit
  • Garam
  • Air yang cukup
Cara-cara :
  1. Campurkan semua bahan di atas di dalam mangkuk sambil masukkan air sedikit demi sedikit untuk mendapatkan batter yang dikehendaki. 
SELAMAT MENCUBA!

Wednesday, November 16, 2011

CHEESE TART


Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Tart keju dengan pelbagai filling/inti ni, Naz buat masa hari raya haji yang lalu. Bagi sikit pada jiran sebelah rumah dan selebihnya dibawa balik ke kampung. Budak-budak memang suka tart ni.

Yang ini dengan filling blueberry dan strawberry.

Yang ini pula dengan filling peanut butter.


Kali ini tart dibuat menggunakan resepi pastry dari Alex Goh yang memang dah lama ada dalam simpanan. Untuk filling kejunya masih menggunakan resepi dari kak Azita Zain. Memang sedap gabungan keduanya.

Tart tanpa sebarang filling sebab Haris request nak yang plain cheese tart sedikit.

CHEESE TART
(a) PASTRY/ TART SHELL/ CRUST
Resepi Oleh : Alex Goh
Disediakan Oleh : Naz COSK @ovenkecil.blogspot.com
Bahan-bahan :
[A]
  • 200 gm mentega
  • 100 gm gula icing
  • 1/4 tsp esen vanilla
[B]
  • 1 biji telur
[C]
  • 420 gm tepung
  • 1 Tbsp susu tepung
Cara penyediaan :
  1. Putar [A] hingga lembut. Masukkan [B] dan terus memukul hingga gebu dan berkrim.
  2. Masukkan [C] dan gaul hingga mendapat doh yang lembut dan licin.
  3. Ambil sedikit doh dan tekankan ke dalam acuan tart dan kemaskan bahagian dalamnya. Potong lebihan doh di tepi-tepi acuan dengan pisau.
  4. Cucuk dasar tart dengan garfu.
  5. Bakar di dalam oven pada suhu 170 C selama 12 - 15 minit atau hingga doh menjadi keperangan.
  6. Keluarkan dari acuan dan biarkan sejuk dahulu sebelum digunakan atau sebelum disimpan di dalam bekas kedap udara.

 (b) CREAM CHEESE FILLING


Bahan-bahan :
  • 250 gm cream cheese
  • 50 gm gula kastor
  • 1 biji telur saiz B
  • 1/2 sudu teh asen vanilla/ asen lemon
Cara-cara :
  1. Putar cream cheese dan gula hingga berkrim.
  2. Masukkan telur dan esen vanilla. Putar lagi.
  3. Masukkan **filling/inti  ke dalam kulit tat (jangan sampai penuh sebab nak pancitkan cream cheese pula lepas ni).
  4. Tuang atau pancitkan (jika menggunakan piping bag) cream cheese ke atasnya. Bakar selama 5 minit pada suhu 170 C. Sentuh cream dengan hujung jari. Jika tidak melekat, maknanya telah masak. Jika tidak, bakar dalam seminit lagi.
**Inti atau filling cheese tart = strawberry, blueberry, kiwi, oren, coklat, peanut butter dll.

SELAMAT MENCUBA!

Tuesday, November 15, 2011

PUDING ROTI MARBLE


Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Untuk kesekian kalinya, puding roti marble ni dibuat kerana amat mudah dan ringkas serta sedap rasanya. Naz buat puding ni kali ini untuk dibawa sebagai buah tangan ke rumah SIL yang menjemput ke rumahnya untuk jamuan sempena masuk ke rumah barunya. Naz bawa puding ini yang memang mendapat sambutan hangat di sana bersama Talam Cendol yang dipublish sebelum ni. 

Boleh lihat hasil puding ni yang terdahulu di SINI atau di SINI. Cuma kali ini Naz tidak letak serbuk koko dalam salah satu adunan yang telah dibahagi 3 seperti terdahulu. Naz cuma mewarnakan adunan dengan 3 jenis warna yang berlainan sahaja.

Cepat betul puding ni habis dalam masa tak sampai 1 jam. Budak-budak suka betul dengan puding ni sebab ianya bewarna-warni. Ada pula orang yang minta terus resepinya di majlis tu...hehehehe..


PUDING ROTI MARBLE

Bahan-bahan :
  • 10 gm serbuk agar-agar
  • 1/2 cawan gula pasir
  • 3 cawan air
  • 4 keping roti *
  • 2 biji telur ayam *(telur ayam tau! bukan telur itik atau lain-lain..hehehe)
  • 1/2 cawan susu pekat manis *
  • 1 tin susu cair (400ml) *
  • 1 sudu teh asen vanilla *
  • 2 sudu besar majerin
  • 2 sudu besar serbuk koko ATAU 1/4 cawan serbuk milo (Naz tak guna kali ini)
  • 3 jenis pewarna kesukaan
Cara-cara :
  1. Masak serbuk agar-agar dan juga gula bersama air di atas api dapur.
  2. Sementara itu, masukkan bahan-bahan bertanda * ke dalam mesin pengisar(blender) dan kisar halus. (Pastikan mesin pengisar anda tak ada rasa cili yer.. Nanti jadi puding cili marble pulak..hihihi)
  3. Tuang bahan kisar ke dalam larutan agar-agar yang mendidih.
  4. Kacau sentiasa hingga larutan agak pekat.
  5. Masukkan majerin dan kacau hingga larutan menggelegak. Tutup api dapur.
  6. Bahagi larutan puding kepada 3 bahagian. Warnakan setiap bahagian dengan pewarna yang berlainan. (Kalau guna serbuk koko, gaul sebati serbuk koko dengan salah satu bahagian larutan puding).
  7. Basahkan loyang atau acuan pilihan dan sendukkan larutan puding berselang-seli setiap bahagian. Sendukkan adunan terus menerus, maknanya tak perlu tunggu keras adunan yang dah disendukkan ke dalam loyang tu. Kalau nak dapatkan corak seperti di atas tu, sengetkan loyang dan sendal loyang tu di salah satu hujungnya supaya tak jatuh. Kemudian mulalah menyenduk adunan berselang-seli hingga habis digunakan. Kembalikan loyang pada kedudukan asal dan biar puding keras.
  8. Masukkan ke dalam peti sejuk. Hidangkan sejuk-sejuk memang sedap.
SELAMAT MENCUBA!

Monday, November 14, 2011

TALAM CENDOL (CHEF ASMA)

 

Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Tiba-tiba teringin rasa nak makan kuih muih yang ada cendol di dalamnya. Dulu dah pernah buat puding cendol. Jadi sekarang rasanya nak makan talam cendol pula.

Cari-cari resepi dari internet, terjumpa resepi Chef Asma ni. Terus je tak fikir panjang untuk membuatnya. Masyallahhh... memang sedap sangat talam cendol resepi chef Asma ni. Tak rugi mencubanya. Anak lelaki Naz suka sangat talam ni terutamanya lapisan atas yang ada gula merah/melaka tu. Naz pun suka gak..hehehe..

Disebabkan tiada pengukus besar yang boleh memuatkan loyang dengan saiz seperti di dalam resepi, jadi Naz kukus dalam dua loyang yang berlainan untuk memuatkan satu adunan talam cendol ni. Satu loyang Naz bawa ke rumah SIL yang mengadakan jamuan sempena masuk ke rumah barunya bersama dengan Puding Roti Marble.

Terima kasih kepada Chef Asma sebagai tuan empunya resepi dan juga kepada Daria atas kesudian memanjangkan resepi ini untuk dicuba oleh orang lain.


TALAM CENDOL

LAPISAN BAWAH

Bahan-bahan A :
  • 200 gm tepung beras*
  • 250 ml santan pekat*
  • 450 ml air*
  • 1 Tbsp tepung jagung*
  • 150 gm gula kastor
  • 1 tsp garam
Bahan B :
  • 200 gm cendol (Naz letak lebih)
Cara-cara :
  1. Satukan bahan-bahan yang bertanda * dan tapis ke dalam periuk. Masukkan bahan lain di dalam A.
  2. Masak bahan A sehingga naik wap (jangan sampai pekat sangat, sekejap sahaja atas api, guna senduk kayu untuk mengacau. Kacau sentiasa dan bila terdapat ketulan tepung di senduk kayu, tutup api dan guna hand whisk untuk ratakan adunan tersebut).
  3. Angkat dan masukkan cendol. Gaul rata.
  4. Masukkan ke dalam loyang 10" X 10" X 2" yang telah disapu dengan sedikit minyak dan dialas dengan plastik.
  5. Kukus selama 25 minit.
  6. Selepas masak, cakar-cakar permukaannya dengan garfu.

LAPISAN ATAS

Bahan-bahan A :
  • 300 gm gula merah/ gula Melaka
  • 50 gm gula kastor (Naz tak letak)
  • 500 ml air
Bahan-bahan B :
  • 150 gm tepung gandum
  • 3 biji telur (boleh guna sehingga 5 biji telur kalau nak banyak)
  • 250 ml santan pekat
  • 1/2 tsp garam
Cara-cara :
  1. Masak bahan A sehingga gula hancur dan sejukkan sebentar.
  2. Satukan semua bahan B dan kacau sehingga sebati.
  3. Masukkan bahan A ke dalam B dan tapis masuk ke dalam periuk.
  4. Masak sehingga naik wap (jangan pekat sangat, masak sekejap sahaja).
  5. Tuang ke atas lapisan bawah dan kukus selama 30 minit.
NOTA :
  • Dinasihatkan agar membalut tudung periuk pengukus agar wap air tidak menitis di permukaan kuih untuk mendapatkan permukaan kuih yang cantik.
  • Kalau ada air wap yang bertakung di permukaan kuih talam selepas selesai mengukus, buang air tu dengan cara menyerapnya menggunakan tisu dapur.
 SELAMAT MENCUBA!

Thursday, November 3, 2011

BAKED MACARONI & CHEESE


Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Baked macaroni and cheese ni dah lama anakanda Haris request. Membuatnya pun bukannya susah sangat pun tapi ummi dia ni yang kemalasan. Lagi pun setiap kali pergi membeli barang-barang keperluan rumah, selalu tercicir item makaroni ni dari senarai barang-barang yang nak dibeli. Tapi Alhamdulillah kali ini berhasil juga memasak makaroni & cheese ni untuk Haris. Satu bekas kaserol yang Naz buat ni, Haris sorang jer yang makan. Tapi bukanlah makan sekali dah habis. 4 kali makan dalam masa yang berlainan, habis licin semuanya. Sebab dia makan habis, ummi dah janji akan buatkan lagi tapi versi lain pulak makaroni & cheese ni.


BAKED MACARONI & CHEESE

Bahan-bahan :
  • 200 gm macaroni atau elbows macaroni (1 1/2 cawan)
  • Keju parut secukupnya
~ Rebus macaroni 1/2 masak dan toskan.

Bahan Inti Daging :
  • 1 cawan daging cincang
  • 1 batang lobak merah - Hiris halus atau sagat
  • 1/2 labu bawang besar - Potong dadu
  • 2 ulas bawang putih - Cincang
  • 1 tsp serbuk lada hitam
  • 5 Tbsp sos spagetti atau sos tomato (nak lebih sedap, gunalah sos spagetti)
  • Garam
  • Sedikit minyak masak
Cara-cara :
  1.  Panaskan minyak.
  2.  Tumis bawang besar dan bawang putih hingga sedikit layu.
  3.  Masukkan lobak dan biar layu.
  4.  Masukkan daging cincang dan biar hingga kecut dan perang.
  5.  Masukkan sos spagetti atau sos tomato serta lada hitam dan garam. Sesuaikan rasanya. 
  6.  Tutup api dan ketepikan.

Bahan Sos Putih (White Sos) :
  • 2 Tbsp mentega atau majerin
  • 2 Tbsp tepung gandum
  • 2 cawan susu segar
  • Secubit garam
  • Lada sulah
  • 125 gm keju mozzarela atau cheddar (diparut)
  • 2 biji telur - dikocok sikit 
Cara-cara :
  1. Cairkan mentega di dalam periuk.
  2. Masukkan tepung gandum dak kacau hingga tidak berketul-ketul.
  3. Kecilkan api daput atau boleh terus tutup dulu. Masukkan susu segar dan kacau rata. Buka semula api dapur dengan api yang sederhana. Terus mengacau hingga sos kelihatan sedikit pekat.
  4. Masukkan keju parut dan kacau hingga keju cair. Masukkan garam dan sedikit lada sulah. Tutup api.
  5. Masukkan telur yang dikocok tadi dan kacau-kacau rata-rata.
CARA MENYEDIAKAN BAKED MACARONI AND CHEESE
  1. Di dalam bekas caserol atau bekas lain yang bersesuaian seperti loyang kek, gaul makaroni yang telah direbus tadi bersama inti daging dan sos putih.
  2. Ratakan di dalam bekas caserol. Taburkan permukaan makaroni dengan parutan keju parut rata-rata. Sekiranya suka, boleh taburkan bread crumb di atas keju parut tadi.
  3. Bakar pada suhu 175 C selama 15 minit atau hingga keju parut di permukaan makaroni cair sepenuhnya.
SELAMAT MENCUBA!

Tuesday, November 1, 2011

BEBOLA COKLAT URAI


Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Inilah satu lagi projek  yang Naz buat selepas membakar Simple Chocolate Cupcakes hari tu. Naz bakarkan sedikit adunan kek cawan tu di dalam loyang kek. Kemudian dari kek yang siap tu, Naz buat 'Bebola Coklat Urai' ni pula.


Dulu Naz dah pernah letak hasil dan resepi bebola coklat urai ni di dalam blog. Naz jumpa resepi daripada Chef Anuar ni di dapur cyber Maklang Azie tapi bukan dapur cyber yang sekarang (maklangazie.blogspot.com). Naz jumpa di dapur lama Maklang Azie (ulampegaga.fotopages) yang sekarang ni telah ditutup oleh tuannya. Jadi minta maaflah ye sebab link daripada dapur ulampegaga.fotopages tu tak dapat dijumpai sekarang. 

Cuma kali ini, Naz buat tidak mengikut 100% resepi. Oleh kerana kek coklat ini memang moist dan penuh dengan rasa coklat, jadi Naz tidak masukkan coklat masakan yang sepatutnya ada di dalam resepi. Berat bahan-bahan juga Naz tak sukat kerana Naz agak-agak bila adunan dah boleh dikepal menjadi bebola setelah digaul kek dengan jem tu, terus je buat bebola-bebola kecil. 

Ok, untuk resepi dari chef Anuar ni, boleh klik pada link di bawah iaitu di posting Naz terdahulu :
~ Bebola Coklat Urai resepi Chef Anuar ~


Untuk resepi kali ini, ini bahan-bahannya.

BEBOLA COKLAT URAI

Bahan-bahan :

  • Sedikit kek coklat dari resepi  Simple Chocolate Cupcakes
  • Jem strawberry atau raspberry atau blueberry
  • Sedikit kismis atau kekacang sekiranya suka
  • Coklat urai secukupnya
Cara-cara :
  1. Hancurkan kek dgn tangan yang bersih.
  2. Masukkan kekacang atau kismis dan jem sedikit demi sedikit sambil terus menggaul hingga adunan kek boleh dikepal (tidak berderai).
  3. Bulat-bulatkan adunan dan golekkan ke dalam coklat urai. Masukkan ke dalam papper cup. 
  4. Boleh dimakan.
NOTA :
  • Anak-anak Naz suka bila bebola-bebola ni Naz sejukkan dulu di dalam peti ais.

SELAMAT MENCUBA!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...