Selamat datang kepada semua pengunjung blog CUTE OVEN, SMALL KITCHEN. Diharap dengan kunjungan anda dapatlah kita berkongsi ilmu disamping menambah kenalan. Terima kasih atas kesudian bertandang ke sini.

Untuk makluman, di dalam blog ini sukatan cawan adalah menggunakan cawan metrik manakala sukatan sudu pula 98% adalah menggunakan sudu metrik.
Bagi yang sering bertanya apakah 'Tbsp' dan 'tsp'; 'Tbsp' = tablespoon & 'tsp' = teaspoon.

Recent Posts

Monday, January 31, 2011

SAMBAL TUMIS UDANG


Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Masak sambal tumis udang untuk makan tengahari tadi. Waktu menumis cili mesin tu yang tak tahan.. Hidung dah lah memang tengah perit. Bau tumisan cili kering mesin yang memenuhi ruang dapur tu mencucuk-cucuk hidung ni.. Tapi sebab sambal memang kegemaran orang di rumah ni, ku tahankan jua..

SAMBAL TUMIS UDANG

Bahan-bahan :
500 gm udang segar (siang, basuh dan toskan)
1 cawan cili kering yang telah dikisar*
4 ulas bawang merah*
3 ulas bawang putih*
1 inci belacan*
(*dikisar bersama)
1 biji bawang besar (dihiris)
2 Tbsp asam jawa (dibancuh dengan 1/2 cawan air)
Garam
Gula
Minyak masak

Cara-cara :
1.  Panaskan minyak di dalam kuali.  Tumis bahan-bahan kisar sehingga masak dan harum.
2.  Masukkan bawang besar. Kacau.
3.  Masukkan air asam jawa dan kacau sebati. Biarkan hingga mendidih.
4.  Masukkan udang dan kacau sesekali hingga udang masak sepenuhnya.
5.  Masukkan garam dan gula mengikut citarasa sendiri. Tutup api.

SELAMAT MENCUBA!

Sunday, January 30, 2011

SAGU BRONOK aka SAGU MATA IKAN

Asallamualaikum dan salam sejahtera.

Tak larat nak membebel panjang-panjang ni sebab badan tak sihat. Air hidung asyik nak meleleh jer. Tekak pulak rasa sakit dan batuk-batuk yang sesekali keluar. Maisarah Hani pun tak baik-baik lagi selsema dan batuknya. Tapi dah boleh tidur malam dengan nyenyak. Tak seperti minggu lepas, asyik terjaga tengah malam mungkin susah bernafas akibat selsema. Jadi Naz kenalah bangun malam dan layan sampai dia terlena semula. Harap Maisarah Hani segera sembuh. Begitu juga Naz sebab rasa payah nak buat kerja-kerja rumah bila badan tak berapa sihat.. :(

SAGU BRONOK aka SAGU MATA IKAN

Bahan-bahan :
1 cawan biji sagu kecil (warna putih)
1 cawan gula pasir
3 cawan air
Sehelai daun pandan (disimpulkan)
Beberapa titis sirap Rose atau pewarna merah

2 cawan kelapa parut muda *
1 tsp garam halus *
(* digaul rata dan boleh dikukus sebentar supaya tidak mudah basi)

Cara-cara 1 :
1.  Biji sagu dibasuh di bawah air mengalir dan toskan.
2.  Masak gula pasir bersama air dan daun pandan sehingga gula larut.  Keluarkan daun pandan.
3.  Masukkan biji sagu dan titiskan sirap Rose atau pewarna merah. Kacau biar sekata warnanya.  Masak sehingga biji sagu kembang dan menjadi jernih. Gunakan api sederhana besar dan kacau sesekali untuk mengelakkan sagu hangus di dasar periuk.
4.  Tutup api dan tuang sagu ke dalam bekas atau loyang dan biarkan sejuk sebelum dipotong.
5.  Potong dan gaulkan dengan kelapa parut tadi apabila menghidang.

atau

Cara-cara ke 2 :
1.  Biji sagu dibasuh di bawah air mengalir dan toskan.
2.  Masak gula pasir bersama air dan daun pandan sehingga gula larut.  Keluarkan daun pandan.
3.  Masukkan biji sagu dan titiskan sirap Rose atau pewarna merah.  Kacau biar sekata warnanya dan biar  seketika sehingga adunan kelihatan likat sedikit.
4.  Tuang adunan ke dalam bekas untuk mengukus/ loyang.  Kukus hingga biji sagu jernih sepenuhnya lebih kurang 15 - 20 minit.  Tujuan mengukus ialah untuk mendapatkan texture kuih sagu yang berbiji-biji setelah masak disamping mengelakkan hangit di dasar periuk sekiranya lama di atas api.
5.  Sejukkan sebelum dipotong.  Setelah sejuk, potong dan gaulkan dengan kelapa parut.  Sedia untuk dihidang.    

Jadi pilihlah cara yang sesuai dengan anda. 
SELAMAT MENCUBA!

Saturday, January 29, 2011

OVENKU


Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Entry kali ni tentang oven Naz. Ni ha, cik kak Lia ni tanya, Naz guna oven jenama apa di rumah. Jadi Naz tunjuklah oven yang menjadi peneman setia Naz untuk projek baking membaking di dapur. Oven yang banyak berjasa dan menemani dapurku sepanjang masa (memanglah duduknya di dapur kan..tak kanlah dalam bilik tidur pulak..).

Jenama oven ni MILUX.  Keluasan bahagian dalam oven lebih kurang 16" X 14.5" X 10.5" (ini ukur sendiri pakai tali tape..heheheeee).  Besar body oven ni pulak lebih kurang 22" X 15" X 12.5" (ini pun ukur sendiri).

 sila abaikan bayang orang yang sedang mengambil gambar oven ni di pintu oven tu!!

Knob untuk fungsi oven seperti gambar di atas. Ada 3 knob. Yang atas sekali adalah knob untuk laras suhu oven. 

Knob yang kedua di tengah-tengah tu berfungsi untuk laras bahagian pembakaran samada pembakaran atas dan bawah, pembakaran atas sahaja, pembakaran bawah sahaja atau tiada pembakaran langsung(hehehehhhh... off la tuuu).

Knob yang ketiga pulak yang paling bawah sekali tu untuk laras waktu membakar. Laras waktu membakar ini sehingga 60 minit maksimumnya.

Oven ni juga boleh membakar seekor ayam.  Nampak tak butang warna oren tu. Fungsinya untuk on kan pemusingan besi mencucuk ayam sewaktu pembakaran berlaku. Nanti ayam yang kita cucuk pada besi tu akan berputar-putar macam di Kenny Rogers tu.. Boleh lah buat ayam bakar ala-ala Kenny Rogers tu..heheheee :)

Okey Lia.  Harap entry akak kali ini dapat membantu menjawab soalan Lia tu ye. Opppssss lupa pulak.  Harga oven ni semasa dibeli ialah dalam RM 280-RM 300. Ada julat harga tu sebab tak berap ingat harga tepatnya.

Okey sampai sini jer lah cerita pasal oven ni.. I lap U my oven..("lap" tu ada 2 maksud tu.. Lap sebab sayang dan lap selepas guna oven tu kalau ada percikan..kui..kui..kui...) Tataaaaa...

Friday, January 28, 2011

PAU 5 (INTI KACANG MERAH)


Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Ini sebenarnya entry yang tertunda.  Buat pau ni masa balik rumah bonda Naz di Melaka dulu.  Buat pun main hentam keromo jer tapi Alhamdulillah menjadi..heheheeee...  Tak sempat pun nak mengupdate ke dalam blog.  Cadangnya bila balik ke rumah nak update tapi kertas yang tulis resepi tu pulak entah mana Naz letak.  Ni dah terjumpa balik kertas resepi tu.  Rupanya ada tersimpan di celah majalah yang Naz beli masa di sana.

PAU 5
Sumber : Naz's CUTE OVEN, SMALL KITCHEN

Bahan-bahan :
250 gm tepung gandum
1 1/2 tsp gula
1 tsp yis
1/4 tsp garam
1 tsp bread softner
2 Tbsp shortening
125 ml air

Cara-cara :
1.  Campurkan semua bahan di atas kecuali air dan gaul rata.
2.  Masukkan air sedikit demi sedikit dan uli hingga menjadi doh yang lembut.
3.  Rehatkan adunan selama 10 minit.
4.  Tumbuk doh untuk buang anginnya dan bulat-bulatkan seberat 40-50 gm.
5.  Iskan inti kacang merah(inti lain pun boleh) dan letakkan di atas kertas A4 yang telah dipotong 2" X 2".  Susun ke dalam tempat mengukus.  Biar 1 jam.
6.  Panaskan kukusan.  Apabila air telah mendidih, kukus pau selama 10 minit.

SELAMAT MENCUBA !

TAUGEH GORENG DAUN KUCHAI


Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Taugeh kalau digoreng dengan daun kuchai memang sedap.  Resepi yang sungguh ringkas dan senang untuk disediakan.  Yang malasnya bab nak buang ekor taugeh tu.  Tapi Naz kalau nak masak sayur ni, selalu cari taugeh yang sederhana besar dan ekornya kontot jer serta tak kotor warna ekornya tu. Ibunda Naz selalu panggil taugeh ni taugeh kering sebab taugeh ni tak direndam di dalam air seperti kebanyakan taugeh lain yang perlu direndam ke dalam untuk mengekalkan kesegarannya.

Okey, cukup membebel tentang taugeh.  Sekarang resepinya pula.

TAUGEH GORENG DAUN KUCHAI
Oleh : Naz's CUTE OVEN, SMALL KITCHEN

Bahan-bahan :
2 cawan taugeh (dibasuh dan ditoskan)
1 cawan daun kuchai (yang telah dipotong-potong)
4 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
Sedikit ikan bilis sebagai rencah (lebih sedap jika menggunakan udang segar atau sotong segar)
2 keping tauhu (dipotong kiub)  
1 biji cili merah (dihiris)
1 Tbsp sos tiram
3 Tbsp air
Garam
Minyak untuk menumis

Cara-cara :
1.  Tumbuk bawang merah, bawang putih dan juga ikan bilis bersama. 
2.  Panaskan minyak di dalam kuali.  Tumis bahan tumbuk hingga layu.  Masukkan sos tiram dan air.  Kacau rata.  
3.  Masukkan tauhu dan biar seketika agar tauhu sedikit keras dan tidak mudah hancur.
4.  Masukkan taugeh dan daun kuchai dan cili hiris serta garam.  Gaul rata.  Jangan lama sangat sebab kalau taugeh terlalu layu, tak sedap.  Tutup api.  Boleh dihidang.

SELAMAT MENCUBA!

KEK GULA HANGUS



Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Hari ni buat kek gula hangus untuk MIL.  Dah lama berniat nak buat untuk MIL ni tapi asyik tertangguh jer.  MIL Naz suka kek ni.  Dulu first time buat guna resepi ini juga dari Kak Halimah dan beri MIL rasa.  Dia suka dan lepas tu selalu request buatkan untuk dia.  Kali ni buat bukan sebab request MIL tapi memang saja nak buat untuk MIL(boleh jadi contoh menantu yang baik tak? hehehehheeee...masuk bakul angkat sendiri...kui..kui..kui..).  




KEK GULA HANGUS 
Sumber Resepi : Kak halimah via Koleksi Resipi Pilihan Diana



Bahan untuk gula hangus :
1 cawan gula
1 cawan air panas
2 sudu besar mentega

Cairkan gula dgn api sederhana besar. Bila gula dah agak cair masukkan air panas.(Bab ni kena hati2 sikit tau! Nanti dia meletop letop). Lepas tu masukkan mentega kacau sampai mentega tu cair. Ketepikan.

Bahan untuk kek :
4 biji telur
1 cawan susu pekat
1 cawan tepung gandum
2 sudu kecil soda bikarbonat
1 sudu kecil esen vanila


Cara-caranya :
1. Pukul telur sampai kembang.(warna telur menjadi pucat/’pale’)
2. Masukkan susu pekat - Mixer hingga rata.
3. Masukkan tepung & soda bikarbonat yg diayak terdahulu sedikit demi sedikit.
4. Tuang kan esen vanilla.
5. Last sekali, masukkan gula hangus tadi. Perap adunan ini selama 3 hingga 4 jam (bertutup) untuk mendapatkan sarang yang cantik. Lepas 3 jam, warna bancuhan kek akan berubah.
6. Tuangkan adunan dalam loyang yang sesuai dan kacau supaya tepung tak mendap dan bolehlah dibakar selama 1 jam pd suhu 160°C dengan api bawah sahaja. Balance terakhir 11 minit tu pulak api atas dan bawah.

NOTA :
Adunan kek ni kalau diperap lebih lama, lebih cantik sarang kek lepas dibakar.  Naz dah pernah buat experiment dulu.  

SELAMAT MENCUBA!

Thursday, January 27, 2011

TELUR ITIK MASAK LEMAK CILI PADI


Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Ini salah satu lauk kegemaran Naz juga.  Kalau buat pedas-pedas dan ada rasa masam-masam sikit..best oooooooo....  Resepi ni belajar daripada bonda di Melaka.  Belajar masa anak dara dulu lagi.  

Masak lauk ni lebih sedap kalau ada belimbing buluh yang kecil-kecil tu.  Nanti rasa lauk ni masam-masam sikit disamping rasa cili padi yang menyengat tu.  Tau tak belimbing buluh tu macam mana rupanya?

Inilah rupa belimbing buluh.  Sedapnyaaaaaa... 
(gambar dari Google) 

Tapi kali ini, Naz masak tak letak belimbing buluh ni sebab dah puas cari tapi tak jumpa. Kebetulan di rumah ada buah kundang (banyak orang panggil biji kundang) yang dibeli di pasar borong.  Ada pulak tu dalam 3-4 biji yang masam sangat rasanya.  Tak boleh nak gigit... Bantailah letak buah kundang ni dalam lauk.  Sedap jugak..  Boleh juga diganti belimbing buluh dengan asam gelugor(asam keping).  Okey seperti biasa selepas sesi membebel-bebel, baru resepi menyusul..

TELUR ITIK MASAK LEMAK CILI PADI

Bahan-bahan :
6 biji telur itik (yang belum dijerukkan tau)
Segenggam cili padi (tambah atau kurangkan mengikut kepedasan yang diingini)
2 inci kunyit hidup (boleh ganti dengan 1/2 tsp serbuk kunyit)
2 batang serai (dititik)
2 helai daun kunyit 
10 biji belimbing buluh (dibelah dua) 
Santan secukupnya
Garam

Cara-cara :
1.  Tumbuk cili padi bersama kunyit hidup hingga lumat.  Masukkan ke dalam periuk bersama santan dan juga serai serta garam.
2.  Masak di atas dapur hingga mendidih menggunakan api sederhana.  Sambil tu kacau-kacau santan di dalam periuk agar tidak membuak atau berbintil-bintil(pecah minyak).  
3.  Bila telah mendidih, kecilkan api.  Pecahkan telur dan masukkan ke dalam periuk satu per satu.  Lebih elok kalau dipecahkan telur ke dalam mangkuk dahulu untuk mengelakkan dari terguna telur yang rosak/busuk (hehehe...sebab dah terkena dulu..membazir jer santan tuuuu..).  Kacau sesekali perlahan-lahan agar telur tidak hancur.  Tunggu sehingga telur telah mengeras.
4.  Masukkan daun kunyit yang dikoyak dua bersama belimbing buluh.  Rasakan garamnya.  Tutup api dan sedia untuk dihidang.

SELAMAT MENCUBA!

Tuesday, January 25, 2011

KENA TAG JUGA..JOM BERKENALAN..


Smiley Face
Sumber : Google


Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Oh tidakkkkkk!!!!  Daku kena tag jugakkkkkkkk!!!  Anaaaa.. ha tengok muka di atas tu.. Comel tak bila dia kena tag?  Tersusun gigi dia tersengih.  Besar pulak sebelah biji mata dia..  

Okeylah Ana, terbeliak biji mata ke, tersengih lebar ke...tag tetap kena jawab kan..  Tapi kena jawab ringkas-ringkas dan cepat-cepat ni..  Anakanda yang kecil tu tak berapa sihat..  Tidur pun macam tidur-tidur ayam jer.. 


Apakah status anda?
Sudah tentu seorang isteri kepada sang suami yang tersayang dan tercinta, yang sporting, yang baik hati dan tak cerewet.  Ibu kepada 4 orang cahaya mata (1 lelaki, 3 perempuan) walaupun yang ada bersama hingga ke hari ini cuma 3 orang.  Yang seorang lagi tu anak ke 2 Naz yang tetap diingat sampai bila-bila, telah pergi mengadap Illahi 1/2 jam selepas dilahirkan.
Jadi dipendekkan cerita, status Naz sekarang ialah surirumah sepenuh masa.

Ceritakan tentang diri anda.
Apa nak cerika ek?  Lama dah tak buat karangan BM ni...  
Just an ordinary and easy going person.  Dilahirkan di N9 ketika ayah bertugas sebagai guru di sana tetapi dibesarkan sepenuhnya di Melaka.  Sekarang menetap di Kubang Kerian mengikut suami yang bekerja di sini.  Naz sebenarnya merupakan seorang yang sukar meluahkan dan suka memendam.  Memang banyak sakit di dalam kalau jadi orang macam ni.  Tapi sejak berkahwin, sikit-sikit tabiat ini dikikis bila perlu atas dorongan suami.  
Usia??? Hai.. dah masuk three series dah..  Lima tahun dah guna three series ni.  Pendidikan yang mak ayah tanggung adalah hingga Ijazah.. Naz ada diploma dari UPM dalam bidang kesihatan haiwan dan juga ijazah dalam bidang Dietetik dari UKM.
Pernah bekerja dulu tapi berhenti atas tuntutan tanggungjawab di rumah.  Suami sibuk, sang isteri pulak kena kerja luar kawasan.  Anak-anak perlukan perhatian dan didikan lebih-lebih lagi dalam keadaan dunia yang semakin mencabar ni, jadi salah sorang kena berkorban.  Part nak berkorban ni takkanlah sang suami kan..  Jadi, Naz lah yang tarik diri dari bidang pekerjaan makan gaji.  Sekarang jadi dietitian sepenuh masa di rumah pulak..heheheeee..

Ceritakan tentang blog anda.
Blog CUTE OVEN, SMALL KITCHEN ni lahir asalnya bertujuan untuk menghimpun resepi-resepi yang telah Naz cuba.  Sebelum adanya blog ni, Naz suka sangat baca blog mereka ni : hanieliza.fp, rinnchan.fp, ulampegaga.fp, mamafami.fp, resipidiana.bs dan juga rozzan.bs.  
Dari sinilah datang minat untuk mengambil gambar makanan-makanan yang telah disediakan dan disimpan ke dalam word document beserta resepi-resepinya untuk rujukan Naz sendiri dan untuk kegunaan anak-anak Naz satu masa nanti.  Sampai satu ketika tu, MamaFami pernah minta link Naz kalau ada yang sememangnya tak ada masa tu.  Boleh tukar-tukar link katanya(tak tau la MamaFami ingat lagi ke tak).  Bermula dari situ dah ada juga terdetik di hati nak buat blog.  Tapi tak buat-buat pun sebab tak reti.  Cuma tiba-tiba terfikir, kan senang kalau disimpan resepi-resepi yang pernah Naz cuba ke dalam blog sendiri disamping boleh dikongsi dengan orang lain.  Tak perlukan ruang yang banyak di dalam komputer dan boleh dirujuk di mana sahaja janji ada line internet.  Dan memang Naz tak sangka akan sampai ke tahap ini dimana melalui blog yang ada, Naz dapat menambah rakan walaupun tidak bersua muka disamping menimba ilmu melalui blog rakan-rakan yang lain.
  
Apakah pandangan anda tentang dunia blog?
Dunia blog sebenarnya boleh menjadi sebagai satu platform untuk sesiapa sahaja mencari ilmu, berkongsi ilmu, menambah rakan taulan dan sebagainya dari sudut positif.  Dalam erti kata lain, banyak manafaatnya.  Tapi harus diingat, setiap sesuatu perkara itu telah ditetapkan oleh Allah SWT akan ada kebaikan dan keburukannya, akan ada kekurangan dan juga kelebihannya.  Jadi kita sebagai manusia yang diberi akal fikiran perlu bijak dan tahu menggunakannya agar boleh mengelakkan perkara perkara yang negatif dari berlaku tak kiralah kepada diri kita sendiri atau kepada orang lain.

Nasihat anda pada rakan-rakan yang baru nak buat blog.
Aiiihhhhh...tak reti la nak bagi nasihat..  Diri sendiri pun masih banyak kekurangan dan masih perlu diperbaiki.  Tapi pada sesiapa yang baru nak memulakan blog, tahniah!  Tak kiralah apa topic yang nak diutarakan dalam blog anda, harap dapat memberi manafaat kepada sesiapa sahaja..Insyallah..

Nyatakan keunikan yang ada pada blog anda.
Entahlah..  Tak tau pulak apa yang unik.  Banyak kekurangan kalau dibandingkan dengan rakan blogger yang lain.  Jadi soalan ni tak boleh lah nak dijawab sebab diri sendiri punya blog kan..  Mungkin orang lain yang membaca blog ni yang lebih tau ada unik atau tidak di blog Naz nie..

Sampai bila nak manulis blog dan impian anda dalam dunia blog.
Insyallah.. selagi terdaya, selagi diizinkanNya, selagi masih ada kudrat dan selagi ada kerajinan nak mengupdate, selagi itulah blog ini akan terus bernyawa.
Harapan dan impian paling utama, biarlah blog ini boleh menjadi rujukan untuk anak-anak Naz suatu masa nanti disamping memberi manfaat kepada pengunjung-pengunjung yang sudi singgah ke sini.

Tag 5 rakan-rakan anda yang anda nak kenal sangat.
Ishhhh...tang nak tag orang lain ni yang payah sikit ni.. Takut tuan empunya diri tak suka.  Anyway sebab tujuannya untuk mengenali, tag jugalah mereka di bawah ni.  Kalau dah kena tag ni sebelum ni, tak perlulah jawab lagi sekali.  Kalau belum, buatlah bila ada kelapangan tak kiralah samada cepat atau lambat.  Harap pada yang kena tag ni tak marah yer..Ambil sekali gambar smiles di bawah ni buat mereka yang ditag.  Kena senyum jer walaupun kena tag tau!  Untuk AnnaQawina juga, sudilah kiranya mengambil gambar smiles di bawah ni sebab sudi nak berkenalan dengan orang blog ini..

Yang kena tag dari Naz :
Kak Norli - Norli Loves Cake
Ctnaemah - Mylittledapur2


Smiles

Thursday, January 20, 2011

KUIH LOMPANG


Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Tak boleh celoteh panjang-panjang ni.  Baby Maisarah Hani dah tido tapi asyik terjaga jer.. Mungkin sebab selsema.  Jadi Ummi dia kena cepat-cepat habiskan kerja dan nak kena pergi tidur jugak..  

Buat kuih ni petang tadi.  Asalnya nak buat kuih lompang yang guna gula merah tu tapi anak dara sorang ni (Husna) asyik merayu suruh buat yang ada kaler-kaler.  Yang ada kaler-kaler baru sedap katanya..  Jadi, ummi dia pun buatlah seperti yang diingini oleh si anak dara.  Nampaknya kena cari masa lain pulak untuk buat kuih lompang gula merah.


Memang menarik bila colourfull macam ni dan cepat pulaklah habis sebab anak-anak suka kuih ni rupanya.. Tulah... ummi dia tak pernah cuba buat sebelum ni.  Ingatkan tak dapat sambutan.  Rupa-rupanya, kuih belum dikeluarkan dari acuan lagi dah tak sabar-sabar masing-masing nak makan.  Nasib baik sempat ambil gambar.  Itu pun sebab Naz suruh anak-anak tunggu dulu sebab nak snap gambar.  Hehehe... kesian anak-anakku kena tunggu...  

Okey, resepi asal dari blog Bro Rozzan ni.  Tapi resepi di bawah ni, ada ubah suai sikit yang Naz buat mengikut selera Naz.  Jadi siapa nak tengok resepi asal boleh klik pada nama Bro Rozzan ni ye.  


KUIH LOMPANG
Oleh : Naz's CUTE OVEN, SMALL KITCHEN

Bahan-bahan :
50 gm tepung beras  }
50 gm tepung ubi      } Bancuh bahan-bahan ini hingga sebati - ADUNAN A
100 ml santan           }

125 gm gula pasir     }
100 ml air                 } Masak hingga gula larut dan sejukkan - ADUNAN B
1 helai daun pandan  }

1/4 cawan kelapa parut muda  }
Secubit garam                         } Gaul sebati dan kukus sebentar

Beberapa pewarna pilihan

Cara-cara :
1.  Masukkan ADUNAN B ke dalam ADUNAN A.  Kacau sebati dan tapis sekiranya perlu.
2.  Bahagikan kepada beberapa bahagian dan warnakan mengikut warna pilihan anda.
3.  Panaskan kukusan.  Sapu sedikit minyak masak di bahagian dalam acuan lompang.
4.  Susun acuan lompang di dalam pengukus.  Tuang adunan lompang dan kukus 8 hingga 10 minit atau sehingga masak.
5.  Biarkan sejuk sebelum dikeluarkan dari acuan.  Hidangkan bersama kelapa parut apabila ingin dinikmati.

NOTA :
Dengan adunan di atas, Naz dapat 16 biji kuih lompang ni.

SELAMAT MENCUBA!

Wednesday, January 19, 2011

PUTERI AYU PANDAN



Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Buat kuih puteri ayu pandan ni untuk minum petang.  Dah pernah buat beberapa hari lepas tapi tak sempat post entry dan snap gambar.  Atas permintaan anak yang sulung, Naz buat sekali lagi kuih ni.


Puteri ayu ku yang berbentuk bulat tengah berposing.  Suka betul kuih-muih yang ada kaler-kaler ni..hehehe...


Wonder kenapa nama dia puteri ayu ek??  Ke sebab nampak kelapa tu macam crown tertenggek atas kuih tu?  Jadi panggillah puteri ayu.. 


Yang ini pula kuih puteri ayu ku yang dibuat menggunakan acuan empat segi.  Semua acuan ni kepunyaan bondaku yang diperturunkan kepada anakanda dia yang nampaknya rajin memasak(hehehe perasanlah pulak..macam rajin bebenor).
Okey, resepi di bawah...

KUIH PUTERI AYU PANDAN
Oleh  : Naz's CUTE OVEN, SMALL KITCHEN

Bahan-bahan :
180 gm tepung gandum  }  ayak bersama
1 Tbsp tepung ubi          }
160 gm gula 
1 tsp ovallate
2 biji telur
160 ml santan
1 Tbsp pandan emulco
Beberapa titis pewarna hijau

2 cawan kelapa parut }
2 Tbsp tepung jagung } gaul sebati
1/2 tsp garam halus    }

 

Cara-cara :
1.  Pukul telur, gula dan ovallate dengan mixer (bukan dengan rotan tau!) hingga kembang.
2.  Perlahankan speed, masukkan tepung dan santan berselang-seli.  Gaul hinga sebati.  
3.  Masukkan pandan emulco dan juga pewarna hijau dan kacau sebati.
4.  Panaskan kukusan.  Sementara itu sapu sedikit minyak masak ke dalam acuan kuih hingga rata.  Naz gunakan berus pastry jer untuk kerja menyapu minyak ni.
5.  Masukkan sedikit kelapa(lebih kurang 1 tsp) yang telah digaul dengan tepung jagung dan garam ke dalam acuan dan tekan-tekan biar kemas.
6.  Sudukan adunan kuih ke dalam acuan dan susun di dalam pengukus.  Kalau nak senang, masukkan adunan ke dalam bekas bermuncung dan tuang ke dalam acuan.
7.  Kukus kuih selama kurang dari 10 minit.  Seeloknya balut tudung pengukus dengan tuala dapur supaya air wap tidak menitis ke atas kuih semasa proses mengukus.

OKEY, SELAMAT MENCUBA!

Tuesday, January 18, 2011

SERIMUKA PISANG


Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Kuih serimuka pisang yang terkenal kebelakangan ni..  Baru ada kesempatan membuatnya.  Buatnya bukan lah susah pun..


Resepi asal dari kakak ni ha.. hasiah63(My Resepi).  Terima kasih banyak-banyak ye kak sebab sudi berkongsi resepi yang sedap sangat ni..


Nampak tak lapisan pisang Naz tu warnanya macam oren sikit...hehehe..  Sebabnya, nak letak pewarna kuning tapi dah habis.  Jadi bantai je lah warna oren..  Rasanya tetap rasa pisang tau..

Yang ini kuih serimuka pisang yang baru saja selesai dikukus..  

SERIMUKA PISANG
Sumber Resepi : Kak hasiah63

Oleh : Naz's CUTE OVEN, SMALL KITCHEN

Bahan-bahan :

Lapisan Bawah
1 cawan tepung beras
2 cawan santan
2 cawan pisang yang dilenyek
1/2 cawan gula
2 Tbsp tepung kastad
Beberapa titis pewarna kuning/oren

Lapisan Atas
60 gm tepung gandum
100 gm gula
250 gm santan
50 gm jus pandan
1/2 Tbsp tepung jagung (Naz guna 1 Tbsp tepung jagung)
2 biji telur
Sedikit garam
Sedikit pewarna hijau

Cara-cara :
1.  Lapisan Bawah : Satukan semua bahan dan kacau sebati.  Kukus 20 minit atau hingga masak.
2.  Lapisan Atas    :  Kacau telur bersama gula dan masukkan bahan-bahan yang lain.  Kacau sebati dan tapis.  Tuang ke atas lapisan bawah yang telah dikukus tadi dan kukus 20 minit.
3.  Biar kuih sejuk dahulu sebelum dipotong.

Tuesday, January 11, 2011

DAGING MASAK LEMAK CILI PADI DENGAN BATANG KELADI


Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Emmm.. dalam peti ais ada batang keladi yang MIL beri.  Masa dapat tu memang terfikir nak masak lemak cili padi.  Kebetulan di dalam freezer ada pulak daging lembu.  So jadilah lauk ni hari ni....Masak lemak cili padi daging dengan batang keladi.  
Selalunya kalau masak lemak cili padi daging, Naz suka letak ubi kentang sebagai kawan daging tu.  Lagi pun hubby dan anak lelaki Naz memang suka kentang.  Tapi kali ni buat lain sikit sebab nak gunakan batang keladi tu sebelum expired.  Okey, seperti biasa, resepi di bawah ye..

DAGING MASAK LEMAK CILI PADI DENGAN BATANG KELADI
Bahan-bahan :
500 gm daging lembu
2 cawan santan cair
1/2 cawan santan pekat
20 batang cili padi (tambah atau kurangkan mengikut kepedasan yang diingini)
2 inci kunyit hidup
3 batang serai (dititik)
1 inci halia
1 batang keladi (dibersihkan dan dipotong-potong)

Cara-cara :
1.  Daging lembu dihiris lebar dan nipis.  Basuh dan toskan.
2.  Tumbuk cili padi bersama kunyit hidup dan halia.  Masukkan ke dalam periuk bersama serai dan juga daging lembu.  Tanak di atas api sederhana hingga daging kecut.
3.  Masukkan santan cair dan biar mendidih.  Kemudian masukkan batang keladi dan masak hingga batang keladi empuk.  Rasakan garamnya.
4.  Masukkan santan pekat dan kacau rata.  Tunggu hingga mendidih sambil dikacau sekali sekala agar tidak pecah minyak.  Rasakan sekali lagi garamnya.  Tutup api  dan boleh dihidangkan.  

Sunday, January 9, 2011

AGAR-AGAR ROTI WARNA WARNI


Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Sejak buat aiskrim goreng ni, banyak pulak lebihan roti lepas bentukkan roti goreng tu.  Jadi dok cari-cari, tengok-tengok, jeling-jeling, skodeng-skodeng dapur blogger-blogger lain untuk cari resepi yang sesuai untuk gunakan lebihan roti tu.  Terjumpalah resepi agar-agar roti ini di blog Izah.  Melompat pulak lepas tu ke blog pemilik asal resepi agar-agar roti ini iaitu Mas.

Emmm.. betul kata Izah.  Membuatnya cukup mudah.  Tertarik hati sebab kebanyakan resepi yang Naz jumpa, biasanya ada campuran majerin atau mentega dalam senarai bahan-bahannya tetapi tidak pada resepi ini.  Itu yang membuatkan Naz teruja untuk mencubanya.


Lagi satu, tuan punya resepi ni bagi nama "AGAR-AGAR ROTI" tapi Naz pulak pepandai menambah "WARNA-WARNI" pada hujung nama resepi tu.  Jangan marah ye Mas...hehehe.. Bukan apa, bila dah siap agar-agar ni, dalam kepala tak berhenti-henti memikir perkataan warna-warni tu bila melihat warna agar-agar ni.  Tapi kredit tetap pada Mas tuan empunya resepi.  Terima kasih Mas sebab berkongsi resepi yang sungguh sedap ini.  Dan terima kasih kepada Izah juga sebab mempromote agar-agar ni di blognya.



Klik di dapur Mas atau dapur Izah ni untuk melihat agar-agar roti mereka.  Resepi asal meletakkan roti dalam ukuran "keping" tapi Naz menimbang berat roti ini untuk mendapatkan dalam ukuran metrik sebab roti-roti yang Naz nak gunakan tu adalah lebihan buat aiskrim goreng.  Jadi dah tak lengkap sebagai sekeping roti setiap satu kalau nak ikut ukuran asal resepi ini.

AGAR-AGAR ROTI WARNA-WARNI
Sumber Resepi : Mas
Oleh : Naz's CUTE OVEN, SMALL KITCHEN

Bahan-bahan :
20 gm agar-agar bertali atau sepeket serbuk agar-agar 10 gm (Naz guna serbuk agar-agar)
6 cawan air
200 gm gula pasir (Naz sukat 3/4 cawan)
1 tin susu cair
6 keping roti (Naz timbang = 200 gm roti)
1 biji telur
3 jenis pewarna kegemaran
1 tsp asen vanilla


Cara-cara :
  1. Roti, susu cair dan telur disatukan.  Apabila roti kembang, kisar hingga halus.
  2. Masukkan air dan serbuk agar-agar ke dalam periuk dan masak hingga agar-agar larut.
  3. Masukkan gula dan kacau hingga gula larut.
  4. Kecilkan api dan masukkan bahan-bahan yang dikisar tadi.  Kacau-kacau hingga mendidih sikit dan tutup api
  5. Bahagikan kepada 3 bahagian dan warnakan dengan warna yang berlainan setiap satu.
  6. Basahkan loyang dan tuang habis 1 warna adunan di tengah loyang diikuti dengan warna ke 2 dan warna ke 3.
  7. Sejukkan di dalam peti sejuk sebelum dipotong.
Uiiihhhhh!!!  Memang sedap agar-agar ni.  Rasanya yang lembut, sejuk pulak tu.. nyaman jer melalui tekak ni..  Jangan mintak eh..  Dah habis beri hubby bawak sikit pergi office dan dirumah pun anak-anak dah kerjakan.. 

Friday, January 7, 2011

AISKRIM GORENG LAGI...


Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Projek kali ke 2; membuat aiskrim goreng (resepi dikongsi oleh kak Lina-Teratak Mutiara Kasih).  Boleh lihat di sini untuk melihat hasil kali pertama membuat aiskrim goreng ni.  Lepas sesi makan aiskrim goreng kali pertama hari tu, balik dari sekolah je, anak-anak dah bertanya tentang aiskrim goreng lagi.  Betul-betul mendapat sambutan di rumah ni.  Jadi, ini hasil kali ke 2 projek aiskrim goreng.

Naz sertakan sekali langkah demi langkah cara membuatnya untuk rujukan bagi sesiapa yang tiada acuan yang sesuai untuk menerap roti aiskrim ni.  Berbeza dengan kali pertama dulu di mana Naz menggunakan gelas plastik sebagai acuan yang bertindak sebagai pemotong roti aiskrim, kali ini Naz menggunakan pisau plastik atau pisau pemotong agar-agar untuk membentuk roti aiskrim ini.

Jadi mari kita lihat cara-cara Naz menyediakan aiskrim goreng ini..

Baringkan sekeping roti sandwich di atas permukaan pinggan/ dulang yang bersih.


 Sudukan aiskrim pilihan anda di atasnya.


 Tutup dengan sekeping roti lagi.


 Potong bahagian tepi-tepi roti dengan pisau plastik/ pisau pemotong agar-agar.


 Tekankan pisau plastik tadi hingga terputus bahagian tepi-tepi roti yang berlebihan sementara bahagian tepi-tepi roti yang menyimpan aiskrim bercantum kemas.


 Sekiranya bahagian tepi roti ada yang tidak kemas, kemaskan dengan cara mengelim/ memicit dengan dua jari bahagian-bahagian tepi roti tersebut.


 Pastikan tiada bahagian tepi roti yang tidak bercantum untuk mengelakkan aiskrim dari terkeluar.


 Pre-preparation untuk aiskrim goreng hampir selesai.


Masukkan roti aiskrim yang telah siap ke dalam plastik dan simpan di dalam peti sejuk beku(freezer) 3 jam atau semalaman.
*****   *****  *****  *****  *****  *****  *****  *****

Apabila tiba masa untuk menggoreng, panaskan minyak di dalam kuali.  Apabila minyak telah betul-betul panas, keluarkan roti aiskrim dari freezer dan goreng hingga kuning keemasan di kedua-dua belah permukaan.  Naz menggoreng kurang dari 1 minit bagi setiap aiskrim goreng ini.
SELAMAT MENCUBA!!

Thursday, January 6, 2011

SAMBAL GORENG TELUR REBUS


Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Menu yang simple je tapi makan boleh bertambah-tambah.  Sambal goreng, sambal tumis, sambal belacan dan apa-apa sambal lah memang menjadi kegemaranku.  Perlu ada menu yang pedas, baru boleh membuka selera.  Kalau nak berdiet, tak boleh masak makanan yang pedas-pedas ni.  Sebab nanti makan bertambah-tambah tak ingat diri...kikiki...

SAMBAL GORENG TELUR REBUS


Bahan-bahan :
3 biji telur rebus
3 biji kentang 
4 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
6 Tbsp cili kisar
2 inci belacan
1 biji bawang besar (dimayang)
Sedikit air asam jawa
Garam
Gula
Minyak masak

Cara-cara :
1.  Kisar bawang merah, bawang putih, belacan dan cili kisar bersama.
2.  Kupas kentang dan basuh.  Potong dua dan hiris.  Goreng dan ketepikan.
3.  Kelar-kelar sikit telur rebus dan goreng sambil golek-golekkan telur agar sekata untuk mendapat satu lapisan nipis kulit pada telur rebus (jangan lama sangat).
4.  Tinggalkan sedikit minyak di dalam kuali dan tumis bahan mesin serta bawang besar yang telah dimayang hingga pecah minyak.  Masukkan air asam jawa dan terus menggoreng hingga kelihatan garing. Rasakan garam dan gulanya.
5.  Masukkan kentang dan gaul rata.  Kemudian masukkan telur rebus tadi dan gaul sempurna.  Okey siap untuk dihidang.

Wednesday, January 5, 2011

ASAM PEDAS IKAN TENGGIRI


Assallamualaikum dan salam sejahtera.

ASAM PEDAS IKAN TENGGIRI

Sumber : Naz's CUTE OVEN, SMALL KITCHEN

Bahan-bahan :
5 keping ikan tenggiri (dibersihkan dan dibasuh)
6 Tbsp cili kering mesin (boleh tambah lagi untuk lebih pedas dan kuah lebih pekat)
5 biji bawang merah
4 ulas bawang putih
3 inci halia
2 inci belacan
2 batang serai (diketuk)
2 tangkai daun kari
Daun kesum secukupnya
Beberapa batang bendi (ikutlah banyak mana nak letak)
3 - 4 Tbsp asam jawa (dibancuh dengan air)
Air secukupnya
Garam
Minyak untuk menumis


 Cara-cara :
1.  Mesin bawang  merah, bawang putih, belacan dan juga halia bersama cili kering.
2.  Panaskan minyak di dalam periuk.  Tumis bahan mesin bersama daun kari dan serai.  Biar hingga naik bau dan pecah minyak.
3.  Masukkan air asam jawa dan air.  Bila mendidih, masukkan ikan.
4.  Masukkan bendi dan juga daun kesum.  Rasakan garamnya.  Setelah masak tutup api.  Hidangkan.

NOTA :
Kalau suka boleh juga dimasukkan buah tomato dan juga bunga kantan.

AIS KRIM GORENG


Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Terjumpa menu aiskrim goreng ni di dapur Kak Zana.  Dari maklumat yang dibaca, terus melompat ke dapur Kak Lina, tuan yang mula-mula letak resepi ni.  Masih lagi membelek-belek resepi bila dicucuk oleh Kak Zana agar cepat-cepat buat menu ni sebelum semangat menurun..  Ishhhh...tak boleh jadi ni.  Bahan-bahan memang dah ada di rumah.  So pre-preparation dibuat waktu malam bila anak-anak dah tidur.  Petang esoknya digoreng..  Fuhhhhh...memang sedap dan tak mengecewakan.  Nak kena buat untuk 2nd round sebab dah direquest oleh permata-permata hati di rumah ni lepas makan tadi.

Pada sesiapa yang nak tengok bagaimana Kak Zana buat aiskrim goreng ni, klick di sini dan kalau nak tengok bagaimana Kak Lina pulak buat, klick di sini.

AISKRIM GORENG


Bahan-bahan :
10 keping roti sandwich
5 scope ais krim apa-apa perisa
Plastik (untuk simpan ais krim roti)
Minyak masak untuk menggoreng

Cara-cara Naz menyediakan ais krim goreng :

Baringkan sekeping roti putih di atas permukaan pinggan yang bersih.


Letakkan aiskrim pilihan anda.
Yam Swirls With Vanill Ice Cream..


Cappuccino Chips Ice Cream..


Tutup dengan sekeping roti lain.


Gunakan gelas atau cawan yang bersesuaian saiznya sebagai pemotong roti ini.


Tekan di atas roti hingga putus bahagian tepinya.


Inilah rupa roti aiskrim yang telah siap.


Pastikan bahagian tepi-tepi roti itu bercantum dan melekat agar aiskrim tidak meleleh keluar.  Sekiranya ada bahagian yang tidak kemas, tekan dengan dua jari untuk mengelim tepi-tepi roti seperti di atas.


Kemudian masukkan roti aiskrim-roti aiskrim yang telah siap ke dalam plastik dan simpan 3 jam atau semalaman di dalam peti sejuk beku(freezer).
************************
Apabila tiba masa untuk menggoreng, panaskan minyak di dalam kuali.  Apabila telah betul-betul panas, keluarkan roti aiskrim dari peti sejuk beku dan goreng sambil balik-balikkan hingga warna menjadi kekuningan.  (Naz menggoreng kurang dari 1 minit bagi setiap aiskrim goreng ini).

Inilah hasilnya..


Dan ini juga hasilnya..

Memang sedap..  Two thumbs up!!  Tak rugi mencubanya lebih-lebih lagi bila tengok anak-anak yang berselera sungguh menikmatinya..  Tq Kak Zana sebab jadi inspirasiku(macam nama blog Kak Zana kan..) dan terima kasih pada Kak Lina yang sudi berkongsi resepi ini...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...